U n Uols

Saturday, September 28, 2013

SI PENGEJAR CINTA BAB 7

"CIK DENA dah turun pangkat...” Ami mengejek. Menarik kerusi lalu duduk. Dena menarik kerusi yang bertentangan.
“Mi, jangan buat aku marah....” Tidak perlu bertanya siapa yang menjadi penyampai berita, kerana dia tahu  tiada orang lain selain Farah.  Apa tidaknya, segala tugas yang dilakukan pagi ini dipantau gadis itu. Selalunya dia yang memantau Farah, sekarang dah terbalik, dia lakukan tugas Farah, Farah jadi Penyelia. Adrus pula jadi tuan muda!
Bukan aku yang cakap, budak kau yang cerita, si Farah.  Dia cakap sekejap Cik Dena jadi budak dobi, sekejap jadi cleaner...sekejap jadi itu, sekejap jadi ini. Wah! Layanan first class.”
“Orang dah berbudi, aku kenalah balas. Tak naklah nanti berhutang budi tu sampai mati. Lagipun aku dah terlanjur berjanji. Tak buat karang, dia akan tuduh aku jenis manusia mungkir janji sampai sudah. Seksa nak tanggung tuduhan macam tu...”
“Yalah. Lagi satu kalau tak tunaikan, kena potong jari. Kudung tak pasal-pasal...”  Ami ketawa seronok. Lucu mengenangkan Dena yang terlepas cakap tak kena masa.
“Ungkit lagi pasal tu siap kau!” Marah. Emosi tak stabil kerana onar Adrus pagi ini. Adrus mengerah tenaganya ikut suka. Dena, hantar baju saya! Dena, sarapan saya! Dena, kemas bilik saya! Dena, Dena, Dena, dan Dena!  Lama-lama kepala sesak sampai dia berpinar-pinar!
“Dia dah pergi kerja?”
“Dah kot. Kalau tidak, tak tenang hidup.”
“Macam isteri layan suami dah. Sebelum suami pergi kerja...siapkan pakaian, sarapan, itu...ini...bla...bla...” Omel Ami.
“Dia tahu aku rasa bersalah...sebab tu dia buat aku macam ni. Dia memang bijak menggunakan kesempatan depan mata.”
“Kau tak perlu nak rasa bersalah atas apa yang berlaku dulu... Adrus je yang tak matang. Tak boleh fikir kebaikan di sebalik tindakan kau. Berjaya apa dia sekarang...”
“Dulu...dia tak matang lagi. Muda remaja....bertindak tak ikut akal. Perkara tak berlaku seperti yang dia nak. Sentaplah...”
“Perkara dah lama kot...tapi aku tengok sentap dia tak surut-surut. Makin menjadi-jadi...”
“Lama dia simpan marah dengan aku...baru sekarang dapat dilepaskan... nanti-nanti okeylah dia...”
“Ya..ya je kau bercakap...”
Adenalis sengih. Tiada huraian lanjut untuk membalas. Dia juga masih sedang berharap, berdoa semoga Adrus tidak lagi memusuhinya. Sampai bila mereka nak jadi lawan? Hidup takkan tenang selagi sengketa ini tak terlerai.
“Sebelum tiba masa 'nanti-nanti okeylah dia', kau dapat tahan sabar ke? Karang berlaku lagi kes sepak-menyepak... Kali pertama lepas, kali kedua mesti naik mahkamah.”  
“InsyaAllah boleh. Nasib baik dia tak minta aku buat perkara yang bukan-bukan.” Meluahkan kelegaan. Minuman disisip sedikit.
“Yelah. Nasib baik dia tak letak syarat.. ‘Dena awak kena nikah dengan saya. Tapi sepanjang pernikahan kita awak mesti jadi orang gaji saya.” Ami ajuk gaya Adrus. Selepas itu dia ketawa terkekeh-kekeh.
“Ish! Kau ni.. Minta simpang. Aku ni ada emak lagi. Kalau dah masuk hal macam tu, kena minta izin Puan Zaida. Kalau mak aku tak kasi… Mana boleh!” Dena tergeleng-geleng. Tak sanggup dia nak fikir sejauh itu.
“Orang kata kan, Dena. Lelaki ni akan jatuh kerana perempuan. Jatuh sebab cinta. Dan ada yang berjaya juga kerana perempuan...kerana cinta.” Ami membuka topik selingan sambil menikmati makan tengahari.
“Maksudnya...” Aju Dena.
“Kawan lama' kaulah...”  Dua jari dari kedua-dua belah diangkat. Membuat aksi pengikat kata.
“Siapa?” Buat-buat tak faham.
“Adrus. Dia tu, aku tak tahu nak letak dalam kategori mana. Kau rasa dia dalam kategori satu atau dua?” Menganalisa.
“Dua-dua sekali kot.”Cinta telah membuat Adrus alpa. Lupakan segalanya. Setelah hatinya dikecewakan, dia mula bangkit mengejar sesuatu yang lebih pasti.
“Ke kategori tiga...”
“Yang ketiga apa pula?”
“Wayar tersumbat. Gila!”
Dena ketawa. “Merepek...”
“Siapa yang gila?” Nash bakal suami Ami singgah di meja mereka. Sempat menyampuk perbualan yang tidak diketahui hujung dan pangkalnya. Wajah Dena dan Ami dipandang silih berganti. Menagih jawapan daripada kedua-duanya.
“Kawan Dena, Ad....arghh!!” Ami terjerit kecil. Kakinya ditendang oleh Dena dari bawah meja. Isyarat agar tidak meneruskan cerita. Mata Dena terjegil,
“Kawan.... Kawan Dena....err...ada....adalah.” Ami menutup cerita dengan menayang sengih.
“Aku dengar kau sepak orang, Dena. Betul ke?” Soal Nash. Ketinggalan jauh. Cerita dah berlalu berhari-hari dia baru nak ambil tahu.
“Cerita dah basi, Nash. Dah selesai pun. Aku dah capai kata sepakat dengan si mangsa. Mana kau pergi sampai ketinggalan jauh kat belakang?”
Nash kawan yang dikenali selepas tamat belajar di universiti. Berkenalan kerana secara tidak sengaja, sebelum mereka sama-sama bekerja di hotel ini. Dia mengenali Nash sebelum mengenali Ami lagi. Ami dikenali selepas berkhidmat di hotel ini. Dari rakan sekerja yang berhai-hai mereka jadi teman sekepala. Dia tidak pasti sejak bila Nash simpan perasaan kepada Ami, yang dia tahu Nash ambil langkah pertama ajak Ami keluar berdua hujung tahun lepas. Selepas beberapa kali menggunakannya supaya mengajak Ami lepak-lepask bersama. Kawan-kawan ingin merasa bahagia. Dia restu sahaja. Beberapa bulan lepas kedua-duanya selamat mengikat tali pertunangan. Tidak lama lagi akan berkahwin.
“Jangan kau tak tahu Dena, dua tiga hari ni Nash sibuk kalahkan menteri... Nama je satu tempat kerja. Nak jumpa bukan main susah.. Asyik terperuk dalam dapur tu. Dia dating dengan periuk belanga.”
“Kita masuk bab masalah rumah tangga korang ke apa ni?” Dena bergurau. Dia faham. Ami bercerita sambil meluahkan ketidakpuasan hati. Kiranya serapang dua mata. Dua dalam satu.
“Saya bukan saja-saja terperuk...kami kat kitchen busy...siapkan hidangan untuk macam-macam majlis. Betul-betul sibuk minggu ni.” Perjelas Nash. Mencapai minuman Ami. Diteguk juga walau Ami menegah.
Korang sambung je gaduh. Aku kena pergi ni...”
“Pergi dah?”
“Yup! Tugas sedang menunggu.”
“Kerja konon. Padahal saja tak nak lepas-lepak dengan aku kan? kan?”
“Ala....aku nak bagi peluang korang dating...tu Ami dah keluar aura merajuk. Pujuklah Nash.” Menolak kerusi lalu bangun.
“Banyak kau punya peluang. Kena bahamlah aku dengan mak singa ni...” Ujar Nash tak bertapis. Ketawanya bergema. Bersambut dengan tawa Dena.
“Ada-ada je kau, Nash. Aku pergi ni... Ami, tak mahu gaduh-gaduh. See you  later okay!” Dena goyang jari telunjuk. Dengan tawa yang masih bersisa, dia berlenggang pergi. Kerjanya banyak jadi tidak boleh bertanggug-tangguh.
Ami mencebirkan bibir. Menghantar pemergian Dena dengan perasaan tak puas hati.  Kena kau!
“Awak. Saya nak tanya boleh?” Aju Nash. Dena sudah kembali menyambung kerja. Tinggallah dia dan Ami sahaja di meja itu. Peluang sedang terbuka untuk dia menjalankan tugas merisik khabar. Dia bukan mahu menyibuk, cuma ingin membantu Ikmal. Mengurangkan persoalan yang bertanda soal dalam kepala lelaki itu.
“Apa?” Ami membalas acuh tak acuh.
Guest yang bernama Adrus....siapa sebenarnya dia dengan Dena?”
Ami duduk tegak. Jari telunjuk dihala tepat ke wajah Nash. “Konon ketinggalan berita...padahal awak kat dapur sibuk mengumpat ya?” Brdalih dengan serkap jarangnya
“Tak...Tak....” Nafi Nash.
“Habis tu dari mana awak dengar pasal guest yang bernama Adrus ni?”
“Ikmal.”
“Ikmal? Dia cerita apa?” Terbit rasa menyesal kerana meminta bantuan daripada Ikmal sewaktu kemunculan mengejut Adrus di pejabat tempoh hari. Tanpa izin dari Dena, dia tidak akan membuka apa-apa cerita. Lebih-lebih lagi kisah peribadi gadis itu.
“Dia tak cerita sangat. Cuma dia ada cakap, dia tak percayakan lelaki tu.”
“Saya cakap, nanti saya selidik lebih lanjut dari awak...”
Sorry...saya tak tahu apa-apa.” Kata Ami. Menyembunyikan kisah sebenar.
“Awak....ceritalah. Next weekend nak beli barang hantaran kahwin tak? Nak tak?” Mengugut.
“Mestilah nak!”
“Bagitahu saya dulu...”
“Awak ugut saya?” Ami jegil biji mata.
“Tak..tak adalah. Saya gurau je. Sumpah!” Sungguh dia hanya bergurau. Tiada niat lain.
“Okey, kita tak payah kahwin!” Ujar Ami marah. Bangkit segera dari kerusi. Menapak pergi kerana panas hati dengan tunangnnya. Nash ditinggalkan terkulat-kulat.  
“Ami...Ami!” Kerana hendak menolong kawan, uruskan kahwin dia pula yang bercelaru. Mak singanya kalau naik darah, teruk juga. Berhari-hari belum tentu reda marahnya. Ikmal kau risik sendirilah, aku tak dapat nak tolong...

