U n Uols

Monday, February 04, 2013

Si pengejar cinta bab 1


Anak-anak tangga rumah kayu yang sudah diubahsuai bahagian depannya dituruni dengan berhati-hati. Tangan membimbit sebuah beg pakaian dan beg plastik. Pulangnya ke kampung bukan kerana mengharapkan emak membekalkan apa-apa untuknya. Tidak terniat di hati untuk menyusahkan emak begini. Tapi, jika emak dah bagi, dia ambil sahaja. Rugi pula kalau menolak. Seperti kata pepatah melayu, tuah jangan ditolak, bala jangan dicari.


Sebenarnya, tujuan dia balik ke kampung adalah kerana ingin melepaskan rindu kepada keluarga. Rindukan emak dan adik-adi`k. Hajat di hati mahu menghabiskan sepenuhnya cuti lima hari di kampung. Tetapi, baru masuk hari kedua, dia sudah menerima panggillan dari tempat kerja. Mengatakan baki cutinya dibatalkan atas sebab tertentu. Khabarnya, penyelia bertugas yang perlu mengawasi kerja-kerjanya sepanjang cuti selama lima hari ini ditimpa kemalangan. Jadi, tiada yang mengawasi jabatannya buat sementara waktu. Habis kacau-bilau budak-budak housekeping tak ada ketua! 



“ Kenapa tiba-tiba nak balik hari ni? Cakap dengan mak nak balik hari Rabu....”

“ Memanglah. Dena cuti lima hari....entah apa yang tak kena dekat tempat kerja tu, tiba-tiba telefon suruh masuk kerja esok. Kata kawan Dena, penyelia jatuh tangga ke apa. Tak pasti sangatlah.” Bergerak ke belakang kereta untuk meyimpan barang-barang yang memenuhi tangan.

“ Habis tu, tak boleh kata tidak ke? Kesian dengan adik-adik tu. Dia orang dah rancang nak ajak kak Denanya pergi jalan-jalan esok..”

“ Nak buat macam mana....kerja mak.”

“ Ke kamu sayang nak tinggalkan buah hati yang kat sana tu lama-lama....” Sekadar mengusik.

“ Dena tak ada buah hatilah mak....” Sayu nada yang berkata.

“ Dena, kamu ingat dengan budak tu lagi ke? Sudah-sudahlah nak...orang tak sudi dengan kita, buat apa dikenang.”

“ Tak. Dena tak ingat dia...Apa yang berlaku antara kami dulu memang salah Dena. Dena tak simpan dalam hati.” Mulut menafikan. Dalam hati...

Melepaskan nafas yang ditarik dalam. Buat-buat percaya dengan kata-kata anaknya. Masakan dia tidak dapat mengesan nada berlainan anaknya. Dia yang mengandungkan anak itu selama sembilan bulan. Pasti dia tahu jika anaknya sedang memendam rasa.

“ Beg plastik yang kat atas meja tu dah ambil? Mak bungkuskan untuk kamu bawa balik sana.” Mengubah topik perbualan. Biarlah anaknya berangkat ke ibu kota dengan berlapang dada.

“ Dah...Dah simpan dalam kereta. Pergi dulu mak, kirim salam dekat angah, dekat acu. Cakap kat dia orang, Dena balik dalam dua minggu lagi kot. Nak ajak jalan ke, apa ke....kita tengok minggu depan. Satu lagi, pesan dekat angah, jangan beli tiket bas dulu. Kalau Dena jadi balik, dia tumpang Dena sekakilah balik kolej.” Tunduk menyalami tangan emaknya, Zaida.

“ La...Dena tak cakap sendiri ke dengan angah malam tadi?”

“ Tak sempat. Dena baru buka mulut, dia dah terbungkam tidur. Penat merayau ke pekan dengan anak-anak mak long. Kata study week. Sepanjang dua hari Dena kat sini, tak nampak dia pegang buku...”

“ Bukan kamu tak tahu si angah tu....Nanti-nanti retilah dia cari buku. Yang kamu Dena, bawa kereta tu jangan asyik fikir nak cepat sampai je. Memecut tak ingat. Fikirkan orang-orang tersayang...Mak risau tahu?” Mengiringi anak perempuannya ke kereta.

Pintu kereta dibuka. Meloloskan diri ke tempat duduk pemandu.“ InsyaAllah...” Pintu kereta ditutup.

“ Jangan kat mulut je Insyallah....lepas mata mak, kamu pecut laju-laju. Ingat, Adenalis...”

“ Iyalah...Iyalah...Dena ingat pesan mak. Kena ingat juga mak, kalau tuhan dah tetapkan Dena berlanggar, maka berlanggarlah...” Bijak sahaja Adenalis menjawab.

“ Memanglah, tapi kita sendiri kena ada usaha. Bismillah dulu, baca doa. InsyaAllah selamat perjalanan. Ini tak, bismillah tidak, bawa kereta macam nak berlumba...asal enjin hidup terus jalan...” Berisi bebelan dari mulut orang yang lebih dulu makan garam daripadanya itu.

