U n Uols

Wednesday, July 13, 2016

Si Pengejar Cinta Bab 12

            Adrus tamatkan mesyuarat yang diketuainya tepat jam 5.30 petang. Kakitangan syarikat yang terlibat mula beredar. Masing-masing nampak tergesa-gesa untuk pulang memandangkan waktu operasi syarikat sudah berarkhir.
            Telefon di atas meja dicapai. Menghubungi Adenalis. Dia mahu Dena temankannya makan di sebuah restoran. Sejak tengahari dia tidak makan kerana sibuk dengan pelbagai urusan. Bukan tak boleh makan di hotel macam biasa. Cuma dia dah muak dijamu dengan hidangan hotel. Dia nak tukar selera. Mahu merasa makanan di tempat lain pula.
            “Hello..” Menyapa sebaik panggillan dia jawab.
            “Jumpa saya kat restoran Mak Cik Kari.” Menyambung sebelum Dena membalas sapaan.
            “Bila?” Aju Dena.
            “Sekaranglah..”
            “Saya dengan kawan sekarang.. Tak boleh ke kalau saya tak pergi?”
        Bila dengar Dena cakap dengan kawan, terus dia terbayang muka si Ikmal. “I don’t care! Dengan kawan ke, siapa ke..”
            “Saya nak kena hantar dia balik..” Jelas Dena.
            “Hantar dia balik kemudian je. Temankan saya dulu.”
            “Tapi..”Cuba tawar-menawar.
            “Tak ada tapi-tapi. Sekarang!”
            “Saya tak tau Restotan Mak Cik Kari tu kat mana.. Karang terpergi Restoran Pak Cik ke, anak saudara kari ke awak marah saya pula.” Berloyar buruk.
            “Tak tau kat mana?!” Adrus dah geram.
            “Saya hantar location. Nak cakap apa lagi?”
       “Okey, saya datang.. tapi lambat sikit. Jalan tengah jammed. Bye.” Setuju Dena. Berat kedengaran di telinga dia.
            Adrus renung telefonnya, terkumat-kamit nak marah. Dia belum habis cakap Adenalis dan selamat berbye-bye? Jumpa sekejap lagi, siaplah Dena..

