U n Uols

Jumaat, Mac 02, 2012

Bab 2:Hati Bertanya Siapa Kamu

Kaki kanan disilangkan ke atas kaki kiri. Bersusah-payah dia bergegas pulang ke rumah apabila menerima panggilan daripada lelaki yang merupakan darah dagingnya. Segala urusan penting yang sedang diuruskan ditinggalkan. Wajah tanpa senyuman di hadapan mata dipandang tanpa bekalih ke arah lain. Bait-bait kata yang keluar dari bibir tua itu meresap masuk ke mindanya. Dia sedar, setiap apa yang dituturkan oleh lelaki tua berjanggut mencecah leher itu benar belaka. Sebenarnya, sejak awal lagi dia sudah memasang tekad, harta berharga yang berada entah di mana-mana itu akan dibawa kembali. Biar lelaki tua itu gembira. Dia percaya kegembiraan lelaki tua itu memberi seribu keberkatan kepada kehidupannya.

“ Akad itu bukan perkara main-main. Setelah akad dilafazkan, tanggungjawab besar tergalas di bahu. Tugas menjaga dan mendidik seorang perempuan berpindah daripada ibu bapanya kepada suami.”

“ Ya abah…”

“ Suami menjadi pemimpin. Abah harus memastikan kehidupan gadis itu tidak dipersia-siakan….”

“ Boy faham abah…” Sebaris ayat itu meluncur laju daripada bibir. Boy masih menumpu pandang kepada ayahnya. Kepala orang tua itu dilihat terangguk-angguk sambil melurut janggut mendengar balasan daripadanya. Mungkin lega dengan jawapan yang diterima.

“ Itu yang abah nak dengar daripada mulut Boy…anggaplah ini sebagai amanat abah. Mungkin ada silap abah semasa melaksanakan permintaan Boy sehingga jadi seperti ini…”

“ Abah…..Boy tak anggap ini sebagai amanat abah, tapi sebagai amanah…..memang ini tanggungjawab Boy. Boy yang mintak abah buat semuanya untuk Boy kan? Abah jangan risaukan perkara ni lagi. Boy janji, Boy akan uruskan dengan baik. Suatu hari nanti kita semua akan berkumpul bersama…”

Senyum mula memekar dibibir yang terselindung dengan janggut. “ Hah! Baguslah kalau begitu. Abah tau Boy memang boleh diharapkan…” Dia bangun dari kerusi yang diduduki. Menapak menghampiri anak lelaki yang menjadi harapannya. Sambil memandang wajah bersih bercukur, bahu jejaka itu ditepuk-tepuk.

“ Terima kasih abah.” Ikut berdiri. Tubuh abahnya dipeluk erat. Niat yang tertanam semakin bersemarak apabila abahnya memberikan sokongan padu. Abah seorang bapa yang sentiasa memberikan sokongan. Dia sendiri yang membuat pilihan itu, bukan dipaksa oleh sesiapa. Tidak disangka olehnya pihak di sebelah sana sebenarnya tidak merelakan. Sedikit sebanyak ada rasa bersalah yang bertamu kerana menyebabkan fikiran abah terbeban. Pada usia tua begini masih perlu memikirkan masalah di sekeliling.

“ Satu lagi, janji mesti dikota Boy….”

“ Insyaallah janji ini akan dikotakan abah…”

***********************************************************

“ Suri ram..ram….a…” Ketukan di pintu kedengaran. Nyanyian terbantut.

“ Lama lagi ke Dayang weyh? Tak payah bersiram sangat, mandi koboi udah ler..” Che Peah mengetuk pintu bilik mandi.

“ Kejap laa…” Baru nak tunjuk bakat terpendam dah kena kacau. Sekali-sekala bagi laa peluang.

“ Cepat sikit!”

“ Iya…”

“ Ini baru dayang-dayang yang mandi, kalau puteri-puteri tak tahu aku…” Che Peah pandang Intan yang bersandar kepala di dinding depan bilik mandi dengan mata terpejam. Sempat lagi membuta?

“ Tak ada maknanya puteri nak duduk flat macam kita ni Che Peah…” Balas Intan dengan mata terpejam.

Che Peah berkalih kepada Intan lagi. Celik pula? “ Tu dayang sesat ada….puteri sesat pun ada kot…” Gelak besar Che Peah tercetus, bertingkah dengan gelak Intan.

“ Cakap baik-baik sikit orang di luar. Nama aku Dayang! Bukan Dayang dari mana-mana istana!” Memberi ingatan.

