U n Uols

Sunday, April 08, 2012

Bab 7: Hati Bertanya Siapa Kamu

Bibir comel yang penuh dengan jajan sibuk mengomel itu dan ini. Menonton lakonan si pelakon yang kaku dan keras buat dia angin satu kepala. Rasa dah baling jajan ke tv! Terlalu sakit hati dengan mutu lakonan si pelakon, tangan mencapai alat kawalan jauh. Menukar ke saluran lain. Terhidang sebuah lagi drama. Kali ini drama yang ditayangkan membariskan pelakon-pelakon kegemarannya. Mata terus melekat di saluran itu. Drama yang sedang ditayangkan mengusik perasaan Dayangku Inara yang sedang menonton. Cerita yang dipaparkan lebih kurang sama dengan kisah hidupnya.


Lama-kelamaan dia hayut dalam drama realiti hidupnya sendiri. Drama di mana, dia ke mana....



" Akak tak nak dengan orang tu laa ayah!"



" Terima sajalah kak, ayah dah cakap setuju dengan rombongan diorang. Cincin tanda pun dah ambik."


" Kenapa ayah buat macam tu? Kenapa tak tanya akak walau sepatah?! Dah laa entah siapa-siapa lelaki tu. Jangan-jangan dah bercucu-cicit pun, tapi gatal nak kahwin dengan akak..."" Dayangku Inara kesal.


" Ayah dah jumpa dia. Ayah dengan mak dah jumpa dia face to face. Nak bercucu-cicit apanya....umur belum 30 tahun. Sehari selepas dia hantar rombongan merisik tu, dia sendiri datang rumah kita. Baik budaknya. Sejuk hati. Rupa ada, harta ada. Kerjaya stabil. Beriman, Insyaallah. Hah! nak apa lagi? Bila ada jodoh yang baik macam tu datang, ayah tak nampak sebab untuk kita tolak. Mak pun suka kan?" Bertanya kepada isterinya Dayangku Mardiana yang duduk di sisi Dayangku Inara. Isterinya sedang membelai rambut panjang mengurai Dayang. Memujuk anak gadis itu yang merajuk.


" Akak tak kenal dialah ayah!" Siapa entah lelaki yang kononnya dia kenal tu? Marah dengan lelaki yang tidak diketahui identitinya itu. Kolot sangat! Tak nak perkenalkan diri sebab tak ada ikatanlah. Itulah, inilah. Mengada! Kolot dan mengada tak menyusahkan orang tak apa juga, ini dah buat hidupnya tunggang terbalik!


" Siapa kata akak tak kenal dia? Kenal, cuma tak berkenalan secara rasmi. Dia tak kenalkan diri sebab tak nak hubungan tanpa ikatan. Dia nak perhubungan yang diredhai. Dengar dia cakap macam tu, sejuk hati ni. Dan saat itu ayah tahu, dialah lelaki terbaik untuk anak gadis ayah." Balas Encik Saufi tanpa rasa bersalah.


" Itu rasa ayah, bukan apa yang akak rasa!" Marah Dayang. Dalam marah-marah itu ada rasa sedu yang turut sama menghuni hati.


" Akak kahwin sajalah...itu yang terbaik. Jodoh seperti ini tak datang setiap hari. Lagipun ayah risau akak kerja dekat restoran makanan segera tu. Balik jauh-jauh malam. Lagi ayah risau bila dapat tahu akak selalu keluar dengan lelaki. Ada hari yang habis kerjanya petang tapi baliknya lambat jugak..."


" T..tak...tak ada ayah. Tak keluar dengan siapa-siapa pun. Siapa yang cakap dengan ayah?" Wajah muram bertukar pucat. Namun masih berani menyambung bicara. Menafikan. " Akak kerja di restoran sementara je kan..sementara dapat kerja tetap. Tak kerja karang ayah cakap akak pilih kerja pulak. Nanti mak cakap menghabiskan beras je....asyik makan tidur, makan tidur..."


" Jangan nak tukar topik. Lelaki tu selalu tunggu akak depan restoran tu. Kakak ingat ayah tak sedar? Mak tak sedar? Orang macam tu ke nak dibuat laki? Tak gentleman. Keluar dengan anak nak, ayahnya tak nak jumpa....reject buat menantu!"


" Akak kawan-kawan je dengan dia ayah...tak pernah fikir sampai nak buat suami..." Memberi keterangan untuk membela diri. Dia ada juga menyimpan perasaan buat Mirul, lelaki yang ayah maksudkan. Mereka berkenalan di restoran makanan segera tempat dia berkerja. Perkenalan mereka bermula apabila selalu bertemu Mirul yang datang untuk makan tengahari di restoran itu. Mula-mula tu memang dia tak layan. Lama-lama terlayan juga sebab, cair dengan senyuman comel Mirul yang berlesung pipit di kiri dan kanan pipi. Jatuh cinta pada pandangan keempat belas!