            Memasuki ruang restoran. Dena meliarkan mata memandang ke sekeliling. Lengan Ami dicuit apabila terlihat kelibat Adrus. Lelaki itu duduk di meja yang membelakangi mereka. Langkah diatur menuju ke meja Adrus.
Sorry lambat. Jalan sesak.” Ucap Adenalis sebaik tiba di meja Adrus. Mana tak sesaknya, sekarang waktu orang balik pejabat. Adrus yang tidak bertimbang rasa mengarah dia ke mari.
            Angkat kepala. Adrus pandang Dena dan teman yang menemani gadis itu. Tak ada segaris senyum yang dilempar. Biarpun begitu, riaknya tenang sahaja. Menerima alasan yang diberikan Adenalis barangkali.
            “Duduk..” Mempersilakan Dena dan Ami melabuh duduk.
            Dena dan Ami tarik kerusi seraya melabuh duduk. Mereka duduk bersebelahan, bertentangan dengan Adrus. Bila Dena memperkenalkan Ami, Adrus angguk. Dia masih cam dengan Ami, rakan sekerja Dena.
          “Orderlah..” Suruh Adrus sebaik pelayan datang ke meja mereka. Adenalis memesan minuman untuknya dan Ami.
            “Makan?” Aju Adrus.
            “Tak apa.. Saya nak cepat.” Menolak lembut.   
            Adrus buntang mata. “Awak tau tak restoran tempat apa?”
         Dena jawab. “Makan?” Dia nak jawab tempat orang membeli belah sebenarnya. Bimbang Adrus jeling tajam bak pedang samurai, dia tukar jawapan.
            “So.. Makanlah!”
            “Erm….” Kerling ke sebelah. Dia nampak Ami sedang sembunyi senyum. Apa yang geli hati sangat kawan dia ni..
            “Menu apa yang ada?” Tanya kepada pelayan.
            “Mak Cik Kari ada macam-macam jenis kari. Sebut je..” Adrus yang jawab.
          Eleh! Kerek. Kita bukan tanya dia. “Bagi kari atuklah…” Memesan selamba walaupun dia pasti menu yang dipesan tidak ada dalam senarai.
            Adenalis dah jolok sarang beruang! Muka Adrus merah menyala. Marah. Dah macam tebuan nak sengat orang!
Ami yang sembunyi senyum terpaksa tahan ketawa pula. Hanya si pelayan yang sengih lucu. Si Pelayan belum tahu perangai pelanggan dia yang seorang tu..
          “Kari Atuk tak ada Kak. Menu akan datang kami buat Kari Atuk. Sekarang kami  ada kari ikan, kambing, ayam, udang, sotong dan daging yang dimasak bila pelanggan order. Kualiti terjamin!” Terang si pelayan bak iklan. Masih tersengih-sengih.
            Dena ikut sengih. “Bagi kari ayamlah.. Ami?” Tanya Ami.
            “Sama..” Balas Ami tak banyak songeh.
       “Lain kali jangan letak telefon sebelum saya.” Serius nada Adrus sebaik pelayan yang mengambil pesanan beredar.
            Dena angguk. Teringat dia yang mematikan talian sebelum Adrus tadi. Manalah dia tahu Adrus tak suka. Nasib dia agak baik juga, cuma perlu berkhidmat untuk Adrus buat sementara waktu. Kalau kena berkhidmat selamanya? Bukan ke haru. Mana tak harunya.. Banyak karenah!
