U n Uols

Rabu, Julai 06, 2011

INI KISAH KITA BAB 11

Elman menghampiri Aryan yang sedang membaca akhbar di taman mini Pn. Serena. Abangnya hanya berpakaian santai. Wajah abang Aryan tidak dapat dilihat kerana ditutupi dengan akhbar di tangan. Bersandar ke belakang. Selalunya dalam cerekarama yang ditonton mummy mereka, golongan kaya membaca akhbar sambil bersarapan. Pegang surat khabar lepas tu pegang roti yang putih! Heran betul, jari diorang tak hitam ke terkena tulisan dekat surat khabar tu?


Mata di hala ke pokok bunga mawar di tepi pagar. Jari-jemari mengetuk-ngetuk meja di hadapan mereka. Benak sedang berfikir untuk memulakan bicara.


“ Nak apa?” Soal Raqib Aryan dari sebalik akhbar. Tiada balasan. Akhbar di tangan dijatuhkan dan diletakkan ke meja.


“ Abang ada dekat bilik ke malam tadi?” Soal Elman.


“ Kat biliklah…tidur……”


“ Sampai pagi?”


“ Yelah…..habis Elman ingat abang merayap ke malam-malam minggu….” Jawab Aryan tidak mengesyaki apa-apa.


Elman mengangguk. Abang Aryannya tidak bercakap benar. Something wrong somewhere! Hidungnya menghidu sesuatu.


“ Tak adalah…..saja tanya.”


Dia perasan kelakuan abangnya dan Kak Sara sejak kembali semula ke tanah air agak pelik. Selalu juga dia tertangkap kedua-duanya yang sibuk bermain isyarat mata. Kemudian bermain-main mata! Pada mulanya dia ingat disebab mereka berdua sudah kemceng sebagai sepupu. Nampaknya perhubungan mereka lebih daripada yang disangka. Takkan rapat sehingga keluar dari rumah Kak Sara dalam keadaan yang mencurigakan ketika subuh hari!


Nampak sangat abang Aryan berbohong. Dinihari tadi tu memang dia ingat tersalah tengok. Tapi setelah dipejam celikkan mata dan ditenyeh berkali-kali. Ternyata matanya tidak tersilap, memang kelibat abang Aryan yang dilihat itu. Sebenarnya dia terkagum seketika, sekali loncat abangnya sudah berjaya melepasi pagar tinggi tersebut. Hebat sungguh! Namun begitu rasa musykil tetap tidak hilang.


Kenapa tidak dibuka sahaja pintu pagar itu? Cuba bersangka baik, tetapi tidak boleh. Satu sahaja sebab yang bermain di benaknya. Abang Aryan tidak mahu orang lain turut terjaga kerana terdengar bunyi pintu pagar Mak Ngah yang bising. Tidak mahu orang lain terjaga kerana tidak mahu dirinya tertangkap berkunjung ke rumah itu pada ketika orang lain sedang enak di alam mimpi! Apa nak jadi dengan abang Aryan ni? Itu kak Saralah….kakak kesayangannya! Hendak tuduh lebih-lebih dia tidak punya cukup bukti. Tunggulah kalau bukti sudah ada di tangan….tengok boleh lepas ke tidak. Panas pula hati ini.


“ Dah laa…..nak masuk dalam!” Kata Elman terus melangkah masuk.


Aryan berkerut dahi, pelik. Tiba-tiba sahaja angin satu badan. Apa kena dengan adiknya itu. Krisis dalaman ke? Pagi-pagi lagi mood sudah tidak menentu. Mengalahkan perempuan! Akhbar yang dibiarkan tadi dicapai semula. Meneruskan pembacaan.


Masuk ke dalam rumah Elman bertembung dengan Pn. Serena. Wajah cemberot ditayangkan kepada mummynya. Heran sahaja wanita itu dengan tingkah si anak bongsu. Hendak dibiarkan tidak boleh juga karang melarat-larat pulak si Elman ni.


“ Kenapa ni? Jalan menonong aje. Tak tunjuk muka macam tu depan mummy boleh tak? Sakit mata hendak menengoknya…”


“ Tak ada apalah mummy. Nak pergi sambung tidur!” Terus mengatur langkah ke tingkat atas. Bersoal jawab dengan mummy, tidak pasal-pasal terlepas cakap. Bukannya mummy akan percaya cakap dia, nanti dikata sengaja mereka cerita. Baik diamkan sahaja! Tunggulah Elman siasat.


“Assalamualaikum!” Kedengaran suara memberikan salam.


“ Waalaikumussalam….” Jawab Pn. Serena. Kaki dihala ke ruang tamu. Pintu utama di hampiri. Lalu dikuak. Gembira bukan kepalang apabila seraut wajah Mimie yang terpapar di depan mata. Mereka berpelukan seketika. Agak lama juga adiknya itu tidak pulang ke mari. Munculnya tiba-tiba sahaja di pagi hari minggu ini.


“ Dari mana ni? Selalu tu payah aje nak balik ke sini….” Soal Pn. Serena.