Telefon yang diletak dalam mood senyap bergetar dan menyala. Adenalis mengerling sekilas tanpa niat untuk menjawab panggilan tersebut. Dia sedang membincangkan sesuatu yang penting dengan rakan sekerjanya. Apabila telefon terus-terusan menyala dan bergetar, dia mengalah. Perbincangan segera ditamatkan.  
“Hello.” Sapanya lembut.
“Kak Dena sibuk ke? Banyak kali Mira telefon, tak jawab...”
“A'ah sibuk juga. Kenapa Mira telefon akak?” Panggilan daripada adiknya, Amira.
“Mira kat stesen bas ni. Baru sampai dari kampung. Akak datang ambil Mira ya?”
“Dah balik sini? Kak Dena kan dah cakap, minggu depan Akak balik kampung. Kita balik sini sama-sama. Kenapa datang awal pula?”
“Mira balik awal sebab ada hal sikit. Akak datang ambil Mira, okey? Mira tunggu....”
“Hmm...okey. Tunggu kat sana sampai Akak datang.”
Tamat sesi bertelefon dengan Amira, Adenalis mencapai apa-apat yang patut. Bersedia untuk bergerak ke stesen bas. Telefon yang telah disimpan ke dalam beg tangan berbunyi lagi. Tangan diseluk ke dalam beg, mencapai telefon. Dada telefon diseret dengan hujung jari tanpa melihat pemanggilnya.  Dia tahu mesti Amira yang menelefon lagi.
“Apa lagi Mira? Sabarlah, sekejap lagi Akak sampai,” ujar Dena sebaik panggillan dijawab. Tangan sibuk membetulkan pakaian di tubuh. Telefon dikepit dengan bahu.
“Mira?” Pemanggil di hujung talian menyoal.
Tangan segera naik memegang telefon. “Siapa ni? Soal Dena.Sedar bukan panggilan daripada Amira.        
“Saya...”
“Saya siapa?”
“Sayalah!”
“Sayalah siapa?” Nada suara naik separas. Susah sangat ke hendak memperkenalkan diri?
“Awak ni kenapa? Ini saya, Adrus!”  Suara Adrus kedengaran marah.
“Oh! Adrus...”
“Saya nak minum petang. Hantar ke bilik!” Mengarah ikut suka.
“Err..awak dah balik dari pejabat?” Resah. Tengok jam di pergelangan tangan.
“Dah. Jangan lupa hantar, saya tunggu.”
“Sekarang?”
“Sekaranglah...” Hilang sabar.
“Err...apa kata awak turun ke coffee house? Saya ada hal ni, nak keluar....”
“Apa saya peduli! Apa yang saya nak mesti ada.” Tegas Adrus. Melengking-lengking suaranya.
“Yalah-yalah, saya hantarkan!” Marah juga. Klik. Talian diputuskan.
Ya! Adrus akan dapat minum petangnya sebagaimana yang dikehendaki, tapi lebih lambat daripada jangkaan lelaki itu. Sekarang, apa yang lebih utama adalah menjemput Amira di stesen bas!
Amira telah menempuh perjalanan jauh yang memenatkan, takkan dia sanggup membiarkan adiknya menunggu lebih lama. Kasihan Amira. Adiknya maka tanggungjawabnya, jadi usah menjadi penghalang dia menjalankan tugas sebagai kakak. Adrus? Lelaki itu akan diuruskan kemudian...