            “Lain kali saya tak buat lagi.” Memang dia yang terlebih dahahulu memutuskan panggillan yang dibuat Adrus. Andai dia tahu hal itu akan menjadi isu pasti dia tunggu sehingga Adrus betul-betul putuskan panggillan baru dijauhkan telefon dari telinga.
Pesanan mereka sampai ke meja tak berapa lama kemudian. Mereka mula menjamu selera. Adrus yang senyap menghadap hidangan buat Dena rasa aman seketika. Dia dan Ami berbual kosong bagaikan Adrus tak wujud di situ. Mereka tak tahu, Adrus menumpang dengar sambil pasang telinga.
Weekend ni kau nak ke mana?” Ami bertanya.
“Keluar dengan Ikmal.”
“Dena..” Tiba bahagian Dena sebut nama Ikmal, Adrus terus bersuara. Tak ada salam, terus seru nama Dena dengan pakej pandangan tajam.
Sengaja dia berbuat begitu. Nak hentikan cerita gadis berdua itu tentang Ikmal. Boleh hilang selera dia dengar nama budak tukang masak yang bernama Ikmal.
Saya nak rasa kari ayam.” Pinta Adrus. 
Mangkuk kari ayam ditolak dekat dengan Adrus. Hairannya Adrus tak cedok tapi pandang dia seperti menunggu tindakan seterusnya. Dia berkerut dahi. Bila dia tak buat apa-apa, Adrus tunjuk isyarat yang tidak difahami. Terpinga-pinga jadinya. Dua saat selepas itu baru dia hadam. Rupa-rupanya Adrus nak dia yang cedokkan. Namun dia masih berpura-pura tak faham.
“Tolonglah..” Minta Adrus.
“Ish..” Dalam geram, Dena sudukan ayam dan diletak ke dalam pinggan Adrus.
“Nah! Cuba rasa.” Adrus suakan sudu ke mulut Dena. Mahu Dena cuba lauk yang dipesannya pula.
Sudu yang disua dan wajah Adrus dipandang silih berganti. Teragak-agak untuk menerima suapan lelaki itu. Dalam serba salah dia buka mulut juga. Segan sampai dia tak rasa apa yang dikunyah!
Tika itu deheman Ami kedengaran. Menyelit di antara Adenalis dan Adrus yang tak ubah seperti pengantin makan beradab! Dena kerling Ami. Dia yang segan tahap tak terkata, diterpa pula rasa malu yang mengunung dengan kawan yang seorang itu.
“Makanlah cepat. Lepas tu hantar saya balik hotel.” Ujar Adrus. Suapan diteruskan seperti tak ada apa-apa yang berlaku.
            “Hantar balik hotel?” Soal Dena.
            “Saya tak ada kereta. Datang sini kawan yang hantar.”
            “Saya hantar Ami dulu, kemudian baru hantar awak.” Kata Dena.
            “Kita hantar Ami, Saya hantar awak.” Putus Adrus.
            “Awak kata tak ada kereta?”
           “Lepas hantar awak balik, saya drive kereta awak balik hotel. Esok saya jemput awak pergi kerja.”
            “Mana boleh!” Membantah.
            “Kenapa tak boleh? Ingat saya nak curi kereta awak ke?”
            “Bukan curi.. Manalah tau awak nak sabotaj kereta saya ke?”
            “Saya ada banyak kerja lain yang nak dibuat Dena.”
            “Saya hantar awak jelah..”
          “Apa masalahnya kalau saya hantar awak? Awak sorokan sesuatu kat rumah? Ke ada lelaki simpanan?”
            “Tak!”
            “Habis tu kenapa nak takut? Dah saya hantar awak!”

