U n Uols

Selasa, Mac 27, 2012

Bab 5:Hati Bertanya Siapa Kamu

“ Dayang……..!” Che Peah menjerit gembira melihat kelibat Dayangku Inara yang sedang berbaring di kerusi.

“ Kau tak apa-apa ke Dayang?” Bersungguh-sungguh Intan bertanya. Diterkamnya Dayangku Inara yang sedang menonton tv di ruang tamu. Dayang yang sedang berbaring di kerusi berangkai tiga bangkit dari baringnya. Duduk bersandar. Sesak nafas dengan perlakuan teman-teman yang sedang kerisauan.

“ Alhamdulillah tak apa-apa…..kaki ni je yang terseliuh….” Terang Dayang menunjukkan kaki yang berbalut.

“ Aku ingat lelaki tu dah bawak kau pergi mana-mana dah…” Intan menyuarakan kebimbangan yang melanda diri sejak pagi. Panas punggungnya sepanjang hari.

“ Dia bawak Dayang pergi klinik je…” Menutup mulut menahan kuap. Sisa-sisa mengantuk kerana mengambil ubat yang dibekalkan doktor masih terasa.

“ Alhamdulillah…..” Che Peah memanjatkan kesyukuran. Tapak tangan diraup ke muka. Intan menuruti perlakuan Che Peah.

“ Dengan kaki yang macam ni kau balik rumah naik apa?” Intan melabuh duduk di sebelah Dayangku Inara. Che Peah bersila di lantai. Terdongak kepalanya memadang Dayang dan Intan. Semuanya salah jejaka itu, ada ke dibawa lari sahaja kawannya ini.

“ Lelaki tu yang hantarkan….” Jawab Dayang memandang Intan dan Che Peah sekilas. Dia tunduk menyentuh pergelangan kaki yang berbalut.

“ Mujur dia hantar balik rumah……aku dah sedia nak buat report polis kalau balik-balik tengok kau tak ada…Kita called tak angkat..."

" Bateri kong....malas nak cas..."

“ Intan payung ni memang terlebih dramatik Dayang…bukan kau tak tahu. Ikut dia masa balik tadi dia nak singgah balai buat report. Che Peah cakap tunggu dulu. Nak pastikan kau dah balik ke belum…kalau kau tak balik jugak baru kami boleh buat report…”

“ Baiknya kau Intan……ini yang buat Dayang terharu.” Bahu Intan dielus-elus.

“ Terharu aje?” Intan tersengih-sengih.

“ Esok-esok Dayang belanja dinner. Malam ni terpaksa canceled ya….Dayang tak larat nak keluar.”

“ Tak apa…asal kau sihat sudah Dayang…” Che Peah membalas.

“ Che Peah…” Seru Dayangku Inara manja. Kelopak mata dikerlip-kerlipkan. Mahukan sesuatu daripada Che Peah.

“ Che Peah tahu…Che Peah tahu….ish…..apa nak jadi dengan anak-anak dara dalam rumah ni. Makan nak, masaknya malas nak belajar….asyik-asyik Che Peah jugak yang jadi chef. Patut Che Peah minta bayaran daripada korang berdua…letak harga mahal-mahal.” Bebel Che Peah. Dia bangkit dari duduk melangkah ke bilik tidurnya. Menukar pakaian sebelum menjalankan tugas sebagai chef terhebat di dapur mereka.

“ Che Peah nak makan nasi goreng!” Minta Dayang.

“ Che Peah, aku nak ayam goreng!” Intan turut sama membuat permintaan.

“ Kau pun sakit jugak ke Intan payung? Che Peah layan order orang sakit tu aje…orang sihat buat sendiri!” Laung Che Peah dari dalam bilik.

“ Kau ni Che peah….aku pun sakit jugak. Sakit perut sebab lapar….” Intan memegang perut dengan mimik muka kesakitan.

“ Che Peah tak kuasa. Buat sendiri!”

“ Berlakon…bukannya Che Peah kat dalam bilik tu boleh nampak…” Bebel Dayang. Mengetuk kepala Intan yang terlentok di bahunya.

