U n Uols

Jumaat, Mei 04, 2012

Bab 10: Hati Bertanya Siapa Kamu

Gibran di sebelah dikerling dengan ekor mata. Diam lagi. Dua hari lepas, semalam dan hari ini masih sama. Orang lelaki pun sama macam perempuan juga agaknya, ada hari-hari mood pergi ke bulan. Pandang jalan sahaja. Dia di sebelah bagaikan tidak wujud. Buat dia segan sendiri menumpang kereta lelaki ini.

“ Hei! Awak.” Tegur Dayang.

“ Hmm…”

“ Ada lagi, saya ingat dah sampai ke bulan..”

“ Hmm….”

“ Kalau awak tak ikhlas hantar saya pergi balik kerja, cakaplah….saya boleh naik bas…” Tutur Dayang. Mereka sudah tiba di perkarangan flatnya. Dia perlu memberitahu Gibran Emir sekarang. Esok lelaki ini tidak perlu bersusah payah lagi datang ke mari.

Kali ini Gibran menoleh Dayang di sebelah. “ Saya ikhlas…”

“ Nampak macam tak ikhlas je…”

“ Sungguh saya ikhlas…”

Ikhlas? Alhamdulillah. Barulah tak ada rasa segan nak tumpang kereta Gibran ni. Malam tadi dia dah buat keputusan. Andai Gibran masih seperti dua hari lepas, untuk hari-hari seterusnya dia akan naik bas. Apa nak jadi dengan kakinya, jadilah. Duduk atas kerusi roda pun, kerusi rodalah. Dah tak ada pilihan….

“ Saya naik dulu…” Hari ini dia berkerja lebih masa. Jarum jam menunjuk ke angka 9.00 malam baru dia menapak keluar dari pejabat. Untung ada Gibran yang datang menjemput. Terasa keselamatannya terjamin.
“ Saya hantar Dayang sampai atas..”

“ Hmm…tak payah kot…”

“ Saya hantar sampai atas.”

“ Hmm…”

“ Gib boleh tolong tahankan pintu lif. Kalau Dayang tersepit lagi kat situ….uish….confirm patah bahu. Terus masuk hospital. Dah laa kaki belum baik….lepas tu tangan lagi. Tak takut…”

“ Awak…” Dayang kerut dahi. Ingin bertanya, namun tidak terluah. Baru sekejap tadi lelaki ini bersaya-saya. Sekarang dah berGib-Gib pula? Eloknya Gibran yang tersepit di pintu lif tu. Biar betul balik otak dia!

Dayang keluar dari perut kereta dengan otak yang bertanda tanya. Gibran berjalan di sisinya. Mereka bergerak ke arah lif.

“ Dayang…” Seru Gibran perlahan. Hanya mereka berdua yang berada dalam perut lif. Kesempatan ini dirasakan sesuai. Sudah dua hari dia memikirkan tentang perkara ini. Ingin membuat pengakuan tentang dirinya kepada Dayangku Inara. Tentang status mereka. Harapannya tidak ada yang pengsan sampai masuk hospital! Dan tiada juga yang hilang atau ghaib sekali lagi…

“ Gib tanya boleh?” Memecah sunyi antara mereka. Bertanya Dayang yang bersandar bahu di sebelah kiri dinding lif. Hanya berjarak sekangkang kera daripadanya yang bersandar di bahagian kanan lif.

“ Boleh…”

“ Katalah Gib….” Pintu lif terbuka. Tingkat Sembilan ke ni? Cepatnya...tak sempat nak cakap-apa ni…

Dayang melangkah keluar. Gibran ikut. Membuntuti Dayang. “ Katalah apa?” Soal Dayang sambil mengeluar kunci rumah dari handbagnya.

“ Katalah…hmm…Gib suami Dayang?”

Sepantas kilat Dayang angkat kepala. Bulat biji mata. “ Takkan awak…”

“ Erm…maksud Gib kalau…andai….” Buat-buat ketawa.

