U n Uols

Saturday, September 14, 2013

SI PENGEJAR CINTA BAB 5

“BETUL ke apa yang aku dengar??” Ami menyerbu Dena tanpa ucapan salam.  Termengah-mengah menarik nafas berserta raut kerisauan. Dia bergegas ke tempat Dena sebaik menerima berita. Tidak sabar untuk mengetahui kebenaran di sebalik khabar yang bertebaran di segenap sudut hotel ini. Adenalis lempang orang! Ke manakah hilangnya slogan 'customer always right' yang diamalkan Dena selama berkhidmat?
“Apa yang betul?” Balas Dena kembali dengan suara yang tenggelam timbul.
“Pasal kau lawan gaduh...belasah tetamu?” Tambah Ami berdasar cerita-cerita yang didengari daripada kakitangan-kakitangan lain. Mahu percaya, tetapi tidak boleh kerana rakan-rakan sekerjanya memang pakar dalam memutar belitkan cerita. Kisah yang sebesar kuman boleh betukar menjadi sebesar gajah!
 “Aku apa?!” Kepala tegak. Biji mata membulat. Suara yang tenggelam timbul jadi lantang. Melampau betul tuduhan yang dilemparkan. Pengkhabaran tentangnya bergaduh dengan tetamu tersebar luas di dalam bangunan hotel tanpa sekatan sebelum dia sempat membela diri. Aduhai....salah sendiri kerana mencipta kontroversi yang kini sedang sensasi. Kenapalah dia tak fikir panjang sebelum tapak tangan ni menyentuh pipi lelaki tu? Dan Adrus, kenapa lancar sangat mulut itu apabila berkata-kata? Nah! Penampar sulung daripadanya menjadi hadiah pertemuan kembali.
Maruah dihina sedemikian rupa, pasti sesiapa sahaja yang berada di tempatnya akan  jadi panas hati dan menggelegak. Dituduh dengan tuduhan berat dan keras. Kata-kata yang keluar dari mulut Adrus memang tidak dapat tidak mengundang amarah. Biarpun begitu, dia seorang yang agak penyabar semasa bertugas. Tidak diketahui mengapa kesabarannya terlalu rapuh hari ini, bertindak tanpa berfikir panjang. Letak kepala otak kat lutut ke Dena...? Bersedialah untuk menerima tindakan yang bakal dikenakan oleh pihak atasan nanti. Dia tidak rasa Adrus akan mendiamkan perkara ini. Potong jarilah kalau Adrus baik sangat dan bermurah hati nak buat pahala kebaikan...

“Kau belasah tetamu hotel. Dena kenapa boleh jadi macam tu? Kenapa tak fikir dulu sebelum bertindak?!” Ami kesal. Kedua-dua belah tangan sudah bertongkat tegak di meja Dena.
“Ya dan tidak!...” Dena mengiyakan, juga menidakkan dalam masa yang sama. Tangan naik mengurut pelipis. Sakit kepala memikirkan tindakan yang bakal diterima daripada pihak atasan. Kerana kelancaran mulut Adrus, reputasinya sebagai kakitangan berwibawa sudah tercalar.
“Ya? Tidak?”
“Ya, aku gaduh dengan tetamu. Aku lempang dia, bukan belasah!”
“Ya...Allah...” Ami tutup mulut dengan tapak tangan. Nyata terkejut. Baginya lempang atau belasah tiada bezanya. Apa yang dia tahu Dena bakal menerima tindakannya.
“Aku sebenarnya....aku tak ada niat nak lempang dia. Dia yang sengaja buat aku marah...”
“Orang atas dah panggil menghadap?” Nada Ami mulai kendur. Wajahnya masih serius.
“Belum...” Lemah Dena membalas. Mengenangkan bosnya Tuan Rafali, perasaan jadi tidak tenteram. Lelaki itu sangat tegas orangnya. Hal-hal yang melibatkan disiplin para pekerja sangat dititikberatkan. Jika sewaktu kemarahan sedang memuncak tadi dia terbayangkan wajah bos itu, pasti otak ni berfikir 100 kali sebelum telapak tangan dihanyun ke pipi Adrus. Apa nasib yang bakal diterima nanti...
“Hmm...” Tiba-tiba bibir Ami tersungkil senyum lucu. Dena kalih pandang ke wajah Ami. Entah apa yang mencuit hati, Dena sendiri tidak tahu.
