U n Uols

Wednesday, June 29, 2016

Si Pengejar Cinta Bab 10

ADRUS mengawasi Adenalis yang sedang melakukan kerja pengemasan biliknya dengan ekor mata. Sejak menapak masuk ke bilik ini Dena berlagak seperti dia tak wujud. Ucapan selamat pagi atau selamat tengahari yang selalu menyapa telinganya tak kedengaran. Marah sangat ke pasal hal semalam? Alah! Nak marah, marahlah.. Dia tak peduli pun..
            “Dena!” Menahan Adenalis yang mahu beredar. Gadis itu sudah selesaikan tugasnya. Kata tak peduli.. Yang kau tahan dia ni kenapa Adrus?
            Adenalis berhenti di muka pintu. Farah yang tadinya membantu dia dibiarkan beredar dahulu. Gadis itu seakan-akan faham dengan suasana pagi ini yang tak seperti kebiasaan. Dingin dan sepi menguasai ruang. Adrus yang selalunya banyak arahan diam membisu. Menerima perkhidmatan Dena tanpa komen. Dena yang biasanya petah menjawab tutup mulut rapat. Walaupun terasa pelik, Farah diamkan tanpa bertanya. Macam mana nak bertanya, dia nak telan liur pun takut!
            “Dah siap kemas ke?”
            “Dah.” Menjawab sepatah.                      
            “Dena. Awak ikhlas ke nak balas budi saya dengan buat semua ni?”
            Berpaling menghadap Adrus. “Awak nampak macam saya ikhlas ke?”
            “Fine! Awak tak payah buat kerja-kerja ni lagi.”
Dena pandang Adrus seakan tak percaya. Raut Adrus waktu itu nampak tak menyakinkan.
“Awak serius?”
“Simpanlah jari awak tu. Petang ni saya akan jumpa bos awak. Saya akan buat aduan pasal kes hari tu. Terpulanglah dia nak ambil tindakan apa. Awak tak akan ada hutang budi dengan saya lagi.”
Dia renung wajah Dena. Sangka dia gadis itu akan terkejut besar. Dia bukan betul-betul berniat nak besarkan kes itu. Tapi Adenalis nampak redha dan menerima keputusannya dengan tangan terbuka.
“Kalau itu keputusan awak. Saya nak buat macam mana. Memang saya yang salah..” Berkata tenang.
“Tak takut hilang kerja?”
“Dah takdir saya macam tu, terima jelah.” Selesai menuturkan bicara, dia menapak meninggalkan bilik Adrus tanpa ucapan.
Dalam menerima, dia terbayang-bayang wajah Emak dan adik-adik. Tanggungjawab menyara mereka terletak di bahu dia. Kalau kau kena pecat macam mana Dena? Kebimbangan mengetuk minda. Tak apalah, rezeki ada di mana-mana. Cuba menyedapkan hati..
            Adrus hilang kata. Menyesal dengan kata-katanya tadi. Niat nak mengugut dah bertukar serius. Dia yang rasa tergugat dengan ugutan sendiri. Mana tidaknya, selepas ini dia tak akan dapat jumpa Dena seperti sekarang lagi.
             