Ketap gigi. Nafas turun naik. “ Saya kerjakan awak cukup-cukup!”

Telan liur. “ Kenapa?” Ganasnya….

“ Sebab dah menyusahkan hidup saya. Siapa suruh terus masuk meminang? Tak boleh kenal-kenal dengan saya dulu? Pikat hati mak ayah kenapa? Tak boleh pikat saya? Kalau pun kena reject dengan saya, nasib laa. Terima saja….ini tak…”

“ Katalah niat Gib baik…”

“ Tak kira! Baik ke tak baik ke, saya tetap akan kerjakan lumat-lumat! Selesai yang tu, saya akan tinggalkan tempat ni. Pergi benua lain!” Menyilang tangan. Berpeluk tubuh. Beriak serius.

“ Nak lari ke benua mana? Dayang acah je kan?” Aduh! Dayang biar betul? Nak kerjakannya cukup-cukup tahan lagi. Bab nak lari ke benua lain tu buat dia kecut perut. Buatnya isterinya ini lari ke benua Afrika, macam mana? Itu jika dia tahu lari ke benua Afrika, jika dia tidak tahu, bagaimana? Pada masa sekarang, secara umumnya dunia ini terdapat 6 benua. Ada juga yang mengatakan benua-benua di dunia ini hanya lima, tolak Antartika sebab tak ada orang tinggal dekat sana. Walaupun hanya lima, setiap benua tidak hanya mempunyai satu negara. Jenuhlah dia nak mencari….

“ Tak. Saya serius!”

Gibran terkedu. Tidak terkata apa-apa. Buat pertama kalinya dia lihat Dayang begitu serius apabila bercakap. Langsung tak nampak seperti sedang bergurau. Isterinya nampak yakin dengan perancangan sendiri. Dalam tenang dada sebenarnya berkocak.

“ Kenapa nampak risau? Jangan laa risau….itu kalau awak suami saya. Awak bukan suami saya kan….?” Pandang Gibran. Dayang senyum mengusik.

Gibran senyum juga. Senyum tawar. Tidak menidakkan mahupun mengiyakan. Mengiyakan bermakna dia tolong tempahkan Dayang tiket ke benua lain! Jadi cinta antara benua pula kisah mereka nanti. Terpaksalah ditunda dulu niat untuk berterus- terang. Nasihat daripada emak mertuanya tergiang-giang di telinga. Kata Puan Mardiana, perlahan-lahan…

“ Tak baik Dayang buat suami macam tu…”

Itulah ayat Gibran apabila keluar cerita tentang suaminya. “ Awak berpihak dengan dia? Awak ni kawan saya ke kawan dia?”

“ Kita kawan?” Bibir ukir senyum gembira. Hilang senyum. Berbunga sikit hati. Okeylah tu, Dayang dah anggap dia kawan. Mula-mula kawan, mungkin selepas ini kekasih merangkap suami. Asalkan jangan daripada kawan, tertukar jadi lawan. Tertawan tak mengapa.

Pertanyaan Gibran buat Dayang terkelu sebentar. Apakah selama ini Gibran Emir anaknya pak cik Ghazi tak anggap dia kawan? Malunya memadai sendiri. “ Kawan…kot?”

Seketika pandangan bertembung. Kalut Dayang melarikan pandangan. Jantung buat rentak lagu Dap Dip Dup nyanyian Haiza suatu ketika dulu. Tak boleh senonoh sikit ke jantung ni?!

“ Okey, kita kawan.” Pemalu juga orangnya. Gibran ketawa senang.

“ Dayang free tak malam esok?”

“ Free…tak. Kenapa?”

“ Free kan? Malam esok kita keluar?”

Buntang mata. Apa ke hal nak ajak keluar pula? Ajakan untuk temujanji ke ni? Malam-malam pula. Wajib tolak! “ Tak free!” Bukan alasan. Malam esok betul-betul tak ada masa terluang.

“ Tak free? Dayang nak pergi mana?” Gibran jungkit kening. Mesti nak mengelat.

