U n Uols

Friday, December 02, 2011

Anggunkah Aku Bab 2

Bantal kecil yang yang menjadi penghiasan sofa dialih ke tepi. Melabuh duduk. Betul-betul di hadapan Tuan Azman, papanya. Kaki kiri disilangkan ke atas kaki kanan sebelum memulakan perbualan. Namun, kehadirannya bagaikan tidak disedari. Lantas, nafas dalam ditarik dan dihela geram.
“Hmm..hmm…” Anggun berdehem beberapa kali untuk menarik perhatian Tuan Azman yang sedang khusyuk membaca buku di tangan. Tidak betah lagi untuk bersabar.
Tuan Azman angkat kepala. Pandangannya terus kepada Anggun yang sedang duduk di hadapannya.
“Anggun nak cakap sikit…” Tutur Anggun datar.
Melihat reaksi Anggun yang nyata serius, buku di tangan ditutup rapat. Bila pula anak gadis yang seorang ini pernah menayangkan wajah penuh keceriaan di hadapannya? Menarik senyum di hujung bibir. Lalu buku yang menjadi tumpuannya sebentar tadi diletakkan ke meja sisi. Letak duduk cermin mata dibetulkan. Tumpuannya kini hanya pada Anggun.
Diam seketika. Hanya pandangan mata yang saling memancarkan bicara.
“Anggun nak cakap tentang perempuan tu…”
“Kenapa?” Pantas Tuan Azman menyoal. Daripada reaksi yang ditunjukkan Anggun sebelum ini, dia sudah dapat mengagak ada rasa tidak senang dalam hati anak ini. Pemergian Anggun selepas dia mengutarakan niat untuk membawa lebih jauh hubungannya dengan seorang wanita yang sedang dikenali menyatakan segalanya. Bukan sahaja dia yang dapat membaca tingkah laku itu, bahkan Nita, adiknya dan Sariman, suami Nita yang menjadi tetamu mereka malam pengumuman itu dilakukan.
Masih diingat kata-kata Nita apabila mengetahui Anggun meninggalkan makan malam mereka pada malam minggu yang lalu. ‘Abang Long kena kerja keras untuk pujuk Anggun. Dia takkan terima  hubungan itu dengan mudah. Percayalah. Walaupun Nita ni mak cik dia je., tapi Nita tau apa yang ada dalam kepala dia tu. Pengalaman lalu jadikan hati Anggun keras…
“Anggun tak akan pernah setuju dengan niat papa. Anggun tak suka papa ada hubungan dengan perempuan tu. Anggun bantah apa-apa kaitan Papa dengan dia.” Kata Anggun sedikit kuat. Biar papa tahu betapa dia bertegas dengan bantahan yang diutarakan ini.
Perlakuan Tuan Azman diperhatikan dengan ekor mata. Papanya dilihat menanggalkan cermin mata. Mengosok-gosok batang hidung dengan dua jari. Seketika kemudian mengenakan kembali cermin mata berbingkai hitam. Masih beriak tenang. Tidak terusik barangkali dengan bantahan dari anak gadisnya ini. Atau mungkin juga tidak pernah memberi sebarang kesan.
“Kita dah cukup bahagia hidup berdua papa.. Anggun tak percaya dia boleh buat Papa bahagia.” Suara Anggun mengendur.
Kenapa dia terlalu nekad menentang? Kerana pengalaman lalu yang mengajar. Pengalaman yang membuat dia serik! Arwah ibunya sendiri sanggup tinggalkan dia dan papa sebab nak cari kebebasan hidup. Buat hidup mereka berdua derita. Inikan pula orang asing yang Papa baru kenal. Dia tak nak Papa rasa apa yang mereka rasa berbelas tahun yang dulu sekali lagi. Derita ditinggalkan orang tersayang itu menyeksakan
“Kita belajar lupakan apa yang dah berlaku. Dah takdir semuanya jadi macam tu dekat kita. Cuma yang Papa nak sekarang ni Anggun terima kehadiran dia dengan ikhlas.....” Tutur Tuan Azman.
Ketap bibir. Geram dengan balasan Papa dia. “Takdir apanya? Papa yang cari pasal. Anggun tak sanggup tengok orang buat keluarga kita.”
“Apa salahnya beri dia peluang…” Balas Tuan Azman tenang.
“Soal macam ni.. mana boleh mudah-mudah bagi peluang. Hati tu bukan ada waranti!” Tegas Anggun.
“Ibu yang lahirkan Anggun sanggup tinggalkan Papa, inikan pula dia…. Papa dah ada Anggun dan Anggun ada Papa. Itu dah cukup untuk kita.” Merah wajahnya. Menahan perasaan. Dia dah tak percayakan sesiapa untuk mengantikan tempat ibunya.
 “Jangan sebab ibu seorang, kita hukum dan tak bagi peluang pada orang lain.”
“Tapi, dia dengan arwah ibu sama je. Tak ada beza. Bagi peluang… lepas tu hujungnya kita juga yang terkena. Kita yang tanggung sakit tu Papa.”
“Dah tu, Papa tunggu Anggun ada boyfriend tak juga ada. Kalau Papa carikan untuk Anggun, Anggun tak nak. Senangkan keadaan Papa cari untuk Papa sendiri.” Tuan Azman ketawa.
“Ish! Papa ni. Mana Papa tau Anggun tak ada boyfriend?”
“Habis tu.. Anggun dah ada boyfriend ke? Bila nak kahwin? Baguslah… Risau Papa bila Anggun cakap tak nak kahwin. Perkataan kahwin tak ada dalam kamus hidup hidup Anggun sebab serik tengok perkahwinan Papa dengan arwah ibu yang tak bahagia.” Tuan Azman sedar pergolakkan rumah tangga mereka banyak memberi kesan kepada Anggun. Dari seorang anak yang ceria Anggun jadi dingin dan banyak memendam perasaan.
Anggun jeling tajam. Tak suka dengan gurauan kasar Papanya. Nak balas dia tak ada modal. Memang betul dia yang katakana semua itu.
“Anggun…belajar jadi matang. Tak usah buat perangai budak-budak. Cubalah terima semuanya dengan hati terbuka… Insyaallah kita semua akan bahagia. Bila Anggun ada masa nanti Papa nak Anggun jumpa dia.”
“Jangan harap. Dalam mimpi pun Anggun tak nak jumpa dia!”
“Dalam mimpi pun tak apa, asalkan berjumpa. Papa tak kisah…” Balas Tuan Azman bersahaja.
Bangkit dari duduk. Tanpa mampu menunggu lebih lama, dia mencapai kunci kereta dan berlalu dari ruang dan situasi yang menyesakkan itu. Tiada guna rupanya membantah secara berdepan begitu! Meninggalkan Tuan Azman yang belum selesai dengan bicaranya.
“Anggun...” Cuba menahan Anggun yang berlalu. “Budak ni…” Tuan Azman hela nafas panjang.
“Kita nasihat dia.. Dia nasihatkan kita balik!” Bebelan Anggun kedengaran di luar rumah. Tuan Azman mengeleng perlahan sambil merenung jam di dinding. Malam-malam macam ni nak keluar ke mana lagi?
Sebentar kemudian susuk tubuh anak gadisnya muncul lagi di ruang tamu. Dia tarik nafas lega.
“Hah, tak jadi keluar? Baguslah, anak dara tak elok keluar malam.” Kedengaran Tuan Azman menegur.
Pijar kulit mukanya dengar teguran Tuan Azman. Dirasakan bagai memerli dirinya. Sabar sajalah. Tadi bukan main dia berlagak, alih-alih mukanya terjengul lagi di ruang tamu ini. Semuanya gara-gara tidak mahu pisang berbuah dua kali. Tersadai di mana-mana tanpa duit di tangan!
“Siapa kata tak jadi? Anggun, nak ambil handbag!” Balas Anggun dengan muka masam mencuka.
Tuan Azman tersenyum. Terhibur hatinya dapat berbalas cakap dengan Anggun. Dia sudah jemu bercakap dengan Anggun yang beku dan dingin. Walaupun cakap Anggun lebih cenderung mengajaknya bergaduh. Itu lebih baik daripada dihidangkan dengan Anggun, anak gadis yang bisu. Sekurang-kurangnya ada interaksi antara mereka walaupun Anggun marah-marah. Dia berharap perang dingin yang sedang dilancarkan Anggun bakal menemui penamat.

