U n Uols

Isnin, Julai 18, 2011

INI KISAH KITA BAB 16

Memasuki perut kereta. Pintu ditutup. Memakai tali pinggang keledar. Enjin dihidupkan, bersedia untuk bergerak ke luar dari perkarangan rumah Pn. Syuhadah. Belum sempat kereta diundurkan, cermin di sebelah penumpang diketuk seseorang. Berpaling melihat. Butang di sebelah kanannya ditekan. Menurunkan cermin.

"Elman?" Soal Sara Cempaka. Pagi-pagi lagi dia terpaksa menyinggah ke rumah emak kerana tertinggal barang petang semalam. Semuanya gara-gara terkejut mendengar adanya calon isteri buat Aryan!

" Kak Sara.....tumpangkan Elman boleh?"

" Nak pergi mana?"

" Kolej......" Jawab Elman sepatah.

Memandang jam di dashboard. Memang dia lalu depan kolej Elman pun. Sempat kot.

" Masuklah. Pagi-pagi dah ada class?" Handbag dialihkan ke tempat duduk belakang.

Elman melangkah masuk. Duduk di sebelahnya. Beg galas diriba sahaja. " Patutnya pukul 10 karang. Diawalkan sebab lecturer ada hal. Motor Elman merajuk pulak pagi-pagi ni......tak boleh start..."

" Pak long dah gerak pergi pejabat ke?" Soal Sara. Tidak bertanyakan Aryan kerana Aryan bermalam di apartment mereka. Dia yang tidak membenarkan Aryan balik ke sini. Takut dengan hantu! Pasal si Elman inilah. Suaminya yang terkejut melihat Elman disangka ternampak hantu. Selepas itu, kisah-kisah hantu yang seram bermaustatin sepanjang malam dalam kepala. Buatnya Aryan pulang juga malam tadi, pasti terang benderang satu rumah dengan cahaya lampu!

" Dah. Daddy selalu awal. Ingat nak tumpang abang Aryan....tapi tak pasti dia keluar awal ke atau tak balik rumah malam tadi......"

Darah terasa menderau turun. " Keluar awal kot. Banyak projek abang Aryan kena handle sekarang ni. Pak long serah semua dekat dia. Pak long pantau mana-mana yang perlu je...." Kata Sara Cempaka. Pasal Raqib Aryan kena uruskan banyak pojek bukan cerita bohong. Itu kisah benar!

Elman menjungkit bahu. " Yela kot. Malam tadi kak Sara keluar erk? Elman pergi sana...."

" Keluar......a'aah.....keluar..."

Mengerling Sara Cempaka yang mengelabah semacam. Ini tanda-tanda orang berbuat salah. Tanya sikit. Tengok Kak Sara nak jawab apa.

" Kak Sara suka abang?”

Pemanduan tersasar sedikit. Terkejut! Bagus punya soalan Elman tanya. Kembali memasuki laluan yang betul. Mujur tidak terlanggar apa-apa. Kering seliter darah dalam badan. Mati kutu dengan soalan yang tidak terduga. Soalan yang sungguh memberi impak. Pagi-pagi lagi Elman sudah menerjah dia dengan soalan panas! Ruang kereta yang terpasang dengan penghawa dingin juga tidak mampu untuk menyejukkan soalan itu. Memerah otak untuk memberikan jawapan yang menyakinkan. Tidak boleh lagi melambakkan Elman dengan jawapan sebarangan. Tidak mungkin Elman akan percaya. Atau Elman sudah ternampak mereka malam tadi? Soalan Elman semakin maju. Dulu sekadar bertanya 'kak Sara kenal ke girlfriend abang Aryan?' Sekarang ini pula, 'kak Sara suka abang ?'

" Mana ada! Kami rapat je. Jangan cakap macam tu depan nenek tau. Pengsan orang tua tu nanti......."

" Apa kena mengena dengan nenek pulak?" Soal Elman kurang faham. Dia tanya pasal kak Sara dan abangnya. Bukan pasal nenek.

" Nenek kita kan berpegang dengan adat pepatih? Nenek tak suka dengar semua tu....."

Berbalas pandang dengan Sara Cempaka. Mengangguk-angguk tanda faham. "Tapi, nenek punya versi ada sikit campur dengan antara dua darjat......." Kata Elman diselangi ketawa.

" Nenek je yang ikut....kita semua tak. Kita lahir dan membesar kat sini. Balik Negeri Sembilan boleh dikira dengan jari.......Okey. Back to the topic...suka kan?" Sambung Elman. Ingatkan Elman dah lupa dengan soalan tadi. Rupa-rupanya belum...

