U n Uols

Friday, April 15, 2011

KAU DAN AKU BAB 17


Pagi-pagi lagi Min sudah bertolak pulang ke kampung. Datin Sheila nampak terkejut apabila dia memaklumkan tentang kepulangannya ke kampung awal pagi ini. Apabila dia meminta izin untuk membawa Rayqal bersama, wanita itu tiada halangan. Datin Sheila menghantar dia dan Rayqal sehingga ke kereta. Luth Qadri tidak kelihatan. Mungkin kerana waktu masih awal pagi. Masih nyenyak berbungkus dengan selimut. 
Kini dia sudah tiba di kampung halaman. Sebentar lagi akan tiba di rumah. Perasaan jadi tidak sabar untuk bertemu ayah dan ibu. Isyarat diberikan untuk membelok ke lorong rumahnya. Hon kereta dibunyikan apabila ternampak kelibat ayahnya yang sedang mengelap kereta di halaman.
“Tok ayah.... tok ayah...Raykal datang...” Panggil Raykal teruja seraya menurunkan cermin kereta.
Sebaik enjin kereta dimatikan, dia turun mendapatkan En. Mirwan. “Tok ayah, Rayqal datang!” Lantas tangan En.Mirwan disalaminya. 
“Tok ayah ingat Chik Min balik seorang aje. Rupanya Raqyal ada sekali.” Kepala si cucu diusap lembut.
“Ibu mana ayah?” Tanya Min. Dia turut mengambil giliran untuk bersalaman dengan ayahnya.
“Ada dekat dalam. Beg pakaian mana? Mari ayah tolong bawakan...” Min membuka bonet keretanya. Dua buah beg pakaian dikeluarkan. Satu miliknya dan satu lagi milik Raykal. Beg-beg tersebut bertukar tangan. Kedua-duanya diangkat oleh En. Mirwan untuk dibawa masuk ke dalam rumah. 
“Dah sampai budak bertuah tu?” Terdengar laungan ibunya dari dalam rumah.
Lain macam sahaja nada suara ibu. Tinggi dan tidak mesra menyambut kepulangannya. Hati berdetik tidak senang. Dia yakin ada apa-apa yang terjadi semasa ketiadaannya.
“Dah sampai ni.” Sahut En. Mirwan kuat. Ibunya terjengul di muka pintu rumah dengan penyapu di tangan. Bercekak pinggang dengan pandangan mencerlung tajam. Pn. Hasmah meluru ke arah mereka dengan wajah yang marah. Penyapu pula sudah dibaling ke tepi. Ibu nampak marah. Kenapa dengan ibu? 
“Budak bertuah! Apa kamu dah buat, hah?! Sampai hati kamu buat macam ni pada ibu dan ayah. Macam kami ni dah tak ada! Macam orang yang tak mak bapak! Sanggup kamu membelakangkan kami!” Suara Pn. Melengking memerahi dia.
Wajah bertukar pucat. Kecut perut mendengar suara ibu yang memetir. Macam kami dah tak ada? Macam orang tak ada mak bapak? Dalam kepalanya hanya satu perkara yang melintas, ibu sudah tahu segalanya!
 “Mah...apa kena dengan awak ni? Bawakan bersabar sikit...” Halang En. Mirwan. Juga cuba menenangkan isterinya.
“Bela..bela sangat anak manja awak tu...sebab tu dia buat perkara ni!”
Min tidak berkutip. Takut dan gerun melihat amukkan ibu. Diam sahaja kerana semua itu memang salahnya.