“Datang majlis macam ni sepatutnya tunjuk muka gembira. Kawan yang yang seorang tu pula muka masam mencuka. Tak selera aku nak pandang. Apa yang tak kena dengan Anggun tu?” Tarif, rakan sekerja Anggun bertanya. Dia cuit Ika di sebelah. Teman yang seorang itu sedang berselera menikmati makanan. Penuh satu pinggan!
“Perempuan tu kalau tayang muka macam tu, kira normallah, kalau dia senyum-senyum sampai telinga itu yang something wrong somewhere.” Balas Ika tanpa memandang Anggun. Pandangannya melilau ke tengah dewan. Matanya menangkap kelibat seseorang. Nisha?
“Anggun..adik kau datang majlis ni?” Soal Ika perlahan supaya Tarif tak dengar. Tarif jenis lelaki yang agak busy body. Malas dia nak menjawab soalan bersusun si Tarif.
Anggun berkerut kening. “Adik?” Seingat dia seumur hidup ini dia tak pernah punya adik. Tak tahulah kalau Papa dia ada anak lain.
“Adik sepupu kau. Anak umi kau tu. Cuba tengok, bukan Nisha ke kat sana tu?” Ika memuncungkan bibir ke tengah dewan.
“Mana?” Soal Anggun turut melilaukan mata ke arah yang ditunjukkan. Nisha, anak umi Anita dan ayah Sariman. Mereka berdua pak cik dan mak ciknya.
“Tu…yang pakai baju hitam.”
“Macam mana budak kepochi tu boleh ada dekat sini?” Kata Anggun. Jumpa Nisha bermakna dia perlu menghadap berdozen-dozen soalan yang sama dan dihidangkan pula dengan ceramah percuma. Adik sepupunya itu tak pernah jemu menjadi penasihat tanpa izinnya. Tak dinafikan apa yang dikatakan Nisha ada kalanya betul. Cuma dia yang tidak mahu terima.
“Kau orang tengok apa? Usha pakwe kacak ke? Aku yang terconggok kat sini kau buat tak nampak. Buat penat je aku tawarkan diri kat Encik Muhzani untuk temankan kau orang malam ni..” Tarif membebel.
“Itu maknanya daya tarikkan kau tak berjaya memukau mata kami.” Ika mengenakan Tarif. Terus Tarif tarik muka masam mencuka.
“Ika…..kalau Nisha datang sini, kau cakap tak tahu aku kat mana, atau kau cakap je aku tak datang okey?” Pesan Anggun seraya bangkit dari duduk. Cepat-cepat beredar ke sudut ruang yang padat dengan tetamu supaya dia dapat menyorok. Nisha seperti sudah dapat menangkap kehadirannya di majlis ini.
Menapak sambil mengawasi pergerakan Nisha yang menuju ke tempat duduknya tadi. Berhenti menapak apabila tiba di belakang sesusuk tubuh tinggi dan tegap. Sesuai benar untuk dia berlindung dibelakang tubuh ini. Tentu-tentu Nisha tak akan nampak dia!
“Encik….berdiri diam-diam tak boleh ke?” Marah Anggun kepada empunya badan. Bergerak-gerak pulak dia. Nanti Nisha nampak!
Excuse me?” Soal lelaki itu. Tidak puas hati kerana tiba-tiba dimarahi. Ingin berpaling kebelakang tetapi lengannya ditahan oleh gadis yang marah-marah tak tentu pasal. Sudahlah marah-marah sesuka hati. Pegang-pegang dia tanpa izin pula? Ini memang sudah lebih. Perempuan ni memang suka ambil kesempatan!
“Berdiri diam-diam dahlah….tak payah terkejut sangat. Saya bukan nak mengurat awak pun!” Ujar Anggun dengan suara sedikit marah.
“Habis awak pegang-pegang saya ni, apa maksud awak?” Berusaha memalingkan wajahnya ke belakang untuk melihat perempuan yang kononnya tak nak mengurat dia. Tak dapat dilihat kerana dia menoleh ke kiri, perempuan itu menoleh ke kanan. Sampai sakit urat mata dia!
“Perasan betul! Saya nak sembunyi belakang awak je. Tu, tak nak kasi gadis yang pakai baju hitam dekat meja sana nampak…” Terang Anggun. Ada ke patut dia dituduh sebegitu rupa? Tak masuk dek akal!
“Oh!” Lelaki itu mengangguk faham.
“Awak ada hutang dengan dia? Ke ada kes tarik-tarik rambut sebab berebut lelaki? Tolonglah…ramai lagi lelaki lain.” Tambah lelaki itu. Senyum kecil terukir di bibirnya.
“Buka hal awak. Just shut up!”
“Okey…” Lelaki itu tergelak. Diam untuk beberapa saat.
“Lelaki yang awak rebutkan tu handsome sangat ke? Lagi handsome daripada saya ke?” Soalnya bersahaja.
Oh, Please. Shut up!”
“Okey, saya pergi dulu.” Menapak selangkah. Mengacah untuk beredar dari situ. Ketawanya ditahan. Kekwat sangat..
“Hei-hei! Encik, jangan mimpi. Saya tak akan lepaskan awak sebelum gadis yang kat sana tu pergi.” Lengan lelaki itu dipegang kejap. Ditarik supaya berdiri di tempat tadi sebagai penghadang untuknya menyorok.
“Kalau saya tolong awak. Apa saya dapat?”
“Saya bayar awak upah!” Balas Anggun yakin. Bagi upah untuk kerja tak sampai sepuluh minit ni, tentu lelaki ni tak akan tolak.
“Hmm…..saya tak nak duit.” Terasa ingin mengenali perempuan yang berlindung di belakang tubuhnya ini. Berlagak semacam sahaja.
“Habis awak nak apa? Banyak songeh.” Bebel Anggun. Tolong sikit, ada hati nak minta macam-macam. Pertolongan ini tak seberapa pun, berkira lebih! Memanglah lelaki ini jenis yang suka mengambil kesempatan atas kesempitan dia.
“Cuci kereta saya.”
Mendengar pemintaan itu, tangannya melepaskan lengan si lelaki. Melampau! Tangan naik ke pinggang sendiri. Mencekak pinggang dengan muka marah. Bersedia untuk berdepan dengan lelaki tersebut. Eh..eh, ingat sennag nak kulikan kita jaid pembasuh kereta dia?
Kesempatan itu digunakan oleh lelaki itu untuk berpaling. Memusingkan tubuhnya menghadap si gadis.

