U n Uols

Saturday, March 31, 2012

Bab 6: Hati Bertanya Siapa Kamu

Hanyunan langkah yang tadinya perlahan dilajukan seboleh mungkin. Kepala asyik menunduk ke bumi. Memandang ke kanan dan kiri juga tidak. Perkara yang sedang bermain di fikiran pada ketika dan waktu ini ialah menyembunyikan diri daripada dilihat oleh perempuan berblaus. Perempuan itu berada di seberang jalan sana. Sedang cuba untuk melintas. Fuh! Fuh! Pandang tempat lain, jangan pandang sini.

Sudahlah sepanjang minggu sejak ditimpa kemalangan, hari-harinya terganggu dengan kehadiran jejaka bernama Gibran. Muncul di hadapan rumah sewanya saban waktu. Ada ketikanya pagi, lewat petang dan malam. Dihalau dan dimarah, namun masih kental menayang wajah di muka pintu. Setiap kali datang pasti bersama buah tangan.

Sehinggakan Che Peah telah membuat pengumuman bahawa dia bercuti sementara sebagai tukang masak di rumah itu. Intan pula berubah fikiran, daripada memberi ingatan kepada memberikan sokongan moral yang jitu. Rajin benar gadis itu mendesaknya agar meyambut huluran persahabatan Gibran. Katanya, berkawan tak salah asal tahu batasnya. Ceh! Disogok dengan sedikit kebaikan dah termakan kawannya itu. Tak ada pendirian. Macam lalang! Angin tiup belah sini, melambai arah sini. Angin tiup belah sana melambai arah sana.

Hari ini dia terserempak pula dengan perempuan ini?!

“ Akak!” Perempuan ni dapat lintas jalan yang sibuk tu? Teruklah. Keluh Dayang dalam hati. Masih tetap berjalan pantas untuk melarikan diri. Mujur kaki yang sakit semakin pulih. Selagi ada peluang, jangan dilepaskan!

“ Akak!” Mempercepatkan lagi langkah. Perempuan ni tak mengajar ke tengah-tengah minggu ni? Ada masa pula merayau-rayau waktu pagi nak masuk ke tengahari ni. Waktu rehat kot? Rehat? Mengajar dekat Kedah, berjalan-jalan pada waktu rehat dekat KL? Gila ke apa?!

“ Inara!” Masih tidak dihiraukan.

“ Dayangku Inara!” Perempuan berblaus memanggil-manggil Dayang. Turut sama mempercepatkan langkah untuk menyaingi Dayangku Inara. Langkah laju bertukar kepada berlari-lari anak. Berharap dapat mengejar Dayangku Inara yang mendahului beberapa tapak sahaja di hadapan.

“ Akak! Kalau kau anggap aku saudara kau, kau berhenti.” Mengugut.

Berhenti menapak serta-merta. Dayangku Inara terpacak tegak sebagaimana tiang lampu di hadapan. Menunggu perempuan yang mengaku saudaranya datang rapat. Ugut-ugut putus saudara pula, tak aci betul!

“ Assalamualaikum cikgu….tak mengajar hari ni?” Dayang menyapa. Senyum manis dilayangkan buat saudara yang merenungnya tegang.

“ Apa yang berlaku sebenarnya ni? Heboh saudara-mara kita bercerita pasal kau. Kenapa kau lari masa majlis dulu? Aku pun kau tak contact…” Atirah membuka mulut bertanya. Di hujung kata-katanya diluahkan rasa tidak puas hati dengan sikap Dayangku Inara.

“ Sebab…sebab….mak dan ayah nikahkan aku dengan lelaki tua. Tok janggut! Aku lari sebab tak dapat terima semua tu. Aku tak berani nak contact sesiapa…..” Luah Dayang.

“ Kau biar betul! Sebab tu kau lari? Anak orang kaya tu muda belia…..mana ada tua. Berjanggut segala! Aku tahulah…” Atirah menolak dakwaan Dayang.

“ Kau tak percaya sudah…” Dayang menyuakan cawan kopi ke mulut.

Aku tetap tak percaya!”

“ Kau mana tahu…masa aku nikah hari tu, kau tak balik.”