Raykal pula terkebil-kebil memandang tok ibunya yang sedang marah. Tidak faham dengan apa yang berlaku.
“Ibu…Ayah….Min minta maaf….” Ujar Min sebak.
“Kamu diam!” Disergah ibunya.
“Awak ni, Raykal ada tu. Malu sikit pada cucu...Nak marah ke, apa ke biar kita masuk ke dalam dulu.” Kata En. Mirwan sambil memandang Raykal. 
Terpandangkan Raykal di sebelah suaminya, Pn. Hasmah terdiam. Tengoklah, anak bertuah ni, bawa Raykal balik sama tak adanya diberitahu. Dia memang rindukan Raykal. Jika dia tahu cucu itu balik bersama Min, pasti disediakan apa-apa yang patut untuk Raykal. Lantas amarah yang sedang memuncak cuba ditahan. Sedar tak elok dia melepaskan kemarahan di hadapan cucunya.
“Dengar dek jiran-jiran. Kita juga yang malu.” En. Mirwan menyambung. Memperingatkan isterinya.
“Oh, cucu tok ibu pun balik kampung. Mari sini sayang...salam tok ibu.” Raykal menyambut tangan Pn. Hasmah. Matanya masih terkebil-kebil memandang si nenek. Kejadian yang terjadi di hadapan mata tidak difahami dengan jelas.
“Tok ibu, cikgu cakap tak baik marah-marah orang.” Kata Raykal bersungguh-sungguh.
“Marah? Tak…tak, tok ibu bukan marah. Tok ibu cuma tertinggi suara.” Dalih Pn.  Hasmah. Harap-harap Raykal terima alasan tu. Dia tidak perasan cucu kesayangannya ini ada bersama. Jika tidak, amarah yang bertamu dipendam dulu.
“Hmm….” Mata dikecilkan, kurang yakin dengan alasan itu. Namun, Raykal angguk juga.
“Jom kita masuk...tok ibu ada buat kuih.”
“Kuih apa? Rayqal suka makan kuih yang tok ibu buat!”
“Kuih yang Rayqal suka….”
“Betul?” Bertepuk tangan sambil melompat gembira.
“Betul. Ada dekat dapur. Raykal nak rasa tak?” Mengumpan Raykal supaya masuk ke dalam rumah. Dia masih belum selesai dengan Min.
“Nak...nak!” Soraknya. Berlari-lari dia masuk ke dalam rumah tanpa menunggu yang lain.
Min diam tak berkutip di belakang ayahnya. Dia sedar terlalu besar kesalahan yang dilakukannya. Memang patut ibu marah-marahnya begitu. Dia turut kesal dengan tindakannya dulu. Andai masa dapat diputarkan kembali..
Pn. Hasmah cerlung mata memandang Min. “Bertunang tanpa izin kami! Kamu nak tengok ibu sakit agaknya?” Ibu mana yang tidak terkejut jika dikhabarkan tentang berita sebegitu. Sungguh dia tidak bangga dengan apa yang dilakukan Min.
Min mengeleng. Sebak. 
“Memang itu yang kamu nak! Sebab itu kamu pandang remeh dengan maruah keluarga. Buat main!” 
“Kita masuk ke dalam dulu, Mah.” En. Mirwan mengisyaratkan Min masuk ke dalam rumah.
Min menunduk. Melangkah masuk ke rumah bersama ayahnya. Tidak berani menjauhi En. Mirwan. Apatah lagi memandang mata ibu yang masih tajam mengawasi pergerakkannya. Melabuh duduk di sisi ayahnya. Tanpa menunggu atau memberi kesempatan untuk Min merehatkan diri, Pn. Hasmah terus membuka cerita.