“Siapa yang 'bertuah' sangat merasa tapak tangan kau? Buruk perangai betul orang tu sampai buat kawan aku yang selalu tenang hilang sabar?” Kening terjungkit.Pinggung dilabuhkan ke kerusi di hadapan meja kerja Dena.
Dena kerling Ami sekilas. Dalam keadaan ini Ami masih sempat berseloroh? Tadi seriusnya mengalahkan tuan bos. “Kau ingat ni kes gurauan?” Jengkel.
“Tak! Tak...Aku cuma teringin nak tahu...diorang kat bawah tadi tak cakap pula siapa yang kena...”
Mengeluh. Diam lagi. Berat benar untuk menuturkan sebaris nama yang telah membuat hatinya jadi panas. Sakit dan pedih sekurang-kurang untuk hari ini. Tahukah Adrus selama ini dia juga kecewa? Kekecewaan yang ditanggungnya melebihi apa yang dirasakan lelaki itu.
“Cakaplah...” Mendesak. Lengan Dena dicuit.
Dena mengeluh. Rambut yang jatuh ke dahi diselak. Mata singgah lagi ke wajah Ami yang kelihatan benar-benar ingin tahu.
“Adrus...”
Sekali lagi Ami terpaksa menutup mulut dengan tapak tangan. Bukankah selama ini Dena menunggu dan menanti kepulangan Adrus? Menanti waktu untuk bersua kembali? Tapi kenapa apabila peluang itu tiba, kejadian yang tidak terduga ini yang terjadi? Cara Dena menyambut orang yang dirindui memang lain daripada yang lain!
“Apa...apa...kenapa korang...aku ingat kau akan gembira sebab dapat jumpa dia...”
“Ami...selama enam  tahun ni, aku seorang sahaja yang ternantikan dia. Dia tak! Dia bencikan aku Ami... Benci sangat-sangat. Bukan sekadar benci, dia anggap aku perempuan murah...”
“Kenapa dia cakap kau macam tu? Otak dia dah tak betul sebab dah lama kat tempat orang ke?”
“Perkara lama tu...dia tak lupakan lagi. Adrus berdendam!”
“Oh!”
“Dia dah berubah. Berubah sangat... Dia seperti Adrus yang tak ada perasaan... Penjelasan aku dulu agaknya dia anggap macam sampah. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.” 
“Kau sabar ye...”
“Sabar?...” Adenalis ketawa pahit. “Kalau tak sabar aku karete je hidup-hidup....” Menyapu hujung mata yang bertakung. Dia sedikit emosi.
Ami senyum kecil. Dena mampu ketawa. Bermakna gadis masih baik-baik sahaja. Lari daripada jangkaannya.
“Dan kalaulah dia sedar kenapa kau buat dia macam tu dulu...pasti dia tak akan benci kau kan?”
Sekali lagi Dena ketawa. Ketawa sumbang. “Aku sendiri yang rela nak buat macam tu... Takkan aku nak biarkan aje dia sia-siakan hidup kerana cinta..” Berkata datar.
“Kau macam tulah, rela...rela. Lepas tu orang bencikan kau. Dah dibenci, siap dihina lagi. Jantan tu pun satu, masa bercinta sayang mati-mati. Bila dah benci, benci mati-mati juga! Sepatutnya datang ucap terima kasih.” Luahan tidak puas hati.
“Habis hidup kau  sia-sia tak apa? Selama ni kau tunggu dia kan? Umpama tunggu buah yang takkan gugur...” Sambung Ami.
“Kau ni Mi...tak payah marah-marah. Aku dahlah tengah serabut. Jangan tambah lagi boleh...”
“Aku bukan marah...”
“Ya, kau tak marah. Perasaan terjentik je kan...”
“Suka hati kaulah. Di pihak aku, aku akan tetap doakan kau lupakan lelaki tak guna tu dan bukakan pintu hati kau untuk Ikmal. Confirm tak kebulur sebab Ikmal pandai masak!” Berjenaka di hujung kata-kata.
“Aku pun terror masak!”
“Yelah, Dena. Eh...Kenapa Tuan Rafali tak panggil kau menghadap lagi hah? Selalunya cepat aje. Ke lelaki tu dah tutup kes...?” Musykil.