“ Malam esok saya nak keluar dengan Intan dan Che Peah…kami nak pergi dating..” Dating. Dating dengan abang, kakak, makcik, pakcik yang berniaga dekat pasar malam seberang jalan rumah sewanya. Senarai barang-barang yang nak dibeli berbaris di kepala. Nak beli keropok lekor sedunia, mi bakso, apam balik, apam polka dot, roti John Johny Jonathan dan banyak lagilah.

“ Dating? Dayang dating jugak? Dengan siapa? Kat mana?” Berlumba-lumba soalan yang ditanya Gibran.
“ Eh….eh…busy body pulak dia…” Marah Dayang.

“ Saya ambik berat…”

“ Ambik berat laa sangat. Macam spy je….ke memang kerja spy?”

Suka sangat Dayang cop dia sebagai spy. Sejak hari pertama mereka bertembung. “ Gib kerja pereka dalamanlah...”

Dayang buntang mata lagi. “ ID? Bukan driver? Bukan budak pejabat? Selama ni awak tipu saya ya Gibran?!” Cekak pinggang.

“ Mana ada tipu. Dah kerja kat pejabat….budak pejabatlah.” Ketawa. “ Hari tu Gib gurau-gurau je. Takkan percaya?”

“ Mestilah saya percaya.”

“ Dayang ni kan….senang sangat kena tipu…”

“ Bestnya kerja awak….kalau saya dah beli rumah nanti, bolehlah mintak awak hiaskan rumah saya? Boleh dapat harga kawan-kawan tak?”

Jom pindah masuk rumah kita! Saya dah belikan rumah untuk Dayang. “ Beli rumah lagi buat apa? Gib dah beli….”

“ Awak yang dah beli….saya belum…tak ada kaitan…macam mana boleh dapat diskaun tak?” Nak menunjuk dengan kita dia dah ada rumah sendiri ke apa ni?

“ Erk….”

“ Awak pergilah balik. Dah lama sangat kita kat depan ni…”

“ Hmm…assalamualaikum…” Salamnya berjawab. Lambat-lambat Gibran berganjak. Berlalu meninggalkan rumah sewa Dayangku Inara. Tiba di hadapan lif Gibran berpaling.

“ Dayang!” Laungnya. Memanggil Dayang yang sedang membuka kunci rumah.

“ Malam esok Gib ikut Dayang keluar!” Dayang terlopong. Tidak sempat membalas. Kelibat Gibran sudah menghilang dalam perut lif.

Untuk versi penuh dapatkan novel Hati Bertanya Siapa Kamu di kedai-kedai buku berhampiran anda. Boleh juga layari http://www.karyaseni.my/ untuk pembelian secara online.

Isnin, April 30, 2012

Bab 9: Hati Bertanya Siapa Kamu

“ Assalamualaikum.....” Pintu pagar yang tidak berkunci dikuak sedikit. Masuk ke perkarangan rumah walaupun belum dijemput. Bukan rumah orang lain, rumah mentuanya juga.

“ Waalaikummusalam….” Salam bersambut. “ Tak kerja? Pagi-pagi dah sampai sini….mimpi apa malam tadi?” Menghentikan kerja-kerja menyiram pokok bunga. Paip getah dilepaskan daripada tangan. Pili air ditutup. Menyambut huluran tangan menantu yang ingin bersalaman.

Tunduk. Bersalam penuh hormat. “ Kerja….” Sugul air muka yang ditayangkan. Kebimbangan yang merantai jiwa dan raga yang membawanya ke mari. Ingin meminta sedikit nasihat daripada mak mertuanya ini.

“ Kebetulan lalu kawasan ni….”

“ Kenapa nampak sedih ni?” Puan Mardiana bertanya. Dalam hati sudah meneka, tentu angkara anak perempuan bertuahnya. Budak Dayang ni, apa lagi yang dah dibuat…tak habis-habis….