“Awak?!!” Serentak mereka bersuara. Terbuntang biji mata kedua-duanya! Kecil sungguh dunia. Desis hati mereka berdua.

Tuesday, November 29, 2011

Anggunkah Aku Bab 1

Memasuki stesen minyak. Terus meluncur ke laluan pam yang tersusun. Tanpa diduga sebuah kereta dari arah bertentangan turut memasuki laluan yang sama untuk ke petak pam yang ditujuinya. Hampir sahaja berlaku pertembungan. “POm!! Pin!!  Hon dibunyikan bertalu-talu oleh penumpang yang berada di tempat duduk sebelah memandu. Kereta berwarna biru yang yang elok merebut pam yang sama dinaiki dua orang lelaki.  Lagak dan gaya tak ubah seperti samseng kampung pisang dalam filem P. Ramlee. Nak pergi berfoya-foyalah tu. Malam-malam minggu ni tak ada kerja lain. Menyemakkan jalan-jalan raya sahaja!
Lelaki yang duduk di sebelah penumpang kelihatan keluar dari perut kereta selepas kereta diundurkan ke belakang. Melulu ke arah kereta yang dipandu Anggun. Bengang sahaja wajah yang terpamer.  Apalah angkuh sangat penumpang kereta ni.. pemandu relaks je, dia pula yang lebih. Anggun menguman.
Cermin kereta Anggun diketuk bertalu-talu. Tindakan kurang sopan penumpang tersebut buat Anggun turut sama angin satu badan. Pintu kereta terus dibuka. Ikut-ikut cermin tak mainlah. Kalau nak bertekad biar secara berdepan.  Baru sama-sama puas hati.
Lelaki dari kereta biru terpegun sebentar. Terkedu kerana yang keluar dari perut kereta rupanya perempuan cantik. 
“Hello…” Anggun mencekak pinggang. Sebelah tangan digoyangkan  di hadapan muka lelaki tersebut.  Tadi marah, sekarang berangan pula?
Hampir terlupa dengan kemarahan yang membuak-buak. Alpa. “Buta ke? Masuk ikut lorong sana. Lorong sini untuk keluar!” Terus disembur penumpang kereta biru.
“Alah tak jadi hal. Macam tu pun nak marah?  Cakap elok-elok tak boleh?  Budi bahasa budaya kita.”  Budi bahasa budaya kita.  Pandailah dia bercakap…
“Dahlah. Kau ni….hal kecil je.” Sampuk lelaki yang memandu. Lelaki yang ditegur memandangnya tidak puas hati. Alah kawan dia ni, relaks sudah.  Tak payah sentap sangat. Hati kecil macam perempuan!
“Dia…”
“Kita kira selesai setakat ni je. Tak sempat langgar pun.”
See.  Tuan punya kereta tak cakap apa. Awak melebih kenapa?” Dengan wajah tanpa senyuman memandang tajam lelaki tersebut.
“Itu dia punya hal!  Hal ni kita dua orang tetap kena selesaikan…”
“Hal apanya? Bukan ada kes! Tak sempat kena pun…” 
“Dahlah!” Lelaki yang memandu cuba meleraikan.
Memandang kawannya yang ikut campur. Berdiri ditengah-tengah antara dia dan perempuan yang berbuat salah. 
“Kali ni awak lepas!” Kembali bergerak ke keretanya.
Anggun mencebik. Siap bagi amaran pula. Ingat dia takut? Lelaki memang suka membuli! Ingat dah hebat sangat dengan badan macam tu?!  Saja nak tunjuk gagah depan perempuan. Dalam hati mengutuk tak henti..
Pintu kereta dikuak. Mencari-cari handbagnya. Melihat ke tempat duduk sebelah pemandu. Tiada. Di bahagian belakang juga tiada. Mencari-cari pula di bawah kerusi. Mengagau tangannya. Minyak kereta yang kering perlu segera diisi. Jaminan untuk dia sampai ke destinasi yang ditujui. Isyarat merah sudah menyala-nyala sejak dia keluar dari perkarangan rumah lagi. Diredah juga meneruskan pemanduan dek sakit hati untuk terus berada di rumah.
Handbag yang dicari tidak ditemui. Menepuk dahi sendiri. Dia tergesa-gesa keluar dari rumah sehingga terlupa handbag di tingkat atas. Telefon bimbit pula menjadi sasaran carian. Juga tiada! Takkanlah tertinggal juga? Cuba mengingati kali terakhir telefon itu digunakan. Di ruang tamu rumah. Diletakkan di atas meja kopi selepas bercakap dengan kawannya Ika. Sah! Memang dia terlupa nak masukkan telefon tu semula ke dalam poket jeansnya.
Mendengus. Sekali lagi seluruh kereta diselongkar. Mencari-cari not atau apa-apa kad yang mungkin tersesat keluar dari dompet. Sia-sia. Menyelak alas kaki. Apa yang ditemui hanya dua keping syiling lima sen! Satu lagi syiling lima sen ditemui dalam dashboard. Mengaru kepala. Syiling lima sen?  Nak guna telefon awam pun tak lepas! Situasinya ibarat sudah jatuh ditimpa tangga! Sudahlah jiwanya remuk dengan kejutan ‘hebat’ daripada Papa. Sekarang ini terlibat pula dengan masalah tidak diundang!
Dia tergesa-gesa keluar dari rumah gara-gara  kejutan dan ‘berita baik’. Diumumkan Papa di hadapan tetamu istimewa yang dijemput khas. Siapa lagi jika bukan mak cik dan pak cik serta sepupu kesayangannya. Pengumuman yang menjadi kejutan, tetapi kejutan tidak terjadi ke atas tetamu yang datang. Kejutan itu terarah sepenuhnya kepada dia sebagai penghuni rumah. Dia yang ditimpa kejutan terdiam tanpa suara beberapa ketika. Perasaan berbaur. Apa yang pasti hati dia sakit apabila Papa cuba bergurau. Kononnya dia diam sebab setuju. Bertambah-tambah sakit hati apabila berita yang disampaikan itu mendapat sokongan si tetamu. Bila dia buka mulut membantah, Papa pula balas, ‘dah setuju mana boleh tarik balik, karang buruk siku.’ Tak dapat tahan perasaan yang membahang, dia tinggalkan meja makan lalu keluar dari rumah. Buat dia lupa dengan barang-barang penting miliknya!