Nyanyian yang tergendala disambung lagi. “ Tua padi antara masa…esok jangan…la”

“ Esok jangan….kita menganggur…kelewatan pergi bekerja….kerana si Dayang merendam lama-lama….tak mandi kami yang lain….” Nyanyian Dayang bersambung dengan nyanyian Intan yang mencipta lirik sendiri

“ Haish….iya-iya nak keluar dah ni….” Pintu bilik mandi dibuka .Wajah segar Dayang terjegul di hadapan Intan dan Che Peah yang sedang berbaris menunggu giliran untuk mandi. Pagi-pagi begini bilik mandi sesak. Masing-masing perlu bersiap-siap ke tempat kerja. Siapa bangun paling awal dia yang mandi dulu. Lama ke, cepat ke, terpaksalah menunggu giliran..

“ Tolong ler Dayang weyh…lain kali biar aku dengan Intan payung mandi dulu. Kau kalau nak bersiram ke, berenang ke, scuba diving ke lepas tu…..aku tak kisah…” Che Peah melangkah masuk ke bilik mandi. Pintu ditutup rapat. Tinggal Dayang dan Intan yang saling berpandangan.

“ Sedap lirik lagu yang kau sambung tu….” Memerli Intan yang nampak masih bersisa dengan rasa mengantuk.

“ Aku kan kreatif…” Balas Intan kembali memejamkan mata.

“ Kreatif……hal semalam Dayang tak berkira dah cukup baik. Hari ni nak buat hal lagi?” Menjegilkan biji mata. Semalam hampir-hampir dia diserang sakit jantung kerana berita yang disampaikan Intan. ‘ Ada dua orang lelaki pakai kot, ala-ala Men In Black. Diorang cari gadis nama Inara!’ Siapa yang tak terkejut kalau diri yang dicari?!

“ Aku cakap betul kan? Memang diorang cari Inara…tapi kat rumah sebelah. Kau aje yang cemas tak tentu pasal, sampai terpelanting tudung periuk warisan turun-temurun Che Peah.” Mata yang dipejam terbuka luas.

“ Habis yang kau cakap separuh jalan tu kenapa?” Akibatnya dia panik dan hampir-hampir melompat turun dari tingkap untuk melarikan diri! Nasib baik tingkap tu punya cermin lengkap, terbantut tindakan. Kalau tidak dah jadi arwah dia. Kempunan tak sempat melantak sambal belancan. Bayangkan terjun dari tingkat sembilan ke tingkat satu, jarang ada yang hidup. Senget punya Intan payung!

“ Baru suspen….”

“ Suspen ya? Hari ni cancel nak belanja dinner….” Lawak sedunia tak kelakar! Dayang berlengang masuk ke biliknya yang terletak di tengah –tengah antara bilik Intan dan bilik Che Peah.

“ Inara….” Intan memanggil.

“ Jangan macam tu Inara sayang…”

“ Panggil nama aku Dayang!” Laung Dayangku Inara. Melengking kuat suaranya memecah pagi di rumah sewa mereka.

“ Ye….ye….Dayang sayang. Dinner nanti, jangan laa cancel…” Ada juga orang jenis ini. Apa, dia ingat tukar nama panggillan dah selamat? Orang tak boleh cari? Muka sama macam tu juga…sekali tengok orang dah cam!

Cancel!”

********************************************************

Dayangku Inara berjalan beriringan bersama dengan Intan dan Che Peah menuju ke stesen bas yang terletak di hadapan flat mereka. Beg tangan yang tersangkut di bahu kanan dikepit kejap. Bimbang turut menjadi mangsa ragut kerana, baru beberapa hari lepas seorang mak cik telah diragut di kawasan ini. Kesian mak cik tu, hilang duit dan barang kemas. Jahat punya peragut!

“ Dayang, kau rasa orang-orang semalam tu siapa ya? Nasib baik diorang terketuk pintu rumah sebelah. Kan Che Peah?”

“ Nasib baik kau Dayang…dengan aku-aku sekali jadi takut.” Che Peah setuju seratus peratus dengan kata-kata Intan.

“ Aku rasa orang-orang tok janggut tu…penyiasat atau orang upahan. Tak mustahil untuk orang-orang berduit buat macam tu….”

“ Sampai bila kau nak macam ni?” Pertanyaan Che Peah dijawab dengan menjungkitkan kedua-dua belah bahu.

“ Sampai bila boleh sembunyi…lama-lama jumpa jugak.” Intan menambah tentang kemusykilannya.

“ Tak akan kot…” Menyedapkan hati sendiri. Jika tempat bersembunyiannya ini berjaya dijejaki, ke mana lagi dia harus melarikan diri?

