U n Uols

Saturday, November 26, 2011

Anggunkah Aku Prolog

Seluruh ruang bilik bergelap. Sengaja dibiarkan tidak berlampu. Hanya cahaya dari luar yang tidak segan-segan mencuri masuk melalui tingkap yang tidak bertutup.
Dalam kegelapan itu, sesusuk tubuh berteleku di birai katil. Pemilik kepada ruang bilik yang besar dan mewah ini. Sendu dan sayu menghiasi seraut wajahnya. Tergambar rahsia hati yang selama ini tersimpan rapi. Tersorok daripada pandangan umum.
Ketukkan bertalu-talu di pintu dibiarkan sahaja. Tubuh dibaring kasar ke tilam. Bantal ditarik. Menekup kedua-dua belah telinga. Ketukkan yang diiringi pertanyaan itu hanya menambahkan kekalutan yang sedang melanda diri. Dia tak ingin berjumpa atau bercakap dengan sesiapa. Sekurang-kurangnya untuk waktu ini.
“Tolonglah pergi!” Menjerit dari sebalik bantal.
“Anggun tak nak jumpa sesiapa!”
“Anggun? Buka pintu ni sayang…” Suara dari luar memujuk lembut.
“Jangan ganggu Anggun!” Arahnya dengan nada serak. Sebak dalam dada kerana menahan kesedihan. Khabar yang baru diterima bagaikan telah mencabut nyawanya. Tidak pernah terlintas di fikirannya perkara ini akan terjadi.
“Anggun….dengar apa Papa nak…”
“Tolonglah…..pergi. Pergi, jangan ganggu Anggun…tolonglah..” Tiada lagi jeritan. Suara yang tadinya melengking kuat semakin mengendur. Merayu-rayu pula. Menandakan semangat diri yang mulai lemah.
“Papa pergi. Tapi janji ya sayang, jangan buat perkara yang bukan-bukan. Ingat Allah. Ishgtifar banyak-banyak. Jangan buat kami risau. Ingat walau apapun yang berlaku Anggun masih ada kami. Kami sayang Anggun.” Tangan yang sejak tadi mengetuk daun pintu perlahan-lahan dijatuhkan.
“Nak biar Anggun macam tu?” Riak risau terukir di wajah wanita pertengahan abad.
“Biar dia bertenang…saya tahu dia tak akan buat perkara yang bukan-bukan. Saya yang besarkan dia.”
“Tapi…..” Wanita pertengahan usia 50-an itu nyata masih belum yakin.
“Dia okay..”                           
“Semua ni salah saya, saya yang tak pandai didik anak, sebab tu dia berani timbulkan masalah pada saat-saat macam ni. Maafkan saya bang.” sambung wanita itu lagi.
“Jangan cakap macam tu Sufiah. Abang tau awak dah lakukan yang terbaik. Anak-anak bila dah dewasa, mereka berada di luar kawalan kita. Tapi kalau nak mencari juga orang yang bersalah, abang….abang orang pertama yang patut disalahkan.” Lelaki bernama Azman sebak. Cermin mata ditanggalkan. Melurut kelopak mata yang mula digenangi airmata.
“Dahlah Azman, tak payah kita cari salah siapa. Yang penting sekarang Anggun. Kita sama-sama cari anak Sufiah.” Celah Tok Wan bapa saudara Azman.
“Bagi pihak anak saya, saya minta maaf kepada semua…” Tutur Sufiah lagi. Benar-benar kesal dengan tindakan yang dilakukan anaknya. Dia tidak pernah mengajar anak lelakinya itu supaya menjadi lelaki yang tidak bertanggungjawab. Apatah lagi bermain dengan maruah. Maruah Anggun bermakna maruah keluarga mereka juga....

