U n Uols

Jumaat, Mac 16, 2012

Bab 4: Hati Bertanya Siapa Kamu

Dayangku Inara melurus pandangan ke depan. Otak sibuk merekacipta alasan untuk mengelak daripada dihantar oleh lelaki yang bernama Gibran sehingga ke rumah sewanya. Sesekali dahi berkerut tanpa sedar. Dan sesekali juga mulut memuncung dan mencebik kerana menolak idea sendiri. Akhirnya, dalam banyak-banyak cadangkan yang berbaris serupa peserta nak pergi uji bakat program nyanyian, salah satunya telah dipilih. Otakku memang geliga! Tak sia-sia mak bagi makan makanan berkhasiat sejak kecil. Memuji-muji diri sendiri. Cumanya sejak tinggal menyewa ni, makan makanan yang tak berkhasiat sangat. Che Peah asyik kasi makan ikan goreng dengan sayur goreng. Kesian orang nama Dayangku Inara ni kan?

Ya, Allah….tak baik, tak baik. Bersyukur dengan apa yang dinikmati. Alhamdulillah….syukur…

Spontan tali pinggang keledar yang membelit tubuh ditanggalkan.

“ Dayang kenapa, tak selesa ke? Ada tempat lain lagi yang sakit selain kaki tu?” Gibran yang sedang memandu bertanya cemas. Tumpuannya terbahagi antara jalan raya dan gadis di sebelah. Runsing jika Dayang mengalami kecederaan dalaman.

Mengigit hujung bibir. Haish…mengelabah terlebih pulak dia. Doktor di klinik dah cakap, ‘Cik Dayang hanya mengalami kecederaan ringan’. Tiada apa-apa yang perlu dirisaukan. Masih tak percaya ke? Ketuk kepala tu kan….

“ Saya nak pergi toilet!”

“ Nak pergi toilet? Buat apa?” Bertanya bodoh.

Apa jenis soalan budak Gibran ni. Mesti mak dia tak kasi makan makanan berkhasiat seperti mak kita masa kecil-kecil ni. “ Nak pergi beli air…” Bersahaja menjawab.

“ Beli air? Tadi ada mini market…tapi dah lepas…depan sana ada Seven E…..nanti saya belikan air…” Sengih lebar. Tawa yang hampir tercetus ditahan. Lucu melihat mimik muka Dayangku Inara kerana jawapan yang diberikannya. Jawapan yang disengajakan. Dayang berloyar buruk, dia mengikut.

“ Orang pergi toilet buat apa?” Dayang mencuka. Geram kerana dipermainkan Gibran. Tubuh sedikit mengiring menghadap jejaka yang tersengih-sengih itu.
“ Dayang tahan sekejap. Kita dah nak sampai rumah Dayang ni…tak jauh mana dah. Hmm?” Pujuk Gibran lembut.

Memegang perut. Membongkokan badan. “ Tak boleh. Saya dah tak tahan sangat. Stop…stop dekat stesen minyak depan sana!” Jari telunjuk diluruskan ke depan. Menunjuk arah.

“ Dayang berlakon ekh? Sekali tengok saya dah tahu. Sebenarnya nak lari sebab tak nak saya hantarkan sampai rumah kan? Masih tak putus asa lagi ya….” Gibran berkata dengan senyum yang tersemat di bibir.

Melopong tiga saat. “ Sakit perut mana boleh berlakon-berlakon….” Membuat penafian terhadap tuduhan berasas itu. Badan yang membongkok kembali tegak bersandar.

“ Kenapa takut sangat saya tahu mana Dayang tinggal?”

“ Baik. Alang-alang awak dah keluarkan pasal ni, biar kita berterus-terang. Awak ni kerja dengan siapa? Siapa yang upah awak untuk ikut saya? Abang Idham? Mak ayah saya? Ke lelaki tua tu? Awak nak tahu mana saya tinggal sebab nak report dekat bos awak kan?” Bertanya bertalu-talu berserta dengan andaian.

“ Saya tak diupah sesiapa….lagipun saya bukan kerja spy….” Menolak dakwaan Dayangku Inara.

“ Habis awak kerja apa?”

“ Saya? Saya kerja……hmm….saya budak pejabat.”