Mereka baru sahaja nak rapat-rapat, alih-alih dah dicaras dek ayah! Bukan jodoh kita Mirul. Selamat tinggal....


" Mula-mula kawan, lepas ni mesti nak up jadi kekasih. Ayah dah masak dengan perangai budak-budak muda zaman sekarang. Dah teringin sangat ajak anak kita keluar, apa salahnya datang rumah. Salam-salam tanya khabar. Bukannya ayah marah kalau ikut pintu depan. Ini tidak, sorok-sorok pulak dia...mestilah tak berani nak jumpa ayah, budak tu kerjanya tongkat langit..."


Ya, Allah. Betul ke? Kerja tonggak langit a.k.a penganggur? Kalau ayah tak khabarkan, sumpah dia tak tahu. Mirul cakap dia usahawan. Usahawan laa sangat kau Mirul! Baru kenal dah tipu-tipu. Amarah terpalit sama kepada kawan yang baru dikenali itu.


" Kerja tongkat langit? Jarang orang dibuat orang. Hebat kerja dia ayah...hebat..hebat..."


" Jangan nak loyar buruk!" Dimarahi Encik Saufi.


" Agaknya, keadaan dia sama dengan akak, buat kerja tu sementara dapat kerja tetap..."


" Belum apa-apa dah bela nampak?"


" Tak..." Perlahan Dayang menjawab.


" Buat perangai budak-budak baru nak jadi remaja....akak tu dah masuk usia remaja purba. Berkawan buang masa macam tu tak payahlah..." Celah Pn. Mardiana. Dahi Dayang dijentik sekali. Anak-anak yang lain hanya diam mendengar perbualan mereka bertiga.



" Ayah..." Masih cuba membuat bantahan.


" Abang, Idan....ingat, kalau dah berkenan dengan dengan anak gadis orang cakap dengan kami. Biar ayah dengan mak masuk meminang. Jangan dibawa anak orang tu ke hulu ke hilir sesuka hati. Macam mana ayah tak suka orang buat anak begitu, macam tu jugalah orang tak suka bila kamu buat perkara yang sama dengan anak mereka. Faham?" Idan angguk. Tersengih lucu dengan ingatan tiba-tiba daripada Encik Saufi. Idham sengih tawar.


" Syira...." Encik Saufi memfokuskan pandangan kepada Insyirah pula.


" Kalau buat perangai macam kakak, ayah kahwinkan juga...mahu?"


" Ish...ayah ni. Orang tak buat laa. Syira pergi sekolah, balik sekolah...tu je.." Getus Insyirah anak yang bongsu. Muncung mulutnya. Dia yang tiada apa-apa kaitan dengan cerita Dayangku Inara terkena amaran sekali.


" Akak..ayah...akak..."


" Tak payah cakap apa. Tutup cerita!" Putus Encik Saufi. Memintas cakap Dayang.


Protes dengan keptusan Encik Saufi, DayangkuInara bangkit untuk berlalu ke biliknya. Beberapa tapak sebelum tiba di tangga untuk ke tingkat atas dia berhenti. Berpaling kepada Encik Saufi. " Akak tetap dengan keputusan akak. Tak nak!" Nekad. Meneruskan langkah. Baru satu anak tangga di dakinya, namanya dipanggil.


" Dayangku Inara!" Panggil Encik Saufi.


Langkah Dayang terhenti. Lain sudah rentak ayahnya. " Dengar sini baik-baik. Ayah dah terima. Bermakna akak setuju atau tidak, kita akan tetap ikut seperti apa yang dah dirancang! Akak tolak...akak bukan anak ayah..." Peryataan datar daripada Encik Saufi. Kedengaran datar, sebenarnya berbisa dan menyengat.


Dayang diam tidak membalas. Suara tersekat dikeroncong. Apa yang terpendam tidak terluah. Bibir mulut sahaja yang terkumat-kamit tanpa suara.


" Beginilah kak.....mak bagi tempoh berfikir. Buat solat Istikharah. Bila dah yakin, bagitau mak keputusannya..." Puan Mardiana cuba mejernihkan keadaan. Dayang masih diam tak bersuara. Menekur pandangan ke lantai.


" Mar..." Bantah ayah.


" Itu cara yang terbaik bang..." Kata Puan Mardiana.


Idham gelisah di kerusi melihat situasi tenang berubah tegang. " Akak..." Panggil Idham. Jatuh simpatinya melihat air muka Dayang yang keruh.