“ A’aah…” Che Peah mengiyakan.

“ Korang jangan takutkan aku…sakit kepala ni hah, rasa nak MC je…”

“ Budak ni, aci kita cakap sakit kepala, sakit telinga, sakit badan….banyak sangat sakitnya…” Bebelan Che Peah ke udara. Pot pet...pot pet menemani perjalanan mereka. Dayang sentuh telinga. Sabar ajelah dengan Che Peah ni…

Dinner nanti macam mana? Jadi ke tak Dayang?” Intan menyoal sambil tangan menyeluk beg tangannya.

“ Jadi…..mak aku masukan duit lagi. Aku tak tau nak guna untuk apa. Banyak sangat…rezeki korang dua orang laa nampaknya…”

“ Mak kau masukan duit lagi? Kali ni berapa hengget?” Dahi Che Peah berkerut-kerutan. Baik sungguh hati emak Dayang, ingat dekat anak dia yang lari dari rumah tu. Bukan sikit jumlah yang dimasukan ke akaun kawan bertuah dia, ribu-ribu. Mengalahkan gaji sebulan dia!

“ Cecah empat angka juga. Sama dengan bulan lepas…”

“ Banyak duit mak kau…”

Dayang berfikir-fikir sejenak. Ya tak ya juga, banyak betul duit mak. Mana mak dapat? Jumlah yang dikirim melebihi pendapatan sebulan emak. Hairan. Bila diingatkan, mak tak ada pula menefonnya mengatakan tiap-tiap bulan dia ada memasukan sejumlah wang ke dalam akaun simpanannya. Dia sendiri yang membuat kesimpulan itu kerana, nombor akaunnya hanya diketahui emak. Mahu menelefon dan bertanya emak dia takut kedudukkannya berjaya dijejaki, takut juga mak marah.

Selama dua bulan ini, duit simpanannya bertimbun tiba-tiba. Tidak diusik lebih-lebih melainkan dikeluarkan sedikit untuk menjamu kawan-kawan serumahnya ini. Selebihnya tidak digunakan. Dia bukan apa, sebelum ini pernah terlintas di fikiran mungkin ada yang tersalah akaun. Jika tuan punya duit tu minta balik, tak adalah dia tercungap-cungap nak menganti. Tunggu punya tunggu tak ada yang datang menuntut. Jadi, kesimpulan yang dibuat duit beribu-ribu yang masuk akaunnya adalah pemberian emak.

“ Mana Dayang?” Che Peah toleh ke sisi kirinya.

Inta n paling ke belakang “ Tak lintas jalan lagi…” Menunjuk ke seberang jalan. Mati-mati mereka ingat Dayang ikut melintas bersama tadi. Rupanya masih terkial-kial di seberang sana.

“ Ish! Dayang ni…” Intan geleng kepala.

“ Berangan tak sudah gamaknya tu…” Sampuk Che Peah.

“ Dayangggg!!!!” Suara cemas Che Peah dan Intan bergabung menjerit. Sebuah kereta sedang meluncur laju ke arah Dayangku Inara.

Dayang telan liur. Tergaman. Akibat mengelamunkan tentang duit, dia melintas tanpa melihat kiri dan kanan. Kini kakinya terpaku ditengah jalan raya. Menunggu masa dirempuh kereta besar cantik berkilat yang sedang meluncur laju. Ya, Allah!

“ Shreekkk!!!” Bunyi tayar bergesel dengan tar apabila kereta dibrek secara mengejut. Dayang jatuh terjelepok di atas jalan raya. Lemah longlai. Melayang pergi semangat diri. Terbang perihal duit beribu dalam akaun simpanan. Timbul pula persoalan hidup dan mati. Kejadian yang tak terduga itu menarik perhatian orang ramai yang sedang menunggu bas di seberang jalan. Kereta-kereta di belakang pula bingit membunyikan hon. Terganggu sebentar lalu lintas di kawasan itu.

Che Peah dan Intan bergegas mendapatkan Dayangku Inara yang masih tidak berganjak dari kedudukannya. “ Kau okey ke tak Dayang?” Cemas Intan bertanya. Che Peah memeriksa lengan dan tapak tangan Dayang. Bimbang ada yang terluka atau tercedera. Segala-galanya nampak baik. Alhamdulillah….

“ Weyh! Tak tengok ke orang tengah melintas?” Jerkah Intan kepada pemandu kereta yang cantik berkilat itu.

Keluar seorang jejaka berpakaian kerja. Menapak menghampiri mereka. “ Cik tak apa-apa?” Soalan Intan tidak berjawab. Dayang pula yang diajukan dengan pertanyaan. Dia tidak nampak gadis yang terjelepok di jalan itu melintas, mujur dia sempat menekan brek.