Kaki kiri disilangkan di atas kaki kanan. Jari-jemari mengetuk tempat meletak tangan kerusi yang duduki. Jelas menampakkan ketidaksabaran empunya diri. Leher sudah beberapa kali dipanjangkan ke arah pintu masuk hotel. Bayangan yang ditunggu tetap belum muncul.
“Bercakap je lebih...” Adruce membebel.
Lama dia menunggu minum petangnya dihantar Adenalis ke bilik. Dari setengah jam membawa ke satu jam, gadis itu tidak juga kunjung datang. Lantas dia ke lobi hotel, mencari Dena. Menurut rakan sekerja Adenalis yang bertugas di kaunter depan, gadis itu terpaksa keluar kerana urusan penting. Namun Dena sempat menitipkan pesan agar disampaikan kepadanya. Pesanan yang tertulis di atas sekeping kertas putih itu hanya menambah bengkak di hati! 'Encik Adrus sila tunggu dengan penuh kesabaran. Saya akan kembali setelah urusannya selesai...' Tuhan sahaja yang tahu paras marahnya waktu ini.
Dena! Mata menangkap Adenalis di pintu hotel. Bingkas bangun. Gerak diatur menuju ke arah Dena. Perhintungan harus dibuat!    
“Mana awak pergi?!” Menjerkah kuat.
“Saya kan dah cakap, saya ada hal,” balas Dena.
“Hal apa?!”
“Saya pergi jemput adik...”
“Adik?” Kemarahan kendur. Adrus baru sedar ada seorang gadis remaja bersama Dena. Wajahnya saling tak tumpah seperti wajah Dena. Adik Dena? Dahi berkerut. Dulu masih kanak-kanak. Sekarang dah besar?
“Adik. Ini adik saya. Saya keluar sekejap sebab jemput dia di stesen bas.” Menjelaskan panjang lebar agar Adrua faham situasinya.
“Ini...Am...” Cuba untuk menyebut nama adik Dena. Dia ingat-ingat lupa.
“Amira.” Sambung Dena.
“Dah besar...” Adrua berkata perlahan. Adik Dena yang kali terakhir dilihat dulu masih kanak-kanak, kini sudah remaja. Nampak sangat dirinya semakin bertambah usia. Bukan tua, tapi semakin dewasa!
Wait!  Abang ni...” Sampuk Amira yang dari tadi sekadar menjadi pendengar perbualan kakak dan lelaki berkemeja putih itu. Dia cam siapa lelaki itu.  Lelaki ini pernah berkunjung ke kampung mereka.
“Belajar atau dah kerja?” Adrus memotong laju dengan soalan yang sengaja ditanya.
“Belajar,” jawab Amira. Senyum ramah.
“ Belaja kat mana?”
“Uitm.”
Study elok-elok...” Memberi sedikit nasihat. Beralih pula kepada Adenalis.
“Dena, minum petang saya. Hantar ke bilik.” Arahnya seraya berlalu. Datangnya ikut suka, perginya juga begitu.
“Kak Dena! Dia...dia kan Abang Adrus?” Bulat mata Amira bertanya. Memperlihatkan betapa terkejut dirinya dengan pertemuan ini.
“Tolong buat-buat tak kenal, Mira. Dia akan lebih gembira dan bahagia kalau kita buat macam tu....” Kata-kata daripada mulut Dena yang mengundang pandangan aneh Amira.
“Kenapa?” Keadaan yang tidak dapat difahami.
“Dia benci kakak Mira ni.  Benci, marah dan dendam.”
“Kenapa pula?” Masih belum faham sepenuhnya masalah orang dewasa. Situasi yang di hadap kakaknya agak kabur untuk dibayangkan.
“Hati dia patah kerana Akak...Mira agak, dia akan senyum manis dan layan kita baik-baik?”
Amira angguk, baru dia mengerti akan maksud Adenalis. Dia mengandaikan kakaknya telah meninggalkan kesan kekecewaan yang besar kepada Adrus. Dia nampak dingin dan kasar layanan lelaki tu terhadap kakaknya. Dia juga nampak mata Adrus yang bersinar-sinar sewaktu memandang kakaknya. Benci, dendam dan bersisa cintakah? Pandangan kakaknya juga begitu. Dia pula yang binggung dalam merumuskan keadaan.
“Tapi kenapa dia di sini?” Aju Amira.
“Sebagai salah seorang tetamu kami.”
Angguk lagi. Hmm...Kak Dena pergilah. Sambung kerja. Miraatunggu kat sini. Tak lama kan?”
Sorry ya Mira? Terpaksa singgah sini dulu. Tak dapat balik rumah terus.  Rehat-rehat...”
“Tak apa.” Amira tidak kisah. Dapat juga dia menjamu mata di tempat kerja Adenalis. Bukan selalu dapat peluang seperti ini.
“Akak pergi ya...” Dena meminta diri. Harus menunaikan satu tugasan. Menghantar minum petang buat tuan muda, Adrus!
“Okey..” Balas Amira.