" Kenapa Elman tanya camtu?" Kali ini soalan Elman dibalas juga dengan soalan. Jalan yang dikira selamat.

" Kak Sara dengan abang.........." Telefon di dalam beg galasnya berlagu-lagu. Zip dibuka. Mencari-cari telefon yang entah di mana dia letak. Siapa yang menelefon pada masa-masa sekarang? Panggilan dijawab juga. Sara Cempaka memanjatkan doa. Ya, Allah. Panjangkanlah perbualan Elman dan kawannya. Selamatkanlah hambuMu ini...........amin.

“ Okay! Kita dah sampai.” Kata Sara memberhentikan keretanya betul-betul di hadapan kolej Elman. Ralat. Cepatnya sampai. Tak sempat nak dengar kak Sara cakap apa......

“ Thanks kak Sara!” Ucap Elman sebelum melangkah keluar.

“ Anytime...” Balas Sara Cempaka. Kereta terus bergerak meninggalkan perkarangan kolej. Menuju ke pejabatnya. Terasa amat lega setelah menurunkan Elman. Betul-betul soalan panas yang dia dapat daripada jejaka itu. Kering otak untuk mencipta jawapan yang berkualiti! Inilah nasib orang yang mengenepikan orang tua. Senantiasa di lambung ombak!

Beg tangan di tempat duduk belakang dicapai. Mata menangkap telefon bimbit yang tersandai di kerusi menumpang. Diambil dan ditelek-telek. Telefon bimbit berwarna hijau. Siapa yang punya? Hanya Elman yang menumpang keretanya pagi ini. Telefon dimasukkan ke dalam handbagnya. Mahu diserahkan kepada Aryan atau pak long supaya dikembalikan kepada yang empunya diri.

Berlenggang memasuki ruang kerja. Bertegur sapa seketika dengan beberapa orang dari jabatan Sumber Manusia sebelum menuju ke jabatannya. Dalam pertemuan yang sesingkat itu sempat pula mereka menyampaikan kiriman salam daripada beberapa orang kakitangan lelaki! Kiriman salam itu sekadar diterima dengan senyuman. Entahkan betul, entahkan tidak. Mungkin sekadar gurauan di pagi hari. Usik mengusik buat menambah kemesraan. Mentang-mentang En. Wan bercuti selama dua hari, banyak pula masa dia untuk menyinggah di sana-sini!

" Morning Sara." Sapa kak Irah setibanya di meja kerja.

" Morning kak.....Nadia dah sampai ke?"

"Belum........bermaharajalela kembali dua hari ni......En. Wan kan tak ada." Sara Cempaka ketawa kecil.

" Tadi ada budak hantar hadiah. Coklat jugak kot....." Irah menyerahkan bungkusan yang berbalut kemas. Kali ini dibalut dengan pembalut berwarna putih dengan corak bunga matahari. Siapa yang menjadi pengirim misteri ni? Ingat Sara Cempaka si materialistik? Dapat hadiah terus lembut hati. Zaman solo dulu, jika mendapat hadiah daripada peminat rasa seronok juga. Semenjak menjadi milik orang ni, sudah tidak merasa apa-apa. Kecuali mendapat hadiah daripada suami sendiri. Dalam hati berpesta tak ingat!

" Akak ambik jelah......" Memandang cuma hadiah yang berbalut cantik di tangan Irah. Tiada hati untuk menyentuh.

" Kalau coklat lagi, takkan akak nak makan sorang?"

" Tu bagi dekat Suzi dengan Ikmal sekali......" Menunjuk kepada Suzi dan Ikmal di meja hujung.

" Betul ke tak nak? Nanti menyesal........."

" Yakin tak menyesal!"

" Takut si dia yang hitam legam tu marah?" Tidak menjawab, sekadar melempar senyum penuh makna.

" Bertuah si dia. Dapat girlfriend yang setia......." Bungkusan hadiah diletakkan ke meja. Akan dibuka nanti.

Kemudian mereka berlalu ke bilik mesyuarat. Mesyuarat bulanan dengan pihak atasan. Selama dua jam mereka berkurung di bilik besar itu. Semua yang terlibat dengan mesyuarat itu menarik nafas lega apabila En. Raqib berpuas hati dengan prestasi syarikat. Masing-masing dibenarkan bersurai ketika jam menghampiri angka 11.15 pagi. Mata memerhati Aryan yang masih di duduk di hujung meja. Meneliti beberapa laporan syarikat. Tiada tanda-tanda mahu meninggalkan bilik mesyuarat. Sungguh tekun. Suami siapalah yang rajin sangat ni.......