“ Walaupun aku tak balik, tapi aku tahu jugak…aku bukan saja-saja tak tak nak balik. Dah kau nikah tengah-tengah minggu, aku kan mengajar. Suami aku kerja. Mana boleh cuti sesuka hati. Kalau mengajar dekat-dekat sini tak apa lagi. Ini aku mengajar dekat Kedah nun. Ikut aku mengeletar tubuh badan nak balik tengok kau nikah, sepupu aku yang paling rapat. Sekarang, bila fikir balik, syukur sangat aku tak balik….”

“ Kenapa?”

“ Kalau tak, dengan aku—aku sekali tanggung malu sebab kau lari kak…kalau aku ada sama dalam majlis, sungguh, malu nak mengaku saudara!”

“ Benci kau ni…” Dengus Dayang.

“ Serius kak aku cakap, anak orang ternama tu muda belia. Kami satu sekolah dulu. Tampan orangnya…kenapa boleh jadi orang lain…” Atirah hairan sendiri.

“ Kau terus terang aje Atirah….cakap benda yang betul. Tak payah nak tipu-tipu. Kau dengan mak ayah aku pun sama…”

“ Aku cakap betullah! Tak tahu nak cakap apa lagi. Ntah Dengan siapa kau kena nikah sebenarnya kak….”

“ Dengan tok janggut tulah! Tua dah!”

“ Kau salah orang tak?” Atirah bertanya. Berdasarkan maklumat yang diperolehi sebelum majlis ini, Dayangku Inara bakal bernikah dengan anak orang ternama. Dia kenal lelaki itu. Malangnya lelaki itu tidak mengenalinya….nasiblah…

“ Betul!”

“ Ada gambar tak aku nak tengok…”

“ Tak ada….”

“ Gila orang ni!”

“ Siapa?”

“ Kaulah kak!”

“ Kenapa?” Hairan.

“ Gambar suami sendiri, takkan tak ada?”

“ Atirah….kalau aku nikah dengan kekasih hati yang dicintai tu lain, ini aku nikah sebab ayah dengan mak yang berkenan dengan dia. Tak pelik kalau aku tak ada gambar dia. Kau kan dah pergi rumah mak aku, tak tengok gambar dekat sana?”

“ Satu haram gambar yang perfect pun tak ada. Mak kau cakap, semua orang dah kelam-kabut sebab kau pengsan. Cameraman amatur dapat snap dari belakang je. Lepas tu dorang terkejut kau pengsan, lupa nak snap gambar pengantin lelaki lagi. Gambar kau terbungkam pengsan ada laa. Mak kau cakap, cameraman yang diupah je snap gambar laki kau banyak-banyak…tapi….semua gambar tu dalam tangan laki kau…”

“ Ada ke, tak ada ke…aku tak kisah..” Tanpa perasaan Dayang membalas.

“ Dulu….kau setuju kenapa?”

“ Sebab ayah cakap, kalau aku tolak, aku bukan anak dia….”

“ Kau lari macam ni, kau ingat ayah kau mengaku kau anak ke?”

“ Ntah…tapi, aku tak pernah dengar ayah cakap dia tak mengaku anak kalau aku lari…”

“ Tentulah tak pernah dengar! Sejak lari dari majlis dulu kau tak pernah call diorang…apasal aku ada sepupu otak tiga suku…aku tak tahulah macam mana kau boleh tersesat belajar sampai dapat degree…”

“ Sesedap rasa kau mengata aku ya? Kebijaksanaan aku jangan dipertikai! Pantang! Kau cakap senang…cuba kau kat tempat aku…apa kau rasa bila terpaksa melakukan sesuatu yang kita tak suka.” Diam. Menekur pandang ke meja.

“ Kau tak percayakan aku, kau tak tanya mak aku? Mak kau?” Aju Dayang.

“ Aku pun tak berani nak tanya pasal kau lebih-lebih. Mak aku dengan mak kau sama je. Babah aku lagilah. Bila sebut pasal kau lebih-lebih, diorang mula tukar topik. Marah dengan kaulah agaknya…” Terang Atirah.

“ Cuba tanya Azie…dia kan pengapit aku…tentu kau akan percaya apa yang aku cakap lepas dengar cerita Azie nanti…”

“ Dah tanya.”

“ Apa dia cakap?"

“ Lagi gila versi cerita Azie daripada versi kau. Orang yang nikah dengan kau tu…berjanggut sampai lutut. Serabai..”