Adenalis hanya terkumat-kamit. Tak terkata..

Friday, July 01, 2016

Si Pengejar Cinta Bab 11

PULANG dari kerja Adenalis dan Ami berjalan beriringan menuju ke parkir. Langkahnya tak bersemangat. Ami yang kebetulan menumpang kereta dia kerana keretanya rosak, memandang dengan pandangan bertanda tanya.
            “Aku dengar kau jumpa Tuan Rafali ?” Tanya Ami sebaik tiba di kereta Adenalis.
            “Ya.” Balas dia.
            Riak Ami berubah bimbang. “Dia mengamuk? Apa tindakan dia dekat kau? Sungguh aku geram dengan Adrus biul tu!”
            “Dia puji aku.. Kau percaya tak?” Tukas Dena.
            “Puji? Baguslah. Mungkin Tuan Rafali pun benci sangat dengan lelaki tu. Kau dah tolong dia kenakan Adrus tak?”
            Sengih kecil dengan bicara Ami. Ada ke macam tu.. “Bukan. Sebenarnya Adrus tak laporkan kejadian tu pada Tuan Rafali. Dia puji services kita depan bos.”
            “Ya ke?” Seakan tak percaya. Yalah Dena beritahu dia yang Adrus nak laporkan kejadian Adenalis menamparnya ke pihak atasan.
            “Dengar Adrus memuji, senang hatilah bos kita. Nak-nak yang memuji tu Adrus, wakil pelabur.”
            “Patutlah sesedap rasa dia ugut kau.. Dia ada kuasa.” Ami mula faham.
            “Kata Tuan Rafali, Adrus sebagai wakil pelabur setuju nak melabur dalam hotel ni sebab puas hati dengan services yang dia dapat daripada hotel kita.”
            “Alah.! Services hutang budi koranglah tu.. Dia tabur budi dekat kau, yang kau pula tak reti kutip je budi lepas tu buat tak tahu. Faedah dapat kat hotel. Tuan Rafali senyum tak segan, yang kau sengsara perasaan.” Omel Ami tak puashati.
            “Itu yang susah dengan hutang budi..” Keluh Dena.
            “Tapi Adrus tu melampau juga. Semua perkara dia nak kau yang buat untuk dia. Nasib baik tak minta makan bersuap. Kalau tak naya kawan aku yang seorang ni..”
            “Kalau minta suap, aku tonyoh je muka dia.” Bergurau. Ketawa mereka pecah.
            “Satu je cara kalau aku tak nak berhutang budi dengan Adrus..” Ujar Adenalis apabila ketawa mereka reda.
            “Macam mana?”
            “Aku buat pengakuan pada Tuan Rafali pasal aku pukul Adrus. Lepas tu terima je apa-apa tindakan daripada pihak atasan.” Pintu kereta dibuka. Masuk ke perut kereta.
            “Janganlah Dena!” Bantah Ami. Dia tarik tali pinggang keselamatan. “Rosak reputasi kau nanti. Silap-silap kau dapat surat pemencatan. Bukan kau tak tahu, hotel kita dalam proses nak kurangkan pekerja. Tak kira level mana. Ekonomi sekarang tak berapa baik, nak jimatkan kos. Pekerja yang tak buat silap pun tak lepas, ini yang sah buat salah. Nak-nak kalau Adrus masuk campur. Patutnya dapat warning latter je, terus dapat surat pemencatan. Ada syarikat luar negara yang nak melabur dalam keadaan sekarang dah cukup baik, kalau tidak satu company ni kena cari kerja lain.”
            “Aku pun fikir macam yang kau fikir. Jadinya kena sabarlah hadap Adrus dan karenah dia. Jika tak fikir nak bantu mak dan adik-adik aku kat kampung tu, aku tak kisah sangat. Hidup aku ni libatkan dia orang juga. Lagi pun aku suka dengan kerja ni. Kawan-kawan sekerja dah seperti keluarga.. Sayang nak tinggalkan.”
            “Kesian kau Dena.. ” Simpati.
            “Kau tau.. Aku kena in-charge jaga keperluan Adrus sepanjang dia menginap di hotel kita. Tugas tu tergalas kat bahu ni secara rasmi. Tuan Rafali yang bagi amanat. Kenalah tatang dia bagai minyak yang penuh.” Maklum Dena.
            Ami tak tahu nak ketawa atau menangis mendengar berita yang disampaikan Adenalis. “Makin mengilalah Adrus dengan arahan-arahan dia… Dena! Sarapan. Dena! Tali leher saya. Dena! Nikah dengan saya. Dah alang-alang semua keperluan saya awak yang jaga, jadi isteri saya ajelah senang cerita.” Sempat melawak di hujung kata.
            “Bab merepek kasi kat dia je.” Marahkan Ami.
            “Gurau je. Sensitif pula Cik Dena..” Sengih. 
“Karang aku caj mahal-mahal sebab kena hantar kau balik..” Mengugut.
            “Alah.. Bukan aku tak tau, kau tu cakap je lebih.. Kalau aku betul-betul bagi upah bukan kau nak ambil.” Ugutan Dena tak berkesan.
            Dena mencebik. Ami kalau dengan dia memang tak makan saman.
            “Alah.. aku belanja kau makan nak?”
            “Tak nak.” Merajuk.
            “Nak merajuk konon..” Sekali ketam batu Ami singgah lengan dia. Apa lagi menjeritlah!
            “Kau ni..” Terbantut niat nak marah Ami apabila telefonnya yang tersimpan dalam beg tangan berbunyi-bunyi. Ada panggillan masuk.
            “Ada call tu, jawablah..” Suruh Ami. Sengih selamat. Jari melurus kepada beg tangan Dena.
            Beg tangan diselongkar. Telefon yang terselit dalam ruang beg diambil. Tertera nama Adrus yang memanggil. Dia dan Ami saling berpandangan.
            “Kau tak nak jawab ke?” Tanya Ami.                                                                                   
            Dena jungkit bahu.
            “Jawab ajelah..” Suruh Ami.