Keluar sahaja dari bilik mesyuarat kaki melangkah menuju ke tangga. Bilik mesyuarat cuma berbeza satu aras dengan ruang kerjanya. Lebih senang menggunakan tangga daripada bersesak-sesak di hadapan lif. Pintu rintangan api ditolak. Uish, beratnya pintu! Menuruni tangga ke aras kerjanya. Menghentikan langkah apabila ternampak kelibat Elman yang melambainya di ruang menunggu. Duduk-duduk sambil membaca majalah yang disediakan di ruangan itu.

" Nadia kau pergi dulu ya. Aku nak jumpa orang kejap."

" Yang itu ke?" Sara Cempaka menganggukkan kepala.

" Eh, macam pernah nampak." Sampuk Kak Irah yang baru muncul di belakang Nadia.

" Kan, kak Irah kan?"

" Korang pergi dulu ya........." Berlenggang ke arah Elman.

" Dah lama sampai? Cari kak Sara ke?" Tanya Sara Cempaka.

" Baru je. Phone Elman ada tercicir dalam kereta kak Sara tak?"

" Ada......dalam handbag. Kak Sara ingat nak bagi dekat abang Aryan je."

" Bagus! Nasib baik tak hilang.........." Terpancar riak kelegaan di wajah Elman. Risau dia kalau-kalau telefon bimbitnya hilang.

" Apasal cari kak Sara sampai ke sini? Terbongkarlah rahsia nanti....." Berkata perlahan kepada Elman.

" Takde orang yang kenal Elman tau. Elman tak pernah datang office ni....."

" Betul? Kalau orang tau kak Sara cucu nenek.....siap Elman!" Badannya ditundukkan sedikit. Mengecilkan mata ke arah Elman. Ingin memastikan.

" Betullah!"

" Okey! Jom ikut kak Sara. Ambik phone. Tak larat kak Sara nak datang sini balik."

" Tunggu kat sini jelah. Segan........" Kata Elman

" Nak ke tak nak?"

" Yelah....yelah......" Majalah di tangan dikembalikan semula ke tempat asal. Mengekori langkah Sara Cempaka ke meja kerjanya. Dia perasan banyak mata-mata yang memandang ke arah mereka. Atas sebab apa, dia sendiri tidak pasti. Ada yang mengenalinya sebagai anak En. Arsyad? Tidak mungkinlah, kerana dia tidak pernah menjejakkan kaki mari. Kecuali pada hari ini. Setelah berjalan lurus dan membelok ke kanan, mereka tiba di meja kerja Sara.

" Ini meja kak Sara?" Elman berdiri di sisi mejanya.

" Yelah."

Handbagnya dibuka. Mengintai-gintai ke dalam. Terdapat pelbagai isi! Barang yang dicari ditemui. Ditarik keluar lalu diserahkan kepada Elman. Riak wajah itu terus bertukar ceria. Sayang sangat dengan telefon dia.

" Thank you so much kak Sara!" Ucap Elman.

" Siapa ni Sara? Si dia yang 'hitam legam' tu ke?" Tanya kak Irah. Nadia juga mencuri pandang ke arah mereka. Serupa siapa ya? Memaksa otaknya berfikir.

" Ish! Tak ada laa.....ini adik Sara. Adik sepupu....." Elman tersenyum memandang Irah dan Nadia.

" Adik sepupu? Eh, ada iras En. Raqib sepupu Sara ni......" Kata Irah. Meneliti raut wajah Elman. Tinggi pun lebih kurang sama. Cuma bezanya En. Raqib kelihatan lebih lebih matang berbanding lelaki di hadapan mereka.

" Oh......itu ab..........." Cepat-cepat Sara berdehem. Elman ni. sempat lagi mahu beramah mesra dengan kawan-kawannya. Hampir sahaja membuka cerita!

" Pelanduk dua serupa......" Sambung Elman dengan sengihan. Menutup keterlanjuran kata. Terlupa dengan rahsia kak Saranya.

" Kak Sara, toilet kat mana?" Berbisik kepada Sara Cempaka.

" Toilet depan sana......sebelah kiri lif."

" Nak pergi toilet kejap. Tumpang letak beg kat sini boleh?"