Beriya-iya Mak Teh mengingatkan supaya tidak ke mana-mana. Dia turutkan. Masanya dibazirkan  hanya untuk mendengar khabar ‘baik’ itu.
Dan kini, di sini dia tersadai. Di  hadapan pam minyak tanpa kawan dan wang! Apa aku nak buat ni? Ambil teksi terus ke rumah Ika, lepas tu minta Ika tolong bayarkan tambang? Tapi kawasan ni susah nak dapat teksi. Meliarkan mata ke sekeliling. Jari-jemari ligat mengetuk-ngetuk stereng kereta. Mata menangkap kelibat pemandu kereta biru yang sedang melangkah ke keretanya. Sedang bersembang dengan gembiranya di telefon. Menimbang-nimbang untuk meminta bantuan lelaki itu. Keputusan diambil. Tergesa-gesa dia menarik picu pintu. Bergegas merapati lelaki tersebut. Untuk meminta bantuan daripada lelaki yang seorang lagi dia tak sanggup! Macam bagus je…
“Encik…err….boleh saya minta tolong?”
Berdehem beberapa kali. “Nak minta tolong apa? Saya sedia memberi bantuan.” Bertanya ramah. Kolar bajunya dibetulkan.
“Boleh saya pinjam telefon? Telefon saya tertinggal.  Urgent sangat…” Ungkap Anggun lembut dalam usaha meraih simpati. Ego yang melangit terpaksa direndahkan.  Terpaksa juga meminta pertolongan.  Dah terdesak.  Kalau bukan kerana terdesak.  Sumpah dia takkan merendahkan diri sebegini.
Sengih lebar. Perempuan cantik minta tolong, tentu sahaja dia akan membantu dengan rela.  
“Apa yang urgent tu? Ada masalah ke?” Bertanya menunjukkan keprihatinannya. Kening dijungkit kepada kawan yang sedang mengisi minyak ke dalam tangki kereta mereka.
“Macam ni. Saya ada masalah. Handbag saya tertinggal kat rumah, termasuk dompet. Saya nak isi pun tak boleh, jadi saya nak minta tolong sikit…”
“Oh, handbag dan dompet tertinggal? Kesian…” Mengeleng kepala. Simpati benar lagaknya.
Anggun mengangguk. Mengiyakan.  
“Nak saya tolong apa-apa?”
“Ya, kalau boleh..”
“Apa? Kalau boleh tolong saya tolong..” Zakri sedia hulur bantuan berserta harapan tinggi mengunung  dapat berkenalan lebih lanjut dengan gadis cantik di hadapannya. Kalau Anggun ini penipu, maka tertipulah Zakri.
“Saya nak pinjam telefon sebab nak telefon kawan saya, nak minta tolong supaya dia datang ke sini...”

“Kenapa nak susahkan kawan awak tu. Sayakan ada, saya pun boleh tolong. Nah.” Hulur Zakri setelah mengeluarkan duit dari dompet. Kesian pula dia dengan perempuan cantik ni.
“Tak apa ke?” Teragak-agak untuk menerima. Boleh percaya ke lelaki ni. Baik ada makna tak?
            “Orang dah kasi tak nak pula. Kau simpan balik duit tu.  Dia nak merasa tidur kat stesen minyak ni kot.” Celah lelaki yang seorang lagi dengan senyum sinis.  
“Cik, lain kali kalau tak ada duit naik bas ke, LRT ke, murah sikit.” Sambungnya lagi belum puas mengenakan Anggun.
Menjeling tajam. Lelaki ni memang nak cari pasal! “Siapa kata tak nak?” Not lima puluh disambar. Nampak terdesak sangatkah dia? Menerima duit entah siapa-siapa.  Orang tak dikenali pula. Tapi nak buat macam mana, dia memang benar-benar terdesak! Silap hari bulan kata-kata lelaki itu jadi kenyataan kalau dia tak terima. Merasalah tidur di stesen minyak ni..
“Nanti saya bayar balik!” Janji Anggun.
“Jangan risau! Encik kasi nombor akaun atau nombor telefon, saya akan hubungi dan banyar balik. Saya orang yang boleh dipercayai.” Tambah dia.
“Eh…tak apa….saya ikhlas…”
“Betul?”
“Ikhlas dari hati yang suci…” Bermanis mulut dalam nada bergurau.
“Terima kasih ya! Saya bayar dulu….” Ucap Anggun. Lega. Terus berlalu ke kaunter bayaran sebelum lelaki itu sempat membalas. Taktik untuk mengelak daripada berkenalan lebih lanjut dengan lelaki tersebut. Memang dia orang yang tak mengenang budi!
“A…..wak…” Panggil Zakri dengan tangan yang separuh terangkat.
“Dah…..tak payah nak mengayat. Aku dah siap  isi, jom gerak.” Ajak lelaki yang menumpang kereta biru itu. Dia sudah berdiri berhampiran pintu sebelah pemandu. Mata sempat mencuri pandang Anggun yang masih berada d kaunter bayaran.
“Kau ni kacau daun je. Aku tak sempat berkenalan dengan dia lagilah. Rugi betul.” Bergerak ke bahagian pemandu.
“Ke kau pun nak merasa tidur dekat stesen minyak ni? Bukan main buat amal…”
Sengih. “Buat amal ni bagus. Esok-esok dapatlah hasilnya.” Balas Zakri. Sengih panjang.
“Huh!”
“Nak marah pula. Aku betul-betul kesiankan perempuan tu…”
“Perempuan berlagak!” Menoleh lagi ke kaunter bayaran.
“Jeling nampak. Berkenan ke?”
“Berkenan? Kau yang sibuk jual minyak, aku yang berkenan? Huh, jalan!”
“Yelah…” Akur.