Mimie melempar senyum. “ Dah lama tak jenguk rumah kan…..hari ni ada masa pulak so, datanglah….”


“ Masuklah…..emak ada kat bilik. Sedang mengaji….”


Mimie mengangguk. “ Mimie tunggu mak siap mengajilah……”


“ Hmm…yelah….kak long buatkan air. Nak minum air apa?”


“ Apa-apa jelah…..kak long masak apa untuk sarapan? Ada lagi tak? Lapar ni…..tak breakfast lagi….” Mimie menyentuh perut. Sejak di dalam perjalanan lagi perutnya tidak henti-henti berkeroncong. Mintak diisi. Selepas solat subuh tadi dia menyambung tidur. Bangkit dari tidur terus bersiap-siap untuk ke mari. Terlupa terus untuk mengalas perut. Parah. Tahap lupanya sudah kronik, terlupa memberi makan kepada diri sendiri! Ini mesti sebab tertelan semut hitam dalam teh tarik waktu berdating dua minggu lepas…..


“ Anak dara…anak dara…..pukul berapa bangkitnya? Dah nak masuk ke tengahari belum breakfast…..”


“ Hari cuti…..biasalah. Sayang nak tinggalkan katil….” Mimie tersengih. Mengekori kak longnya ke ruang makan. Sengihannya melebar terpandangkan mee goreng yang nampak begitu mengoda apabila tutupnya dibuka. Kecur air liurnya. Tak sabarnya nak makan…..


“ Hah! Bila kamu sampai?” Suara emaknya menegur dari belakang.


“ Baru lagi….” Emaknya dihampiri. Tangan tua itu disalami.


“ Belum sarapan lagi?”


“ Belum….”


“ Itulah sebabnya mak tak kasi kamu duduk sendiri. Makan tak terjaga…orang lain dah nak makan tengahari, kamu baru nak makan sarapan…..” Emaknya, Pn. Saripah sudah memulakan sesi bebelan. Hilang selera yang memuncak tadi.


“ Nah pinggan……” Hulur kak longnya. Cawan teh panas di letakkan ke meja makan. Turut sama melabuh duduk di sebelah emak mereka.


“ Tunggu apa lagi….makan cepat!” Suruh emaknya.


“ Orang nak makan laa ni….” Mee goreng hasil tangan kak longnya disenduk ke pinggan. Dikunyah-kunyah perlahan. Sedapnya…..


“ Tiba-tiba aje kamu muncul…mesti ada hal kan? Kalau tidak bukan main susah nak tengok batang hidung kamu…” Telah emaknya.


Mimie menghentikan suapannya. Alang-alang serkap jarang emaknya mengena. Baik dia berterus terang sahaja.


“ Mak…..Mimie ajak Sara tinggal dengan dengan Mimie dekat apartment…Sara pun dah setuju….mak pun setujulah ya?”


Berubah terus riak wajah emaknya. “ Tak cukup kamu aje yang tinggal sendiri, si Cempaka pulak kamu ajak? Tak boleh, Mak tak izinkan!” Putus emaknya. Pinggan berisi mee goreng ditolak ke tepi. Mati seleranya.


“ Mak ni…… Sara tu bukan budak kecik lagi. Semua benda tak boleh buat. Apa salahnya dia tinggal dengan Mimie? Lagipun Sara cakap, kak ngah dah izinkan dia pindah…..”


“ Habis rosak budak Cempaka tu kalau tinggal dengan kamu dekat rumah tak bertanah tu! Degil mengalahkan anak jantan. Apa salahnya Cempaka tinggal dengan emak dia aje? Lengkap serba serbi.”


“ Alah mak ni……orang tak nak makanlah kalau macam nih!” Ugut Mimie.


“ Ugut-ugut pulak dia…..mak cakap tak boleh…tak boleh!”


“ Kak ngah cakap boleh je….” Memandang kak longnya yang hanya mendengar perbualan mereka dua beranak.


“ Bila Mak su sampai?” Sapa Aryan yang baru muncul di ruangan itu. Dia sudah boleh mengagak tujuan kedatangan Mak su Mimie.


“ Lama tak lama….dah panas punggung…..” Menyambut huluran salam Aryan.


“ Bincang pasal apa? Serius je semua….”


“ Nenek Aryan nihah……ada ke tak kasi Sara tinggal dengan Mak su. Kami nak berdirikari lah mak…..”


“ Sara nak pindah apartment Mak su ke? Bagi jelah nek…..boleh juga Sara temankan Mak su.” Sokong Aryan. Sokong ada makna…..


“ Hah!? Kak Sara nak pindah?” Soal Elman yang memunculkan diri tiba-tiba. Terkejut semua orang dengan suaranya yang sedikit kuat.


“ Ish! Budak ini….terkejut mummy. Tadi cakap nak sambung tidur. Kenapa turun?”


Elman mengambil tempat duduk di sebelah mummynya.