Lepas mata Adenalis. Amira mengeluarkan telefon. Mendail nombor seseorang untuk menyampaikan perkhabaran tentang pertemuan sebentar tadi. Orang yang sepatutnya juga mengetahui perkara ini ...

Saturday, September 21, 2013

SI PENGEJAR CINTA BAB 6

ADRUS memerhatikan kelibat seseorang yang dikenali dari jauh. Perbualan rakan-rakan di meja bulat mereka berlalu seperti angin. Ada sesuatu yang lebih menarik tumpuan mata. Perhatiannya ketika ini adalah kepada seorang gadis yang sedang bergelak ketawa di hujung dewan. Gadis itu sedang bersapa-sapaan ceria dengan seorang lelaki. Lelaki sama yang mencampuri urusannya dan Dena siang tadi.  
Semakin dipandang kemesraan mereka, semakin senak biji mata. Pandangan dikalih ke tempat lain. Bertahan sedetik cuma. Mata berdegil untuk memandang arah yang sama lagi. Kehendak itu diturutkan.
Dia pernah gila bayang kerana gadis tersebut. Menjadi pengejar cintanya tanpa jemu... 
Hai, sorang je?” Niat awal untuk ke perpustakaan tersasar. Kaki dilencong ke perhentian bas. Lencongan awal yang menjadi permulaan tersasarnya matlamat awalnya sebagai seorang pelajar.
Angkat kepala. “Taklah. Beramai-ramai...” Tunduk kembali menatap kertas di tangan.  Tak ada sesiapa di hentian bas itu kecuali mereka berdua.    
Oh, ramainya. Tak perasan pula.” Melabuh duduk di sebelah si gadis. “Saya Adrus, Adrus Bin Azlan...” Tangan dihulur.         
Huluran tangan tak bersambut.  Si gadis memandangnya sekilas sebelum mata jatuh lagi pada nota kecil di tangan.Adenalis Ahmad,” gemersik suara itu membalas. Suara gemersik yang bisa mengulik mimpi lena.  
“Budak baru ke? Tak pernah nampak sebelum ni...”Mungkin gadis ini tak perasan mereka pernah bertemu ketika perjumpaan wakil-wakil pelajar. Sejak pertemuan kali pertama itu dia tak pernah lupakan si gadis.   
“Taklah. Budak lama. Tak pernah nampak sebab selalunya saya halimunan.” Bersahaja Dena membalas. Keselambaan yang membuatkannya semakin terpikat.
Cerita lama, tak guna dikenang. Cinta yang berkesudahan dengan dirinya yang dikecewakan!
“Mengacau je!”Marah Dena. Tegang wajah yang ditayangkan untuk tatapannya.
Saya tak kacau pun…..” Memandang sekilas rakan jawatankuasa di sebelah Dena yang menjeling dengan pandangan menyampah.
Habis tu kenapa dari tadi ikut saya? Mana-mana saya pergi awak ada. Nak jadi bayang-bayang saya ke?"
“Nak! Kalau awak izinkan.”
“Sebab apa awak buat saya macam ni, hah?” senarai tugas yang sedang dibaca diletak ke meja. 
“Sebab...sebab saya nak jadi boyfriend awak!”
“Tolonglah……saya tak nak!” Terang dan jelas Dena berkata. Dia bingkas bangun.  Dituruti rakan di sebelah.
“Saya nak!
“Jangan nak mengada-gada boleh tak? Awak datang sini sebab nak belajar ke cari perempuan, hah?”
“Sambil menyelam minum air...”
“Dah! Tolong tepi sikit. Menghalang tugas kami je...” Tubuhnya ditolak. Sebelum laluan dihalang lagi, Dena dan temannya segera meninggalkannya, berlalu pergi. Perlu memasuki kelas yang bakal bermula.
Kelibat Dena yang menghilang di sebalik pintu bilik aktiviti pelajar hanya mampu dipandang. Percubaan yang entah kali ke berapa menemui kegagagalan. Hari-hari berikutnya dia mencuba dan mencuba lagi, sehingga dia digelar pengejar cinta. Si pengejar cinta Adenalis...

“Huh!” Mengeluh. Kisah lama itu sepatutnya dah lupus.

Awak terima saya sebab kesian atau sebab sayang?” Merenung mata Dena. Mencari jawapan pasti.
Tentulah sebab kesian...”
“Betul-betullah, Dena.”
Sayang...sebab, saya sayang awak...”
Jawapan Adenalis mengundang senyum sampai ke telinga. Senyuman yang bertahan sehingga berhari-hari.

