U n Uols

Saturday, September 21, 2013

SI PENGEJAR CINTA BAB 6

ADRUS memerhatikan kelibat seseorang yang dikenali dari jauh. Perbualan rakan-rakan di meja bulat mereka berlalu seperti angin. Ada sesuatu yang lebih menarik tumpuan mata. Perhatiannya ketika ini adalah kepada seorang gadis yang sedang bergelak ketawa di hujung dewan. Gadis itu sedang bersapa-sapaan ceria dengan seorang lelaki. Lelaki sama yang mencampuri urusannya dan Dena siang tadi.  
Semakin dipandang kemesraan mereka, semakin senak biji mata. Pandangan dikalih ke tempat lain. Bertahan sedetik cuma. Mata berdegil untuk memandang arah yang sama lagi. Kehendak itu diturutkan.
Dia pernah gila bayang kerana gadis tersebut. Menjadi pengejar cintanya tanpa jemu... 
Hai, sorang je?” Niat awal untuk ke perpustakaan tersasar. Kaki dilencong ke perhentian bas. Lencongan awal yang menjadi permulaan tersasarnya matlamat awalnya sebagai seorang pelajar.
Angkat kepala. “Taklah. Beramai-ramai...” Tunduk kembali menatap kertas di tangan.  Tak ada sesiapa di hentian bas itu kecuali mereka berdua.    
Oh, ramainya. Tak perasan pula.” Melabuh duduk di sebelah si gadis. “Saya Adrus, Adrus Bin Azlan...” Tangan dihulur.         
Huluran tangan tak bersambut.  Si gadis memandangnya sekilas sebelum mata jatuh lagi pada nota kecil di tangan.Adenalis Ahmad,” gemersik suara itu membalas. Suara gemersik yang bisa mengulik mimpi lena.  
“Budak baru ke? Tak pernah nampak sebelum ni...”Mungkin gadis ini tak perasan mereka pernah bertemu ketika perjumpaan wakil-wakil pelajar. Sejak pertemuan kali pertama itu dia tak pernah lupakan si gadis.   
“Taklah. Budak lama. Tak pernah nampak sebab selalunya saya halimunan.” Bersahaja Dena membalas. Keselambaan yang membuatkannya semakin terpikat.
Cerita lama, tak guna dikenang. Cinta yang berkesudahan dengan dirinya yang dikecewakan!
“Mengacau je!”Marah Dena. Tegang wajah yang ditayangkan untuk tatapannya.
Saya tak kacau pun…..” Memandang sekilas rakan jawatankuasa di sebelah Dena yang menjeling dengan pandangan menyampah.
Habis tu kenapa dari tadi ikut saya? Mana-mana saya pergi awak ada. Nak jadi bayang-bayang saya ke?"
“Nak! Kalau awak izinkan.”
“Sebab apa awak buat saya macam ni, hah?” senarai tugas yang sedang dibaca diletak ke meja. 
“Sebab...sebab saya nak jadi boyfriend awak!”
“Tolonglah……saya tak nak!” Terang dan jelas Dena berkata. Dia bingkas bangun.  Dituruti rakan di sebelah.
“Saya nak!
“Jangan nak mengada-gada boleh tak? Awak datang sini sebab nak belajar ke cari perempuan, hah?”
“Sambil menyelam minum air...”
“Dah! Tolong tepi sikit. Menghalang tugas kami je...” Tubuhnya ditolak. Sebelum laluan dihalang lagi, Dena dan temannya segera meninggalkannya, berlalu pergi. Perlu memasuki kelas yang bakal bermula.
Kelibat Dena yang menghilang di sebalik pintu bilik aktiviti pelajar hanya mampu dipandang. Percubaan yang entah kali ke berapa menemui kegagagalan. Hari-hari berikutnya dia mencuba dan mencuba lagi, sehingga dia digelar pengejar cinta. Si pengejar cinta Adenalis...

