U n Uols

Thursday, March 03, 2011

KAU DAN AKU BAB 4

Berhati-hati Min keluarkan beg pakaian dari bonet kereta. Malam tadi baru dimulakan operasi mengemas apa yang patut untuk dibawa ke rumah Dato Ismail dan Datin Sheila. Itupun dengan mood endah tidak endah sahaja. Langsung tidak teruja. Bak kata orang, rela dalam keterpaksaan. Mulut pandai sangat memberi persetujuan, akhirnya diri yang perlu mengotakan janji. Terbit rasa kesian melihat wajah sugul Seri yang melambai-lambai ketika dia bertolak dari rumah mereka tadi. Terlebih emosional  mengalahkan orang terpaksa perpindah jauh beribu batu! 
Kedatangannya ke banglo mewah itu di sambut oleh Tina dan Datin Sheila. Tersenyum lebar Kak Tina kerana dia tidak memungkiri janji. Begitu juga Datin Sheila. Dato Ismail, suami kepada Datin Sheila dan Abang Sufian tidak pula kelihatan. Raykal mencelah di tengah-tengah nenek dan mamanya. Riuh dia memanggil Min.
“Chik Min dah datang! Chik Min dah datang!” Sorak Raykal. Terlompat-lompat.  Gembira dengan kehadirannya. Tangan dihulur untuk bersalaman. Sejuk hati Min dengan tingkah Raykal. Kepala anak buah kesayangannya itu diusap perlahan.
“Apa khabar auntie?” Sapa Min ketika bersalaman dengan Datin Sheila.
“Alhamdulillah sihat. Datang juga Min ke rumah ni.” Datin Sheila menyambut baik kedatangannya.
Min senyum. Datin Sheila memang selalu mengajaknya ke mari melalui Kak Tina. Tapi dia sahaja yang berasa segan. Ditolak dengan pelbagai alasan. Kali terakhir Min bertandang ke banglo mewah ini kira-kira setahun yang lepas, ketika meraikan majlis hari lahir Raykal. Selepas itu tiada lagi kunjungan lain.
“Mana boleh tak datang Umi, Min kan dah janji.” Sampuk Tina. Tangan dihulur kepada Min untuk bersalam. Bahu adiknya itu ditepuk perlahan. Menghargai pertolongan si adik. Ini yang buat dia sayang sangat dengan Min.  
“Bagi beg tu, akak tolong angkatkan. Bilik Min kat atas ya. Sebelah bilik Raykal. Okey tak?” Beg pakaian bertukar tangan. Diheret Tina masuk ke dalam rumah. Min menurut. Belum biasa dengan persekitaran banglo itu, hanya mengekor langkah tuan rumah. Memandai sendiri nanti, tersalah langkah.
“Akak ni buat susah-susah je. Tak kisahlah...mana-mana pun tak apa. Min tidur dalam bilik Raykal pun boleh.” Balas Min. Ini yang dia tak nak sangat, kehadirannya menyusahkan orang lain.
“Ish....Min ni, jarang-jarang datang rumah auntie mestilah auntie nak kamu selesa. Tak susah. Tak boleh tidur Min nanti kena kacau dengan Raykal kalau sebilik dengan dia.” Datin Sheila mencelah. Gembira sungguh dia dengan kedatangan Min. Lebih-lebih lagi untuk tinggal bersama mereka. Dia memang suka dengan Min dan dah dianggap seperti anak sendiri. Kalau dia punya seorang lagi anak lelaki dah lama dijodohkan dengan Min. Apakan daya anaknya cuma Sufian dan Sarah. Sarah  masih lagi belajar, menuntut di luar negara.
“Jom, akak tunjukkan bilik. Lepas tu kita turun makan.” Min membuntuti Tina mendaki anak-anak tangga ke tingkat atas. Sempat dia menjamu mata melihat ruang rumah yang dihias cantik. Mewah. Berpadanan dengan status si pemilik. 
“Akak dah hias bilik tu cantik-cantik. Harap Min suka.” Menoleh Min. Ceria nada Tina bercerita.
“Baik akak harap Min suka. Kalau tak suka, Min balik rumah Min. Raykal tinggal macam tu je…” Gurau Min. Dia berani bergurau begitu kerana Datin Sheila tiada bersama mereka. 
“Jangan macam tu, susahlah akak nanti.” Adu Tina dengan muka kesian. Min buat muka tak ada perasaan. Sedar Kak Tina mula nak berdrama lagi. Dah malas melayan drama air mata. Alih-alih dirinya yang terkorban.
“Abang Sufian mana kak? Dari tadi tak nampak.” Menjenguk ke ruang tamu yang lengkap dengan set televisyen di tingkat atas itu. Kosong, tiada sesiapa.
“Abang dengan ayah keluar main golf. Agenda hari minggu yang tak boleh ditinggalkan.  Keluar sejak pagi lagi. Kejap-kejap lagi baliklah dia orang tu. Jom masuk. Okey tak bilik ni?” Kata Tina sewaktu menguak pintu bilik.
Min terpegun. Hiasan bilik tersebut memikat hatinya. Patutlah kak Tina beria-ria sangat.  Memang cantik!
Not bad.”  Katanya menyembunyikan rasa suka. Tak boleh tunjuk sangat, nanti dari dua bulan bertambah ke tiga bulan. Sadis!