Malas-malas Dena jawab juga. Di talian sana dia dengar suara Adrus yang berhello.. berserta dengan arahan yang buat jarinya naik mengurut dahi.

Wednesday, June 29, 2016

Si Pengejar Cinta Bab 10

ADRUS mengawasi Adenalis yang sedang melakukan kerja pengemasan biliknya dengan ekor mata. Sejak menapak masuk ke bilik ini Dena berlagak seperti dia tak wujud. Ucapan selamat pagi atau selamat tengahari yang selalu menyapa telinganya tak kedengaran. Marah sangat ke pasal hal semalam? Alah! Nak marah, marahlah.. Dia tak peduli pun..
            “Dena!” Menahan Adenalis yang mahu beredar. Gadis itu sudah selesaikan tugasnya. Kata tak peduli.. Yang kau tahan dia ni kenapa Adrus?
            Adenalis berhenti di muka pintu. Farah yang tadinya membantu dia dibiarkan beredar dahulu. Gadis itu seakan-akan faham dengan suasana pagi ini yang tak seperti kebiasaan. Dingin dan sepi menguasai ruang. Adrus yang selalunya banyak arahan diam membisu. Menerima perkhidmatan Dena tanpa komen. Dena yang biasanya petah menjawab tutup mulut rapat. Walaupun terasa pelik, Farah diamkan tanpa bertanya. Macam mana nak bertanya, dia nak telan liur pun takut!
            “Dah siap kemas ke?”
            “Dah.” Menjawab sepatah.                      
            “Dena. Awak ikhlas ke nak balas budi saya dengan buat semua ni?”
            Berpaling menghadap Adrus. “Awak nampak macam saya ikhlas ke?”
            “Fine! Awak tak payah buat kerja-kerja ni lagi.”
Dena pandang Adrus seakan tak percaya. Raut Adrus waktu itu nampak tak menyakinkan.
“Awak serius?”
“Simpanlah jari awak tu. Petang ni saya akan jumpa bos awak. Saya akan buat aduan pasal kes hari tu. Terpulanglah dia nak ambil tindakan apa. Awak tak akan ada hutang budi dengan saya lagi.”
Dia renung wajah Dena. Sangka dia gadis itu akan terkejut besar. Dia bukan betul-betul berniat nak besarkan kes itu. Tapi Adenalis nampak redha dan menerima keputusannya dengan tangan terbuka.
“Kalau itu keputusan awak. Saya nak buat macam mana. Memang saya yang salah..” Berkata tenang.
“Tak takut hilang kerja?”
“Dah takdir saya macam tu, terima jelah.” Selesai menuturkan bicara, dia menapak meninggalkan bilik Adrus tanpa ucapan.
Dalam menerima, dia terbayang-bayang wajah Emak dan adik-adik. Tanggungjawab menyara mereka terletak di bahu dia. Kalau kau kena pecat macam mana Dena? Kebimbangan mengetuk minda. Tak apalah, rezeki ada di mana-mana. Cuba menyedapkan hati..
            Adrus hilang kata. Menyesal dengan kata-katanya tadi. Niat nak mengugut dah bertukar serius. Dia yang rasa tergugat dengan ugutan sendiri. Mana tidaknya, selepas ini dia tak akan dapat jumpa Dena seperti sekarang lagi.
             
