U n Uols

Monday, February 18, 2013

Si Pengejar Cinta Bab 2

TAG nama pada dada yang tertera nama Adenalis dibetulkan. Rambut panjang yang disanggul dirapikan. Gara-gara kehujanan lewat petang semalam dia diserang deman selsema. Kepala memberat sehingga dia terlambat bangun untuk ke tempat kerja pagi ini. Dia akan ke klinik petang nanti. Seusai tamat bertugas. Pada waktu pagi begini, jadual kerjanya terlalu padat. Banyak perkara yang perlu diberi perhatian sementelah penyelia yang juga orang kanannya di Jabatan Housekeeping itu sedang bercuti sakit.
Yakin ketrampilan diri sudah sempurna, tugas pagi itu dimulakan. Clipboard yang terkepilkan tugasan untuk kakitangan bawahannya  di atas meja kerja dicapai. Apa yang tertera pada kertas dibaca sekilas.  Selesai membuat semakan secara kasar, langkah diatur untuk ke tempat para pertugas pengemasan bilik berkumpul.
Morning Cik Dena!” Suara-suara yang memberikan ucapan selamat pagi menyapa telinga.
Mengoles wajah dengan senyum kecil. Hendak senyum lebar-lebar dia tak ada mood.  Kesihatan yang kurang baik sedikit menganggu kerjanya. “ Morning.”
“Cuti macam mana Cik Dena? Seronok?” Tanya Farah salah seorang petugas pengemasan bilik di bawah seliaannya.
“Bolehlah... Hmm... Ada sesiapa yang dah pergi melawat Encik Hadif tak?  Macam mana keadaan dia?” Tanya Adenalis. Hadif ialah penyelia di jabatan ini. Lelaki itu merupakan orang kanannya.
“Kalau tak silap Kavita dengan Anne yang pergi hospital semalam...Dengar kata keadaan Encik Hadif teruk juga, tapi dah stabil...” Maklum Farah. Gadis itu memang peramah. Kadang-kadang terlebih ramah sampai orang lain malas nak melayan.
Adenalis angguk faham. Tanpa membuang lebih banyak masa, dia ke bidang tugas mereka. Sebelum itu sedikit taklimat sebagai ingatan untuk semua disampaikan. Perkara itu sudah menjadi kebiasaannya. 
“Okay, hari ni pembahagian tugas macam bia...”
“Cik Dena!” Ada suara yang memanggil namanya.
“Kenapa, Kak Ima?” Mata yang tadinya melekat pada clipboard di tangan beralih ke muka wanita yang dipanggil Kak Ima.
“Akak nak minta tukar, boleh? Akak nak minta tukar ke tingkat 7.”
“Tukar?  Kenapa ni kak?”
“Semalam, Akak ada kes dengan guest yang duduk kat tingkat 11. Teruk jugalah akak kena dengan guest tu. Nak minta tolong dengan Encik Hadif, Encik Hadif tak ada. Cik Dena pula cuti. Bolehlah Cik Dena...untuk sementara je. Biar marah dia dengan Akak ni reda dulu, dia tinggal kat sini pun lama. Lepas tu.... Akak ditugaskan kat tingkat yang sama lagi, Akak tak kisah.... Boleh ya Cik Dena?”
“Kes? Kak Ima, nanti dah selesai kemas bilik, datang jumpa saya. Saya nak tahu tentang perkara ni secara terperinci. Untuk minggu ni saya benarkan Akak bertugas di tingkat lain... Kak Ima akan diganti dengan Farah.”
“Terima kasih Cik Dena.” Kak Ima senyum lega.
“Baik Cik Dena.” Farah membalas.
“Mulakan tugas semua!” Adenalis mengeluarkan arahan. Para petugas mengambil peralatan masing-masing dan menolak troli untuk memulakan tugas.
Selesai dengan pembahagian tugas pekerja bahagian pengemasan bilik, Adenalis menuju pula ke lobi hotel. Dia perlu berjumpa dengan pengurus Front Office untuk berbincang tentang beberapa perkara. Bertugas sebagai Executive Housekeeper memerlukannya berhubungan dengan orang-orang dari jabatan lain. Semuanya demi kelancaran tugas bahagiannya.
Belum pun tiba di bahagian depan, Adenalis berhenti menapak. Tangan naik mengurut dahi  yang berbahang panas. Denyutan di kepala semakin menjadi-jadi. Pandangan terasa berpusing-pusing. Dia bersandar seketika pada dinding di sisi. Mata dipejamkan beberapa saat agar pandangan kembali jelas. Mendapat sedikit kelegaan apabila berbuat demikian. Langkah kembali diatur sambil tangan kanan masih berlari-larian di dahi. Tugasnya masih banyak, jadi dia perlu bergegas segera.
Ketika melintas di hadapan lif, mata seperti melihat seseorang yang pernah hadir dalam lipatan sejarah hidupnya. Lelaki itu sedang melangkah keluar dari perut lif. Dalam kekalutan dan kejutannya kerana melihat kemunculan lelaki itu, bahunya dilanggar oleh seorang wanita asing. Dia kehilangan jejak lelaki itu.    
I’m so sorry...” Ucap Adenalis. Wanita itu mungkin salah seorang tetamu hotel ini. Hati pelanggan harus dijaga.    