“Karang sikit baru kita masukkan pakaian Min dalam almari ya? Sekarang kita turun makan. Umi dah tunggu tu.” Min angguk. Melangkah beriringan dengan Kak Tina. Mereka turun ke tingkat bawah.
“Duduklah Min, auntie dah masak macam-macam ni. Sekejap lagi baliklah dia orang tu. Kita makan dulu.” Pelawa Datin Sheila. Agak-agak Min dia orang yang dimaksudkan itu adalah Abang sufian dan Datuk Ismail. Seperti kata Datin Sheila memang macam-macam hidangan terhidang di meja. Banyak sungguh. Meriah seperti hendak menyambut tetamu istimewa.
Min memilih untuk mengambil tempat duduk di hadapan Tina. Kerusi ditarik lalu dia melabuh duduk.
“Minum Min…” Pelawa Tina.
Min capai gelas minuman. Disua ke mulut. Belum pun sempat dia minum. Terdengar suara memberi salam dari arah ruang tamu. Kedengaran juga gelak ketawa Sufian dan Dato Ismail serta seorang lagi lelaki.
“Hah, dah balik dia orang tu.” Kata Datin Sheila. Senyum memekar di bibir. Dia bangun untuk menyambut suaminya, Dato Ismail.
“Adik Kak Tina dah sampai ke?” Soal seseorang. Bukan daripada Abang Sufian atau Datuk Ismail. Min hanya dapat mendengar suara orang yang bertanya. Wajah empunya diri tidak dapat dilihat kerana kedudukannya yang membelakangkan ruang tamu. Hati berdetak. Suara itu tidak kedengaran asing di telinganya.
“Dah sampai. Inilah orangnya. Mari sini Kak Tina kenalkan.” Celah Tina. Memanggil orang yang bertanya. 
Min berkerut dahi. Pendengaran seakan biasa dengan suara itu. Takkan dia? Hati mendesak supaya dia melihat pemilik suara yang bertanya. Min pusingkan badan ke belakang.
Saat bertemu pandang dengan pemilik suara itu, dia kaget. Kaku untuk berkata-kata. Begitu juga dengan lelaki di hadapannya. Namun, kekagetan lelaki itu cuma sesaat. Kemudian dia dilihat mengukir senyum perlahan-lahan. Senyum yang bertukar menjadi senyum lebar. Menandakan rasa hatinya waktu itu.
“Kenalkan ini Min. Min ini Luth Qadri, sepupu abang.” Sufian memperkenalkan mereka berdua.
Luth Qadri mendekat. Tidak membazir masa walau seminit. Dia hulurkan tangan untuk bersalaman. Min serba salah untuk menyambut huluran tangan daripada lelaki itu, sedangkan semua mata memandang mereka. Dengan berat hati, lambat-lambat dia mendongak. Posisinya yang sedang duduk dan lelaki itu yang sedang bersiri memaksanya mengangkat kepala. Pandangan mereka berlaga lagi. Kali ini dengan jarak lebih dekat. Sinar yang terpancar dari mata itu mengocak ketenangan.
Tangan Luth Qadri disambut juga. Dua tapak tangan bertaut erat. Lama tangannya dalam gengaman lelaki itu.
Cuba ditarik tangannya tapi tidak berjaya. Untuk berkeras tidak mungkin sama sekali.  Banyak mata yang sedang melihat sesi perkenalan mereka. Lantas dia mencuri jeling lelaki itu. Beramaran secara halus supaya tangannya dilepaskan. Tidak sanggup lagi memandang keluarga kakaknya. Malu dan segan sedang menghurunginya. Apalah anggapan mereka nanti. Lelaki ini tidak sedarkah mereka sedang berada dalam kalangan ramai. Dikelilingi keluarga mentua Kak Tina.
“Erm...erm....” Dehem Abang Sufian.
Mendengar deheman itu, tangannya dilepaskan. Min tertunduk segan. Luth Qadri cuma selamba. Masih dengan senyum simpulnya. Bahkan senyuman itu makin melebar. Menjadi-jadi. Sesi perkenalan yang nampaknya mengembirakan lelaki itu.
“Ehem…” Abang Sufian berdehem lagi. Kali ini nyata untuk mengusiknya.
Pada ketika itu Min tidak tahu bagaimana mahu bereaksi. Lidah juga seakan kelu untuk berkata-kata. Dia hilang suara.

 “Papa Qadri dah balik. Nanti kita main bola macam semalam ya?” Kata Raykal kepada Luth Qadri. Kehadiran Raykal tepat pada masanya, menyelamatkan keadaan. Kini semua menumpukan perhatian kepada anak kecil itu. Usikan abang Sufian terhenti setakat itu. Min menarik nafas lega. Biarpun kelegaan itu hanya untuk sementara. Apa lelaki itu buat di rumah ini. Soal hatinya......

Untuk versi penuh dapatkan novel Kau Dan Aku di kedai-kedai buku berhampiran anda. Boleh juga layari www.p2u.my untuk pembelian secara online.

2 comments :

  1. hero laa tuu. btw nama hero best habis *thumbs up

    ReplyDelete