Anggun memandang kereta biru yang dinaiki dua orang lelaki tadi sehingga hilang dari pandangan. Berharap mereka tidak akan terserempak lagi. Tidak ingin mengingati hari ini, hari malangnya. 

Saturday, November 26, 2011

Anggunkah Aku Prolog

Seluruh ruang bilik bergelap. Sengaja dibiarkan tidak berlampu. Hanya cahaya dari luar yang tidak segan-segan mencuri masuk melalui tingkap yang tidak bertutup.
Dalam kegelapan itu, sesusuk tubuh berteleku di birai katil. Pemilik kepada ruang bilik yang besar dan mewah ini. Sendu dan sayu menghiasi seraut wajahnya. Tergambar rahsia hati yang selama ini tersimpan rapi. Tersorok daripada pandangan umum.
Ketukkan bertalu-talu di pintu dibiarkan sahaja. Tubuh dibaring kasar ke tilam. Bantal ditarik. Menekup kedua-dua belah telinga. Ketukkan yang diiringi pertanyaan itu hanya menambahkan kekalutan yang sedang melanda diri. Dia tak ingin berjumpa atau bercakap dengan sesiapa. Sekurang-kurangnya untuk waktu ini.
“Tolonglah pergi!” Menjerit dari sebalik bantal.
“Anggun tak nak jumpa sesiapa!”
“Anggun? Buka pintu ni sayang…” Suara dari luar memujuk lembut.
“Jangan ganggu Anggun!” Arahnya dengan nada serak. Sebak dalam dada kerana menahan kesedihan. Khabar yang baru diterima bagaikan telah mencabut nyawanya. Tidak pernah terlintas di fikirannya perkara ini akan terjadi.
“Anggun….dengar apa Papa nak…”
“Tolonglah…..pergi. Pergi, jangan ganggu Anggun…tolonglah..” Tiada lagi jeritan. Suara yang tadinya melengking kuat semakin mengendur. Merayu-rayu pula. Menandakan semangat diri yang mulai lemah.
“Papa pergi. Tapi janji ya sayang, jangan buat perkara yang bukan-bukan. Ingat Allah. Ishgtifar banyak-banyak. Jangan buat kami risau. Ingat walau apapun yang berlaku Anggun masih ada kami. Kami sayang Anggun.” Tangan yang sejak tadi mengetuk daun pintu perlahan-lahan dijatuhkan.
“Nak biar Anggun macam tu?” Riak risau terukir di wajah wanita pertengahan abad.
“Biar dia bertenang…saya tahu dia tak akan buat perkara yang bukan-bukan. Saya yang besarkan dia.”
“Tapi…..” Wanita pertengahan usia 50-an itu nyata masih belum yakin.
“Dia okay..”                           
“Semua ni salah saya, saya yang tak pandai didik anak, sebab tu dia berani timbulkan masalah pada saat-saat macam ni. Maafkan saya bang.” sambung wanita itu lagi.
“Jangan cakap macam tu Sufiah. Abang tau awak dah lakukan yang terbaik. Anak-anak bila dah dewasa, mereka berada di luar kawalan kita. Tapi kalau nak mencari juga orang yang bersalah, abang….abang orang pertama yang patut disalahkan.” Lelaki bernama Azman sebak. Cermin mata ditanggalkan. Melurut kelopak mata yang mula digenangi airmata.
“Dahlah Azman, tak payah kita cari salah siapa. Yang penting sekarang Anggun. Kita sama-sama cari anak Sufiah.” Celah Tok Wan bapa saudara Azman.
“Bagi pihak anak saya, saya minta maaf kepada semua…” Tutur Sufiah lagi. Benar-benar kesal dengan tindakan yang dilakukan anaknya. Dia tidak pernah mengajar anak lelakinya itu supaya menjadi lelaki yang tidak bertanggungjawab. Apatah lagi bermain dengan maruah. Maruah Anggun bermakna maruah keluarga mereka juga....