“ Nak baca ni....” Senyum lucu bermain di bibir melihat seriusnya wajah emak memperingatkan dirinya. Dia sengaja bergurau. Mahu dibuat ubat rindu apabila berjauhan dengan mak nanti. Malam-malam sambil melangut tengok tv, boleh dia kenangkan emak dan mulut becoknya. Pasti boleh senyum-senyum sendiri.
Sebelum enjin kereta dihidupkan, doa dibaca juga dalam hati. Cermin tingkap diturunkan seraya hon dibunyikan sekali. Tangan diangkat melambai emak yang memandang. Kereta diundurkan ke belakang. Bersedia untuk memulakan perjalanan ke ibu kota. Perlu kembali untuk mengalas tanggungjawab terhadap tugas yang terbengkalai.


Zaida yang masih menunggu di halaman membalas lambaian sambil menitipkan doa dalam hati, agar perjalanan anak perempuan itu selamat tiba ke destinasi. Naluri seorang ibu, tidak dapat menolak rasa risau yang datang bertamu.




Adenalis keluar dari kereta sambil sebelah tangan menutup kepala, berlindung daripada hujan yang semakin reda. Namun, rintik-rintik hujan yang turun itu masih mampu membasahkan baju yang tersarung di badannya. Bukan tak ada payung di rumah itu, cuma dia malas nak buat kerja dua kali. Ambil payung dulu dekat dalam rumah, lepas tu keluar lagi meredah hujan. Inilah akibat terlupa meletakkan sekaki payung dalam kereta. Jadi, alang-alang dah basah, biar basah kuyup! Cuma dia berharap agar rintik hujan yang turun tak menimpa kepala. Mahunya terpaksa menanggung sakit kepala malam nanti... 



Tibanya di ibu kota, hujan sedang mencurah-curah. Tersanggut juga perjalanannya di sana-sini. Dia bernasib baik, hujan petang itu semakin reda sewaktu memasuki kawasan taman tempat tinggalnya. Jika tidak dia mungkin terperangkap dalam banjir kilat kerana ikut jalan belakang untuk pulang ke rumah. Dia ikut jalan belakang sebab nak mengelak dari kesesakkan lalu lintas. Dari nak cepat mungkin bertambah lambat jadinya.




Barang-barang yang dibawa dari kampung di keluarkan dari kereta bonet. Selesai mengeluarkan segala barangan, dia berlari-lari kecil ke bawah garaj untuk berlindung. Keretanya juga berlindung dibawah garaj yang sama, walau hanya bahagian depan kereta yang mampu dilindungi. Sememangnya reka bentuk kediaman di kawasan taman ini direka begitu. Mana-mana unit rumah yang mempunyai garaj sehingga rapat ke pintu pagar sudah ditambah sendiri oleh tuan punya rumah.



Segala barang yang bergayutan di kedua-dua belah tangan diletak bawah. Dia perlu mengeluarkan kunci rumah yang masih berada di dalam beg tangan yang disandang pada bahu. Kunci yang dicari berjaya ditemui. Tanpa berlengah, diloloskan ke pintu rumah. Sebaik pintu bebas daripada sebarang halangan, daun pintu itu dikuak. Salam di beri biarpun dia sedar hanya dirinya seorang yang menghuni rumah teres itu.



Barang-barang yang diletakkan ke bawah diambil kembali. Kasut bertapak rata yang tersarung di kaki ditanggalkan di luar pintu. Masuk ke dalam rumah, perkara pertama yang dilakukan adalah menyalakan lampu. Keadaan rumah yang gelap kerana hari sudah lewat petang, ditambah pula dengan cuaca hujan membuatkan tangannya automatik mengagau suis lampu.


Beg pakaian diletakkan di atas sofa hitam. Beg plastik kiriman emaknya dibawa terus ke dapur. Kembali semula ke ruang tamu dengan segelas air kosong di tangan. Alat kawalan tv di atas meja disambar, manakala gelas di tangan didaratkan ke meja. Suis elektrik dibuka. Alat kawalan jauh ditekan, tv terpasang menayangkan rancangan yang tidak diketahui hujung pangkalnya. Duduk di sofa menghilangkan rasa letih kerana memandu jauh. Niatnya hanya mahu merehatkan diri seketika sebelum membersihkan badan yang terkena hujan dan menanti masuknya waktu solat maghrib. Mungkin kerana terlalu keletihan, Adenalis akhirnya terlena. Dalam lena yang sekejap itu dia termimpikan kisah lama...Secebis dari hidup babak yang ditinggalkan beberapa tahun di belakang...



Sedar-sedar, azan Maghrib sedang berkumandang dari masjid berdekatan dan begitu juga di kaca tv yang sedia terpasang. Adenalis mengucap panjang, bersambung-sambung dengan Istighfar. Tak eloknya dia tidur dikala hari senja begini. Bingkas bangkit dari baring, duduk melipat sila. Tak elok berbaring ketika azan berkumandang.


