U n Uols

Sunday, March 06, 2011

KAU DAN AKU BAB 5


Selepas makan tengahari Min meminta diri untuk ke bilik. Dia beralasan mahu mengemaskan pakaian ke dalam almari. Mujurlah kakaknya tidak banyak soal. Tidak kuasa berlama-lama menghadap Luth Qadri. Apatah lagi duduk satu ruang dengan lelaki itu. Entah apalah hendak jadi dengan dirinya. Membenci sehingga sedemikian rupa. Kisah dia dan Luth Qadri sudah lama berlalu. Masing-masing sudah membawa haluan sendiri. Apa lagi yang hendak dimarahkan. Pelik. Dia sebenarnya keliru dengan perasaan sendiri.


Min duduk di birai katil. Beg pakaian sudah dibuka sejak tadi. Namun tiada satu pun yang dikeluarkan untuk dimasukkan ke dalam almari. Dia sibuk termenung. Menilai hati dan perasaan sendiri. Keluhan kecil dilepaskan. Macam mana pula Luth Qadri ada hubungan kekeluargaan dengan Abang Sufian dan bagaimana pula dia tidak tahu tentang perkara tersebut. Min memikir semula. Selama ini dia jarang bertandang ke rumah keluarga mentua kakaknya, sudah tentu mereka tidak terserempat. Mungkin juga lelaki itu tidak menetap di Kuala Lumpur. Ya mungkin!


Kaki diatur pula ke jendela. Pandangan dihala ke taman berdekatan dengan kolam renang. Kelihatan penghuni banglo ini sedang bersantai sambil menikmati pencuci mulut di meja yang tersedia di situ. Luth Qadri juga ada bersama mereka. Dari jendela itu Min sekadar mendengar sayup-sayup suara ketawa mereka. Tidak pasti apa yang dibualkan.


Di Taman…..


“Apa salahnya Qad. Tinggal aje kat rumah ni. Banyak lagi bilik kosong. Aku dengan Kak Tina lagi dua bulan baru balik sini. Kalau nak cari pun lepas-lepas ni….tak payah tergesa-gesa sangat. Boleh cari yang cantik sikit. Baru puas hati.” Sufian menawarkan kepada Luth Qadri. Di bawah meja Tina mencuit lengan suaminnya. Ada sesuatu yang ingin diperkatakan. Biar betul Sufian ni. Sudah lupa agaknya Min tinggal di rumah mereka sepanjang 2 bulan nanti. Rasanya seperti tidak kena pula membiarkan Luth Qadri juga tinggal disini. Memang umi dan ayah Sufian ada di rumah, tapi adiknya itu anak dara dan Qad pula anak teruna. Selamatkah Min nanti?


“Uncle pun fikir macam tu. Buat sementara ni kamu tinggal saja kat sini. Perlahan-lahan cari rumah. Ni hah yang kamu tinggal kat hotel tu kenapa? Tak sudi tinggal dekat rumah ni?” Soal Dato Ismail.


“Tak sudi agaknya bang. Yelah rumah kita ni tak semewah banglo dia dekat Johor tu….” Sampuk Datin Sheila.
Tina telan air liur. Kalau ayah dan umi sendiri yang mengajak apalagi yang dapat dikata. Rasa marah pula kepada suaminya yang memulakan soal itu.


“ Bukan macam tu. Sebenarnya saya tak nak menyusahkan sesiapa. Tapi kalau semua dah cakap macam tu saya ikut saja.” Jawab Luth Qadri. Sememangnya setelah diberitahu sebentar tadi bahawa Min Nur Kesha akan tinggal di rumah ini, dia sendiri sudah merancang untuk turut sama tinggal di sini. Pelawaan daripada Pak Cik dan Mak Ciknya itu memudahkan urusannya. Semua ini kerana ada misi yang perlu dilakukan. Di kepalanya sudah mula merancang tindakan seterusnya. Peluang ini tidak akan dipersiakan. Min Nur Kesha……jaga-jaga…..


“Abang, apa abang dah buat ni?” Marah Tina kepada Sufian setelah tinggal mereka berdua sahaja di taman. Luth Qadri sudah balik ke hotel penginapan untuk mengambil barang-barangnya sebelum berpindah masuk ke banglo ini. Sufian mengerutkan dahinya. Tanda tidak faham.


“Buat apa pulak ni?” Soal Sufian hairan.