" Okey." Balas Sara. Beg galas dibelakangnya ditanggalkan dan diletakkan di sisi meja. Berlalu dari ruang kerja Sara Cempaka. Sekembalinya dari tandas, Sara Cempaka tiada di ruangan itu. Apabila ditanya dengan kakak di sebelah meja Sara Cempaka, dia diberitahu kak Saranya pergi menghadap bos, En. Raqib.

Teringin juga untuk menjenguk bilik kerja abangnya. Menuju ke lif untuk ke tingkat yang menempatkan bilik Aryan. Kebetulan semasa ketibaan Elman di hadapan bilik Aryan. Kak Siti, setiausaha Aryan tiada di tempatnya. Pintu bilik yang tertera nama abangnya dikuak perlahan-lahan tanpa diketuk. Perbualan antara abang Aryannya dan kak Sara menyapa pendengaran. Dia masih belum pekak untuk mendengar abangnya memanggil kak Sara dengan panggilan sayang. Berabang dan bersayang!

Terus memasang telinga mendengar kedua-duanya bercerita. Dia terdengar abang Aryan menyebut dua patah perkataan. Membulat matanya. Darah terasa kering! Kenyataan yang benar-benar mengejutkan. Tidak dapat lagi menahan diri, daun pintu ditolak kuat!
" Suami isteri?!" Tegur Elman tanpa salam.
Aryan dan Sara Cempaka berpaling ke arah pintu. Kedua-duanya terpempan. Jemari mereka yang saling bertaut turut terlepas! Sejak bila Elman berdiri di situ? Elman terdengar perbualan mereka? Sara Cempaka mengurut pelipis. Cerah peluangnya untuk mendapat sakit darah tinggi di usia muda! Tertangkap juga akhirnya.......

Ok...Kami Dah Kahwinlah! dah keluar. Boleh order kat sinihttp://p2u.my/. 

Jumaat, Julai 15, 2011

INI KISAH KITA BAB 15

Menunduk memandang hujung kasut. Sabar menunggu ketibaan lif ke tingkat sepuluh. Pintu lif terbuka. Seorang wanita melangkah keluar. Seksi habis! Tersenyum-senyum mengoda. Raqib Aryan menayang muka tidak berminat sebelum memandang ke lain. Terus masuk ke perut lif. Senyumlah sampai ke telinga sekalipun, langsung tidak tergugat iman! Isterinya jauh lebih cantik. Sara tidak mengoda, dia yang tergoda!


Keluar dari perut lif. Kaki dihala ke rumahnya. Menyeluk saku jeans. Kunci rumah dikeluarkan. Daun pintu ditolak. Melangkah masuk ke dalam rumah. Kasut yang tersarung di kaki ditanggalkan. Mata memandang ke segenap sudut ruang tamu. Kelibat Sara Cempaka tidak kelihatan di ruangan itu. Tv terpasang. Buat tontonan sofa dan meja. Tidak ketinggalan langsir dan dinding! Ke mana Sara? Takkan dah tidur…..


“ Sara sayang…..” Panggilnya.


“ Sara……Sara sayang!” Tiada suara yang menyahut. Perasaan risau mula bertandang.


Meninjau ke kamar mereka. Peraduan mereka yang dibaluti cadar berwarna krim juga kosong. Memanggil lagi.


“ Sara…….”


“ Sara sayang….”


“ Ya........” Kali ini panggilannya bersahut. Seraya pintu tandas terkuak. Sara Cempaka melangkah keluar. Mengelap-gelap mukanya dengan tuala kecil di tangan. Baru selesai membersihkan wajah. Sejak tadi dia terdengar sayup-sayup namanya dipanggil.


“ Lambat!” Kata Sara. Menuju ke meja solek. Mencapai krim malamnya. Disapu lembut ke wajah.


“ Mengelak daripada Elman. Lepas tu abang singgah jumpa kawan kejap...."


Sepantas kilat Sara Cempaka berpaling. Tubuhnya dipusing menghadap Aryan. Jumpa kawan? Jangan-jangan calon isteri pilihan nenek tak? Bakal madu? Anasir mengarut yang bertandang ke benaknya minggu lepas seakan-akan bakal menjadi nyata. Cemburu? Cemburu gila!


" Kawan? Kawan yang mana?" Soal Sara ingin tahu. Menampilkan wajah paling garang! Macamlah Aryan takut....


" Kawan..." Jawab Aryan ringkas. Sengaja memberikan jawapan yang penuh dengan tanda tanya. Mahu mengusik Sara Cempaka. Suka dia melihat wajah garang Sara. Nampak comel sangat! Takut? Jauh sekali. Dia lebih takut jika Sara Cempaka menayang wajah sayu di hadapannya. Memang takut! Takut Sara tidak makan pujuk. Mengelabah habis!


