U n Uols

Isnin, Februari 28, 2011

KAU DAN AKU BAB 1

“Maaf akak, Min tak dapat nak tolong!” Tegas Min.

            “Min…tolonglah Kak Tina. Kali ni je..” Rayu Tina. Kakak Min.
“Takkan lah Min nak tinggal di rumah mentua akak tu. Min ada rumah. Pertolongan yang akak minta ni tak logik!” Kata Min tidak puas hati. Mulut sudah memuncung sedepa. Sebal dengan si kakak. Permintaan kakaknya tidak masuk dek akal. Dalam banyak-banyak perkara yang boleh diminta di dunia ini, itu yang dimahukan. Dia diminta supaya tinggal di rumah mentua si kakak atas permintaan anak buahnya. Bukankah memang patut jika dia berkeras menolak permintaan itu. Kalau rumah mentuanya lainlah, ini tidak..

“Kalau nak Min tolong juga, bawa je Raykal ke sini!”
“Min kerja, siapa nak jaga Raykal waktu petang?” Balas Tina kemudiannya.
“Tau pun Min kerja. Jadi Min tak boleh jagakan Raykal..” Nada Min tidak setegas tadi.
“Boleh kalau di rumah mentua akak. Pagi Raykal sekolah, petang umi Abang Sufian ada. Umi boleh tengokkan Raykal.”

“Habis tu, buat apa lagi perlukan Min?”
“Raykal yang minta. Raykal nak Min ada bersama dengan dia waktu Kak Tina dengan Abang Sufian ke luar negara nanti. Raykal nak Min temankan dia di rumah kami.”

“Mana boleh!”
“Min..”

“Beritahu Raykal, pilih antara dua. Tinggal di rumah Min atau lupakan saja permintaan dia!” Putus Min. Kalau Raykal yang nak bersama-sama dengannya, anak buah itu yang perlu datang ke rumah ini. Bukan dia yang perlu tinggal di rumah mereka yang juga kediaman mentua Kak Tina.

“Cuba Min fikir, waktu petang macam mana pula?” Soal Tina.
“Sekolah Raykal boleh jaga sampai petang, kan? Balik kerja Min ambil Raykal. Kalau akak tak nak Raykal sekolah sampai petang, biar auntie atau uncle ambil dulu. Balik kerja Min singgah di rumah dia orang, lepas tu bawa Raykal balik ke rumah Min. Habis cerita. Tak payah sampai pindah-pindah rumah.” Mengutarakan cadangannya yang dikira terbaik untuk situasi ini.

Bibir mulut dikejap rapat. Tina tarik nafas dalam. Min ni degil betul. Desis Tina dalam hati. Sama-sama degil dengan si Raykal tu. Dia dan suami perlu ke luar negara kerana urusan kerja selama dua bulan. Raykal pula tak sudi mengikut mereka. Alasan anak kecil berusia 5 tahun itu ..

“Raykal tak nak ikut papa dan mama kerja oversea, sebab Raykal tak nak tinggal kawan-kawan  dekat sekolah.”

Andai dia dan suami tetap ingin berangkat ke luar negara, mereka perlu tunaikan permintaan si anak. Mengenangkan permintaan yang dikenakan Raykal buat dia pening..

“Raykal nak mama suruh Chik Min ganti mama jaga Raykal. Chik Min dengan  mama je yang pandai buat sarapan yang sedap tu untuk Raykal. Nenek tak tahu buat. Opah lagilah tak pandai.”
“Tapi Raykal tak nak tinggal dekat rumah Chik Min. Tak ada kolam renang. Hah,  macam mana kalau Raykal nak berenang waktu petang? Mama suruhlah Chik Min tinggal  dekat sini. Bila mama dengan papa dah balik, Chik Min boleh balik rumah dia… masa tu  Raykal tak kisah dah kalau Chik Min tak ada sebab mama dah balik.”
“Kalau mama tak buat apa yang Raykal cakap, mama dengan papa tak boleh pergi  kerja dekat oversea!”

Itulah syarat-syarat muktamad daripada budak Raykal. Cukup mudah pada hemah si kecil itu. Suaminya Sufian yang turut mendengar syarat-syarat tersebut, cuma mampu menggeleng. Akhirnya dia yang perlu bersusah payah tawar menawar dengan Raykal. Tapi tidak berjaya. Semuanya menemui kegagalan. Termasuk hari ini, sudah tiga hari dia melancarkan kempen memujuk Raykal. Belikan mainan, bawa keluar jalan-jalan dan singgah ke restoran ayam kegemaran si anak, telah diusahakan. Setelah gagal dengan Raykal, Tina cuba pula tawar menawar dengan Min.

Tapi nampaknya proses tawar menawar ini seperti tidak berjaya. Getus Tuna dalam hati. Lantas dia memainkan peranan, memulakan lakonan airmata.

“Tak apalah kalau Min tak dapat tolong akak. Agaknya Min dah tak sayang akak dah….” Sayu Tina menuturkan. Mata bertakung air dengan air jernih. Akan mengalir menuruni pipi pada bila-bila masa.

Min serba salah. Berkira-kira dalam hati. Setuju ke tak setuju? Kenapalah dia harus tersepit di tengah-tengah permintaan yang payah dan susah untuk ditunaikan. Dia bukan jenis manusia yang loket untuk menghulur bantuan, cuma hatinya terasa tidak tenang untuk tinggal di rumah orang. Dia bukan rapat sangat dengan mentua Kak Tina tu. Haru…haru..

“Kalau bukan kerana projek penting di Australia tu, akak dan abang tak pergi tau. Ini memang dah tak boleh dielakkan. Kena tunggu juga dekat sana sampai selesai.” Aimata Tina dah menuruni pipinya.