Sengih tawar. Apa yang terbuku terbuku dalam dada sejak mengetahui perancangan masa depan Dayang tidak diluahkan.

“ Mari kita masuk…..mak buatkan kopi…”

Angguk. Membuntuti Puan Mardiana masuk ke dalam rumah. “ Ayah kerja mak?”

“ Kerjalah…Syira dengan Idan aje yang ada. Budak Syira tak sekolah, kaki terkehel sikit masa berjoging dua hari lepas…sakitnya sikit je….tapi berlagak serupa orang patah kaki.”

Mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Puan Mardiana, Gibran sengih lucu. Teringat perbohongan yang dibuat ke atas Dayang. Kaki terkehel, makan masa bulan baru sembuh. Jika Dayang tahu dia mereka-reka cerita, habislah!

Sebenarnya dia bukan sengaja mahu berbohong. Semua itu dilakukan demi mendekati Dayangku Inara, isterinya yang sah. Isterinya yang cabut lari selepas mencipta kekalutan seusai akad nikah dilafazkan. Pengsan, kemudian hilang, ghaib dari bilik pengantin! Kelam-kabut semua orang. Jumpa-jumpa sebab teraccident.

“ Abang Gib! Bila sampai?” Teruja Syira menegur. Laju menuruni anak-anak tangga. Elok jalannya. Tak ada ciri-ciri orang sakit.

“ Baru lagi. Mak cakap kaki sakit?”

“ A’aah…sakit.” Serta-merta jalannya jadi senget.

Puan Mardiana jegil mata. “ Esok dah boleh sekolah!”

“ Sakit lagi laa mak…”

“ Sakit ya? Nanti mak cakap dengan ayah…”

“ Ala..mak ni. Yelah…yelah esok orang sekolah...”

“ SPM tahun ni kan?”

“ A’aah….”

“ Kalau dapat result gempak, abang Gib bagi hadiah.” Janji Gibran.

“ Syira nak mintak telefon baru boleh?” Baiknya! Dah laa kacak. Kacak-kacak pun kena tinggal juga dengan kakaknya…..

“ Boleh.”

“ Gitu laa abang ipar Syira….” Sengih sampai ke telinga.

“ Kena rajin-rajin pergi sekolah…..kalau tak macam mana result nak gempak kan?”

“ Confirm lepas ni tak tinggal sekolah lagi! Sakit macam mana sekali pun tetap pergi sekolah. Merangkak, meniarap….tetap pergi!” Syira bersemangat.

“ Dah! Pergi dapur. Buatkan abang Gibran kopi.” Suruh Puan Mardiana. Bimbang jika dibiarkan, anak bongsu itu minta banyak lagi daripada Gibran. Menantunya itu bukan reti menolak dengan adik-adik.

“ Iya…” Berlalu ke dapur.

“ Dayang sihat?”

Angguk. “ Sihat…kaki dia pun dah sembuh. Tadi pagi Gib yang hantar dia pergi kerja….sempat lagi nak lari…” Tertawa kecil mengenangkan gelagat Dayang.

“ Budak tu buat hal apa lagi kali ni? Lari lagi? Dah tak tinggal dekat tempat yang Gibran bagitahu tu?” Potong Puan Mardiana. Sentap.

“ Tak….tak lari lagi mak. Ada…ada. Masih lagi tinggal kat sana.” Puan Mardiana menarik nafas lega. Anak keduanya itu benar-benar membuatkannya susah hati. Pelbagai masalah yang dicetuskan. Kecil sampai ke besar macam tu juga perangainya. Nak kata ada tertelan botol susu masa kecil dulu, seingatnyaa tak ada. Kadang-kadang masalah yang dicetuskan Dayang tak tercapai dek akalnya. Orang lain lari sebelum nikah. Anak bertuahnya lari selepas selamat bernikah!