“Kenapa abang ajak Qad tinggal kat sini? Min kan ada. Tak manislah. Buatnya Min nak balik rumah dia, macam mana dengan Raykal. Si Raykal tu kalau dia dah letak syarat bukannya boleh diubah dah. Bimbang pulak saya nak biar Min tinggal satu rumah dengan lelaki yang dia tak kenal. Abang jangan, Min sorang je adik saya kat dunia ni.”


Sufian membetulkan kaca mata di pangkal hidungnya. “Awak ni sayang, ingatkan apalah tadi. Ayah dengan umi kan ada bukannya diorang je kat dalam rumah ni. Kalau Ayah dan Umi keluar Mak Cik Zah kan ada.Bilik Min dekat atas, kita bagi Qad bilik bawah.” Kata Sufian. Tangan isterinya ditepuk perlahan. Dia mengukir senyum.


“Tak payah risau-risau dah. Nanti tak jadi pulak kita berangkat esok”. Sambung Sufian lagi. Tina sekadar mengangguk. Cuba menerima kata-kata suaminya.


*********************************************************************************


Tina berdiri di hadapan pintu bilik Min. Pintu diketuk beberapa kali sebelum melangkah masuk.


“ Buat apa ni?” Soal Tina kepada Min dan Raykal. Selepas makan malam tadi Raykal tidak berenggang dengan Min. Riuh rendah rumah dengan gelak tawa mereka. Apabila Min masuk ke biliknya Raykal turut serta.


“Cik Min bacakan Raykal buku ceita mama.” Jawab Raykal.


“Iya, cerita apa?”


“Tak boleh bagitau, ni rahsia Raykal dengan Cik Min je.”


“ Pulak. Okeylah mama tak tanya lagi. Tapi Raykal keluar kejap mama nak cakap dengan Cik Min. Boleh?


“Okey.” Kata Raykal tanpa banyak soal. Sebelum turun dari katil dia mencium pipi Min. Lalu berlari-lari dia keluar. Sempat ditutupkan pintu bilik.
Min menjungkitkan keningnya memandang Tina. Sebagai isyarat bertanya.


“Akak nak bagitau sesuatu ni, janji Min tak marah ya?”


“Apa dia?”


“Janji dulu.”


“Okey, okey Min janji. Sila teruskan.” Sempat Min bergurau apabila melihat riak serius di wajah Tina.


“ Min jangan marah akak tau. Ni semua abang Sufian punya pasal. Erm…..erm…..Qad….erm….dia akan tinggal kat sini…..tap….” Belum sempat Tina menghabiskan kata-katanya Min mencelah.


“What?!” Min terkejut.


“ Akak tak boleh buat apa-apa. Ayah dan umi pun dah setuju. Min terus tinggal sini erk, kesian dekat Raykal….”

“Ya Allah kak….takkan Min nak Tinggal dengan orang yang Min ben….” Min tidak jadi meneruskan kata-katanya.


“Orang yang Min apa?


Apa aku nak jawab ni. “Orang yang Min…tak….tak kenal. Dah tu lelaki pulak. Kalau dia buat tak senonoh dekat Min macam mana?” Kata Min bersungguh-sungguh.



Kata-kata Min termakan juga oleh Tina. Dia turut risaukan perkara yang sama. Namun jaminan yang telah dibuat oleh suaminya sedikit melegakan hatinya. Lagipun dia yakin Luth Qadri adalah lelaki yang baik dan tidak akan tergamak melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Ayah dah umi pasti akan menjaga Min.



“ Min tak payah risaulah, abang dah janji Qad guna bilik bawah. Jadi dia jauh dari Min. Kamu bukan satu ruang dengan dia. Ayah dan Umi kan ada. Mak Cik Zah pun ada jugak. Min jangan mungkir janji ya?”
Min menekurkan pandangannya ke lantai. Dia serba salah. Rasa seperti tidak sanggup untuk bertahan selama dua bulan menghadap lelaki itu. Perasaan kakaknya juga perlu dijaga. Mukanya diraup.



“Min jaga Raykal.” Kata Min perlahan. Tina tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya. Lantas tubuh Min dirangkul.


“Thanks.” Ucap Tina di telinga Min. Lega hatinya dengan persetujuaan itu. Dapatlah dia berangkat ke Australia dengan tenang nanti.


Untuk versi penuh dapatkan novel Kau Dan Aku di kedai-kedai buku berhampiran anda. Boleh juga layari www.p2u.my untuk pembelian secara online.

2 comments :

  1. macam mana nak tinggal sama dgn org yg kita benci ... makain menarik cerita ni ...

    ReplyDelete
  2. napa min bnci eh sma qad?

    ReplyDelete