            Nafas berat dihembus. Adenalis cuba untuk menenangkan diri sebelum bertemu mata dengan Tuan Rafali, bosnya. Apabila merasakan diri sudah bersedia, tangan naik mengetuk pintu pejabat dua kali. Arahan masuk daripada Tuan Rafali kedengaran dari dalam. Adenalis kuak daun pintu lalu mengatur langkah memasuki bilik itu.
            Sebaik melangkah masuk, dia bertembung pandang dengan Adrus yang sedang duduk senang di hadapan bosnya.
“Duduk Dena.” Pelawa Tuan Rafali. Tersemat senyuman di bibir orang tua itu. Dena pula yang tak keruan dengan situasi ini. Dia membayangkan sesuatu yang berbeza. Apa yang dibayangkan ialah Tuan Rafali tayang muka ketat merah menyala dengan suara tegas membasuh dia.
“Mesti awak dah kenal dengan Encik Adrus, kan?” Tuan Rafali bertanya. Senyum masih tidak lekang.
Tak sangka pula dia yang Tuan Rafali dah berubah perangai. Tersenyum gembira menyambut kedatangan pekerja yang berbuat salah. Selalunya aura tegas itu ternampak-nampak dari sebalik pintu lagi. Hairan sungguh..
Kerling Adrus dua saat. Dia angguk perlahan. Tak boleh kerling lama-lama, karang dia renung lelaki itu bersama perasaan rindu, dendam dan sebal. Terus lupa dengan bos yang sedang berada di hadapan mereka. Mood orang tua itu yang sedang sepoi-sepoi bahasa pun boleh binasa!
“Encik Adrus ni bukan calang-calang orang tau, dia wakil pelabur kita.” Terang bosnya dengan suara yang cukup ceria.
Wakil pelabur? Baru dia teringat, Kak Ima ada menyebut tentang wakil pelabur tempoh hari. Dia yang tak simpan dalam kepala sebab sibuk menjadi orang suruhan Adrus.
“Tuan.. Saya minta maaf..” Pinta Dena sebelum apa-apa. Kepalanya tunduk sahaja.
Ketawa Tuan Rafali tercetus. “Tak.. Tak.. Kenapa nak minta maaf. Awak dah laksanakan tugas dengan baik.”
Angkat kepala. Pandangan bertanda tanya. Takkan Tuan Rafali puji sebab lima jari dia yang sudah selamat mendarat di pipi Adrus kot? Kes ini memang luar biasa..
“Encik Adrus bagitau saya, dia puashati dengan services hotel kita. Saya dapat tau juga, awak dah bersusah payah memberikan services terbaik. Pihak hotel amat berbangga dengan perstasi awak.”
Dahi berkerut. Dena kurang faham sebab dia menerima pujian yang melambung begitu. Prestasi kerjanya yang baik tercalar kerana insiden dengan Adrus tiba-tiba bertukar menjadi sesuatu yang dibanggakan pihak atasan? Cerita yang bagaimana dah Adrus sogokkan kepada bosnya? Dari nak buat aduan Adrus menukar pernyataan kepada puji-pujian ke? Kenapa Adrus berubah fikiran pula?
Dia nak percaya yang Adrus melakukan semua itu dengan ikhlas tanpa balasan. Namun akal waras menyatakan pasti dia perlu membayar ‘sesuatu’ untuk semua ini.
“Tapi Tuan..”
“Tak payah segan Cik Dena.. Saya cakap perkara yang betul je pada Tuan Rafali.” Sampuk Adrus. Memang dia khabarkan perkara yang betul tentang perkhidmatan yang dia dapat. Cuma dia tak beritahu sebab dia mendapat perkhidmatan ‘kelas A’daripada Adenalis kepada Tuan Rafali. Perkara itu biar menjadi rahsia dia dan Dena. Modal untuk memastikan Dena berada dekat dengannya.
“Sebagai wakil pelabur, Encik Adrus dah menandatangani perjanjian perlaburan dengan hotel kita. Terima kasih Dena kerana dah menonjolkan imej yang baik bagi pihak hotel. ” Bukan setakat memuji, Tuan Rafali dah memberikannya penghargaan. Dia yang menerima rasa bersalah. Dia tak layak. Bagaimanalah agaknya jika orang tua itu tahu tentang cerita sebenar. Kejadian yang menjadi punca dia terpaksa menabur khidmat kepada Adrus. Gamaknya dari senyum riang orang tua itu terus bertukar rupa jadi naga garang!
“Teruskan khidmat yang baik ini Dena. Pihak hotel juga dah setuju  menyerahkan tanggungjawab menjaga keperluan Encik Adrus sepanjang tempoh dia di sini kepada awak, Dena.”
Dena tak balas apa-apa. Dia hanya mampu melempar senyum tawar. Sebelum tugas itu diserahkan secara rasmi, dia dah berkhidmat kepada Adrus. Jadi tak ada bezanya.
 “Tuan Rafali, I've got to go. ” Adrus meminta diri. Bingkas bangun. Diikuti Tuan Rafali. Kedua-duanya berjabat tangan. Sebelum melangkah dari bilik Tuan rafali, Adrus sempat melontar senyum buat Dena. Senyum yang Dena sendiri tak tahu nak ditafsirkan maksudnya. Apa yang dia pasti, senyum itu bukan senyum ikhlas setulus hati. Tak semena-mena dia diserbu kebimbangan..
“Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu Tuan.” Adenalis meminta diri selang seminit Adrus beredar dari ruang kerja bosnya. Jauh di sudut hati dia bersyukur dan berterima kasih kepada Adrus. Dari sudut yang lain pula hati tak senang kerana hutang budinya kepada Adrus masih belum selesai.
Tuan Rafali yang masih diselubungi mood baiknya mengizinkan dia beredar tanpa halangan. Tidak berlengah, dia keluar dari bilik orang tua itu. Sebaik keluar dia tercari-cari kelibat Adrus. Nampak sahaja Adrus, dia mempercepatkan langkah. Ada sesuatu yang perlu diperkatakan di antara mereka berdua. Sekurang-kurangnya dia perlu tahu muslihat Adrus yang membatalkan niat untuk melaporkan insiden tamparan tempoh hari.
“Adrus!” Panggil Dena.
Adrus berhenti menapak. Menunggu Dena yang sedang mara ke arahnya tanpa berpaling ke belakang.
“Kenapa tak beritahu hal sebenar pada Tuan Rafali?” Terus menerjah Adrus dengan soalan.
Senyum nipis. “Tiba-tiba saya rasa tak seronok kalau kita selesaikan hutang budi ni cepat sangat.”
“Awak nak main-main ke?”
“Macam awak tak biasa main-main. Perasaan saya awak boleh main-mainkan..” Bicara sinis Adrus muncul lagi.
Dena tak balas. Dia hanya melempar renungan tajam. Kepalanya tergeleng-geleng sedikit.
“Tapi awak jangan risau Dena. Perjanjian kita tetap sama seperti sebelum ni. Tak ada tambahan. Berkhidmat untuk saya pada bila-bila masa. Tuan Rafali pun dah bagi izin.”
“Bila awak nak jadi matang Adrus? Awak berdendam… Merajuk macam budak-budak! Tolonglah move on. Seronok sangat ke mengacau kerja saya? Ganggu hidup saya macam sekarang?” Melepas marah. Situasi ini menekan dia. Penat dan letih dirasakan bukan pada fizikal tetapi pada mentalnya.
“Terganggu ke? Kalau tak nak rasa terganggu, nak hidup aman damai sangat.. Bagi saya salah satu jari awak.” Bibir Adrus tunjuk ke jari-jemari Adenalis.
“Nah! Ambil jari saya ni, potong. Biar puas hati awak!” Dah geram sangat Dena angkat lima jari di hadapan Adrus.
Tangan Dena diturunkan. “Tak sayangkan diri ke? Dah tak sayang, awak potong sendiri.. lepas tu bagi saya..” Menapak meninggalkan Adenalis. Buka langkah dua tapak dia berhenti.
Sebuah keluhan dilepaskan Adrus. Dia terbayangkan raut wajah Adenalis sebentar tadi. Dalam marahkanya, dia dapat melihat kesedihan di mata gadis itu. Menyorok pandang ke dalam mata Adenalis buat dia lemah.
            Dia tak faham mengapa Adenalis bereaksi seperti itu. Lagak Dena seolah-olah dia yang meninggalkannya beberapa tahun lepas. Adenalis kata cinta, tapi pinangannya ditolak mentah-mentah. Kesakitan kerana perbuatan Dena masih terasa-rasa sampai saat dan ketika ini. Sakit akibat tamparan di muka tak seberapa jika dibandingkan dengan tamparan perpisahan mereka.
            ‘Perkahwinan berlandaskan cinta semata-mata tak bawa ke mana Adrus..’ Kata-kata Dena suatu masa dulu tergiang-giang di telinga. Sebaris ayat yang sentiasa membakar perasaannya.
            Bertahun dia merantau, jauh beribu batu dari Adenalis. Namun kata-kata itu tak lekang dari benak. Berulang-ulang di telinga tak mengira jemu. Dia sepatutnya membalas perbuatan lampau Dena sehabis kejam. Biar gadis itu rasa kesakitan yang sama. Sayangnya dia tak boleh lakukan semua itu. Lebih parah, sejak bertemu kembali dengan Adenalis dia tak mampu menjauhkan diri daripada gadis itu.
 “Awak tentu tentu tau mana nak hantar jari tu nanti kan? Saya di bilik yang sama..” Beredar menuju ke lif.
Dena renung jari-jemarinya. Siapa kata dia tak sayangkan diri? Andai dia rosakkan diri sebab terlanjur kata, memang dia manusia yang kufur dengan nikmat Tuhan. Sengaja memusnahkan pemberian Allah kerana sebab yang remeh.
“Astaghfirullahalazim…” Beristghifar panjang.
Dia sepatutnya bersyukur. Walaupun dengan apa yang terjadi dia masih boleh bertugas di hotel ini. Rezeki itu memang ada di mana-mana, tapi dalam keadaan ekonomi sekarang bukan senang nak dapatkan pekerjaan. Mungkin di sinilah rezeki yang dah ditetapkan untuknya.

Berkhidmat dengan sabar sahajalah Dena… Paling lama pun Adrus hanya akan menginap di hotel ini selama dua bulan. Orang tu dah berbudi, kau kenalah berbahasa. Lagipun kau juga yang memandai nak balas budi diakan? Jadinya relakan sahaja apa yang berlaku. Memujuk diri..