            Nafas berat dihembus. Adenalis cuba untuk menenangkan diri sebelum bertemu mata dengan Tuan Rafali, bosnya. Apabila merasakan diri sudah bersedia, tangan naik mengetuk pintu pejabat dua kali. Arahan masuk daripada Tuan Rafali kedengaran dari dalam. Adenalis kuak daun pintu lalu mengatur langkah memasuki bilik itu.
            Sebaik melangkah masuk, dia bertembung pandang dengan Adrus yang sedang duduk senang di hadapan bosnya.
“Duduk Dena.” Pelawa Tuan Rafali. Tersemat senyuman di bibir orang tua itu. Dena pula yang tak keruan dengan situasi ini. Dia membayangkan sesuatu yang berbeza. Apa yang dibayangkan ialah Tuan Rafali tayang muka ketat merah menyala dengan suara tegas membasuh dia.
“Mesti awak dah kenal dengan Encik Adrus, kan?” Tuan Rafali bertanya. Senyum masih tidak lekang.
Tak sangka pula dia yang Tuan Rafali dah berubah perangai. Tersenyum gembira menyambut kedatangan pekerja yang berbuat salah. Selalunya aura tegas itu ternampak-nampak dari sebalik pintu lagi. Hairan sungguh..
Kerling Adrus dua saat. Dia angguk perlahan. Tak boleh kerling lama-lama, karang dia renung lelaki itu bersama perasaan rindu, dendam dan sebal. Terus lupa dengan bos yang sedang berada di hadapan mereka. Mood orang tua itu yang sedang sepoi-sepoi bahasa pun boleh binasa!
“Encik Adrus ni bukan calang-calang orang tau, dia wakil pelabur kita.” Terang bosnya dengan suara yang cukup ceria.
Wakil pelabur? Baru dia teringat, Kak Ima ada menyebut tentang wakil pelabur tempoh hari. Dia yang tak simpan dalam kepala sebab sibuk menjadi orang suruhan Adrus.
“Tuan.. Saya minta maaf..” Pinta Dena sebelum apa-apa. Kepalanya tunduk sahaja.
Ketawa Tuan Rafali tercetus. “Tak.. Tak.. Kenapa nak minta maaf. Awak dah laksanakan tugas dengan baik.”
Angkat kepala. Pandangan bertanda tanya. Takkan Tuan Rafali puji sebab lima jari dia yang sudah selamat mendarat di pipi Adrus kot? Kes ini memang luar biasa..
“Encik Adrus bagitau saya, dia puashati dengan services hotel kita. Saya dapat tau juga, awak dah bersusah payah memberikan services terbaik. Pihak hotel amat berbangga dengan perstasi awak.”
Dahi berkerut. Dena kurang faham sebab dia menerima pujian yang melambung begitu. Prestasi kerjanya yang baik tercalar kerana insiden dengan Adrus tiba-tiba bertukar menjadi sesuatu yang dibanggakan pihak atasan? Cerita yang bagaimana dah Adrus sogokkan kepada bosnya? Dari nak buat aduan Adrus menukar pernyataan kepada puji-pujian ke? Kenapa Adrus berubah fikiran pula?
Dia nak percaya yang Adrus melakukan semua itu dengan ikhlas tanpa balasan. Namun akal waras menyatakan pasti dia perlu membayar ‘sesuatu’ untuk semua ini.
“Tapi Tuan..”
“Tak payah segan Cik Dena.. Saya cakap perkara yang betul je pada Tuan Rafali.” Sampuk Adrus. Memang dia khabarkan perkara yang betul tentang perkhidmatan yang dia dapat. Cuma dia tak beritahu sebab dia mendapat perkhidmatan ‘kelas A’daripada Adenalis kepada Tuan Rafali. Perkara itu biar menjadi rahsia dia dan Dena. Modal untuk memastikan Dena berada dekat dengannya.
“Sebagai wakil pelabur, Encik Adrus dah menandatangani perjanjian perlaburan dengan hotel kita. Terima kasih Dena kerana dah menonjolkan imej yang baik bagi pihak hotel. ” Bukan setakat memuji, Tuan Rafali dah memberikannya penghargaan. Dia yang menerima rasa bersalah. Dia tak layak. Bagaimanalah agaknya jika orang tua itu tahu tentang cerita sebenar. Kejadian yang menjadi punca dia terpaksa menabur khidmat kepada Adrus. Gamaknya dari senyum riang orang tua itu terus bertukar rupa jadi naga garang!
“Teruskan khidmat yang baik ini Dena. Pihak hotel juga dah setuju  menyerahkan tanggungjawab menjaga keperluan Encik Adrus sepanjang tempoh dia di sini kepada awak, Dena.”
Dena tak balas apa-apa. Dia hanya mampu melempar senyum tawar. Sebelum tugas itu diserahkan secara rasmi, dia dah berkhidmat kepada Adrus. Jadi tak ada bezanya.
 “Tuan Rafali, I've got to go. ” Adrus meminta diri. Bingkas bangun. Diikuti Tuan Rafali. Kedua-duanya berjabat tangan. Sebelum melangkah dari bilik Tuan rafali, Adrus sempat melontar senyum buat Dena. Senyum yang Dena sendiri tak tahu nak ditafsirkan maksudnya. Apa yang dia pasti, senyum itu bukan senyum ikhlas setulus hati. Tak semena-mena dia diserbu kebimbangan..
“Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu Tuan.” Adenalis meminta diri selang seminit Adrus beredar dari ruang kerja bosnya. Jauh di sudut hati dia bersyukur dan berterima kasih kepada Adrus. Dari sudut yang lain pula hati tak senang kerana hutang budinya kepada Adrus masih belum selesai.
Tuan Rafali yang masih diselubungi mood baiknya mengizinkan dia beredar tanpa halangan. Tidak berlengah, dia keluar dari bilik orang tua itu. Sebaik keluar dia tercari-cari kelibat Adrus. Nampak sahaja Adrus, dia mempercepatkan langkah. Ada sesuatu yang perlu diperkatakan di antara mereka berdua. Sekurang-kurangnya dia perlu tahu muslihat Adrus yang membatalkan niat untuk melaporkan insiden tamparan tempoh hari.
“Adrus!” Panggil Dena.
Adrus berhenti menapak. Menunggu Dena yang sedang mara ke arahnya tanpa berpaling ke belakang.
“Kenapa tak beritahu hal sebenar pada Tuan Rafali?” Terus menerjah Adrus dengan soalan.
Senyum nipis. “Tiba-tiba saya rasa tak seronok kalau kita selesaikan hutang budi ni cepat sangat.”
“Awak nak main-main ke?”
“Macam awak tak biasa main-main. Perasaan saya awak boleh main-mainkan..” Bicara sinis Adrus muncul lagi.
Dena tak balas. Dia hanya melempar renungan tajam. Kepalanya tergeleng-geleng sedikit.
“Tapi awak jangan risau Dena. Perjanjian kita tetap sama seperti sebelum ni. Tak ada tambahan. Berkhidmat untuk saya pada bila-bila masa. Tuan Rafali pun dah bagi izin.”
“Bila awak nak jadi matang Adrus? Awak berdendam… Merajuk macam budak-budak! Tolonglah move on. Seronok sangat ke mengacau kerja saya? Ganggu hidup saya macam sekarang?” Melepas marah. Situasi ini menekan dia. Penat dan letih dirasakan bukan pada fizikal tetapi pada mentalnya.
“Terganggu ke? Kalau tak nak rasa terganggu, nak hidup aman damai sangat.. Bagi saya salah satu jari awak.” Bibir Adrus tunjuk ke jari-jemari Adenalis.
“Nah! Ambil jari saya ni, potong. Biar puas hati awak!” Dah geram sangat Dena angkat lima jari di hadapan Adrus.
Tangan Dena diturunkan. “Tak sayangkan diri ke? Dah tak sayang, awak potong sendiri.. lepas tu bagi saya..” Menapak meninggalkan Adenalis. Buka langkah dua tapak dia berhenti.
Sebuah keluhan dilepaskan Adrus. Dia terbayangkan raut wajah Adenalis sebentar tadi. Dalam marahkanya, dia dapat melihat kesedihan di mata gadis itu. Menyorok pandang ke dalam mata Adenalis buat dia lemah.
            Dia tak faham mengapa Adenalis bereaksi seperti itu. Lagak Dena seolah-olah dia yang meninggalkannya beberapa tahun lepas. Adenalis kata cinta, tapi pinangannya ditolak mentah-mentah. Kesakitan kerana perbuatan Dena masih terasa-rasa sampai saat dan ketika ini. Sakit akibat tamparan di muka tak seberapa jika dibandingkan dengan tamparan perpisahan mereka.
            ‘Perkahwinan berlandaskan cinta semata-mata tak bawa ke mana Adrus..’ Kata-kata Dena suatu masa dulu tergiang-giang di telinga. Sebaris ayat yang sentiasa membakar perasaannya.
            Bertahun dia merantau, jauh beribu batu dari Adenalis. Namun kata-kata itu tak lekang dari benak. Berulang-ulang di telinga tak mengira jemu. Dia sepatutnya membalas perbuatan lampau Dena sehabis kejam. Biar gadis itu rasa kesakitan yang sama. Sayangnya dia tak boleh lakukan semua itu. Lebih parah, sejak bertemu kembali dengan Adenalis dia tak mampu menjauhkan diri daripada gadis itu.
 “Awak tentu tentu tau mana nak hantar jari tu nanti kan? Saya di bilik yang sama..” Beredar menuju ke lif.
Dena renung jari-jemarinya. Siapa kata dia tak sayangkan diri? Andai dia rosakkan diri sebab terlanjur kata, memang dia manusia yang kufur dengan nikmat Tuhan. Sengaja memusnahkan pemberian Allah kerana sebab yang remeh.
“Astaghfirullahalazim…” Beristghifar panjang.
Dia sepatutnya bersyukur. Walaupun dengan apa yang terjadi dia masih boleh bertugas di hotel ini. Rezeki itu memang ada di mana-mana, tapi dalam keadaan ekonomi sekarang bukan senang nak dapatkan pekerjaan. Mungkin di sinilah rezeki yang dah ditetapkan untuknya.

Berkhidmat dengan sabar sahajalah Dena… Paling lama pun Adrus hanya akan menginap di hotel ini selama dua bulan. Orang tu dah berbudi, kau kenalah berbahasa. Lagipun kau juga yang memandai nak balas budi diakan? Jadinya relakan sahaja apa yang berlaku. Memujuk diri..