“ Budak pejabat? Awak jangan nak kelentong saya. Budak pejabat takkan mampu pakai kereta mahal macam ni.” Sangkal Dayang.

“ Siapa cakap ni kereta saya?”

“ Kalau bukan kereta awak kereta siapa? Hah! Mesti nak kata kereta bos kan? Klise….”

“ Betul laa tu…”

“ Apa yang betul?”

“ Kereta bos. Pagi ni bos mintak saya jadi driver dia. Saya kerja office boy….semua kerja saya buat…” Nada berbelas. Muka kesian.

Melihat riak tidak percaya di wajah Dayangku Inara, Gibran bersuara lagi. “ Tak percaya?”

“ Langsung tak! Office boy konon….tapi pakai pakaian mengalahkan bos.” Elah, nak menipu kita. Ingat kita ni bodoh? Senang ditipu? Awak silap Encik Gibran!

Gibran garu kepala. Tayang sengih. Kata-kata Dayang tak terbalas olehnya. Mati kutu. Tiba-tiba pula jadi bijak.

“ Diam….sah-sah kelentong…”

“ Cuba tanya abang Idham awak. Kalau tak percaya jugak tak apalah…..apa saya boleh buat…” Menjual nama Idham.

“ Tetap tak percaya! Mesti awak dah berpakat-pakat dengan abang saya. Lepas awak tahu mana saya tinggal, awak akan bagitahu abang Idham kan? Lepas tu abang Idham akan bagitahu orang tu. Lepas tu dia akan paksa saya tinggal dengan dia. Lepas tu aw……”

“ Tak….kalau Dayang tak benarkan saya bagitahu abang Idham, saya tak akan cakap….” Mencelah di antara andaian Dayang yang meleret-leret.

“ Betul?” Mata membulat. Bersinar-sinar gembira.

“ Betul…” Berjanji.

“ Kalau abang Idham atau siapa-siapa tahu mana saya tinggal, awak orang pertama yang saya cari. Ingat!” Dayang beramaran. Mata yang membulat dikecilkan, tangan naik mengancam.

“ Ingat…” Balas Gibran bersahaja.

“ Janji?”

“ Janji….”

“ Okey.” Nafas lega ditarik dalam. Senyum senang menghiasi wajah. Cakap awal-awal kan senang, tak adalah otaknya penat mereka-reka alasan dan kaedah terbaik untuk melarikan diri. Buat orang gelabah je. Masih selamat tempat persembunyianku…

Melihat senyum yang terukir di wajah Dayang, Gibran ikut tersenyum senang. Pemanduan diteruskan dengan tenang. Lancar perjalanan mereka. Kira-kira dua belas minit kemudian, mereka tiba di hadapan flat yang dihuni Dayang bersama Intan dan Che Peah.

“ Tingkat 9 kan?” Mematikan enjin kereta.

“ Mana awak tahu tingkat 9? Oo…..awak betul-betul spy. Tak syak lagi!”

“ Tadi…”

“ Apa tadi-tadi?”

“ Dekat klinik tadi, awak yang cakap…tingkat 9…tak ingat?”

Berfikir sejenak. Part terlepas cakap terimbas kembali di minda. “ Ingat. Daya ingatan saya masih kuatlah, tadi tu saja buat-buat lupa….sebab…sebab nak uji awak!” Ayat cover line. Diam-diam Dayang mengetuk kepala sendiri. Dia keluar dari perut kereta.

“ Tunggu..saya tolong…” Sekejap sahaja Gibran sudah berada di sisinya.

“ Saya boleh naik sendiri…awak pergi jelah balik…” Memandang ke sekeliling. Bimbang terserempak dengan makcik-makcik yang selalu berkumpul depan kedai Kassim. Kassim tu jual barang-barang runcit dan bahan-bahan segar. Kedai dia letaknya di blok depan tu, betul-betul menghadap lif. Jangan tak tahu, sambil-sambil memilih ikan, makcik-makcik buka kedai jual ketupat atau mengumpat atau terkenal juga sebagai ahli mesyuarat tingkap.