“Adrus ke? Potong jarilah kalau dia akan lepaskan aku macam tu lepas pipi dia kena lempang…” Kepala tergeleng-geleng menidakkan telahan Ami. Tepat sewaktu mata terhala ke pintu masuk pejabat, dia terpandang seseorang sedang tercegat di situ. Tergamam. Tidak terkata apa-apa. Nafas panjang dihela. Cuba untuk bertenang dengan kemunculan tetamu yang tidak diundang.
“Awak boleh potong jari sekarang!”
Dena telan liur, mata tak berkelip. Ami segera berpaling ke pintu pejabat.
“Ke nak saya yang potongkan? Jari yang mana? Jari manis, jari hantu atau jari kelengking?”
“Apa awak buat kat sini?” Bangun tercegat apabila dapat mengawal kejutan.
“Saya dah uruskan tentang kejadian yang berlaku dengan Tuan Rafali. Saya lepaskan awak kali ni. Jari...jari mana yang awak nak korbankan?”
“Apa maksud awak?”
“Lain kali kalau nak bercakap pandang-pandang. Kan dah makan diri....” Menyindir. Renungan tajan tepat ke wajah Dena.
“Err, excuse me sir, Dena... Saya keluar dulu ya.” Berpaling kepada Dena.
“Hmm...nak aku panggilkan Ikmal datang ?” Berkata perlahan hanya untuk pendengaran gadis itu. Kehadirannya sebagai orang ketiga dirasakan seperti menganggu mereka berdua. Tambahan lagi dia gerun melihat wajah masam tetamu Dena. Aura ketengangan berbahang-bahang di antara kedua-duanya.
“Tak. Jangan. Aku boleh uruskan sendiri.” Menolak
“Kau pasti ke?” Masih berbisik.
Angguk. Ami juga menganggukkan kepala tanda faham. Dia keluar dari pejabat tanpa berlengah.Walaupun begitu, dia tak lepas tangan. Ikmal tetap dihubungi tanpa menghiraukan larangan Dena.
Sepemergian Ami, ruang pejabat diisi sepi. Adrus lebih senang melemparkan pandangan seorang pemburu yang bakal menembak mangsa. Dena pula sedang menyusun kata agar keadaan tegang itu dapat diredakan. Kisah mereka belum berakhir. Bab baru perlu dimulakan agar kisah ini tiba ke penamatnya.
“Saya minta maaf atas apa yang berlaku dan terima kasih sebab tak besarkan kes ini.” Tutur Dena.
“Maaf? Terima kasih?” Adrus gelak sinis. Berjalan menghampiri meja Dena. Tanpa dijemput dia duduk melabuhkan punggung ke kerusi. Habis ketawa sinisnya, Adrus mendengus kasar. Wajah kembali serius dan tegang.
“Saya tak lakukan ini saja-saja, Dena!” Merenung Dena tajam.
“Apa maksud awak, Adrus?” Pandangan Adrus ditentang.
“Awak dah jatuhkan maruah saya sebagai lelaki. Dulu dan hari ini! Awak fikir saya akan rasa seronok dan bergembira untuk mengiyakan kepada semua orang bahawa saya disepak seorang perempuan murah?! Tak habis-habis awak bermain dengan maruah saya.”
“Hal tadi, awak yang mulakan dulu, Adrus.” Terlupa dengan niat untuk berdamai.
“Saya? Bukan awak, Dena?! Bukan awak yang mulakan sejak bertahun-tahun lepas?”
Nafas dihela. Tiada guna dia melayan kebencian Adrus. Api yang marak seeloknya disirami dengan dengan air.
I'm sorry... Untuk kesalahan saya yang dulu dan hari ini.” Ikhlas.
“Maaf lagi? Kesalahan awak yang dulu dan hari ini bukan kesalahan kecil, Dena. Ini soal maruah saya! Untuk kesalahan hari ini saya boleh buat report polis dan saman awak! Saya juga boleh buat awak dibuang kerja bila-bila masa saja. Dan, dengan reputasi buruk tu, awak rasa syarikat lain nak ke terima awak? Saya boleh tabur pasir dalam periuk nasi awak, tau.”
“Jadi...kenapa awak tolong saya?” Buntu dengan Adrus.
“Sebab yang lainnya, saya nak awak bawa hutang budi ni sampai mati! Hidup atas jasa saya setelah apa yang awak dah lakukan pada saya! Awak akan terburu dengan rasa bersalah dan terhutang budi kepada saya sehingga ke akhir hayat....”