Tangan mencapai gelas minuman, diteguk rakus. Apa perlunya kehadiran Adenalis dalam dewan ini? Tak reti-reti nak balik rumah? Menempel di sisi lelaki entah untuk apa. Sakit hatinya menyaksikan kegembiraan Dena.
Perasaan jadi berang. Dena di sini bahagia menjalani hidup. Dia yang bertahun-tahun di negara orang pula sebaliknya. Berperang dengan gelodak dalaman untuk melenyapkan gadis itu dari ingatan. Betapa ia bukan satu tugas yang mudah. Adenalis tak kenal erti bersalahkah?!
Mata dihala ke arah yang sama sekali lagi.  Dena dan budak tukang masak saling berbalas lambaian. Kemudian Adenalis beredar, menyusup keluar dari dewan melalui pintu yang digunakan oleh kakitangan hotel yang bertugas.  Si tukang masak kembali menjalankan tugas, ditemani sulaman senyum yang tak lekang dari bibir.
Adruss bingkas dari duduknya. Fikiran kacau. Dia perlu keluar dari dewan mencari ketenangan...

Adenalis menyentuh telinga yang terasa perit. Suara Adruss yang melengking kuat meyentap dada. Walhal, jarak kedudukkan  mereka cuma setapak. Namun, gaya Adrus bercakap bagaikan dia sedang berada jauh di hujung sana!
“Ambil balik kad murah awak!” Menghulurkan sekeping kertas berwarna merah hati, berbentuk empat segi dan berlipat dua kepada Dena. Kad yang tertulis kata-kata maaf dari gadis itu. 
“Saya tak ambil balik benda yang saya dah beri kat orang,” balas Adenalis. Di tentang pandangan mencerlung Adrus.
“ Ambil balik! Kalau tak, saya campak je dalam tong sampah.” Perasaan marah yang membengkak sejak malam tadi dilepaskan hari ini.
Gigit bibir. Sebal. “Buatlah. Buat apa sahaja yang boleh buat awak gembira...” ujarnya seraya meninggalkan Adrus. Penat hendak melayan.
“Dena!” Memanggil kuat.
“Dena!” Nafas menderu.
Adenalis berhenti melangkah. Kembali menghampiri bilik Adruss. Dia bimbang suara kuat Adruss akan menganggu tetamu-tetamu di bilik lain. Cukuplah dengan masalah yang telah ditimbulkan.
“Mana awak nak pergi?” menyoal serius.
“Balik rumah,” mencuri pandang Adruss yang masih berpakaian kerja. Bergaya. Lelaki di hadapannya akan lebih bergaya jika wajah tegang itu diselit segaris senyum. Entah dia akan berpeluang lagi atau tidak untuk menatap senyum dan tawa ikhlas Adrus.
“Tengok saya macam tu....kenapa? Teringin nak jadi girlfriend saya lagi? Pergi mimpilah, Dena!” Menembak serdas.
Aduh lelaki ini! Elok-elok dia dah nak balik, Adruss menahan. Menyekat langkahnya semata-mata untuk melemparkan dakwaan sebegini?
Adenalis tarik nafas dalam. Sebak, marah, sakit hati, rindu, semua perasaan itu menekannya. Sudah lebih enam tahun mereka tidak berjumpa antara satu sama lain. Dia tak harap ini yang akan terjadi apabila bersua kembali.
“Kalau awak tak ada apa-apa nak cakap, saya balik dulu.” Kata dia. Menahan rasa yang bercampur-baur.
“Apa awak buat dalam majlis malam tadi?"  Soalan menyibuk.
“Hal kerja saya. Kalau diterangkan pun bukannya awak faham.” Bermain-main dengan kunci kereta di tangan. Mengalih tumpuan agar perasaan yang menekan-nekan itu tidak merebak. Jika tidak ada juga yang buat tayangan airmata di sini. Di hadapan Adrus yang nampaknya kehilangan sifat perikemanusiaan.  
“Kerja ke bercinta?”
“Dahlah, Adrus saya nak balik.”
“Semalam apa yang awak janji dengan saya, Dena!?”
“Saya akan berkhidmat...”
“Awak patut berkhidmat untuk saya! Tapi apa yang awak  buat?!”
Dena binggung. Apa pula salahnya kepada Adrus kali ini? Seingat-ingatnya sepanjang hari ini dia belum bertemu mata dengan lelaki itu. Jadual kerja sepanjang pagi ini sangat padat. Langsung tiada masa untuk dibuang. Waktu kerjanya sudah lama habis, tetapi dia masih berdiri di sini. Di hadapan bilik Adrus!
“Apa yang saya dah buat? Rasanya saya tak buat apa...”
“Ya. Salah awak sebab tak buat apa-apa!”
Mak! Tolong Dena. Anak mak sekarang bukan sahaja sedang binggung, malahan meter tekanan sudah mencapai tahap teratas. Percakapan Adrus yang berbelit-belit tidak difahami.  Sekejap itu dan sekejap ini! Apa yang Adrus nak sebenarnya?
Adrus! Saya tahu awak lama kat oversea sana...lidah dah serasi makan cheese, steak semua benda tu. Bahasa Melayu pun dah tak betul...tapi boleh tak kalau awak gunakan ayat yang paling mudah untuk buat saya faham apa masalah kita sekarang.”
Melepaskan nafas kasar. “Kenapa pagi ni orang lain yang hantarkan sarapan ke bilik saya dan bukan awak?”
“Sebab...itu tugas orang lain. Bukannya saya.” Menjawab dengan jelas dan terang.
“Dena...Dena.” Mata dikecilkan. Dihala tepat ke wajah Adenalis. “Saya tak nak orang lain yang lakukan. Saya nak awak yang buat semuanya. Sebab apa? Sebab awak janji akan berkhidmat untuk saya!”
Dena ketap bibir.
“Kenapa? Awak, tak puashati? Ini baru betul Adenalis. Adenalis yang saya kenal. Berjanji...kemudian dia lupakan...” Adrus mengungkit lagi sejarah yang dulu.  
Fine! Saya akan lakukan.”
“Lakukan semua! And don't forget...awak perlu lakukan apa sahaja yang saya nak pada bila-bila masa... Day or night?
“Saya tak lupalah. Ya! Bila-bila masa. Day or night Encik!”
“Hmm...” Jungkit bahu. Sangsi.
“Ada apa-apa lagi yang awak nak buat? Kalau tak ada apa-apa boleh saya pergi sekarang?”
Kenapa tergesa-gesa sangat nak balik? Ada suami tunggu kat rumah? Dekat rumah ada suami, kat tempat kerja ada kekasih...” Menyoal sinis. Sengaja nak sakitkan hati Adenalis.
“Kalau ya sekalipun, apa kaitannya dengan awak?” Dena menentang.  
“Pergi balik, Dena.  Balik!” Daun pintu dibaling kuat. Ingin menyakitkan hati Dena, tapi sakit itu terpalit kepada diri sendiri.