Sesudah wanita itu berlalu pergi, lehernya tegak memandang sekeliling. Mencari kelibat lelaki tadi. Tidak kelihatan di mana-mana. Adenalis jadi keliru.
Ah! Mana mungkin lelaki itu yang dilihat oleh matanya. Mungkin mimpi di senja hari semalam terbawa-bawa ke alam sedar. Dalam keadaan kepala yang pening-pening ini, mungkin sahaja menyebabkan dia tersalah pandang. Pelanduk dua serupa atau khayalan semata-mata agaknya... 
Kepala digeleng-gelengkan agar penglihatan yang terganggu kembali jelas. Sekali lagi dia memejam celikkan mata. Lelaki dilihat sedang berdiri di tengah lobi. Aku terlalu rindukan diakah? Semalam muncul dalam mimpi. Hari ini ternampak-nampak wajah itu di sana-sini. Selama ini memang dia tidak pernah melupakan lelaki itu, tapi tidaklah sampai ternampak-nampak kelibatnya di mana-mana. Gila bayang!  Mengata diri sendiri.
Tapak tangan meraup muka. Bertenang sebentar sebelum meneruskan langkah. Mengangkat kepala dan meluruskan pandangan ke depan. Sekali lagi bola mata melihat orang yang sama. Lelaki itu berkemeja kuning cerah dan mengenakan seluar hitam sebagaimana yang dilihat sebelum ini. Sedang melangkah di tengah lobi bersama seorang lagi lelaki. Hebat daya khayalannya sehingga boleh mengulang tayang lelaki itu dalam persalinan yang sama! Khayalan sudah berjaya memperdayakannya...
Mata setia mengekor gerak langkah lelaki itu dan temannya sehingga ke pintu utama hotel. Sewaktu kedua-duanya melintasi pintu  itu, imej mereka terpapar sama pada cermin kaca yang terdapat di situ. Kenyakinannya bertambah apabila melihat bellboy mengangguk hormat kepada lelaki itu. Adenalis yakin dia sebenarnya bukan sedang berkhayal atau bermimpi. Tapi semunya kenyataan. Lelaki itu memang wujud di depan matanya sekarang. Ya, memang dia! 
            Disaat itu Adenalis baru teringat untuk mengejar. Dengan kasut tumit tinggi yang tersarung di kaki, langkahnya jadi terhad. Setelah bersusah-payah, langkah kedua-duanya hampir berjaya disaingi. 
“Adrus!” Panggilnya. Dada berdebar-debar.
Lelaki itu berhenti menapak. Berpaling ke belakang untuk melihat siapa yang memanggil namanya. Pandangan bertembung. Bertaut lama tanpa sebarang kata yang keluar dari bibir. Masing-masing tergamam sendiri. Memori lalu kembali menyinggahi benak...
“Encik Adrus, do you know her?” Teman di sebelah memecah suasana kaku. Hairan melihat Adruce dan gadis itu yang hanya saling memandang.
No...not! I didn’t know her. Dia ni mungkin silap orang...let’s go... Kita dah lambat...” Membuat penafian. Kemudian menapak memasuki perut kereta tanpa rasa bersalah. Sombong,bongkak dan tidak berpersaan lagaknya.
Teman kepada Adrus menjungkit kening dengan sengih kecil. Pandangan jatuh kepada Adenalis seketika sebelum bergerak ke sebelah sana kereta untuk menyertai Adrus. Tidak menunggu lama, kereta itu menyusur pergi. Meninggalkan Adenalis yang masih terkebil-kebil seperti orang bodoh.
Sehingga kereta tersebut hilang dari pandangan, Adenalis masih tidak berganjak dari tempatnya. Orang itu bukan Adrus? Lelaki itu tak kenal dengannya? Dia salah orang? Tapi, mengapa nalurinya tegas mengatakan lelaki itu sememangnya Adrus? Memegang kepala lagi. Kemudian mengurut pangkal hidung sambil memejam mata. Mungkin betul dia dah salah orang, kau terlebih berkahayallah Dena...
“Apa yang ditengok-tengok tu, Encik Adrus?” Mengajukan pertanyaan apabila perasan Adrus yang tertoleh-toleh ke belakang. Memandang hotel penginapan yang sedang ditinggalkan.
“Tak ada apa...”
“Saya dah agak, Encik kenal dengan perempuan tadi kan?” Fendi, teman sekerjanya membuat telahan.  
Stop talking about her! Buat saya hilang mood...”
Come on. Ceritalah...”
“Dia...” Terhenti setakat itu. 
“Dia?” Fendi yang sedang memandu mengerling.
“Sudahlah.... Buang masa je cerita pasal perempuan. Alih-alih diri sendiri juga yang akan disakiti.  Let's talk about work....” Putus Adrus. Sedangkan dalam kepala terbayang airmuka kesedihan gadis tadi.  
“Cara Encik bercakap macam orang yang pernah dikecewakan... Tak dapat miliki cinta yang dikejar ke?”
            Adrus ketawa sinis. “Daripada saya jadi pengejar cinta, lebih baik saya kejar duit...hati pun senang...”
“Sah! Suatu masa dulu encik pernah frust menonggeng.”
Adrus diam.  Tidak mengiakan mahupun menidakkan. Adenalis....nama itu berbisik dihati.


3 comments :