“ Hah! Kan aku dah cakap.” Semangat Dayang berkata kerana dakwaan itu disokong oleh kenyataan daripada orang lain juga.

“ Aku bukan apa..susah nak percaya cerita korang. Kau dengan Azie otaknya lebih kurang sama….”

“ Hei!” Marah Dayang. Sudah kali ke berapa Atirah mengutuk dirinya untuk hari ini. Jatuh martabat dirinya sebagai orang-orang bijak pandai!

“ Apa nama anak orang ternama yang kau kenal tu?” Soal Dayang. Terasa ingin tahu.

“ Boy….”

“ Boy? Memang tak. Nama suami aku lain…”

Atirah ketap bibir geram. Tidak kuasa untuk berkata apa. Bercakap dengan orang otak senget buat dia hilang kesabaran. Untuk menyebut nama sebenar si Boy juga dia sudah tiada hati. Apa oranglah…takkan tak boleh agak Boy tu bukan nama sebenar. Dayangku Inara…Dayangku Inara…malas aku nak campur. Lantak kau!

***************************************************************************

“ Betul Boy ada jumpa dia?”

“ Betul abah….”

“ Dia sihat?”

“ Erm…sebenarnya kurang sihat sikit. Dia terlibat dengan kemalangan.” Boy menjawab kesal. Kejadian yang menimpa gadis yang sedang dibicarakan tidak disorokkan daripada pengetahuan bapanya. Lebih baik dia menceritakan perkara sebenar.

“ Kemalangan? Kenapa tak bagitahu awal-awal? Dia di hospital mana? Abah nak melawat dia! Kita pergi sekarang Boy!”

“ Abah..abah….tenang. Tenang dulu.” Boy menghalang. “ Dia memang kemalangan, tapi tak cedera teruk. Cuma kaki yang terseliuh. Abah jangan risau…”

“ Mestilah risau. Ahli keluarga kita yang kemalangan, bukan orang lain. Habis tu Boy biarkan saja dia?”

“ Tak abah…..Boy dah buat apa-apa yang patut…”

“ Baguslah…” Lega.

“ Keluarga sebelah sana dah diberi tahu?” Kemudian menyoal lagi.

“ Dah abah. Diorang memang dah tahu…”

“ Tempat tinggal dia, keluarga sebelah sana dah tahu juga?”

“ Tentang tu…” Teragak-agak Boy membalas. Pada anggapannya, tindakan yang diambil bakal mendapat tentangan daripada si bapa.

“ Boy….” Menyeru nama si anak. Dia dapat menangkap sesuatu daripada riak yang ditunjukkan Boy.

“ Belum abah. Maksud Boy…orang lain tak tahu, hanya Idham saja yang diberitahu tentang itu…”

“ Kenapa?” Agak terkejut dengan apa yang didengari daripada mulut anaknya.

“ Biarlah abah….biar keadaan reda dulu….Boy bimbang kena desak nanti, entah mana lagi dia akan lari. Lagi susah. Kali ni jumpa, lain kali mungkin tak bernasib baik seperti ni…” Mengutarakan kebimbangan hatinya.

Mengangguk-angguk faham. Ada benarnya juga kata-kata anaknya itu. “ Buat apa yang patut Boy…tapi jangan lama-lama sangat. Abah dah tak sabar nak jumpa dia…” Gembira suara bapanya menuturkan hasrat hati. Penuh pengharapan.

Boy ikut tersenyum. “ Akan tiba harinya abah…”

Untuk versi penuh dapatkan novel Hati Bertanya Siapa Kamu di kedai-kedai buku berhampiran anda. Boleh juga layari http://www.karyaseni.my/ untuk pembelian secara online.

7 comments :

  1. suka..suka..hehe...

    ReplyDelete
  2. hurmmm... kalaupun suami dah tua takkan larikan diri.. ermm.. tak tahu apa nak cakap dah... pandai2ah hang bawak naaa dayangku inara

    ReplyDelete
  3. like like like!!!!!

    ReplyDelete
  4. dayang nih sengal giler.....kihkihh..msti makbapak dia ckp hubby die ensem sekali die tgk atuk....xbleh blah nk gelak.

    ReplyDelete
  5. suka sangat!!!.cepat sambung.. tak sabar nak tunggu lawak dayang ni

    ReplyDelete
  6. bertambah menarik cerita nih. sambung cepat2 ya.

    ReplyDelete