Damn you, Dena.  Aku benci kau!”          



Saturday, September 14, 2013

SI PENGEJAR CINTA BAB 5

“BETUL ke apa yang aku dengar??” Ami menyerbu Dena tanpa ucapan salam.  Termengah-mengah menarik nafas berserta raut kerisauan. Dia bergegas ke tempat Dena sebaik menerima berita. Tidak sabar untuk mengetahui kebenaran di sebalik khabar yang bertebaran di segenap sudut hotel ini. Adenalis lempang orang! Ke manakah hilangnya slogan 'customer always right' yang diamalkan Dena selama berkhidmat?
“Apa yang betul?” Balas Dena kembali dengan suara yang tenggelam timbul.
“Pasal kau lawan gaduh...belasah tetamu?” Tambah Ami berdasar cerita-cerita yang didengari daripada kakitangan-kakitangan lain. Mahu percaya, tetapi tidak boleh kerana rakan-rakan sekerjanya memang pakar dalam memutar belitkan cerita. Kisah yang sebesar kuman boleh betukar menjadi sebesar gajah!
 “Aku apa?!” Kepala tegak. Biji mata membulat. Suara yang tenggelam timbul jadi lantang. Melampau betul tuduhan yang dilemparkan. Pengkhabaran tentangnya bergaduh dengan tetamu tersebar luas di dalam bangunan hotel tanpa sekatan sebelum dia sempat membela diri. Aduhai....salah sendiri kerana mencipta kontroversi yang kini sedang sensasi. Kenapalah dia tak fikir panjang sebelum tapak tangan ni menyentuh pipi lelaki tu? Dan Adrus, kenapa lancar sangat mulut itu apabila berkata-kata? Nah! Penampar sulung daripadanya menjadi hadiah pertemuan kembali.
Maruah dihina sedemikian rupa, pasti sesiapa sahaja yang berada di tempatnya akan  jadi panas hati dan menggelegak. Dituduh dengan tuduhan berat dan keras. Kata-kata yang keluar dari mulut Adrus memang tidak dapat tidak mengundang amarah. Biarpun begitu, dia seorang yang agak penyabar semasa bertugas. Tidak diketahui mengapa kesabarannya terlalu rapuh hari ini, bertindak tanpa berfikir panjang. Letak kepala otak kat lutut ke Dena...? Bersedialah untuk menerima tindakan yang bakal dikenakan oleh pihak atasan nanti. Dia tidak rasa Adrus akan mendiamkan perkara ini. Potong jarilah kalau Adrus baik sangat dan bermurah hati nak buat pahala kebaikan...