Merenung Aryan tajam. Mencari-cari riak berbohong pada wajah itu. Tidak kelihatan. Ataupun dia yang tidak bijak mengesan? Aryan yang sedang duduk santai di birai katil menayang wajah ceria. Bibir tidak lekang dengan senyuman. Okey, Hampir cair! Cepat-cepat mengawal ekspresi wajah supaya maintain garang. Melihat senyuman di wajah suami sahaja sudah cair. Apa kes?


" Kawan yang mana?" Soalnya dengan nada tegas.


" Ala.....yang rambutnya panjang.....yang nama Ni....." Tidak menghabiskan kata apabila melihat isterinya sudah bangkit menghampiri katil.


" Sampai hati abang......" Sara Cempaka berdiri sambil mencekak pinggang di hadapannya. Kemudian tangan itu mencapai bantal tidur di kepala katil. Dilempar kepadanya. Tidak puas membaling satu bantal. Satu lagi diambil. Dilempar lagi. Kali ini dia menyambut balingan tersebut. Sara Cempaka mendengus geram. Terus melangkah keluar dari kamar mereka.


Masa untuk panik! Hilang sudah riak garang di wajah Sara tadi. Berganti dengan riak sedih dan sayu. Bantal yang disambut daripada balingan Sara Cempaka diletak ke tilam. Mengusik tidak kena gaya. Pandai-pandailah tanggung sendiri! Turut bangkit mengikut langkah isterinya ke ruang tamu.


Berdiri di hujung ruang tamu. Merenung Sara yang matanya sudah bergenangan dengan air jernih. Isterinya itu duduk di sofa sambil memeluk bantal kecil. Terasa mahu diketuk kepala sendiri! Bergurau isu yang sensitif bagi perempuan. Namanya mencari nahas!


" Sara sayang......" Panggilnya lembut. Terus dijeling!


" Sara sayang....." Mengambil tempat di sebelah Sara.


" Tadi abang jumpa Ni..."


" Calon yang nenek nak kenalkan?" Sambung Sara. Terbayang di ruang mata gambaran gadis-gadis cantik yang mungkin anak kawan nenek.


" Tak. Tadi abang jumpa dengan Nikad.....ingat tak Nik Ahmad? Kami panggil dia Nikad. Rambut dia kan panjang. Still panjang sampai sekarang." Cuba mengingati kembali Nikad atau Nik Ahmad. Teman baik dan teman sepengajian Aryan. Berambut panjang dan sentiasa disanggul rapi tidak ubah seperti perempuan berpantang!


" Bukan pergi jumpa dengan calon yang nenek nak kenalkan?" Soal Sara Cempaka.


Makan pujuk juga. Alhamdulillah." Bukan.....Takkan abang nak ikut je cakap nenek mengalahkan anak gadis? Sara dah tau pasal tu ya. Siapa yang cakap?"


" Emak yang cakap....."


" Bergosip dengan mak ngah pasal abang ya....."


" Mana....mana ada....kami bercerita je..." Mengelabah. Kantoi terang-terangkan bermesyuarat tingkap sambil menganyam ketupat bersama emak dan Kimi lewat siang tadi!


Ketawa. " Okey, bercerita. Abang bercerita jugak dengan nenek petang tadi......" Raqib Aryab membuka cerita.


" Pasal apa?" Topik ini menarik minatnya.


" Pasal Sara tak berkenan dengan doktor tu. Pasal Sara dan abang yang dah ada teman......"


" Abang cakap dengan nenek macam tu?" Soal Sara Cempaka terkejut. Bagaimana reaksi nenek? Marah ke orang tua itu?


" Hmm......nenek cakap biar dulu soal calon. Kawan-kawan je. Tetiba masuk pulak topik calon untuk abang.....itu yang terkejut. Terus abang cakap dah ada girlfriend...."


" Ada girlfriend ya, siapa perempuan tu?" Lengan Aryan sudah terkena sengatan jemarinya.


Menyeringai sakit. Mengosok-gosok lengan sendiri. Bisa sungguh jemari lembut Sara. Bercerita yang betul pun kena juga. Nasib diri.....


" Ini! Sara sayang bukan girlfriend abang ke......" Merangkul bahu isterinya.


Berbalas senyuman dengan Aryan. Lega hatinya. " Habis tu tak kena marah dengan nenek?"