Setengah jam berlalu. Dapur sudah bising dengan pelbagai bunyi. Aroma masakan Che Peah mula memenuhi seluruh ruang rumah. Tergoda dengan bau yang enak itu, Dayangku Inara yang sedang berbaring di kerusi menapak ke dapur. Keinginan untuk menikmati hasil masakan Che Peah tidak dapat ditahan-tahan. Kecur air liurnya. Sengih dilemparkan kepada Intan yang memandangnya tak puas hati kerana, bersekongkol dengan Che Peah memaksanya menyediakan sambal belacan.

“ Kau kalau tak makan sambal ni tak boleh Dayang? Tak padan dengan kaki sakit…..” Marah Intan. Menumbuk-numbuk cili dalam lesung batu. Selalunya dia yang melakukan tugas itu. Oleh kerana kesihatan yang terganggu, Che Peah mengeluarkan arahan bahawa tugas tersebut diberikan kepada Intan. Untung juga jadi orang sakit….

“ Apa masalahnya dengan kaki sakit? Dayang makan ikut mulut bukan ikut kaki…” Menjawab kata-kata Intan. Bersusah-payah dia melabuh duduk di ruang dapur yang sempit. Agak jauh duduknya dari Intan yang sedang menumbuk sambal. Takut terpencik ke dalam mata. Mata buta sebab nak makan sambal belancan. Tak berbaloi!

“ Menjawab….” Intan cekak sebelah pinggangnya.

“ Memberikan jawapan sahaja….” Sengih lagi.

“ Dayang…” Che Peah yang sedang menumis memanggil namanya.

“ Yup…” Sahut Dayang.

“ Dayang….” Che Peah memanggil lagi.

“ Iya…Che Peah….Dayang ada kat sini…..nak apa?”

“ Lelaki yang langgar Dayang tu, Che Peah rasa dah pernah nampak….fikir-punya fikir tak ingat dekat mana…tapi betul…dah pernah tengok sebelum ni…”

“ Agaknya dia lalu area sini…mungkin nampak dia masa kita sama-sama tunggu bas…” Dayang membuat telahan.

“ Mungkin juga….tapi rasanya bukan. Che Peah pernah nampak kat tempat lain…..dekat..dekat..ish..tak ingat ni Dayang. Dah ingat nanti Che Peah bagitahu.”

“ Che Peah…Che Peah…buat apa pening-pening fikirkan orang yang kita tak kenal tu…bukan ada kaitan dengan kita pun. Lupakan dia, mari kita teruskan hidup…” Dayang bergurau. Intan gelak kuat.

“ Assalamualaikum!” Terdengar suara orang memberi salam. Gelak Intan terhenti.

“ Siap pula yang datang malam-malam ni…” Intan memanjangkan leher untuk melihat dari tingkap dapur.

“ Hah…hah…Siapkan sambal belacan tu, jangan pergi mana-mana. Orang yang datang tu , biar Dayang pergi tengok…” Memberi amaran kepada Intan yang berhenti menumbuk cili sebelum gadis itu bangkit ke ruang tamu.

Iye…..” Balas Intan memuncung.

Dayangku Inara bangkit dari duduk. Memegang dinding dan hujung meja untuk bangun. Terhinjut-hinjut dia melangkah ke ruang tamu. Menyambar kunci di meja kopi. Menapak ke pintu. Tombol dipulas. Perlahan-lahan daun pintu dikuak. Bimbang orang yang datang itu perompak atau saudara-maranya. Kalau betul, sempat juga tutup pintu tu balik. Lepas tu pergi menyorok bawah dapur!

Terpandangkan sesusuk tubuh yang sedang berdiri tegak di sebalik geriji besi, mulut terganga luas. Dia? Kenapa datang lagi?

“ Hai…” Sapa Gibran.

“ Awak buat apa datang sini?” Dayang menyoal. Pintu diselak luas. Kunci grille masih tidak dilepaskan. Kepala memandang ke kiri dan ke kanan. Mempastikan bahawa Gibran tidak membawa sesiapa. Nyata lelaki itu hanya bersendirian.

“ Saya datang nak hantarkan makan malam. Kaki Dayangkan sakit….tentu susah nak keluar beli apa-apa…” Mengangkat plastik berisi makanan untuk ditayangkan kepada Dayangku Inara. Semerbak bau yang enak makanan menyapa hidung dan mengoda perut yang sedang berkeroncong.

“ Makan malam? Saya…saya…kami dah masak. Awak bawak balik jelah…” Menolak secara baik.