“Kau belasah tetamu hotel. Dena kenapa boleh jadi macam tu? Kenapa tak fikir dulu sebelum bertindak?!” Ami kesal. Kedua-dua belah tangan sudah bertongkat tegak di meja Dena.
“Ya dan tidak!...” Dena mengiyakan, juga menidakkan dalam masa yang sama. Tangan naik mengurut pelipis. Sakit kepala memikirkan tindakan yang bakal diterima daripada pihak atasan. Kerana kelancaran mulut Adrus, reputasinya sebagai kakitangan berwibawa sudah tercalar.
“Ya? Tidak?”
“Ya, aku gaduh dengan tetamu. Aku lempang dia, bukan belasah!”
“Ya...Allah...” Ami tutup mulut dengan tapak tangan. Nyata terkejut. Baginya lempang atau belasah tiada bezanya. Apa yang dia tahu Dena bakal menerima tindakannya.
“Aku sebenarnya....aku tak ada niat nak lempang dia. Dia yang sengaja buat aku marah...”
“Orang atas dah panggil menghadap?” Nada Ami mulai kendur. Wajahnya masih serius.
“Belum...” Lemah Dena membalas. Mengenangkan bosnya Tuan Rafali, perasaan jadi tidak tenteram. Lelaki itu sangat tegas orangnya. Hal-hal yang melibatkan disiplin para pekerja sangat dititikberatkan. Jika sewaktu kemarahan sedang memuncak tadi dia terbayangkan wajah bos itu, pasti otak ni berfikir 100 kali sebelum telapak tangan dihanyun ke pipi Adrus. Apa nasib yang bakal diterima nanti...
“Hmm...” Tiba-tiba bibir Ami tersungkil senyum lucu. Dena kalih pandang ke wajah Ami. Entah apa yang mencuit hati, Dena sendiri tidak tahu.
“Siapa yang 'bertuah' sangat merasa tapak tangan kau? Buruk perangai betul orang tu sampai buat kawan aku yang selalu tenang hilang sabar?” Kening terjungkit.Pinggung dilabuhkan ke kerusi di hadapan meja kerja Dena.
Dena kerling Ami sekilas. Dalam keadaan ini Ami masih sempat berseloroh? Tadi seriusnya mengalahkan tuan bos. “Kau ingat ni kes gurauan?” Jengkel.
“Tak! Tak...Aku cuma teringin nak tahu...diorang kat bawah tadi tak cakap pula siapa yang kena...”
Mengeluh. Diam lagi. Berat benar untuk menuturkan sebaris nama yang telah membuat hatinya jadi panas. Sakit dan pedih sekurang-kurang untuk hari ini. Tahukah Adrus selama ini dia juga kecewa? Kekecewaan yang ditanggungnya melebihi apa yang dirasakan lelaki itu.
“Cakaplah...” Mendesak. Lengan Dena dicuit.
Dena mengeluh. Rambut yang jatuh ke dahi diselak. Mata singgah lagi ke wajah Ami yang kelihatan benar-benar ingin tahu.
“Adrus...”
Sekali lagi Ami terpaksa menutup mulut dengan tapak tangan. Bukankah selama ini Dena menunggu dan menanti kepulangan Adrus? Menanti waktu untuk bersua kembali? Tapi kenapa apabila peluang itu tiba, kejadian yang tidak terduga ini yang terjadi? Cara Dena menyambut orang yang dirindui memang lain daripada yang lain!
“Apa...apa...kenapa korang...aku ingat kau akan gembira sebab dapat jumpa dia...”
“Ami...selama enam  tahun ni, aku seorang sahaja yang ternantikan dia. Dia tak! Dia bencikan aku Ami... Benci sangat-sangat. Bukan sekadar benci, dia anggap aku perempuan murah...”
“Kenapa dia cakap kau macam tu? Otak dia dah tak betul sebab dah lama kat tempat orang ke?”
“Perkara lama tu...dia tak lupakan lagi. Adrus berdendam!”
“Oh!”
“Dia dah berubah. Berubah sangat... Dia seperti Adrus yang tak ada perasaan... Penjelasan aku dulu agaknya dia anggap macam sampah. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.” 
“Kau sabar ye...”
“Sabar?...” Adenalis ketawa pahit. “Kalau tak sabar aku karete je hidup-hidup....” Menyapu hujung mata yang bertakung. Dia sedikit emosi.
Ami senyum kecil. Dena mampu ketawa. Bermakna gadis masih baik-baik sahaja. Lari daripada jangkaannya.
“Dan kalaulah dia sedar kenapa kau buat dia macam tu dulu...pasti dia tak akan benci kau kan?”
Sekali lagi Dena ketawa. Ketawa sumbang. “Aku sendiri yang rela nak buat macam tu... Takkan aku nak biarkan aje dia sia-siakan hidup kerana cinta..” Berkata datar.
“Kau macam tulah, rela...rela. Lepas tu orang bencikan kau. Dah dibenci, siap dihina lagi. Jantan tu pun satu, masa bercinta sayang mati-mati. Bila dah benci, benci mati-mati juga! Sepatutnya datang ucap terima kasih.” Luahan tidak puas hati.
“Habis hidup kau  sia-sia tak apa? Selama ni kau tunggu dia kan? Umpama tunggu buah yang takkan gugur...” Sambung Ami.
“Kau ni Mi...tak payah marah-marah. Aku dahlah tengah serabut. Jangan tambah lagi boleh...”
“Aku bukan marah...”
“Ya, kau tak marah. Perasaan terjentik je kan...”
“Suka hati kaulah. Di pihak aku, aku akan tetap doakan kau lupakan lelaki tak guna tu dan bukakan pintu hati kau untuk Ikmal. Confirm tak kebulur sebab Ikmal pandai masak!” Berjenaka di hujung kata-kata.
“Aku pun terror masak!”
“Yelah, Dena. Eh...Kenapa Tuan Rafali tak panggil kau menghadap lagi hah? Selalunya cepat aje. Ke lelaki tu dah tutup kes...?” Musykil.
“Adrus ke? Potong jarilah kalau dia akan lepaskan aku macam tu lepas pipi dia kena lempang…” Kepala tergeleng-geleng menidakkan telahan Ami. Tepat sewaktu mata terhala ke pintu masuk pejabat, dia terpandang seseorang sedang tercegat di situ. Tergamam. Tidak terkata apa-apa. Nafas panjang dihela. Cuba untuk bertenang dengan kemunculan tetamu yang tidak diundang.
“Awak boleh potong jari sekarang!”
Dena telan liur, mata tak berkelip. Ami segera berpaling ke pintu pejabat.
“Ke nak saya yang potongkan? Jari yang mana? Jari manis, jari hantu atau jari kelengking?”
“Apa awak buat kat sini?” Bangun tercegat apabila dapat mengawal kejutan.
“Saya dah uruskan tentang kejadian yang berlaku dengan Tuan Rafali. Saya lepaskan awak kali ni. Jari...jari mana yang awak nak korbankan?”
“Apa maksud awak?”
“Lain kali kalau nak bercakap pandang-pandang. Kan dah makan diri....” Menyindir. Renungan tajan tepat ke wajah Dena.
“Err, excuse me sir, Dena... Saya keluar dulu ya.” Berpaling kepada Dena.