Setengah jam berlalu. Bunyi ketukkan sudah tiada. Bantal yang ditekap ke telinga dibuang ke tepi. Menongkat tangan ke tilam untuk bangkit dari pembaringan.
Ruang bilik yang terhias cantik tidak berjaya menceriakan dirinya. Cantik terhias sebagaimana selayaknya untuk raja sehari. Hantaran pernikahan yang digubah dengan gaya penuh elegen tersusun kemas di lantai beralaskan permaidani merah. Masih jelas terbayang di ruang mata gelagat pengantin lelaki ketika membeli hantaran perkahwinan mereka tempoh hari. Jelas riak teruja terpapar di wajah.
Tiada guna lagi semua ini! Hanya menambahkan kepiluan apabila pandangan matanya terhala ke situ. Dia tidak akan berpeluang lagi bergelar pegantin. Orang yang sepatutnya memperisterikan dia tidak lagi sudi meneruskan majlis. Pergi entah ke mana…
Bangkit dari katil. Menghampiri hantaran yang bersusun. Salah satu hantaran hampir sahaja ditepisnya. Namun akal warasnya tiba-tiba mematikan tindakan bodoh itu. Barang-barang ini tidak salah. Malahan tiada sebesar kuman pun kesalahan yang dilakukan. Dia yang salah. Semua yang berlaku berpunca daripada dirinya sendiri.
Menapak kembali ke pembaringan. Melabuh di hujungnya. Baju pengantin yang ditaburi batu-batu yang berkilau terdampar sepi di katil. Dipandang lama. Teragak-agak jari-jemarinya menyentuh hujung baju yang berona putih itu. Warna yang suci. Melambangkan kesucian sebuah ikatan pernikahan. Tapi sucikah cintanya sehingga pengantin lelaki tidak lagi sudi meneruskan majlis pernikahan mereka? Mengkhabarkan perpisahan di saat akhir.
Cinta? Mungkin tidak pernah wujud rasa itu dalam hatinya? Tidak! Tidak! Rasa itu wujud dalam hatinya. Perasaan cinta, kasih dan sayang yang wujud itu tak lain tak bukan adalah buat bakal suaminya. Bakal suami yang tak lagi sudi meneruskan pernikahan ini. Walaupun tidak pernah dinyatakan atau diperlihatkan secara jujur kepada sesiapa. Jauh di lubuk hati, rasa itu sebenarnya mengalir tanpa henti. Tidak pernah surut!  
Pada pandangan orang, dia seorang Anggun yang keras jiwanya. Bagaikan seorang yang tidak berperasaan. Terlalu ego!
Semua itu dulu, sekarang dia telah bertekad untuk melupakan semua cabaran yang pernah diutarakan. Bertekad untuk mengikhlaskan hati bergelar seorang isteri. Ingin kembali menjadi Anggun, Nur Anggun yang telah lama hilang.
Di saat dia ingin berubah, niat serong yang pernah menghuni sampai juga kepada si bakal suami. Perbuatan salahnya telah membuatkan lelaki itu pergi daripadanya. Beginikah kesudahan cintanya?
“Mana awak? Maafkan……maafkan saya…. Saya sedar semua ini salah saya. Salah saya. Awak, baliklah….” Suara rintihan Anggun memecah sunyi bilik pengantin. Air mata yang ditahan sejak tadi turun juga. Dirinya dan seluruh keluarga bakal mendapat malu. Ah! Semuanya gara-gara kesilapan sendiri. Tersilap dalam membuat perhitungan….
Sangkanya, dirinya kuat. Mampu berhadapan dengan apa sahaja cabaran yang datang. Kental. Tidak lut dek panahan cinta mana-mana lelaki. Rupanya dia salah. Hatinya berjaya dicairkan. Pada tika dia nekad untuk berubah, kenapa lelaki itu pergi? Kenapa pada ketika dia mulai menikmati sebuah kebahagian?
“Awak baliklah..” Merintih hiba bersama deraian airmata.
“Awak.…saya….saya..” Baju pengantinnya dibawa ke dada. Didakap erat.
“Saya….saya benar-benar sayangkan awak. Sayang ikhlas sayangkan awak. Cinta saya bukan lakonan….perasaan ini bukan pura-pura.” Luahnya sendiri. Menjawab soalan yang pernah dilontar bakal suami. Tapi sayang luahannya tidak didengari oleh orang yang sepatutnya. Diresap oleh dinding batu.
“Awak baliklah….saya rela ucap pengakuan ini walaupun sejuta kali. Baliklah….” Rayuannya semakin menjadi-jadi. Tubuh direbahkankan ke tilam. Tidak berdaya lagi menampung diri sendiri yang terasa lemah longlai. Merengkok kesedihan. Melepaskan esak tangis tanpa rasa malu….
“Awak…maafkan saya….maafkan saya…” Tanpa henti bibir menuturkan kata-kata maaf.
“Beri saya satu peluang..” Ungkapnya.

“Baliklah…..kita betulkan keadaan ni. Semua salah faham ni..” Rintihan, tangisan dan esakan Anggun terus-terusan memenuhi kamar pengantinnya….merayu kepulangan lelaki yang sepatutnya bergelar suaminya.
Serentak itu benak menyingkap kembali pertemuan antaranya dan lelaki itu. Pertemuan yang telah membuka ruang kepada perhubungan mereka..

7 comments :

  1. alamak..xsabar nak baca sambungan!

    ReplyDelete
  2. nurf..
    cpt smbg...
    xsabar nk bce ni..
    otak da pk mcm2 da ni.....

    ReplyDelete
  3. eksaited giler. Tak blh klau cam ni.....

    ReplyDelete
  4. Seriously..menarik!!ditinggalkn di hari pernikahan kerana kesilapan diri sendiri yg dulunye dingin mcm edward cullen..tp pertnyaannye..adakah pengantin lelaki xjd itu adalah aduka or org laen??weee..xsaba utk nxt n3 =)
    N cik nurf,name2 tu hrpnye jgn la ditukar..aduka n anggun..ok what..klassik!hehe

    ReplyDelete
  5. 2 nama yang menarik.....
    cerita mesti menari juga kan...

    ReplyDelete
  6. nama yg unik dan sy rasa jln cerita dia tentu best?!!!!!!!!!!!

    ReplyDelete
  7. Akak penulis..dah lama tnggu novel ni...sobsob..ke dh ad dkt kdai???

    ReplyDelete