Ambiklah…saya belikan untuk Dayang dengan kawan-kawan. Ni sebagai tanda saya minta maaf….kan saya dah cakap, saya bertanggungjawab…”

“ Tak apa. Tak apa. Saya takkan tuntut apa-apa daripada awak. Selepas ni, awak tak payah susah-susah datang rumah saya lagi. Balik laa..Encik Gibran….tolonglah…” Ingatkan siang tadi adalah kali terakhir dia terpaksa menghadapi lelaki ini, malamnya muncul lagi?!

“ Ambiklah…..kalau awak tak ambik siapa nak habiskan semua ni? Tak baik membazir….” Gibran mengumpan. Menayang muka kesian.

“ Saya tak nak ambik!”

“ Ambik laa….”

Memandang Gibran musykil. “ Kenapa awak beria-ia nak bagi saya semua ni? Awak ada letak jampi ya? Baik awak cakap…”

“ Siapa yang datang tu Dayang?” Laungan Intan menganggu mereka.

“ Erk….erk…erm….orang…orang…”

“ Siapa?” Intan melaung lagi.

“ Awak balik sekarang boleh tak? Ingat elok sangat ke lelaki datang bertenggek kat rumah anak dara. Balik..balik!” Mengarahkan Gibran balik. Tangan dihayun-hayunkan menghalau.

“ Siapa yang datang Da…” Intan muncul di belakang Dayang. Sedari tadi dia bertanya, jawapan siapa yang datang tidak juga diperolehi. Tidak dapat menahan rasa ingin tahu, sambal belacan Dayang ditinggalkan sekejap. Mendapat jawapan dengan mata dan kepala sediri buat dia terganga. Berulang lagi aksi sama yang berlaku kepada Dayang.

“ Che Peah!” Jeritan Intan bergema memanggil Che Peah pula.

“ Intan…tak payah laa panggil Che Peah…” Tahan Dayangku Inara.

“ Che Peah!” Masih juga memanggil.

“ Che Peah datang ni…..menjerit tak habis kau ni Intan. Kau nak apply kerja dengan tarzan ke?” Che Peah muncul diruang tamu. Sibuk menyinsing lengan baju. Lagaknya seperti orang nak pergi bergaduh! Intan punya pasal, kan Che Peah dah naik angin. Aku kerjakan jugak si Intan payung ni….

“ Jangan garang-garang Che Peah…nanti tak ada orang nak. Sini Che Peah. Kau tengok siapa yang datang…” Mengajak Che Peah menghampiri pintu.

“ Siapa yang datang? Hero Malaya ke? Tak baik biarkan tetamu berlama-lama kat luar...” Che Peah teruja serta-merta.

“ Hero si Da…” Ketam batu Dayang mendarat di lengan Intan. Mencerlung mata memandang teman yang mula mengarut.

Che Peah menolak Dayang dan Intan ke tepi. Keinginan untuk melihat orang yang dimaksudkan Intan meruap-ruap. “ Awak? Ini orang yang larikan Dayang pagi tadi. Datang sini nak serah diri ya?” Che Peah mencekak pinggang.

“ Saya datang hantarkan makan malam untuk Dayang….untuk Dayang dan…” Sopan Gibran membalas.

“ Saya Che Peah…yang tu dah kenal?” Soal Che Peah.

“ Belum…” Jawab Gibran. Senyum mesra.

“ Yang tu Intan. Dayang dah kenal?”

“ Dah…” Menyapu pandang wajah Dayang. Direnung lembut.

“ Datang rumah anak dara malam-malam ni kenapa?” Garang Che Peah bertanya. Aura mak-maknya dah keluar.

“ Saya nak bagi Dayang ni…” Menayang plastik di tangan. Penat dah dia buat tayangan makanan.

“ Kenapa baik sangat nak bagi Dayang?”

“ Saya akan bertanggungjawab ke atas Dayang….”

“ Bertanggungjawab? Awak buat apa dekat Dayang? Baru kenal satu hari dah buat yang bukan-bukan dekat Dayang? Saya dah agak…sebab tu awak larikan Dayang pagi tadi kan?” Intan menyampuk. Menempatkan diri di sebelah Che Peah. Dayang sudah tertolak jauh ke belakang.