“Tengku Haninah dengan Tengku Lukman datang..”
Min mengangkat muka memandang ibunya. Membuntang matanya dek terkejut yang amat sangat.
“Mereka dah ceritakan semuanya. Pandai betul kamu simpan rahsia. Lama pula tu....” Melepaskan keluhan.
Wajah yang sememangnya sudah pucat semakin pucat. Ibu mendapat tahu tentang pertunangannya daripada Tengku Haninah dan Tengku Lukman sendiri? Luth Qadri…Apakan ini maksud lelaki itu? ‘I akan tamatkan apa yang I mulakan.’ Kata-kata Luth Qadri tergiang-giang di telinga.
“Ibu dah buat keputusan dan ayah ikut saja.” Celah ayahnya. 
Buat keputusan tentang apa? Min binggung. Untuk bertanya dia tidak berani. Membuka mulut mungkin akan menambah kemarahan ibu.
“Bulan depan kamu kahwin dengan tunang kamu tu... Kami tak setuju kamu putuskan pertunangan.” Tambahn Pn. Hasmah serius.
“I..Ibu..?” Terkejut dengan keputusan yang tidak terduga.
“Kami dah putuskan..”
“Min minta ampun ibu, ayah! Marahlah Min. Buatlah apa saja, tapi jangan minta Min kahwin dengan dia..” Rayunya.
 “Kamu tak payah cakap apa! Bukan itu yang ibu nak dengar. Kalau kamu berdua putus, mana ibu nak sorokkan muka ni? Maruah keluarga kita nak letak di mana? Paling ibu tak sangka, Min sanggup buat kami begini..”
Terus-terusan menekan Min. Bukan dia mahu bersikap kejam, tetapi dia yakin dengan keputusan ini. Sekurang-kurangnya lelaki yang pernah menjadi pilihan Min itu adalah orang yang boleh diharap. Jadi dia fikir, jalan yang paling tepat ialah menyatukan kedua-duanya.
 “Min tak setuju! Ibu, tolong jangan paksa-paksa, Min…” Dalam takut-takut bantahan terkeluar juga.
“Tak setuju? Waktu kamu buat keputusan untuk bertunang, ada kamu minta persetujuan kami? Ada tak Min?!”
Min tak menjawab. Dia sudah tak keruan.
“Ada yang paksa? Ibu atau ayah paksa kamu?! Tengku Haninah dan Tengku Lukman paksa kamu?! Ada…ada yang paksa?!!” Melengking suara itu. Bantahan si anak menaikkan amarahnya.
Kali ini Min geleng. Tiada paksaan. Didesak sekalipun, jika dia tak terima, semuanya tidak akan terjadi. Pertunangan dia dan Luth Qadri tak akan berlangsung. Dia yang mabuk kepayang berkasih dengan lelaki itu. Jauh disudut hati dia yang merelakan segalanya terjadi…
Min pegang lengan ayahnya. “Ayah Min tak nak! Min tak setuju!”
Pn. Hasmah mendengus. “Tak setuju…. Habis, kenapa kamu bertunang dengan dia?!” Bantahan dipatahkan.
Pn. Hasmah mengurut-urut kepalanya. Dahinya juga sudah berkerut-kerut. Lagaknya seperti sedang menahan sakit. Tubuh disandarkan ke belakang. Tidak tegak lagi seperti tadi.  Nampak lesu tidak bermaya.