" Mau ye tak......nenek siap urut dada lagi. Lepas tu abang diam jela....."


Membulat mata Sara mendengar cerita suaminya. Nenek sudah mengurut dada mendengar khabar mereka sudah punya pasangan masing-masing. Belum lagi mendengar khabar pernikahan mereka. Masih diingat ketika di zaman remaja. Cerita daripada nenek. Mereka sekeluarga satu suku. Sepupu sepakat orang sendiri. Tidak boleh wujudnya perkahwinan antara mereka. Walaupun syarak membenarkan namun, adat warisan nenek melarang. Jika berkahwin pula perlu memilih daripada keturunan yang jelas. Teguh sungguh pendirian nenek! Emaknya, Pn. Syuhadah dibuang nenek satu ketika dahulu gara-gara menikahi arwah ayah yang merupakan seorang yatim piatu. Adakah mereka juga bakal menerima akibat yang sama?


" Kita cakap dengan mereka pasal kita?" Tanya Aryan. Meminta pandangannya.


Bangkit dari sofa. Mundar-mandir di hadapan Tv yang terpasang sejak tadi. " Kalau jadi apa-apa dengan nenek macam mana?" Soal Sara kembali. Jika sesuatu menimpa nenek pasti dia akan menangung rasa sesal seumur hidup!


Aryan bersandar ke sofa. Bukan dia takut untuk berterus terang. Dia juga seperti Sara Cempaka, bimbang dengan tahap kesihatan nenek. Orang tua itu bukan boleh dirintang egonya! Buat dia sentiasa serba salah. Mereka berdua sayangkan nenek. Berterusan dengan keadaan begini tidak boleh juga. Mereka risaukan nenek, alih-alih mummy dengan daddy yang menentang lebih? Tidak pernah pula terbayang di ruang fikiran sebelum ini.


" Abang......kita tunggu dulu ya...." Pinta Sara. Kembali melabuh duduk di sebelah Aryan. Tangan Aryan digenggamnya. Dia belum bersedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan.


Anggukan Aryan melegakannya. " Jom pergi rumah mak su..." Ajak Sara.


" Buat apa?"


" Tadi maksu mesej suruh datang rumah....." Hampir dia terlupa.


" Jom!" Menarik tangan Aryan supaya bangkit bersama-sama dengannya. Mereka melangkah beriringan ke pintu rumah. Kunci pintu dilepaskan. Daun pintu dikuak. Sara sibuk meyarung selipar. Buntang mata Aryan terpandangkan Elman di hadapan rumah mak su Mimie. Tubuh Sara ditolak menjauhi pintu. Sepantas kilat daun pintu ditutup kembali.


" Kenapa ni?" Soal Sara Cempaka pelik. Serupa nampak hantu! Ke memang nampak hantu? Seramnya.......


" Elman! Elman ada dengan mak su....." Jawab Aryan. Elman ikut dia sampai ke sini? Budak Elman ini tidak ada kerja ke?


" Hah! Dia nampak kita ke? " Sara mengelabah. Panik!


" Tak kot...." Menarik nafas lega. Kecoh nanti jika terserempak dengan Elman.




" Elman balik dulu....." Tangan maksu Mimie disalami.


" Bawak motor baik-baik. Jangan nak merempit!" Pesan Mimie.


" Elman sayang nyawa okey. Tapi betul ke abang Aryan tak datang rumah maksu? Tadi Elman nampak di masuk kawasan aparment ni..."


" Betul! Dia pergi rumah kawan dia tak? Kalau tak silap rumah kawan dia kat sini jugak. Tingkat berapa tak pasti pulak. " Dalih Mimie. Harap-harap Elman percaya. Terkejut dia menerima kunjungan Elman.


" Kak Sara tak balik-balik lagi.....maksu tak risau ke?"


" Nak risau apa....dia dah on the way....Elman balik dulu. Kang risau mummy dekat rumah..." Apabila Elman bertanyakan tentang Sara dikatanya, Sara keluar berjumpa kawan.


" Gerak dulu maksu...." Kata Elman sebelum beredar dari rumahnya.


Kunjungan mengejut Elman benar-benar buat dia semput. Hampir-hampir terkena serangan jantung! Sudahlah, bertanyakan Aryan. Kemudian Sara Cempaka. Mujur juga otaknya jenis yang ligat berfikir. Kalau tidak habislah Aryan dan Sara! Selepas dihidangkan dengan secawan milo panas. Elman meminta diri untuk pulang. Mimie menarik nafas. Terlepas azab buat seketika!