Min cuak melihat airmata Tina yang mengalir. Duduknya mula tidak kena. Berkalih ke kiri terasa keras. Berkalih ke kanan terasa mencucuk. Tangan pula naik mengaru kepala. Namun mulut masih berat untuk menyatakan persetujuan. Lidah seakan-akan tidak merelakan patah perkatan persetujuan ditutur keluar dari dua ulas bibirnya. Geram pula dengan anak buah yang banyak mulut dan karenah tu. Umur baru 5 tahun tapi bercakap macam orang dewasa. Raykal…Raykal, kenapa libatkan Chik Min dalam cerita ini?!
“Agaknya Raykal pun Min dah tak sayang…” Tambah Tina lagi sambil tangannya menyapu airmata di pipi. Beria-ia airmata yang keluar. Habis tertanggal mekap cantiknya pagi ini. Tentu wajah yang terhidang di hadapan si adik comot seperti momok!

Lama Min terdiam. Menimbang-nimbang keputusan yang perlu dibuat. Dia tidak patut mementingkan diri sendiri. Jika bukan kepadanya, pada siapa lagi Kak Tina mahu meminta pertolongan? Takkan adik tak boleh tolong kakak? Lagipun bukannya lama, sebulan atau dua bulan sahaja.

“Yalah-yalah…. Min tolong akak. Buruk betul orang tua menangis.” Min capai kotak tisu atas meja di hadapannya. Dihulur kepada Tina.

“Sayang Min! Jasamu dik, akan akak kenang sampai bila-bila.” Tina berkata dengan senyuman lebar. Kedua-dua belah tangannya naik meraih bahu Min. Dipeluk si adik erat-erat. Senang hatinya kerana misi berjaya.

Beberapa saat kemudian pelukan dilepaskan. Tina segera capai beg tangannya lalu bangkit. Dia berdiri dengan penuh semangat. Lagak dan gayanya  seperti babak airmata tidak pernah berlangsung.

“Akak nak pergi mana ni?” Soal Min hairan. Dia ikut bangun.
“Baliklah, misi dah berjaya. Min tak payah hantar Kak Tina ke pintu. Rehat dan simpan tenaga untuk jaga Raykal nanti.” Ujar Tina tersenyum ceria. Mata dikenyit buat tatapan Min.

Min hanya mampu mengeleng-gelengkan kepala. Lambaian selamat tinggal Tina tidak terbalas. Pemergian kakaknya sekadar dihantar dengan pandangan mata, tanda dia tidak puas hati.

Dalam hati dia membebel sendiri. Perangai tidak pernah berubah. Patutlah pagi-pagi sabtu ini sudah tercongak di hadapan pintu rumahnya. Datang pula bukan dengan tangan kosong. Tina datang bersama bekalan barangan dapur untuk sebulan! Rupa-rupanya ada udang di sebalik batu. Kunjungan kakaknya, kunjungan berhajat.

Kak Tina ni sebenarnya jenis yang penyayang. Cuma bab memujuk dia, Kak Tina memang begitu. Berdrama kerana sedar adiknya ini pasti akan menolak permintaan yang tidak munasabah itu.

Andai dia mampu menolak hari ini, esok atau lusa belum tentu. Wajah berair mata Tina pasti memburunya sehingga terbawa-bawa ke dalam tidur. Buat dia tidak senang hati dan tidak senang duduk. Dua atau tiga hari kemudian, dia pasti akan menghubungi Tina untuk mengubah pendirian. Bukan Tina tidak tahu tindak-tanduknya.

Ada tidak ada, mereka hanya dua beradik, kenalah saling membantu. Selama ini pun Kak Tina tidak pernah menolak untuk membantunya apabila dia ditimpa masalah. Tidak lokek menghulur bantuan.

“Siapa yang datang?” Seri teman serumah dan juga kawan baik Min yang sedang menuruni tangga bertanya. Dia seperti terdengar Min bercakap dengan seseorang.

“Dah balik?” ajunya lagi apabila tidak melihat sesiapa di ruang tamu mereka. Hanya Min seorang yang duduk termanggu.

“Dah…” Sepatah Min menjawab.
Seri melabuhkan punggung di hadapan Min. Pandangannya terarah kepada beberapa beg plastik berhampiran meja kopi. Sekali pandang dia dapat melihat isi beg plastik itu adalah barang-barang dapur. 

“Bila kau beli barangan dapur ni,” soal Seri.
“Bukan akulah, tapi Kak Tina yang belikan. Ini barang rasuah tau.” Jawab Min cuak.
Seri tersengih-sengih. Dah Kak Tina yang bawa, barang rasuah apanya. Ada-ada sahaja Min ni. Kalau bergini gayanya, jimat duit belanja dapur mereka selama sebulan.

“Apasal kau tersengih-sengih ni?”
“Jimat belanja bulan ni.” Seri mengenyitkan mata.
“Jimat sangatlah, aku…sengsara…” Bersandar lesu ke belakang.
“Eh..eh..kau ni, Min. Jimat pun sengsara ke?”
“Kalaulah kau tau, Seri..” Seraya jemari naik mengurut pelipis. Diserang sakit kepala memikirkan masalah yang baru melanda diri.


Dia sendiri yang mencari penyakit, menjebakkan diri dengan permintaan Raykal. Sekarang tak boleh buat apa lagi. Tunggu masa dan harinya tiba. Berpindahlah dia ke rumah mentua Kak Tina sebagaimana yang dihajatkan si anak buah...


Untuk versi penuh dapatkan novel Kau Dan Aku di kedai-kedai buku berhampiran anda. Boleh juga layari www.p2u.my untuk pembelian secara online.

4 ulasan :