Setengah jam berlalu. Bunyi ketukkan sudah tiada. Bantal yang ditekap ke telinga dibuang ke tepi. Menongkat tangan ke tilam untuk bangkit dari pembaringan.
Ruang bilik yang terhias cantik tidak berjaya menceriakan dirinya. Cantik terhias sebagaimana selayaknya untuk raja sehari. Hantaran pernikahan yang digubah dengan gaya penuh elegen tersusun kemas di lantai beralaskan permaidani merah. Masih jelas terbayang di ruang mata gelagat pengantin lelaki ketika membeli hantaran perkahwinan mereka tempoh hari. Jelas riak teruja terpapar di wajah.
Tiada guna lagi semua ini! Hanya menambahkan kepiluan apabila pandangan matanya terhala ke situ. Dia tidak akan berpeluang lagi bergelar pegantin. Orang yang sepatutnya memperisterikan dia tidak lagi sudi meneruskan majlis. Pergi entah ke mana…
Bangkit dari katil. Menghampiri hantaran yang bersusun. Salah satu hantaran hampir sahaja ditepisnya. Namun akal warasnya tiba-tiba mematikan tindakan bodoh itu. Barang-barang ini tidak salah. Malahan tiada sebesar kuman pun kesalahan yang dilakukan. Dia yang salah. Semua yang berlaku berpunca daripada dirinya sendiri.
Menapak kembali ke pembaringan. Melabuh di hujungnya. Baju pengantin yang ditaburi batu-batu yang berkilau terdampar sepi di katil. Dipandang lama. Teragak-agak jari-jemarinya menyentuh hujung baju yang berona putih itu. Warna yang suci. Melambangkan kesucian sebuah ikatan pernikahan. Tapi sucikah cintanya sehingga pengantin lelaki tidak lagi sudi meneruskan majlis pernikahan mereka? Mengkhabarkan perpisahan di saat akhir.
Cinta? Mungkin tidak pernah wujud rasa itu dalam hatinya? Tidak! Tidak! Rasa itu wujud dalam hatinya. Perasaan cinta, kasih dan sayang yang wujud itu tak lain tak bukan adalah buat bakal suaminya. Bakal suami yang tak lagi sudi meneruskan pernikahan ini. Walaupun tidak pernah dinyatakan atau diperlihatkan secara jujur kepada sesiapa. Jauh di lubuk hati, rasa itu sebenarnya mengalir tanpa henti. Tidak pernah surut!  
Pada pandangan orang, dia seorang Anggun yang keras jiwanya. Bagaikan seorang yang tidak berperasaan. Terlalu ego!
Semua itu dulu, sekarang dia telah bertekad untuk melupakan semua cabaran yang pernah diutarakan. Bertekad untuk mengikhlaskan hati bergelar seorang isteri. Ingin kembali menjadi Anggun, Nur Anggun yang telah lama hilang.
Di saat dia ingin berubah, niat serong yang pernah menghuni sampai juga kepada si bakal suami. Perbuatan salahnya telah membuatkan lelaki itu pergi daripadanya. Beginikah kesudahan cintanya?
“Mana awak? Maafkan……maafkan saya…. Saya sedar semua ini salah saya. Salah saya. Awak, baliklah….” Suara rintihan Anggun memecah sunyi bilik pengantin. Air mata yang ditahan sejak tadi turun juga. Dirinya dan seluruh keluarga bakal mendapat malu. Ah! Semuanya gara-gara kesilapan sendiri. Tersilap dalam membuat perhitungan….
Sangkanya, dirinya kuat. Mampu berhadapan dengan apa sahaja cabaran yang datang. Kental. Tidak lut dek panahan cinta mana-mana lelaki. Rupanya dia salah. Hatinya berjaya dicairkan. Pada tika dia nekad untuk berubah, kenapa lelaki itu pergi? Kenapa pada ketika dia mulai menikmati sebuah kebahagian?
“Awak baliklah..” Merintih hiba bersama deraian airmata.
“Awak.…saya….saya..” Baju pengantinnya dibawa ke dada. Didakap erat.
“Saya….saya benar-benar sayangkan awak. Sayang ikhlas sayangkan awak. Cinta saya bukan lakonan….perasaan ini bukan pura-pura.” Luahnya sendiri. Menjawab soalan yang pernah dilontar bakal suami. Tapi sayang luahannya tidak didengari oleh orang yang sepatutnya. Diresap oleh dinding batu.
“Awak baliklah….saya rela ucap pengakuan ini walaupun sejuta kali. Baliklah….” Rayuannya semakin menjadi-jadi. Tubuh direbahkankan ke tilam. Tidak berdaya lagi menampung diri sendiri yang terasa lemah longlai. Merengkok kesedihan. Melepaskan esak tangis tanpa rasa malu….
“Awak…maafkan saya….maafkan saya…” Tanpa henti bibir menuturkan kata-kata maaf.
“Beri saya satu peluang..” Ungkapnya.

“Baliklah…..kita betulkan keadaan ni. Semua salah faham ni..” Rintihan, tangisan dan esakan Anggun terus-terusan memenuhi kamar pengantinnya….merayu kepulangan lelaki yang sepatutnya bergelar suaminya.
Serentak itu benak menyingkap kembali pertemuan antaranya dan lelaki itu. Pertemuan yang telah membuka ruang kepada perhubungan mereka..

Monday, July 18, 2011

INI KISAH KITA BAB 16

Memasuki perut kereta. Pintu ditutup. Memakai tali pinggang keledar. Enjin dihidupkan, bersedia untuk bergerak ke luar dari perkarangan rumah Pn. Syuhadah. Belum sempat kereta diundurkan, cermin di sebelah penumpang diketuk seseorang. Berpaling melihat. Butang di sebelah kanannya ditekan. Menurunkan cermin.

"Elman?" Soal Sara Cempaka. Pagi-pagi lagi dia terpaksa menyinggah ke rumah emak kerana tertinggal barang petang semalam. Semuanya gara-gara terkejut mendengar adanya calon isteri buat Aryan!

" Kak Sara.....tumpangkan Elman boleh?"

" Nak pergi mana?"

" Kolej......" Jawab Elman sepatah.

Memandang jam di dashboard. Memang dia lalu depan kolej Elman pun. Sempat kot.

" Masuklah. Pagi-pagi dah ada class?" Handbag dialihkan ke tempat duduk belakang.

Elman melangkah masuk. Duduk di sebelahnya. Beg galas diriba sahaja. " Patutnya pukul 10 karang. Diawalkan sebab lecturer ada hal. Motor Elman merajuk pulak pagi-pagi ni......tak boleh start..."

" Pak long dah gerak pergi pejabat ke?" Soal Sara. Tidak bertanyakan Aryan kerana Aryan bermalam di apartment mereka. Dia yang tidak membenarkan Aryan balik ke sini. Takut dengan hantu! Pasal si Elman inilah. Suaminya yang terkejut melihat Elman disangka ternampak hantu. Selepas itu, kisah-kisah hantu yang seram bermaustatin sepanjang malam dalam kepala. Buatnya Aryan pulang juga malam tadi, pasti terang benderang satu rumah dengan cahaya lampu!

" Dah. Daddy selalu awal. Ingat nak tumpang abang Aryan....tapi tak pasti dia keluar awal ke atau tak balik rumah malam tadi......"

Darah terasa menderau turun. " Keluar awal kot. Banyak projek abang Aryan kena handle sekarang ni. Pak long serah semua dekat dia. Pak long pantau mana-mana yang perlu je...." Kata Sara Cempaka. Pasal Raqib Aryan kena uruskan banyak pojek bukan cerita bohong. Itu kisah benar!