Panggillan Idham tidak dihiraukan. Nak kerling Idham dengan hujung mata juga dia dah tak mampu. Anak-anak tangga terus didaki. Membawa hati yang kecewa. Kecewa dengan suratan hidup. Malam itu menjadi saksi airmatanya gugur ke bantal.....


Dua tiga hari selepas itu, disebabkan desakan hati yang tidak tenang, dia mengikut saranan emak. Mengerjakan solat Istikharah. Dia mendapat petanda. Keputusan yang diyakini telah dibuat. Lamaran lelaki yang tidak dikenali itu diterima. Cincin tanda tersarung di jari manis. Disarungkan oleh wakil pihak lelaki yang merupakan emak saudara tunangnya. Dalam tempoh bertunang itu, mereka tidak pernah bertemu. Berhubungan melalui telefon jauh sekali.


Kembang kempis hidung tak mancungnya apabila ayah memeluk dan menepuk-nepuk bahu mengata 'inilah anak ayah'. Saat itu dia redha dengan segala-galanya...


Namun seminggu sebelum majlis pernikahan berlangsung, kenyakinan mulai goyah. Azie kawan yang tinggal di sebelah rumahnya. Kawan sepermainan yang sekepala. Namun berlainan haluan hidup. Dia masuk U, Azie kandas di sekolah menengah. Berpisahlah mereka beberapa tahun. Bergabung semula baru-baru ini setelah dia tamat belajar. Dayang, Azie, bergabung. Lingkup! Kini Azie buka butik pegantin yang diberi nama Saudagar, dia pula jadi peganggur tegar! Tak adalah....


Sambil sembang-sembang minum teh di satu petang, Azie terbuka satu cerita. Cerita yang keluar daripada mulut becok Azie membuatkan dia terpempan dan terkesan. Bergocak hati. Tak lena tidur malamnya kerana memikirkan hal yang disampaikan itu. Berguling ke kanan tak kena, berguling ke kiri tak kena. Sampai tergolek jatuh katil!


Berhari-hari cerita si Azie menganggu benaknya. Bagaimana dia nak meneruskan hidup di samping lelaki yang dah sebaya atau lebih tua daripada ayah? Ayah dan mak cakap lain. Azie cakap lain. Dia rasa tertipu. Dayang tertipu!


" Dayang..."


" Dayang?"


" Dayang! Menungkan apa?" Teguran Che Peah yang baru muncul di ruang tamu mengejutkan Dayang. Tersedar dari secebis kenangan hidup yang datang tak diundang.


" Ehem....hurm...hurm...." Membetulkan suara. " Tak menungkan apa-apalah Che Peah. Dayang tengok tv ni hah..." Menepi sedikit supaya Che Peah mendapat ruang duduk di sebelahnya.


Che Peah ketawa terkekeh-kekeh. " Dayang weyh! Kau ingat Che Peah tak nampak ya? Tv yang tengok kau adalah..."


" Bukan......tak...Da..."


" Siapa yang tv tengok Che Peah?" Intan muncul mengejut dari bilik tidurnya memeluk bantal kartun.


" Dalam rumah kita ni....mula-mula orang tengok tv, lepas tu tv tengok orang. Kau rasa siapa?" Che Peah memberikan teka-teki paling senang dalam dunia. Sekurang-kurangnya soalan teka-teki paling senang dalam dunia untuk Intan jawab.


" Dayang istana kayangan!" Yakin Intan menjawab diselangi ketawa besar. Seronok dapat membahan Dayang.


" Cakap elok-elok!" Marah Dayang.


Amaran Dayangku Inara bagaikan angin lalu. Tidak terkesan walau sebesar zarah. " Cakaplah dengan kami....apa yang kau menungkan Dayang. Ingat dekat suami ya?" Che Peah meneka.


" Suami? Taklah....Dayang ingat dekat mak...."


" Ingat dekat mak? Sabar ya Dayang.....lama-lama nanti sejuk hati mak kau tu..." Pujuk Intan. Sayu hatinya mengenangkan gadis itu yang rindukan emaknya.


" Kesian kau Dayang....Che Peah nak tolong, tapi tak tahu nak tolong macam mana. Kau tau tak Dayang, Che Peah teringin nak jumpa dengan mak Dayang. Yelah, masa kenduri nikah Dayang dulu, kami berdua tak sempat nak berkenalan dengan mak cik. Sempat berkenalan dengan perempuan yang nama Azie je. Letak hadiah lepas tu teguk air sirap segelas. Balik. Tahu-tahu ajelah, kami curi-curi masa kerja pergi kenduri tu. Dah laa Che Peah dengan Intan sesat jalan....hari tu memang malang nasib kami..."


Tercetus tawa Dayang. " Tak pernah cerita pun pasal ni....kan Dayang dah bagi alamat rumah...sesat lagi?"