“Huh!” Mengeluh. Kisah lama itu sepatutnya dah lupus.

Awak terima saya sebab kesian atau sebab sayang?” Merenung mata Dena. Mencari jawapan pasti.
Tentulah sebab kesian...”
“Betul-betullah, Dena.”
Sayang...sebab, saya sayang awak...”
Jawapan Adenalis mengundang senyum sampai ke telinga. Senyuman yang bertahan sehingga berhari-hari.

Tangan mencapai gelas minuman, diteguk rakus. Apa perlunya kehadiran Adenalis dalam dewan ini? Tak reti-reti nak balik rumah? Menempel di sisi lelaki entah untuk apa. Sakit hatinya menyaksikan kegembiraan Dena.
Perasaan jadi berang. Dena di sini bahagia menjalani hidup. Dia yang bertahun-tahun di negara orang pula sebaliknya. Berperang dengan gelodak dalaman untuk melenyapkan gadis itu dari ingatan. Betapa ia bukan satu tugas yang mudah. Adenalis tak kenal erti bersalahkah?!
Mata dihala ke arah yang sama sekali lagi.  Dena dan budak tukang masak saling berbalas lambaian. Kemudian Adenalis beredar, menyusup keluar dari dewan melalui pintu yang digunakan oleh kakitangan hotel yang bertugas.  Si tukang masak kembali menjalankan tugas, ditemani sulaman senyum yang tak lekang dari bibir.
Adruss bingkas dari duduknya. Fikiran kacau. Dia perlu keluar dari dewan mencari ketenangan...