Elman menjungkit bahu. " Yela kot. Malam tadi kak Sara keluar erk? Elman pergi sana...."

" Keluar......a'aah.....keluar..."

Mengerling Sara Cempaka yang mengelabah semacam. Ini tanda-tanda orang berbuat salah. Tanya sikit. Tengok Kak Sara nak jawab apa.

" Kak Sara suka abang?”

Pemanduan tersasar sedikit. Terkejut! Bagus punya soalan Elman tanya. Kembali memasuki laluan yang betul. Mujur tidak terlanggar apa-apa. Kering seliter darah dalam badan. Mati kutu dengan soalan yang tidak terduga. Soalan yang sungguh memberi impak. Pagi-pagi lagi Elman sudah menerjah dia dengan soalan panas! Ruang kereta yang terpasang dengan penghawa dingin juga tidak mampu untuk menyejukkan soalan itu. Memerah otak untuk memberikan jawapan yang menyakinkan. Tidak boleh lagi melambakkan Elman dengan jawapan sebarangan. Tidak mungkin Elman akan percaya. Atau Elman sudah ternampak mereka malam tadi? Soalan Elman semakin maju. Dulu sekadar bertanya 'kak Sara kenal ke girlfriend abang Aryan?' Sekarang ini pula, 'kak Sara suka abang ?'

" Mana ada! Kami rapat je. Jangan cakap macam tu depan nenek tau. Pengsan orang tua tu nanti......."

" Apa kena mengena dengan nenek pulak?" Soal Elman kurang faham. Dia tanya pasal kak Sara dan abangnya. Bukan pasal nenek.

" Nenek kita kan berpegang dengan adat pepatih? Nenek tak suka dengar semua tu....."

Berbalas pandang dengan Sara Cempaka. Mengangguk-angguk tanda faham. "Tapi, nenek punya versi ada sikit campur dengan antara dua darjat......." Kata Elman diselangi ketawa.

" Nenek je yang ikut....kita semua tak. Kita lahir dan membesar kat sini. Balik Negeri Sembilan boleh dikira dengan jari.......Okey. Back to the topic...suka kan?" Sambung Elman. Ingatkan Elman dah lupa dengan soalan tadi. Rupa-rupanya belum...

" Kenapa Elman tanya camtu?" Kali ini soalan Elman dibalas juga dengan soalan. Jalan yang dikira selamat.

" Kak Sara dengan abang.........." Telefon di dalam beg galasnya berlagu-lagu. Zip dibuka. Mencari-cari telefon yang entah di mana dia letak. Siapa yang menelefon pada masa-masa sekarang? Panggilan dijawab juga. Sara Cempaka memanjatkan doa. Ya, Allah. Panjangkanlah perbualan Elman dan kawannya. Selamatkanlah hambuMu ini...........amin.

“ Okay! Kita dah sampai.” Kata Sara memberhentikan keretanya betul-betul di hadapan kolej Elman. Ralat. Cepatnya sampai. Tak sempat nak dengar kak Sara cakap apa......

“ Thanks kak Sara!” Ucap Elman sebelum melangkah keluar.

Anytime...” Balas Sara Cempaka. Kereta terus bergerak meninggalkan perkarangan kolej. Menuju ke pejabatnya. Terasa amat lega setelah menurunkan Elman. Betul-betul soalan panas yang dia dapat daripada jejaka itu. Kering otak untuk mencipta jawapan yang berkualiti! Inilah nasib orang yang mengenepikan orang tua. Senantiasa di lambung ombak!

Beg tangan di tempat duduk belakang dicapai. Mata menangkap telefon bimbit yang tersandai di kerusi menumpang. Diambil dan ditelek-telek. Telefon bimbit berwarna hijau. Siapa yang punya? Hanya Elman yang menumpang keretanya pagi ini. Telefon dimasukkan ke dalam handbagnya. Mahu diserahkan kepada Aryan atau pak long supaya dikembalikan kepada yang empunya diri.

Berlenggang memasuki ruang kerja. Bertegur sapa seketika dengan beberapa orang dari jabatan Sumber Manusia sebelum menuju ke jabatannya. Dalam pertemuan yang sesingkat itu sempat pula mereka menyampaikan kiriman salam daripada beberapa orang kakitangan lelaki! Kiriman salam itu sekadar diterima dengan senyuman. Entahkan betul, entahkan tidak. Mungkin sekadar gurauan di pagi hari. Usik mengusik buat menambah kemesraan. Mentang-mentang En. Wan bercuti selama dua hari, banyak pula masa dia untuk menyinggah di sana-sini!

" Morning Sara." Sapa kak Irah setibanya di meja kerja.

" Morning kak.....Nadia dah sampai ke?"

"Belum........bermaharajalela kembali dua hari ni......En. Wan kan tak ada." Sara Cempaka ketawa kecil.

" Tadi ada budak hantar hadiah. Coklat jugak kot....." Irah menyerahkan bungkusan yang berbalut kemas. Kali ini dibalut dengan pembalut berwarna putih dengan corak bunga matahari. Siapa yang menjadi pengirim misteri ni? Ingat Sara Cempaka si materialistik? Dapat hadiah terus lembut hati. Zaman solo dulu, jika mendapat hadiah daripada peminat rasa seronok juga. Semenjak menjadi milik orang ni, sudah tidak merasa apa-apa. Kecuali mendapat hadiah daripada suami sendiri. Dalam hati berpesta tak ingat!

" Akak ambik jelah......" Memandang cuma hadiah yang berbalut cantik di tangan Irah. Tiada hati untuk menyentuh.

" Kalau coklat lagi, takkan akak nak makan sorang?"

" Tu bagi dekat Suzi dengan Ikmal sekali......" Menunjuk kepada Suzi dan Ikmal di meja hujung.

" Betul ke tak nak? Nanti menyesal........."

" Yakin tak menyesal!"

" Takut si dia yang hitam legam tu marah?" Tidak menjawab, sekadar melempar senyum penuh makna.

" Bertuah si dia. Dapat girlfriend yang setia......." Bungkusan hadiah diletakkan ke meja. Akan dibuka nanti.