" Memang laa....nihah, Intan payung buat-buat bijak. Che Peah dah kata ikut simpang yang kedua, dia suruh jugak abang teksi tu ikut simpang ketiga. Hari tu, kenyang Che Peah makan angin! Betul tak Intan?" Pandang Intan dengan jelingan.


" Ala Che Peah, kisah yang lama usah dikenang.....yang berlalu biarkan...biarkan berlalu. Kita pandang depan...." Kata Intan berdalih.


" Berdolak-dalih kau Intan!" Che Peah jegil.


" Sudah-sudah...."Dayang meleraikan keadaan.


" Sungguh ni, Che Peah terigin nak kenal mak kau Dayang. Nak kenalkan dengan abangnya sekali pun boleh....kot ada peluang jadi kakak ipar...." Che Peah bergurau. Betul pun apa salahnya, untung Che Peah...


" Gatal kau Che Peah!" Sergah Intan.


Che Peah sengih. " Melawak..." Intan tunjuk muka loya.


" Ada peluang nanti boleh kenal...tapi tak tahu bila peluang tu akan muncul..." Dayangku Inara berkata sayu.


" Sabarnya ya Dayang..." Intan simpati.


" Handphone kau bunyi tu Dayang..." Che Peah mencapai handphone milik Dayang di meja kopi. Dia yang paling dekat dengan meja tu. Diserahkan kepada Dayangku Inara.


" Malasnya nak jawab..." Rungut Dayang apabila melihat nama yang tertera.


" Jawab jelah....dia nak tanya khabar aje agaknya..." Intan menyuruh.


" Dayang tak suka. Ganggu orang je kerjanya...." Adu Dayang.


" Jawab dulu....dia datang rumah kita nanti, aku marah dia..." Janji Intan.


Dayang membebel sambil berlalu ke bilik tidurnya. Panggilan daripada Gibran dijawab juga.
" Waalaikummusalam...hmm....nak apa?"


" Nak bagitau....esok tunggu saya, saya hantar Dayang pergi kerja..."


" Ada saya mintak awak hantar?"


" Kaki kan..."


" Alasan! Kaki saya dah seminggu sembuh.....nak lumba lari pun dah boleh."


" Eh.....seminggu tak cukup untuk kaki tu sembuh. Kurang-kurang dua bulan. Dayang tak tahu ke.....ada kemungkinan kecederaan kaki tu akan jadi makin serius sebab banyak berjalan. Silap haribulan kena pakai wheelchair...." Gibran mereka cerita.


" Betul ke awak ni? Jangan nak kelentong...." Ragu-ragu.


" Betul!"


Dayangku Inara telan liur. Gerun. " Betul?"


" Tak percaya? Esok jugak kita pergi klinik tanya doktor."


" Yelah...yelah...esok saya pergi kerja dengan awak."


" Kan senang macam ni....untuk kebaikan siapa? Kebaikan Dayang jugak..." Di hujung talian, Gibran tersenyum senang.


" Pelik....awa ni banyak sangat masa terluang. Kerja tongkat langit ke?"


" Tak...saya tak kerja buat tongkat..." Sangkal Gibran.



" Senget awak ni! Dah nak tidur. Bye!"


" Da...." Talian dimatikan Dayang. Handphonenya diletak tepi. Bergerak ke tingkap bilik. Duduk termenung di situ. Gibran....kenapa lelaki itu seperti tidak asing baginya?


Untuk versi penuh dapatkan novel Hati Bertanya Siapa Kamu di kedai-kedai buku berhampiran anda. Boleh juga layari http://www.karyaseni.my/ untuk pembelian secara online.

7 comments :

  1. suka!! lambat lagi ke dayang tau gibran tu laki dia?

    ReplyDelete
  2. dayang...gibran...hurmmm...ape nme betol si gibran tu??..msti nme dy sdap kan?? kak nurf..nk lagiii...

    ~chuink2~

    ReplyDelete
  3. Novel baru ninsyah terbitan jemari seni dibawah pohon sena heronya nama GIBRAN juga he he he

    ReplyDelete
  4. mmg2.....
    dayang azie bgabung lingkup
    kekehhheke.......

    ReplyDelete
  5. dayang ni memang kartun la.. gibran nasib ko la dapat si dayang ni.. pepun citer ni memang lawak. santai dan adik tergelak sokmo baca.. cepat kak sambung!! nak tengok gelagat gibran layan dayang..

    ReplyDelete
  6. bila la dayang nak jumpa mak ayah dia...kesian pulak si suamikan...makan hati,,

    ReplyDelete
  7. klakar laa.. aduhaiii.. bila nak tau ni.. dan awatnya azie tu cita kata laki tua tu laki dia.. haishhh.. kan lg tambah salah faham
    ~mizz acu~

    ReplyDelete