Silap perhitungan, pada hari pernikahan, itu hampir-hampir dia dan ayahnya Dayang yang perlu naik pelamin. Bersanding lagi. Bersanding mengantikan Dayangku Inara dan Gibran! Nasib baik perhitungan betul….selamat dia dan suami. Namun, sia-sia pelamin indah rekaan sahabat baik anaknya, Azie. Terbiar tanpa pengantin…

Sejak Dayang melarikan diri, tiada khabar berita yang diterima kecuali mesej yang satu itu. Takutlah tu. Mujur ada menantunya ini yang memaklumkan sudah mengetahui lokasi Dayang. Rupa-rupanya tinggal menyewa bersama dua orang kawan. Sangkanya dah lari ke oversea, rupanya tidak…..masih ada di Malaysia lagi. Agak lega jugalah hatinya tapi, marah tetap marah! Jika dia terserempak dengan budak itu di mana-mana, hancur lumat dikerjakan. Buat sambal belacan seperti yang Dayang suka!

“ Perlahan-perlahan kenalkan diri dengan Dayang tu. Bila dia dah kenal hati budi Gibran, InsyaAllah dia dapat terima perkahwinan kamu berdua.” Simpati dengan nasib menantu yang seorang ini. Anak gadisnya punya kerjalah, mensia-siakan hidup anak teruna orang!

“ Susah nak ngurat Dayang…..hari-hari jual mahal…hari-hari Gib kena reject…” Mengadu dengan Puan Mardiana.

“ Pulak dah….”

“ Pagi ni Dayang cakap sesuatu. Buat Gib runsing. Entah apa dia nak buat….” Kata-kata Dayangku Inara pagi tadi tergiang-giang di telinga.

“ Dia cakap saja tu…” Puan Mardiana cuba menyedapkan hati Gibran dan hatinya juga.

“ Agaknya akak nak mintak ce…” Sampuk Syira menatang secawan kopi panas.

“ Ish! Budak ni…..cakap main lepas aje. Mintak lagi benda yang bukan-bukan.”

Terdiam Gibran. Betul ke Dayang nak buat macam tu? Ya, Allah…..

“ Sorry….” Pohon Syira. Duduk di sebelah emaknya.

Keluhan daripada bibir Puan Mardiana terlepas. Mengenangkan Dayangku Inara buat dia sakit jantung. “ Isteri kamu tu….mak pun tak tahu. Tak cukup udara mak nak bernafas fikirkan pasal dia. Kita fikir dia nak ke kiri, dia ke kanan…”

Gibran bersandar ke belakang. Dia pun sama dengan mak mertuanya, tak cukup udara nak bernafas…..

“ Kenapa chopstick dalam dapur kita tinggal dua pasang je? Mana perginya yang lain?” Che Peah menyuarakan kemusykilannya. Mangkuk dan dua pasang chopstick diletakkan ke atas meja kopi.

Dayang telan liur. Berpura-pura tak dengar. Sibuk membuka ikatan bungkusan mee bandung yang dibeli Intan dari kedai berhampiran flat mereka.

“ Tak ada? Mana pulak perginya. Selalu ada je dalam bekas sudu garfu. Bukan ada kaki chopstick tu…boleh jalan sana sini…” Intan juga hairan.

“ Tak ada ka…” Che Peah mengantung kata. Matanya tertangkap sesuatu di kepala Dayang.

“ Chopstick tu tak berkaki. Manusia yang ambik chopstick tu yang berkaki!” Ketap bibir.

“ Manusia berkaki tu buat apa dengan chopstick?” Aju Intan. Pelik.

“ Dia buat cucuk sanggul!” Geram Che Peah. Menunjuk ke kepala Dayang. Serentak mata Intan tertumpu di kepala Dayangku Inara.

“ Sorry laa….Dayang pinjam je. Sepit rambut Dayang hilang…..” Dayang sengih bersalah.

“ Kot pinjam takkan sampai empat batang chopstick yang tinggal. Mana lagi enam?” Che Peah jegil mata.

“ Panjang ceritanya….hari tu Dayang pinjam satu. Lepas tu lupa letak mana. Pinjam satu lagi, lupa lagi. Lepas tu pinjam lagi…”

“ Lepas tu hilang lagi….” Intan menyampuk.