“ Tak boleh tidur……..betul ke Kak Sara nak pindah?” Ajunya kepada Mimie. Langsung terlupa untuk bertanya khabar. Heran pula dia, kenapa abang Aryan menyokong penuh Kak Sara pindah tinggal dengan Mak su? Bukan ke menyusahkan untuk mereka berdua berjumpa kalau Kak Sara pindah nanti. Makin pelik…..makin pelik….


Mimie mengiyakan, kemudian menyambung kata. “ Nenek Elman pula tak bagi. Kalau mak tak bagi Sara tinggal dengan Mimie…..Mimie dah malas balik rumah ni! Tak payah ambik tau pasal Mimie lagi!” Elman angkat kening. Beria-ia benar Maksunya. Dia baru sahaja membuat rancangan untuk menangkap berbuatan abangnya. Kak Sara nak pindah pula….


“ Kamu jangan nak buat perangai Mimie! Kamu aje yang duduk dekat luar sudah. Tak payah dihasut anak buah sama.”


“ Mimie nak balik! Mimie cakap betul, selepas ini Mimie tak akan balik sini lagi. ” Bingkas bangun dari kerusi yang diduduki. Teh panas juga belum sempat diminum. Aryan hampa. Maksunya juga tidak berjaya membuatkan nenek memberikan persetujuan.


“ Mimie!” Panggil emaknya.


“ Mimie….” Kali ini lebih lembut.


Mimie menghentikan langkahnya. Bersorak dalam hati. Emak sudah memanggil. Apa maknanya itu? Maknanya kemenangan berada di pihaknya. Oh, emak! Berpaling kepada si emak. Menunggu pengesahan dari dua ulas bibir itu.


“ Habiskan makan….habiskan minum…..kalau Cempaka dah tinggal dengan kamu nanti, jangan kamu ajar dia benda yang bukan-bukan. Degil!” Aryan tarik nafas. Hampir-hampir sahaja rancangan mereka menemui kegagalan.

Kembali duduk di kerusinya tadi. “ Okey, mak! Mimie nak belajar masak dari Sara lagi ada….” Teh panas di capai lalu disisip sedikit. Selera membuak-buak kembali.


“ Apa-apa cerita tak baik singgah dekat telinga mak sepanjang Cempaka tinggal dengan kamu, siap kamu mak kerjakan!” Terpaksa juga beralah. Mimie tidak bercakap kosong, memang akan dikotakan kata-katanya. Anak yang seorang ini memang keras kepala!


“ Tak adanya mak…..”


“ Habis makan nanti, pergi jumpa kak ngah. Cakap sendiri dengan dia…mak nak naik. Penat melayan karenah kamu….”


“ Okey mak.” Bibirnya sudah berbunga dengan senyuman gembira. Menghantar emaknya dengan pandangan mata.


“ Perangai budak-budak tak pernah nak hilang……” Rungut Pn. Serena setelah kelibat emaknya sudah menghilang. Sukalah dah dapat apa yang dia nak….”


“ Mestilah……..dah nak pergi rumah kak ngah. Siapa nak ikut?” Tanya Mimie. Memandang Aryan dan Elman.


“ Aryan temankan. Jom!” Jawab Aryan.


“ Eh….tak payah….tak payah….biar Elman je yang temankan Mak su.” Bantah Elman. Pantang sahaja ada peluang jumpa Kak Sara. Mesti tidak ditolak punya. Baru sahaja bertemu dinihari tadi, sekarang nak jumpa lagi? Jangan harap!


“ Abang nak….”


“ Temankan mummy……tolong apa yang patut. Kasi tau nenek kang….” Ugut Elman. Neneknya kan tidak suka abang Aryan bertemu Kak Sara.


Mengeluh hampa. Hanya mampu memandang kelibat Mak su Mimie dan Elman yang kian menghilang. Terlepas peluang…..

8 ulasan :

  1. terhibur membacanya..hehehe

    BalasPadam
  2. hahaha.. lucu arh citer nie.. seyes!!!! pandai jalan citer dimanipulasikan... ahahha... macam kena batang hidung sediri.. memang betul kot citer nie... i mean, berdasarkan dari pglaman-lepas.

    BalasPadam
  3. hahhaa elman tu pandai jer dia tk bagi aryan pegi rumah sara,,siap ugut lg

    BalasPadam
  4. cik t.nama...kompem cite nie rekaan semata....hihi

    terkena batang hidung sendri? tang mna?nak tau jgk...hehe**sukenyer ekau jga tepi kain org;)

    BalasPadam
  5. Suka baca cete ni...
    Senang faham jalan cetenya..
    Dan betul terhibur denagan perangai elman....

    BalasPadam
  6. bestlah..ble nak ada n3 terbaru..xsabar r...

    BalasPadam
  7. eh3 elman ni..xsporting lgsg..rilex la bro..coooll~hehe
    maksu mmg the best!!ugutan berhasil..mission accomplished!
    pas ni mesti elman lg pelik klau aryan asyik xlekat kt umah jer..kui3..

    BalasPadam
  8. nak lagi..plzzzz
    best citer nie

    BalasPadam