“ Kau pun satu Dayang…kenapa tak cakap dia buat tak elok dekat kau? Jom kita buat report sekarang..biar lelaki ni kena tangkap!”

Dayang ketap gigi. “ Merepek!” Ketam batu Dayang hinggap lagi di lengan Intan. Menyeringai sakit gadis itu.

Gibran ketawa lucu. “ Maksud saya, saya kena bertanggungjawab sebabkan kaki Dayang jadi macam ni…”

“ Owh….” Che Peah dah Intan angguk serentak.

“ Maaf Encik Gibran…otak diorang ni trouble sikit…jangan simpan dalam hati…” Dayang menolak Che Peah dan Intan ke tepi. Grill yang berkunci dibuka.

“ Nak bagi saya kan?” Mengambil plastik berisi makanan di tangan Gibran.

“ Ya..”

“ Saya dah ambik ni….awak balik sekarang ya? Bye!” Suruh Dayang. Tubuh Gibran ditolak supaya segera berganjak dari rumah itu.

“ Tak ajak masuk?”

“ Jangan nak mengarut!”

“ Che Peah cakap tak baik biar tetamu duduk luar..”

“ Awak ni kan….geramnya! Balik!”

“ Yalah saya balik. Esok pagi saya datang….”

“ Balik! Bye…bye…Gibran…” Menolak Che Peah dan Intan masuk ke dalam rumah. Pintu ditutup rapat.

“ Buat malu Dayang je korang ni!” Marah Dayang. Plastik makanan diletak ke meja kopi.

“ Dah dia cakap macam tu….tentulah aku fikir..”

“ Intan payung tu memang Dayang…” Che Peah duduk di sisi Dayang. Makanan yang dibawa Gibran diselongkar. Wah! Nasi ayam. Rezeki…rezeki…

“ Nasi ni kita makan dua orang je Che Peah…” Kata Dayangku Inara.

“ Habis aku?” Intan berkerut dahi.

“ Makan nasi goreng kat dapur!” Dayang berkata tegas. Che Peah gelak jahat.

“ Alhamdulillah…” Ucap Dayang kekeyangan. Sebungkus nasi ayam sudah dihabiskannya.

“ Sampai hati tak simpan untuk aku…” Intan berbelas sambil mengunyah nasi goreng berlautkan sambal belacan buatannya. Telan liur sahaja melihat Dayang dan Che Peah bersantap nasi ayam.

“ Denda…”

Mencebik. “ Dayang…kau agak kenapa lelaki tu baik sangat? Aku rasa dia berkenan dengan kau laa Dayang…” Menyuap nasi goreng ke mulut. Makan juga kerana perut lapar.

“ Merepek lagi. Aku ni isteri orang…”

“ Kau ada bagitahu dia ke kau dah kahwin?”

“ Ada….eh..tak. Entah…”

“ Hati-hati Dayang…jangan kau terjebak dengan dia…” Peringat Intan.

“ Dayang! Che Peah dah ingat….Che Peah pernah nampak lelaki tadi masa kau nikah. Dia pakai baju melayu putih. Confirm!”

“ Che Peah….bukan ke hari tu yang pakai baju melayu warna putih pengantin lelaki je?”

“ A’ah kan…tapi tak pasti jugak. Kita balik awal….” Balas Che Peah.

Mendengar cerita yang keluar daripada mulut dua orang gadis itu buat Dayang terdiam. Kepala digeleng-gelengkan. Wajah kabur lelaki yang bergelar suaminya terbayang diruang mata. Tak mungkin….

Untuk versi penuh dapatkan novel Hati Bertanya Siapa Kamu di kedai-kedai buku berhampiran anda. Boleh juga layari http://www.karyaseni.my/ untuk pembelian secara online.

7 ulasan :

  1. hahaha... Dayang ni cepat gelabah betul la....best...


    cda

    BalasPadam
  2. bestnya nurf

    BalasPadam
  3. Lagi lagi lagi!!!!! hehehe

    BalasPadam
  4. kelakar betul 3 sekawan tu...blur je...hahaha

    ~kak min~

    BalasPadam
  5. best..................
    followwwwwwwwwww

    BalasPadam
  6. sodap novel nie....sambung cepat!!!!!!

    BalasPadam
  7. cepat sambung yah... tak sabar menunggu sambungannya...

    BalasPadam