Mengigit bibir. “Saya akan balas  jasa baik awak. Sekurang-kurangnya saya tak payah bawa jasa tu sampai mati.”
“Balas dengan cara apa, Dena? Awak berduit ke? Berapa, berapa yang awak mampu tawarkan? Atau awak nak bayar dengan....” Pandangan meliar ke atas  Dena. Menyampaikan maksud yang tidak diungkap dengan kata-kata.
“Saya tak berminat dengaan perkara haram...” Menyambung sinis.
Adenalis jegil mata. Tak pernah terlintas Adrus akan fikir sampai ke situ. “Awak fikir saya perempuan apa hah?!” Suara dah meninggi. Kesabaran teruji lagi.
Jungkit bahu. Tiada rasa bersalah yang menyinggah kerana membuat telahan melampau kepada Adenalis.
“Saya akan berkhidmat kepada awak selama awak menginap di hotel ini.”
“Itu? Itu je? Awak memang dibayar untuk itu. Buang masa...”
Fine! Saya sedia berkhidmat kepada awak pada bila-bila masa yang awak perlukan! Dan buat apa sahaja mengikut kemahuan awak!”
Adrus kecilkan mata. “Bila-bila masa?  Buat apa saja?” Tawaran Dena kali ini agak menarik.
“Ya! Bila-bila masa dan buat apa sahaja.”
“Jangan menyesal. Saya pegang 'bila-bila masa itu'. Awak yang membuat janji, jadi pandai-pandai tunaikan, atau tak tahulah kalau awak sanggup bawa hutang budi saya sampai mati...ataupun sanggup potong jari?”
“Saya pegang janji!”
“Saya tak setuju, Dena!” Ikmal datang membantah. Seorang lagi tetamu yang tidak diundang menampakkan wajah. Datangnya sebagai hero pembela. Mencelah tanpa izin.
Adrus berpaling ke belakang. Siapa pula yang berani masuk campur urusan di antara dia dan Dena? Menyampuk dengan tiba-tiba sahaja. Berdasarkan uniform yang tersarung, dia tahu lelaki itu seorang tukang masak. Mungkin rakan sekerja Dena.
“Kenapa budak tukang masak yang tak ada kena mengena dengan kes ini perlu masuk campur?” Menyoal dengan soalan pedas.  Perkataan ‘budak tukang masak’ ditekan dalam.
“Ada kena mengena! Saya kawan Dena”
“Huh!” Adrus mendengus.
 “Apa masalah Encik?”
Pathetic guy...” Ayat mencakar perasaan dilemparkan Adrus. Dituturkan dengan wajah selamba seperti minta disepak untuk kali keduanya.
“Tak ada apa yang perlu disedihkan kalau ada Dena sebagai kawan. Dia gadis yang baik. Sayalah lelaki yang paling beruntung kerana menjadi kawan dia.” Ujar Ikmal memandang Adenalis. Gadis itu mengalihkan pandang.
“Bertuah atau sebenarnya malang?” Mengeleng kepala. Tangan ligat memutarkan pen yang disambar dari bekas berbentuk silinder. Senyum sinis ditarik. Tukang masak yang bakal menjadi mangsa Dena...
“Ikmal.... I boleh selesaikan sendiri masalah ni. Awak..tolong jangan campur, okey...” Meminta lembut sebelum Ikmal membuka mulut lagi.
“Dena...” Ikmal cuba bantah.
“I tahu apa yang I buat...”
“Awak dah dengar apa yang dia cakap? Jadi jangan masuk campur hal ni!” Ujar Adrus lantas bangun. Pen ditangan dicampak kasar ke meja sebelum berlalu pergi dari pejabat itu. Tidak boleh lagi berlama-lama di ruangan itu kerana perasaannya yang semacam. Matlamat asal seakan lari. Tekad untuk menyakitkan Dena tidak menjadi. Dia terperangkap dengan sisa-sisa perasaan lama.
Adenalis hanya menghantar pemergian Adrus dengan pandangan. Ikmal pula dengan kesangsian yang menebal.
“Dena, apa awak buat ni? Siapa dia sampai awak buat semua ni?” Aju Ikmal tak senang. Kerutan berlipat-lipat di dahi. Dia sangsi dengan lelaki tadi.
Adenalis senyum tawar. “Dia tetamu hotel kita....dan..” Dia pernah menjadi pengejar cinta saya, balasnya dalam hati.


4 comments :