“Hmm...nak aku panggilkan Ikmal datang ?” Berkata perlahan hanya untuk pendengaran gadis itu. Kehadirannya sebagai orang ketiga dirasakan seperti menganggu mereka berdua. Tambahan lagi dia gerun melihat wajah masam tetamu Dena. Aura ketengangan berbahang-bahang di antara kedua-duanya.
“Tak. Jangan. Aku boleh uruskan sendiri.” Menolak
“Kau pasti ke?” Masih berbisik.
Angguk. Ami juga menganggukkan kepala tanda faham. Dia keluar dari pejabat tanpa berlengah.Walaupun begitu, dia tak lepas tangan. Ikmal tetap dihubungi tanpa menghiraukan larangan Dena.
Sepemergian Ami, ruang pejabat diisi sepi. Adrus lebih senang melemparkan pandangan seorang pemburu yang bakal menembak mangsa. Dena pula sedang menyusun kata agar keadaan tegang itu dapat diredakan. Kisah mereka belum berakhir. Bab baru perlu dimulakan agar kisah ini tiba ke penamatnya.
“Saya minta maaf atas apa yang berlaku dan terima kasih sebab tak besarkan kes ini.” Tutur Dena.
“Maaf? Terima kasih?” Adrus gelak sinis. Berjalan menghampiri meja Dena. Tanpa dijemput dia duduk melabuhkan punggung ke kerusi. Habis ketawa sinisnya, Adrus mendengus kasar. Wajah kembali serius dan tegang.
“Saya tak lakukan ini saja-saja, Dena!” Merenung Dena tajam.
“Apa maksud awak, Adrus?” Pandangan Adrus ditentang.
“Awak dah jatuhkan maruah saya sebagai lelaki. Dulu dan hari ini! Awak fikir saya akan rasa seronok dan bergembira untuk mengiyakan kepada semua orang bahawa saya disepak seorang perempuan murah?! Tak habis-habis awak bermain dengan maruah saya.”
“Hal tadi, awak yang mulakan dulu, Adrus.” Terlupa dengan niat untuk berdamai.
“Saya? Bukan awak, Dena?! Bukan awak yang mulakan sejak bertahun-tahun lepas?”
Nafas dihela. Tiada guna dia melayan kebencian Adrus. Api yang marak seeloknya disirami dengan dengan air.
I'm sorry... Untuk kesalahan saya yang dulu dan hari ini.” Ikhlas.
“Maaf lagi? Kesalahan awak yang dulu dan hari ini bukan kesalahan kecil, Dena. Ini soal maruah saya! Untuk kesalahan hari ini saya boleh buat report polis dan saman awak! Saya juga boleh buat awak dibuang kerja bila-bila masa saja. Dan, dengan reputasi buruk tu, awak rasa syarikat lain nak ke terima awak? Saya boleh tabur pasir dalam periuk nasi awak, tau.”
“Jadi...kenapa awak tolong saya?” Buntu dengan Adrus.
“Sebab yang lainnya, saya nak awak bawa hutang budi ni sampai mati! Hidup atas jasa saya setelah apa yang awak dah lakukan pada saya! Awak akan terburu dengan rasa bersalah dan terhutang budi kepada saya sehingga ke akhir hayat....”
Mengigit bibir. “Saya akan balas  jasa baik awak. Sekurang-kurangnya saya tak payah bawa jasa tu sampai mati.”
“Balas dengan cara apa, Dena? Awak berduit ke? Berapa, berapa yang awak mampu tawarkan? Atau awak nak bayar dengan....” Pandangan meliar ke atas  Dena. Menyampaikan maksud yang tidak diungkap dengan kata-kata.
“Saya tak berminat dengaan perkara haram...” Menyambung sinis.
Adenalis jegil mata. Tak pernah terlintas Adrus akan fikir sampai ke situ. “Awak fikir saya perempuan apa hah?!” Suara dah meninggi. Kesabaran teruji lagi.
Jungkit bahu. Tiada rasa bersalah yang menyinggah kerana membuat telahan melampau kepada Adenalis.
“Saya akan berkhidmat kepada awak selama awak menginap di hotel ini.”
“Itu? Itu je? Awak memang dibayar untuk itu. Buang masa...”
Fine! Saya sedia berkhidmat kepada awak pada bila-bila masa yang awak perlukan! Dan buat apa sahaja mengikut kemahuan awak!”
Adrus kecilkan mata. “Bila-bila masa?  Buat apa saja?” Tawaran Dena kali ini agak menarik.
“Ya! Bila-bila masa dan buat apa sahaja.”
“Jangan menyesal. Saya pegang 'bila-bila masa itu'. Awak yang membuat janji, jadi pandai-pandai tunaikan, atau tak tahulah kalau awak sanggup bawa hutang budi saya sampai mati...ataupun sanggup potong jari?”
“Saya pegang janji!”
“Saya tak setuju, Dena!” Ikmal datang membantah. Seorang lagi tetamu yang tidak diundang menampakkan wajah. Datangnya sebagai hero pembela. Mencelah tanpa izin.
Adrus berpaling ke belakang. Siapa pula yang berani masuk campur urusan di antara dia dan Dena? Menyampuk dengan tiba-tiba sahaja. Berdasarkan uniform yang tersarung, dia tahu lelaki itu seorang tukang masak. Mungkin rakan sekerja Dena.
“Kenapa budak tukang masak yang tak ada kena mengena dengan kes ini perlu masuk campur?” Menyoal dengan soalan pedas.  Perkataan ‘budak tukang masak’ ditekan dalam.
“Ada kena mengena! Saya kawan Dena”
“Huh!” Adrus mendengus.
 “Apa masalah Encik?”
Pathetic guy...” Ayat mencakar perasaan dilemparkan Adrus. Dituturkan dengan wajah selamba seperti minta disepak untuk kali keduanya.
“Tak ada apa yang perlu disedihkan kalau ada Dena sebagai kawan. Dia gadis yang baik. Sayalah lelaki yang paling beruntung kerana menjadi kawan dia.” Ujar Ikmal memandang Adenalis. Gadis itu mengalihkan pandang.
“Bertuah atau sebenarnya malang?” Mengeleng kepala. Tangan ligat memutarkan pen yang disambar dari bekas berbentuk silinder. Senyum sinis ditarik. Tukang masak yang bakal menjadi mangsa Dena...
“Ikmal.... I boleh selesaikan sendiri masalah ni. Awak..tolong jangan campur, okey...” Meminta lembut sebelum Ikmal membuka mulut lagi.
“Dena...” Ikmal cuba bantah.
“I tahu apa yang I buat...”
“Awak dah dengar apa yang dia cakap? Jadi jangan masuk campur hal ni!” Ujar Adrus lantas bangun. Pen ditangan dicampak kasar ke meja sebelum berlalu pergi dari pejabat itu. Tidak boleh lagi berlama-lama di ruangan itu kerana perasaannya yang semacam. Matlamat asal seakan lari. Tekad untuk menyakitkan Dena tidak menjadi. Dia terperangkap dengan sisa-sisa perasaan lama.
Adenalis hanya menghantar pemergian Adrus dengan pandangan. Ikmal pula dengan kesangsian yang menebal.
“Dena, apa awak buat ni? Siapa dia sampai awak buat semua ni?” Aju Ikmal tak senang. Kerutan berlipat-lipat di dahi. Dia sangsi dengan lelaki tadi.
Adenalis senyum tawar. “Dia tetamu hotel kita....dan..” Dia pernah menjadi pengejar cinta saya, balasnya dalam hati.