“Kenapa ni Mah? Darah awak naik ke?” En. Mirwan cemas. Mendekati si isteri. Tangannya turut sama mengurut kepala Pn. Hasmah.
“Ibu tak sihat ke? Dah makan ubat?” Min dilanda bimbang. Dia bingkas merapati si ibu.
“Ini yang kamu nak kan? Nak tengok ibu sakit!”
“Mah…tak elok cakap macam tu…”
“Kalau dia tak sanggup  tengok saya sakit, dia akan buat begitu sejak awal lagi. Bila kita buat keputusan untuk teruskan pertunangan, dia tak akan bantah. Dia akan bertanggungjawab ke atas perkara yang dia sendiri mulakan.”
“Ibu…Min…” Cuba menafikan anggapan ibu.
“Ambilkan air untuk ibu, Min.”  Arah En. Mirwan.
“Min ambilkan air sekejap, ibu....” Sekelip mata Min hilang ke dapur. Muncul semula dengan segelas air kosong di tangan. Disuakan ke mulut ibunya. Pn. Hasmah meneguk sehingga separuh gelas.
“Itulah, cuba jangan degil. Ikut apa yang ibu nak.... Ibu kamu bukannya boleh kalau risau-risau, naik darahanya.” Kata En. Mirwan tegas.
“Kita pergi hospital ya ibu?” Ajak Min. 
“Ibu tak nak! Biar ibu sakit, kamu saja nak ibu malukan? Kalau tidak takkan kamu bantah!”
“Min...Min tak suka.... Kami dah tak sehaluan..” Terang Min.
Mendengarkan sahaja jawapan Min Pn. Hasmah panas hati kembali. “Tak suka? Tak suka sampai kamu bertunang dengan budak tu?!”
Min terdiam. Payah untuk diterangkan kepada ibu dalam situasi sekarang. Tahukah ibu Luth Qadri telah melukakan perasaannya?
“Hal-hal begini bukan boleh dibuat main, Min. Bukan macam kita buat ikatan tali. Ikat dan lepaskan ikut suka kita…Ia dah melibatkan soal maruah keluarga. Malunya akan datang kepada kami ni. Hubungan itu bermasalah dulu ada hikmahnya. Tuhan nak tunjuk betapa penting keredhaan ibu dan ayah. Dia tak izinkan kamu terus-terusan tanggung dosa kerana membuat sesuatu yang kami tak redha. Tak berkat. Tapi sekarang ibu dan ayah dah redha andai lelaki itu jodoh Min.” Kata En. Mirwan berdiplomasi.
Min serba salah utuk meneruskan penolakkannya. Makin dia menolak keadaan sakit ibu makin teruk. Min mengosok kepalanya sendiri. Tekanan darahnya juga tinggi!
“Ibu…Min…Min….”
“Memang Min nak ibu malu!” Seluruh bahagian kepala diurutnya. Dadanya juga sudah turun naik. Muka berkerut-kerut menahan sakit.
“Bukan macam tu….Min…”
“ Habis?!” Mengosok dada. 
“Min...Min ikut cakap ibu....” Lafaz Min perlahan. Terpaksa merelakan. Melihat tangan ibu melurut dada buat kerisauannya makin bertambah. Dia tidak sanggup melihat apa-apa menimpa ibu. Sakit pening yang melanda ibu tidak dapat tidak pasti dia akan menyalahkan diri kerana menjadi punca. Bertanggungjawab  di atas apa yang dia mulakan.. Dia benci perkataan itu!
 “Kita ke hospital ya?” Ajak En.Mirwan. Dihurung bimbang.
“Saya nak dengar Min cakap dia setuju..”
“Min..” Digesa ayahnya.
“Ayah..”
“Min!” Tekan En. Mirwan.
“Min..Min setuju ibu..”
Pn. Hasmah menarik nafas lega. Lapang dada dan otaknya. Itulah yang ingin didengar dari mulut Min.
“Tak payah bang...asalkan Min tak bantah, saya pasti tak apa-apa....” Pn. Hasmah melepas nafas lega. Dadanya tidak sesesak tadi.
“Betul ke tak apa-apa?”
“Betul…saya tak apa-apa.”
“Abang risau..”
“Hal Min yang buat saya runsing semenjak dua menjak ni. Dapat jawapan yang saya nak dengar tak apa-apalah saya. Saya pergi tengok cucu dekat dapur....senyap aje....” Pn. Hasmah bangkit, beredar ke dapur bersama seribu kelegaan.
Min terduduk. Wajah di raup beberapa kali. Memikir kembali persetujuan yang diberikan. Sekali lagi dia terjerat. Apa akan terjadi pada hubungan dia dan Luth Qadri nanti..

Untuk versi penuh dapatkan novel Kau Dan Aku di kedai-kedai buku berhampiran anda. Boleh juga layari www.p2u.my untuk pembelian secara online.

3 comments :

  1. nk lg..
    pendek sgt nie...
    huhuhu..

    ReplyDelete
  2. Ha..ha..kelakar mak min,,kesian min paksa redha terima si qad

    ReplyDelete