Kata orang, duduk bandar jiran-jiran tak ambil kisah hal jiran tertangga. Tapi jiran-jirannya lain pula, suka mengambil berat perihal gadis-gadis yang tinggal di blok ini. Perlakuan gadis-gadis sepertinya sentiasa menjadi perhatian mereka. Jika ada yang melihat dia berpegang-pegangkan dengan lelaki, tentu namanya bakal menjadi ‘isi ketupat’. Meniti di bibir ahli-ahli mensyuarat tingkap. Tak pasal-pasal jadi bintang mee segera! Glamour kau Dayangku Inara!

Bila difikir-fikir balik, bagus juga kerana mereka warga yang prihatin. Bekerjasama cuba mencegah perkara-perkara sumbang yang kian berleluasa. Terbaik makcik-makcik semua. Teruskan usaha anda!

“ Saya kena pastikan Dayang masuk rumah dengan selamat dulu baru saya pergi…” Jemarinya hinggap di lengan Dayang.

“ Jangan pegang-pegang! Saya jalan sendiri…” Menepis-nepis tangan Gibran yang cuba membantunya masuk ke dalam lif. Terlebih prihatin pulak dia….

“ Nanti jatuh…”

“ Kaki saya bukan cedera teruk….boleh jalan sendiri lagi. Awak nak ambik kesempatan ya?”

Gibran sengih. Menjungkit kedua-dua belah bahu. Kedua-duanya diam sepanjang berada di dalam lif. Mata Dayang asyik merenung pintu lif, manakala mata Gibran pula kerap singgah merenung pipi Dayang yang memerah semulajadi. Cute macam baby!

“ Kita dah sampai…” Maklum Dayang apabila pintu lif terbuka.

“ Dah sampai tingkat 9? Cepatnya…..rumah awak yang mana satu?”

“ Sibuk je nak tahu mana rumah kita. Tahan pintu lif ni, saya nak keluar. Pintu besi ni bukan boleh percaya, dengki. Selalu sangat dah sepit saya. Naik reput tulang bahu…” Bebelan Dayang mencetus tawa Gibran. Ketawa lucunya terhenti apabila dijeling si gadis.

“ Ingat kelakar ke? Kena batang hidung sendiri baru tahu apa rasanya….”

“ Tak…tak…” Sedaya-upaya menahan tawa. Kelakar betul Dayangku Inara. Ceria dan bermakna paginya kerana terserempak dengan gadis ini. Arahan Dayang dituruti, pintu lif ditahan. Sejurus keluar dari lif, gadis itu mengambil laluan di sebelah kanan. Dia mengekori.

“ Dah sampai rumah saya. Sekarang silakan balik…” Mempersilakan Gibran beredar dari hadapan rumahnya. Kunci dikeluarkan dari beg tangan yang tersangkut di bahu.

“ Dayang tak sudi jemput saya minum kopi?”

“ Ini rumah orang perempuanlah!”

“ Apa salahnya?”

“ Awak ingat rumah saya kedai kopi?”

“ Selagi tak dapat secawan kopi, saya akan tunggu kat sini!” Mengugut.

“ Suka hati awaklah! Duduk depan pintu ni selagi larat. Saya nak masuk!”

“ Siapa kata saya nak tunggu depan pintu?”

“ Habis?”

“ Saya nak tunggu kat dalam…”

Dayang melopong. Hanya menutup mulut apabila ada seekor lalat sesat bertebangan berhampiran mulutnya. “ Awak dah tak betul ya?”

“ Saya dah tolong Dayang….secawan kopi pun Dayang tak sudi hidangkan? Sedihnya orang tak menghargai pertolongan kita…” Membuat muka kesal.

“ Baik. Terima kasih sebab tolong saya. Tapi untuk benarkan awak masuk ke rumah ni tidak sama sekali!” Bertegas dengan keputusannya. Menghadang pintu rumah yang masih berkunci dengan tubuh. Kedua-dua belah tangan didepakan. Gibran nak masuk rumah sewa ni? Langkah mayatnya dulu!

Ketawa besar Gibran terlepas. Aksi spontan Dayang mengelikan hatinya. “ Saya gurau jela….cemas sangat…”

“ Erk….” Perlahan-lahan tangan yang berdepa dijatuhkan. Termalu sendiri.

