U n Uols

Saturday, October 05, 2013

SI PENGEJAR CINTA BAB 8

ADENALIS meletakkan minum petang  ke meja sisi bersebelahan kerusi rehat yang diduduki Adrus. Lelaki itu seakan tidak menyedari kehadirannya. Mata terpejam rapat seperti sedang lena. Suasana petang di tepi kolam renang ini memang sesuai untuk merehatkan minda. Dena perhatikan Adrus, lelaki itu masih menyarung pakaian kerja yang dikenakan pagi ini. Tali leher sudah ditanggalkan. Lengan kemeja putihnya dilipat sehingga ke siku. Nampak lebih santai...
Tiba-tiba Adrus membuka  mata. Kalut Dena melarikan pandangan. Takut dituduh dengan pertuduhan bukan-bukan lagi oleh Adrus. “Saya minta minum petang.”
“Ini minum petangnya...” Adenalis menunjukkan teh yang  terhidang di atas meja di sisi Adrus. Lengkap semuanya, tiada apa ada yang tertinggal.
Adrus menukar posisi duduk daripada bersandar selesa. Kaki yang melurus diturunkan mencecah lantai. Badan dibongkokkan. Tangan naik menongkat dagu. Dena yang sedang berdiri di hadapannya direnung lama. Wajahnya tetap serius sepertimana yang ditayangkan sejak pertemuan kembali mereka.
“Ada saya sebutkan nak minum teh?” Datar tidak berperasaan suara itu bertanya.
Dena mengerah otak. Cuba mengingati isi perbualan bersama Adrus di telefon. Alamak!  lelaki ini cuma meminta minum petang. Tidak disebut teh atau kopi. Dia yang memadai sendiri kerana kelam-kabut.
Memadang Farah yang berdiri di hujung kolam renang tidak berapa jauh daripadanya. Gadis itu rela dalam paksa menemaninya datang ke mari. Dia heret Farah bersama sebagai penambah kekuatan. Kata Farah dia kecut perut setiap kali mendengar suara Adrus yang meninggi.
“Kenapa diam?”
Gigi diketat kejap, menahan mulut daripada membalas sesuatu yang akan meletuskan kemarahan Adrus.
“Tak ada.” Mengakui kesalahan. Mata dipejamkan. Bersedia untuk mendengar suara memetir Adrus.
“Lain kali bawakan saya kopi...”
Kopi? Masa dan keadaan namaknya sudah mengubah selera Adrus. Dulu lelaki ini bukan pengemar kopi.
Dena terkelu. Baru dia perasan bukan suara bernada tinggi yang menjadi halwa telinga. Sebaliknya nada Adrus lembut dan sopan. Sikap budiman pertama yang diperlihatkan lelaki ini selepas enam tahun berlalu. Bayang-bayang seorang Adrus yang penyayang masih ada dalam diri lelaki ini. Barangkali suasana tepi kolam yang mendamaikan dengan angin sepoi-sepoi bahasa mengubah mood Adrus. Dia masih cuba untuk belajar menyesuaikan diri dan bertabah hati berhadapan dengan Adrus yang baru.
Dena angguk.
“Dena...” Adrus menyeru namanya. Suara itu  lebih lembut dari tadi.Ada getaran yang menyapa tatkala nama diseru selembut itu oleh Adrus. Penuh dengan kenangan...
“Mak awak sihat?”
“Sihat, Alhamdulillah.”
Sepi menguasai ruang mereka buat seketika.
“Hmm...Aidan?” Soal Adrus kemudiannya.
Aidan adik bongsunya. “Aidan juga sihat.” Kening terjungkit, apa niat Adrus bertanya tentang keluarganya?
“Awak sihat?” Soalan yang sudah lama dipendam. Beberapa hari ini soalan itu sekadar melintas lalu di kepala, namun hari terlepas keluar dari bibir.
“Saya?” Dena tunding jari kepada diri sendiri. Sempat menangkap senyum lucu Farah.
Menyedari sudah terlanjur kata, Adrus kalut mencapai cawan teh. Diteguk rakus sehingga terbatuk-batuk kecil. Berdehem beberapa kali sebelum memberikan penjelasan. “Maksud saya, awak..awak nampak pucat. Tak sihat ke?”
“Tak..tak adalah. Saya sihat.” Telapak tangan menyentuh muka sana-sini.
Just forget it!” Menutup cerita. Berkalih duduk lagi. Kembali bersandar tenang dengan kaki panjangnya melurus santai. Menghala pandang ke permukaan air kolam yang tenang tidak berkocak. Hatinya? Hatinya tidak setenang air itu. Dia tidak boleh memaafkan Adenalis, dia bencikan gadis itu! Dia terlalu ingin membalas rasa sakit dan kecewa yang dihadiahkan Dena. Tapi apabila memandang Dena, dia tidak mampu melaksanakan kehendak itu. Dia hanya mampu menyakiti gadis ini dengan perbuatan kebudak-budakkan! Mengarah itu dan ini. Lemahnya dia sebagai lelaki...

Apakah ada ruang untuknya menerima Adenalis kembali? Tidak. Tidak sama sekali!! Dena sudah merendah-rendahkan maruahnya. Masakan dia sendiri rela menjatuhkan maruah diri dengan mengutip gadis itu lagi. Dia bukan hamparan yang untuk dipijak-pijak! Harga dirinya harus dipertahankan.


5 comments :