“ Tak! Lepas tu patah. Pinjam lagi….patah lagi. Ambik satu lagi……kali ni jatuh…terbaling ke bawah masa dok termenung tepi tingkat sebab Intan sergah dari belakang….” Perjelas Dayang panjang lebar.

“ Dah! Kau Dayang, makan pakai sudu je. Chopstick ni aku dengan Intan punya!”

“ Che Peah….nak jugak. Susah nak makan mee pakai sudu je…licin…”

“ Nasib laa….” Balas Che Peah.

“ Che Peah…..”

“ Ambik garfu kat dapur!” Arah Che Peah kemudiannya. Dayang bangkit menurut arahan.

“ Garfu tu buat makan tau….jangan kau buat cucuk mata. Karang jadi Dayang selamat pulak!” Che Peah mengena. Intan bantai gelak.

Mencebik. “ Taulah. Kita sayang mata kita..” Tak sampai seminit Dayang kembali semula ke ruang tamu.

“ Chopstick yang kat kepala tu jangan kau letak dapur balik. Tak lalu dah nak buat makan.” Pesan Intan.

“ Taulah…”

Lepas makan cuci mangkuk!” Denda dikeluarkan Che Peah.

“ Denda ke?” Soal Dayang cemberot.

“ Dendalah!”

“Che Peah ni, Dayang tak berkira pasal pagi kelmarin dah cukup baik. Berani denda Dayang lagi?”

“ Kelmarin? Pasal apa?”

“ Apa Che Peah cakap dengan Gibran? Dayang suruh cakap lain, kenapa pergi cakap lain?”

Che Peah sengih kerang busuk. “ Yang tu ke? Che Peah tersasul…..tarik balik denda. Malam ni Intan payung cuci mangkuk!”

“ Kenapa aku pulak? Korang dua orang yang buat salah. Aku denda dua-dua basuh mangkuk!”

“ Ini sudah adil!” Dayang menyokong penuh keputusan Intan. Che Peah mencebik. Menyuap mee ke mulut.

“ Boyfriend kau tak datang ke malam ni Dayang?” Soal Intan.

“ Boyfriend mana?” Berlipat dahi.

“ Gibran laa…”

“ Jangan panggil dia boyfriend Dayang, Dayang marah! Marah ni Intan!”

“ Yelah. Gibran yang bukan boyfriend kau tu, tak datang malam ni Dayang?” Ulang Intan.

“ Tak!” Tak jadi nak suap mee ke mulut. Dia sendiri tertanya-tanya kenapa tak nampak lelaki itu dalam dua malam ini. Selalu tu ada sahaja tersembul depan pintu rumah. Pagi dua hari lepas dia ada tersalah cakap ke? Ketika menghantar dan menjemputnnya dari tempat kerja juga diam sahaja. Dia tanya empat patah, Gibran jawab sepatah! Lagi teruk, hurmm sahaja.

“ Bergaduh?”

“ Tak!”

“ Lain macam je gaya jawab ni…rindu ke?”

“ Tak!” Bukan rindulah. Terkenang? Tak. Teringat? Tak! Semua tak!

“ Sekarang bolehlah kau cakap tak. Lama-lama mesti rasa macam tu….yelah, orang dah buat baik dengan kita….”

Sudu dan garfu disadaikan ke mangkuk. Sudah hilang selera untuk menelan makanan. Betul ke cakap Intan? Lama-lama akan rasa rindu? Tapi, tapi kenapa sekarang pun dia dah rasa sesuatu. Sejak dua tiga hari ini, adrenalinnya meningkat apabila terpandang wajah Gibran. Dayang dah terjebak ke?

Untuk versi penuh dapatkan novel Hati Bertanya Siapa Kamu di kedai-kedai buku berhampiran anda. Boleh juga layari http://www.karyaseni.my/ untuk pembelian secara online.