“ Dayang….Dayang….you are so funny. Masuklah, saya dah nak pergi ni…..mesti bos saya tengah cari mana kereta dia….” Mata dikenyitkan.

“ Awak jalan dulu….”

“ Dayang masuk dulu…”

“ Awak jalan dulu….”

“ Dayang masuk dulu…”

“ Awak ni!” Dayang berdecik.

“ Saya kan dah cakap tadi….” Kunci di tangan Dayang dirampas Gibran. Pintu rumah dibukakan. “ Ini kan tanggungjawab saya sebagai se….” Kata-kata terhenti di situ.

“ Se?”

“ Sebagai….kawan abang Idham…” Mengisyaratkan Dayang masuk ke dalam rumah. Jemari Dayang ditarik. Kunci diletakkan di dalam genggaman gadis itu.

“ Jaga diri……saya pergi dulu….” Berpesan perlahan. Renungan lembut menyinggah lama di wajah Dayang. Dia hanyut seketika. Terleka.

“ Tadi cakap dah pergi….tak gerak-gerak juga…” Mengomel kerana segan direnung-renung begitu. Wajah dikalih kelain.

“ Pergi dulu. Bye… Dayang….” Berundur ke belakang.

“ Hmm…” Hanya itu yang dibalas Dayang. Grill yang terbuka luas ditarik. Dikunci kemas. Pintu ditutup apabila melihat kelibat Gibran sudah beredar dari rumahnya. Tubuh disandarkan pada daun pintu. Ada juga kawan abang Idham yang jenis terlebih perhatian ni….seramnya!

Kalau tak nak beredar juga tadi, pasti dia banting pintu depan hidung Gibran. Amek kau! Harap-harap janganlah mereka dipertemukan lagi…

Sementara menunggu lif, Gibran mengeluarkan telefon bimbit dari saku seluar. Perlu menghubungi seseorang. Ada berita penting yang mahu disampaikan. Telefon ditekap ke telinga. “ Saya dah tahu mana dia tinggal…”

“ Blok A, tingkat 9…”

Untuk versi penuh dapatkan novel Hati Bertanya Siapa Kamu di kedai-kedai buku berhampiran anda. Boleh juga layari http://www.karyaseni.my/ untuk pembelian secara online.

13 ulasan :

  1. wah, makin best. tak sabar nak tahu smbungannya.

    BalasPadam
  2. mesti dayang terkezut bila tahu yg Gibran itu lah suaminya yg disangkakan org tua

    BalasPadam
  3. best,.....akak followwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwww

    BalasPadam
  4. kah...kah...kah... ambik kau Dayang! Akhirnya jumpa jugak...

    BalasPadam
  5. terbaek........

    BalasPadam
  6. cptlaa smbg....
    BEST!!!!!!!!!!!!

    BalasPadam
  7. hahaha....dayangku inara...gibran tu suami kamu....

    BalasPadam
  8. salam dik..lepas tension bila baca citer ni..bab yg sungguh menarik dan kelakar giler..
    Keletah dayang yg bersahaja sgt memikat hati akak ..apatah lagi hati sisuami dayang tu kan..
    Tak ke Dayang rasa dirinya bedosa kerana meninggalkan suaminya tu dan membuat onar kat keluarganya..
    Teruja nak tahu..apa ek yg berlaku..selepas suaminya memberikan lokasi kediaman Dayang kepada sesorg yg menjadi tanda tanya pada kita..

    BalasPadam
  9. sedappppp bagatttt cite nie,gelak jer bce.
    idea cite gak ln dr y ln.p'bace thu siape hubby heroin,p heroin xthu
    kiihkihh...........

    BalasPadam
  10. puhles sambung cepat.....xleh saba2x

    BalasPadam
  11. menarik.. amat menarik cerita ni.. cik writer cepat sambung.. hari2 dok gelak jer baca citer ni..dayng2.. ikut suka kau jer nak lari majlis kahwin.. pastu salah cam suami pulak.. ish..ishh memang lawak

    BalasPadam
  12. bestlah cerita ni. tak sabar nak tunggu sambungannya.

    BalasPadam
  13. bestnya..I follow.hehe

    BalasPadam