Kepala dah terasa memberat. Kelopak mata pula terasa basah. Belakang tangan menyentuh tubir mata. Ada airmata yang mengalir. Aku menangis? Menangis lagi mengenangkan dirinya...





Tubuh dihempas ke tilam empuk hotel. Kepenatan kerana menempuhi penerbangan yang jauh masih terasa. Namun, semua itu berbaloi kerana dia kini selamat tiba di tanah air. Kepulangannya kali ini lebih lama daripada biasa. Pulangnya atas urusan kerja.  Sejak bertugas dengan sebuah syarikat antarabangsa yang beribu pejabat di Switzerland, dia jarang mempunyai peluang untuk kembali ke Malaysia. Paling tidak, dia hanya mendapat sedikit kelonggaran untuk pulang sewaktu sambutan Krismas di sana. Dia yang tak sambut Krismas pun dapat cuti sekali. Nak sambut hari raya di Malaysia, jangan berharap sangat. Kali pertama dia dapat menyambut hari raya bersama keluarga adalah selepas dua tahun berkhidmat.  Kali terakhir pula adalah beberapa tahun lepas.


Walaupun demikian, keadaan itu langsung tidak membantutkan minatnya untuk terus berkhidmat dengan syarikat terbabit. Bidang tugas, faktor gaji dan jawatan tinggi yang dipegang memberikan kepuasan kepada dirinya. Jadi dia tiada sebab untuk meninggalkan apa yang dimiliki sekarang. Lagipun, dia lebih senang berada di sana kerana di sini ada kisah luka yang tercipta.



Perjalanan yang ditempohi dari lapangan terbang ke hotel penginapan dihabiskan dengan bercakap di telefon. Lepas satu-satu panggillan yang diterima. Semuanya berkisar tentang urusan kerja yang bakal diuruskan di tempat kelahirannya ini. Tiada kesempatan untuk meninjau ke luar tingkap menjamu mata dengan panorama ibu negara.

Bangkit dari pembaringan dengan kedua-dua belah tangan ditongkatkan ke tilam. Batang leher digerakkan-gerakkan untuk menghilangkan rasa legeh. Kelegaan mula terasa. Dia bergerak turun dari katil. Kaki mencium lantai bilik yang beralas karpet berwarna coklat cerah. Menapak ke tingkap kaca yang tertutup rapat. Langsir putih yang menjadi penghalang untuk melihat ke luar diselak ke tepi. Dia berdiri sambil memeluk tubuh melihat bangunan-bangunan berdiri megah.



Salah satu dari bangunan-bangunan pencakar langit itu, terletak bangunan pejabat milik syarikatnya. Tempat di mana dia perlu bertugas bagi menjayakan misi syarikat mencari keuntungan di tempat kelahirannya ini. Peranan yang diamanahkan oleh syarikat itu melambangkan kehebatan dan kejayaannya sebagai salah seorang pegawai penting di syarikat tersebut. Dia boleh tersenyum megah mengenangkan semua ini.


Apabila mengenangkan kejayaan yang dimiliki sekarang, tidak dapat tidak mendorongnya mengingati sebaris nama seorang gadis. Nama itu semakin dekat di hati setiap kali dia mendarat di bumi Malaysia. Bukan bermakna sepanjang berada di tempat orang nama itu dilupakan. Cuma, apabila berada di sini, hati seakan mendesak untuk menghubungi gadis yang punya nama itu. Namun desakan hati berjaya dikalahkan oleh keegoan tinggi seorang lelaki. Gadis itulah yang memandang rendah akan dirinya yang tidak punya apa-apa suatu masa dahulu. Mentang-mentanglah waktu itu dia cuma seorang budak hingusan yang masih memegang status sebagai seorang pelajar. Budak higusan yang tak punya apa-apa. Duit beribu-riban jauh sekali. Harta berkoyan-koyan tak usah bermimpilah. Yang dimiliki hanya yang cinta tulus dan maruah.  Tapi siapalah yang akan pandang semua itu dalam dunia kebendaan ini...


Berbekalkan sisa-sisa kekuatan yang ada, dia bangkit.  Meraih peluang pelajaran yang hampir dilepaskan.   Dan berbekalkan pelajaran, dia mengorak langkah demi langkah mencipta kejayaan.  



Kata-kata berupa penghinaan itu menjadi pembakar semangat buat dirinya. Entahlah, apabila difikirkan kembali dia keliru sama ada perlu berterima kasih, atau membalas kembali penghinaan gadis itu kata-kata yang sama. Kerana apa? Kerana telah membakar semangatnya sehingga menjadi seorang lelaki kental dalam menempuhi kejayaan.


Ah! Tak ada perlunya perempuan seperti itu diberi layanan baik. Baru reti nak berpijak di bumi nyata. Biar gadis itu sedar diri sebelum menjatuhkan maruahnya sebagai lelaki.  Kini, lebih enam tahun semua itu berlalu.  Andai suatu hari mereka bersua kembali, takkan senang hidup gadis itu! Penumbuk digenggam tanpa sedar...

1 comment :

Anonymous said...

dlu de cerpen ni kan?