Adenalis menyentuh telinga yang terasa perit. Suara Adruss yang melengking kuat meyentap dada. Walhal, jarak kedudukkan  mereka cuma setapak. Namun, gaya Adrus bercakap bagaikan dia sedang berada jauh di hujung sana!
“Ambil balik kad murah awak!” Menghulurkan sekeping kertas berwarna merah hati, berbentuk empat segi dan berlipat dua kepada Dena. Kad yang tertulis kata-kata maaf dari gadis itu. 
“Saya tak ambil balik benda yang saya dah beri kat orang,” balas Adenalis. Di tentang pandangan mencerlung Adrus.
“ Ambil balik! Kalau tak, saya campak je dalam tong sampah.” Perasaan marah yang membengkak sejak malam tadi dilepaskan hari ini.
Gigit bibir. Sebal. “Buatlah. Buat apa sahaja yang boleh buat awak gembira...” ujarnya seraya meninggalkan Adrus. Penat hendak melayan.
“Dena!” Memanggil kuat.
“Dena!” Nafas menderu.
Adenalis berhenti melangkah. Kembali menghampiri bilik Adruss. Dia bimbang suara kuat Adruss akan menganggu tetamu-tetamu di bilik lain. Cukuplah dengan masalah yang telah ditimbulkan.
“Mana awak nak pergi?” menyoal serius.
“Balik rumah,” mencuri pandang Adruss yang masih berpakaian kerja. Bergaya. Lelaki di hadapannya akan lebih bergaya jika wajah tegang itu diselit segaris senyum. Entah dia akan berpeluang lagi atau tidak untuk menatap senyum dan tawa ikhlas Adrus.
“Tengok saya macam tu....kenapa? Teringin nak jadi girlfriend saya lagi? Pergi mimpilah, Dena!” Menembak serdas.
Aduh lelaki ini! Elok-elok dia dah nak balik, Adruss menahan. Menyekat langkahnya semata-mata untuk melemparkan dakwaan sebegini?
Adenalis tarik nafas dalam. Sebak, marah, sakit hati, rindu, semua perasaan itu menekannya. Sudah lebih enam tahun mereka tidak berjumpa antara satu sama lain. Dia tak harap ini yang akan terjadi apabila bersua kembali.
“Kalau awak tak ada apa-apa nak cakap, saya balik dulu.” Kata dia. Menahan rasa yang bercampur-baur.
“Apa awak buat dalam majlis malam tadi?"  Soalan menyibuk.
“Hal kerja saya. Kalau diterangkan pun bukannya awak faham.” Bermain-main dengan kunci kereta di tangan. Mengalih tumpuan agar perasaan yang menekan-nekan itu tidak merebak. Jika tidak ada juga yang buat tayangan airmata di sini. Di hadapan Adrus yang nampaknya kehilangan sifat perikemanusiaan.  
“Kerja ke bercinta?”
“Dahlah, Adrus saya nak balik.”
“Semalam apa yang awak janji dengan saya, Dena!?”
“Saya akan berkhidmat...”
“Awak patut berkhidmat untuk saya! Tapi apa yang awak  buat?!”
Dena binggung. Apa pula salahnya kepada Adrus kali ini? Seingat-ingatnya sepanjang hari ini dia belum bertemu mata dengan lelaki itu. Jadual kerja sepanjang pagi ini sangat padat. Langsung tiada masa untuk dibuang. Waktu kerjanya sudah lama habis, tetapi dia masih berdiri di sini. Di hadapan bilik Adrus!
“Apa yang saya dah buat? Rasanya saya tak buat apa...”
“Ya. Salah awak sebab tak buat apa-apa!”
Mak! Tolong Dena. Anak mak sekarang bukan sahaja sedang binggung, malahan meter tekanan sudah mencapai tahap teratas. Percakapan Adrus yang berbelit-belit tidak difahami.  Sekejap itu dan sekejap ini! Apa yang Adrus nak sebenarnya?
Adrus! Saya tahu awak lama kat oversea sana...lidah dah serasi makan cheese, steak semua benda tu. Bahasa Melayu pun dah tak betul...tapi boleh tak kalau awak gunakan ayat yang paling mudah untuk buat saya faham apa masalah kita sekarang.”
Melepaskan nafas kasar. “Kenapa pagi ni orang lain yang hantarkan sarapan ke bilik saya dan bukan awak?”
“Sebab...itu tugas orang lain. Bukannya saya.” Menjawab dengan jelas dan terang.
“Dena...Dena.” Mata dikecilkan. Dihala tepat ke wajah Adenalis. “Saya tak nak orang lain yang lakukan. Saya nak awak yang buat semuanya. Sebab apa? Sebab awak janji akan berkhidmat untuk saya!”
Dena ketap bibir.
“Kenapa? Awak, tak puashati? Ini baru betul Adenalis. Adenalis yang saya kenal. Berjanji...kemudian dia lupakan...” Adrus mengungkit lagi sejarah yang dulu.  
Fine! Saya akan lakukan.”
“Lakukan semua! And don't forget...awak perlu lakukan apa sahaja yang saya nak pada bila-bila masa... Day or night?
“Saya tak lupalah. Ya! Bila-bila masa. Day or night Encik!”
“Hmm...” Jungkit bahu. Sangsi.
“Ada apa-apa lagi yang awak nak buat? Kalau tak ada apa-apa boleh saya pergi sekarang?”
Kenapa tergesa-gesa sangat nak balik? Ada suami tunggu kat rumah? Dekat rumah ada suami, kat tempat kerja ada kekasih...” Menyoal sinis. Sengaja nak sakitkan hati Adenalis.
“Kalau ya sekalipun, apa kaitannya dengan awak?” Dena menentang.  
“Pergi balik, Dena.  Balik!” Daun pintu dibaling kuat. Ingin menyakitkan hati Dena, tapi sakit itu terpalit kepada diri sendiri.

Damn you, Dena.  Aku benci kau!”          



4 comments :

  1. nape mamat tu....

    ReplyDelete
  2. aduh...garang btol la mamat tu...huhuhu...

    ReplyDelete
  3. Aloo , awat panas baran sangat ? --'

    ReplyDelete