“ Dia tak apa-apa agaknya….” Che Peah menjawab bagi pihak Dayang yang menunduk diam. Masih terkejut dengan apa yang berlaku.

“ Alhamdulillah….syukur…” Jejaka yang memandu kereta memanjatkan kesyukuran. Sejuk hati Che Peah yang mendengar tutur bicara jejaka itu.

“ Che Peah, tak boleh macam ni….mana tau ada kecederaan dalaman ke? Mesti bawak pergi klinik jugak…” Intan mencelah.

“ Yeke?”

“ Iya……hah! Encik, takkan tengok saja? Papah kawan saya ni masuk kereta. Takkan dia nak jalan sendiri, ada yang patah ke?”

Pemandu kereta memandang Intan tenang. “ I’m sorry. Bukan saya tak nak bantu, tapi kami bukan mahram, tak boleh bersentuhan. Kalau tak keberatan, saya minta jasa baik awak berdua papahkan cik ni ke kereta saya. Saya bawa ke klinik…” Baiknya, anak siapa ni? Che Peah berdesis.

Naik kereta lelaki yang tak dikenali? Tak nak! Mengangkat kepala. Sepasang mata Dayangku Inara bertemu sepasang mata milik jejaka pemandu kereta. “ Saya….saya tak apa-apa. Okey-okey je….” Cuba untuk berdiri. Tak berjaya. Dayang hampir jatuh terjelepok sekali lagi. Kali ini lengannya sempat disambar Intan dan Che Peah.

“ Okey…okey….okey apa kalau berdiri pun tak boleh. Encik, mesti pergi hospital ni…Che Peah kau diam je kenapa. Kawan kita ni…” Intan berkata lagi.

“ Tak okey…pergi hospital…eh..klinik aku…eh….kau….eh…jom kita pergi hospital..” Che Peah garu kepala. Sergahan Intan buat dia kalut.

“ Tak okey? Kita ke klinik sekarang!” Tanpa amaran, tubuh Dayangku Inara disauk jejaka itu. Sekelip mata Dayang berada dalam dukungan pemandu yang hampir melanggarnya. Buntang matanya dengan tindakan drastik itu.

“ Encik! Encik! Apa ni? Turunkan saya! Turunkan saya!” Meronta-ronta minta dilepaskan.

“ Che Peah…Intan tolong aku!!” Dayangku Inara terjerit-jerit. Terkejut dengan tindakan spontan jejaka yang tidak dikenali ini. Che Peah terganga, Intan terkasima. Tidak mampu dan tidak tahu untuk berbuat apa-apa melihat kawan mereka dicempung orang. Hilang dalam perut kereta. Sedar-sedar, kereta cantik berkilat yang dipandu jejaka tadi sudah meluncur pergi. Meninggalkan asap untuk disedup hidung mereka…

“ Tadi cakap bukan mahram….” Suara Che Peah perlahan.

“ Dayang…dia bawak Dayang…” Intan menunjuk ke arah kereta yang sudah berlalu pergi…

“ Kita nak buat apa ni Che Peah?”

Che Peah garu kepala. “ Che Peah tak tahu…”

“ Dayang….”

Untuk versi penuh dapatkan novel Hati Bertanya Siapa Kamu di kedai-kedai buku berhampiran anda. Boleh juga layari http://www.karyaseni.my/ untuk pembelian secara online.

9 ulasan :

  1. chap. 1 dah rase sedap.. nk lagi^^V

    BalasPadam
  2. mesti jejaka tu suami dia hehe

    BalasPadam
  3. BESTNYA MESTI SUAMI DIA

    BalasPadam
  4. dayang kene kidnap ngan en.hubby la tu....

    BalasPadam
  5. kelakar la 3 sekawan ni..

    BalasPadam
  6. haha..lawak!sah2 la tu laki die kn2?tu la,hari kawen kenal2 dgn laki,tp hang p lari.dh laki sndri pun xkenal..kui3

    BalasPadam
  7. memang comel la kawan dia semua..mesti terkezut tahap cipan kan..bila mamat tak bernama dan dikenali mencempung dayang dan bawa pergi...mesti blur giler..

    BalasPadam
  8. Lawaklah Nurf... ada ke bunyi brek kereta macam panggil Shrek the green ogre! Lagi tak boleh blah bila si jejaka dengan selambanya mencempung si gadis... padahal cakap bukan mahram :- ya lah, dah pandang mata baru tahu kan????

    BalasPadam