Kemudian mereka berlalu ke bilik mesyuarat. Mesyuarat bulanan dengan pihak atasan. Selama dua jam mereka berkurung di bilik besar itu. Semua yang terlibat dengan mesyuarat itu menarik nafas lega apabila En. Raqib berpuas hati dengan prestasi syarikat. Masing-masing dibenarkan bersurai ketika jam menghampiri angka 11.15 pagi. Mata memerhati Aryan yang masih di duduk di hujung meja. Meneliti beberapa laporan syarikat. Tiada tanda-tanda mahu meninggalkan bilik mesyuarat. Sungguh tekun. Suami siapalah yang rajin sangat ni.......

Keluar sahaja dari bilik mesyuarat kaki melangkah menuju ke tangga. Bilik mesyuarat cuma berbeza satu aras dengan ruang kerjanya. Lebih senang menggunakan tangga daripada bersesak-sesak di hadapan lif. Pintu rintangan api ditolak. Uish, beratnya pintu! Menuruni tangga ke aras kerjanya. Menghentikan langkah apabila ternampak kelibat Elman yang melambainya di ruang menunggu. Duduk-duduk sambil membaca majalah yang disediakan di ruangan itu.

" Nadia kau pergi dulu ya. Aku nak jumpa orang kejap."

" Yang itu ke?" Sara Cempaka menganggukkan kepala.

" Eh, macam pernah nampak." Sampuk Kak Irah yang baru muncul di belakang Nadia.

" Kan, kak Irah kan?"

" Korang pergi dulu ya........." Berlenggang ke arah Elman.

" Dah lama sampai? Cari kak Sara ke?" Tanya Sara Cempaka.

" Baru je. Phone Elman ada tercicir dalam kereta kak Sara tak?"

" Ada......dalam handbag. Kak Sara ingat nak bagi dekat abang Aryan je."

" Bagus! Nasib baik tak hilang.........." Terpancar riak kelegaan di wajah Elman. Risau dia kalau-kalau telefon bimbitnya hilang.

" Apasal cari kak Sara sampai ke sini? Terbongkarlah rahsia nanti....." Berkata perlahan kepada Elman.

" Takde orang yang kenal Elman tau. Elman tak pernah datang office ni....."

" Betul? Kalau orang tau kak Sara cucu nenek.....siap Elman!" Badannya ditundukkan sedikit. Mengecilkan mata ke arah Elman. Ingin memastikan.

" Betullah!"

" Okey! Jom ikut kak Sara. Ambik phone. Tak larat kak Sara nak datang sini balik."

" Tunggu kat sini jelah. Segan........" Kata Elman

" Nak ke tak nak?"

" Yelah....yelah......" Majalah di tangan dikembalikan semula ke tempat asal. Mengekori langkah Sara Cempaka ke meja kerjanya. Dia perasan banyak mata-mata yang memandang ke arah mereka. Atas sebab apa, dia sendiri tidak pasti. Ada yang mengenalinya sebagai anak En. Arsyad? Tidak mungkinlah, kerana dia tidak pernah menjejakkan kaki mari. Kecuali pada hari ini. Setelah berjalan lurus dan membelok ke kanan, mereka tiba di meja kerja Sara.

" Ini meja kak Sara?" Elman berdiri di sisi mejanya.

" Yelah."

Handbagnya dibuka. Mengintai-gintai ke dalam. Terdapat pelbagai isi! Barang yang dicari ditemui. Ditarik keluar lalu diserahkan kepada Elman. Riak wajah itu terus bertukar ceria. Sayang sangat dengan telefon dia.

" Thank you so much kak Sara!" Ucap Elman.

" Siapa ni Sara? Si dia yang 'hitam legam' tu ke?" Tanya kak Irah. Nadia juga mencuri pandang ke arah mereka. Serupa siapa ya? Memaksa otaknya berfikir.

" Ish! Tak ada laa.....ini adik Sara. Adik sepupu....." Elman tersenyum memandang Irah dan Nadia.

" Adik sepupu? Eh, ada iras En. Raqib sepupu Sara ni......" Kata Irah. Meneliti raut wajah Elman. Tinggi pun lebih kurang sama. Cuma bezanya En. Raqib kelihatan lebih lebih matang berbanding lelaki di hadapan mereka.

" Oh......itu ab..........." Cepat-cepat Sara berdehem. Elman ni. sempat lagi mahu beramah mesra dengan kawan-kawannya. Hampir sahaja membuka cerita!

" Pelanduk dua serupa......" Sambung Elman dengan sengihan. Menutup keterlanjuran kata. Terlupa dengan rahsia kak Saranya.

" Kak Sara, toilet kat mana?" Berbisik kepada Sara Cempaka.

" Toilet depan sana......sebelah kiri lif."

" Nak pergi toilet kejap. Tumpang letak beg kat sini boleh?"

" Okey." Balas Sara. Beg galas dibelakangnya ditanggalkan dan diletakkan di sisi meja. Berlalu dari ruang kerja Sara Cempaka. Sekembalinya dari tandas, Sara Cempaka tiada di ruangan itu. Apabila ditanya dengan kakak di sebelah meja Sara Cempaka, dia diberitahu kak Saranya pergi menghadap bos, En. Raqib.

Teringin juga untuk menjenguk bilik kerja abangnya. Menuju ke lif untuk ke tingkat yang menempatkan bilik Aryan. Kebetulan semasa ketibaan Elman di hadapan bilik Aryan. Kak Siti, setiausaha Aryan tiada di tempatnya. Pintu bilik yang tertera nama abangnya dikuak perlahan-lahan tanpa diketuk. Perbualan antara abang Aryannya dan kak Sara menyapa pendengaran. Dia masih belum pekak untuk mendengar abangnya memanggil kak Sara dengan panggilan sayang. Berabang dan bersayang!

Terus memasang telinga mendengar kedua-duanya bercerita. Dia terdengar abang Aryan menyebut dua patah perkataan. Membulat matanya. Darah terasa kering! Kenyataan yang benar-benar mengejutkan. Tidak dapat lagi menahan diri, daun pintu ditolak kuat!
" Suami isteri?!" Tegur Elman tanpa salam.
Aryan dan Sara Cempaka berpaling ke arah pintu. Kedua-duanya terpempan. Jemari mereka yang saling bertaut turut terlepas! Sejak bila Elman berdiri di situ? Elman terdengar perbualan mereka? Sara Cempaka mengurut pelipis. Cerah peluangnya untuk mendapat sakit darah tinggi di usia muda! Tertangkap juga akhirnya.......

Ok...Kami Dah Kahwinlah! dah keluar. Boleh order kat sinihttp://p2u.my/