U n Uols

Monday, May 28, 2012

Bab 14: Hati Bertanya Siapa Kamu

Pergelangan kaki dibelek-belek. Dahi berkerut seribu. Pergelangan kakinya nampak baik. Rasa sakit langsung dah tak terasa. Takkan tak sembuh lagi? Datuk Lee permain badminton negara yang terseliuh kaki, memboyot bengkak tu boleh sembuh dalam masa tiga ke empat minggu sahaja. Takkan kakinya yang tersalah urat sikit perlu ambil masa dua ke tiga bulan? Betul ke tidak Gibran ni?...

“ Belek-belek kaki tu kenapa?” Che Peah bertanya.

“ Nak pastikan dah sembuh ke belum…” Balas Dayang.

“ Ala mesti dah sembuh. Bukan cedera teruk…anak buah Che Peah, retak tulang dekat tangan, siap berbalut simen sebulan. Lepas bukak seminggu dah boleh melasak…”

“ Betul ke Che Peah?” Bulat mata Dayang tak percaya.

“ Betul! Tapi kes Dayang ni lain sikit kot. Tu pasal doktor cakap ambik masa bulan-bulan. Entah, tak reti Che Peah…”

“ Dayang, Che Peah….kita keluar nak? Bosan laa berkurung kat rumah..” Intan yang tadinya sibuk dengan telefon di tangan mencelah.

“ Tak boleh kot Intan. Dayang mana boleh jalan-jalan sangat. Kaki tak tak sembuh betul-betul lagi…”

“ Boleh laa Dayang. Aku dengan Che Peah kan ada. Kalau jadi apa-apa kitaorang usung pergi hospital. Boleh laa…boleh laa Dayang weyh…” Rayu Intan.

“ Bagus jugak dapat keluar. Che Peah separuh waras dah tak keluar ke mana-mana. Jadi je laa Dayang…” Dorong Che Peah. Cuit lengan Dayang di sebelahnya.

Dayang menimbang-nimbang. Boleh kot jalan-jalan sekejap. Lagipun dia dah tak larat asyik pandang muka Intan, muka Che Peah. Termasuk budak tadika romeo yang lalu-lalang depan rumahnya tak henti-henti sepanjang hari. Dah perasan laa tu. Dia nak juga tengok muka orang lain. Sedup udara luar. Intan dah cakap kalau jadi apa-apa nak usung pergi hospital. Jaminan dah ada, okaylah tu.

“ Jomlah! Dayang belanja. Lama dah tertunda niat tu…” Putus Dayang.

“ Ini sudah bagus!” Intan sengih lebar berlari-lari anak masuk ke bilik.

Dayang bingkas juga. Setapak lagi nak masuk ke bilik, namanya diseru Che Peah.
“ Dayang, spek hitam kesayangan Che Peah mana?” Keluar jalan-jalan, harus dia bergaya dengan cermin hitam kesayangan.

Dayang telan liur tiga kali. “ Ada…ada. Hari ni tak payah pakai spek hitam kot Che Peah. Cuaca petang ni redup semendang…”

“ Apa dah jadi dengan spek Che Peah? Baik cakap!” Curiga dengan Dayang.

“ Erk…dah patah riuk.”

“ Cakap lagi sekali?!”

“ Patah. Keluar nanti Dayang belikan yang baru…sorry Che Peah…” Dayang muka bersalah.

“ Dayang!!!!” Jeritan Che Peah bergema.


Puan Sri Suraya duduk keseorangan di restoran nasi beriani. Keluar seorang diri untuk melegakan gelodak perasaan. Hati ibu mana yang tenang-tenang sahaja apabila dapat tahu si menantu larikan diri!?

Minuman sejuk disisip. Melegakan sedikit hati yang panas mengelegak. Dia sebenarnya sudah mengurangkan pengambilan minuman berais. Demi menyejukkan hati yang berbahang, minuman sejuk diteguk sudah hampir segelas! Bukan sahaja hatinya panas, Gibran lagi bikin panas sebab meninggalkan dia keseorangan di rumah itu. Mungkir janji nak temankan dia petang ini. Daripada panas hati dah jadi berangin satu badan!

Kebenaran yang terbongkar mengejutkan. Perbuatan budak yang nama Dayang itu dah menjatuhkan maruah keluarganya. Melampau! Dia dah tak agak-agak lagi untuk kasi label budak perempuan itu menantu hantu!

Minuman sejuknya disedup lagi. Otak mengimbas sesi soal jawab dengan Gibran….

“ PJJ? Dia sedang buat master? PhD? Dia sambung belajar dekat mana? Dalam bidang apa?” Beria-ia dia bertanya Gibran. Rupanya Gibran main petik sahaja istilah PJJ itu!

“ Bukan PJJ yang pendidikan jarak jauh umi. Kami PJJ…maksud Gib,pernikahan jarak jauh. And like I said…walaupun jarak jauh, sebenarnya tak adalah jauh mana. There is nothing to worry umi….”

Saat itu matanya terbuntang luas. Lenggok dan gaya si anak menuturkan seperti apa yang berlaku adalah sesuatu yang normal. Darah marahnya menyirap ke muka.

“ Cakap terus-terang Gib! Umi dah sakit kepala dengan cerita yang berbelit-belit ni! Cerita apa yang umi dah terlepas ni?” Akhirnya Gibran buka mulut. Bercerita. Dia yang mendengar terlopong, terkedu, terkasima, meletus dan meletup bak gunung berapi!

Patutlah orang di sini senyap-sunyi selepas pernikahan Gibran. Menyorokkan sesuatu rupanya Tapi kenapa kali ini geng-geng mak datin yang suka bergosip itu pandai pula tutup mulut? Menghubunginya untuk memesan pelbagai barangan dari luar negara boleh, nak kasi tahu isteri Gibran dah lari tak boleh pula? Apa yang dah disogokkan oleh Tan Sri Ghazi? Pandai betul! Puan Sri Suraya membebel dalam hati. Sesekali bebelannya terluah juga di mulut. Sehingga tiga orang gadis di meja sebelah toleh-toleh pelik. Terpaksalah dia cover-line pura-pura bercakap di telefon!

Jika dia tahu begini keadaan yang bakal terjadi. Sungguh dia sanggup lupakan rajuknya dan pulang ke tanahair untuk menghentikan pernikahan Gibran. Tapi semua dah terlambat....

Mengamit pelayan. “ Bawakan saya minuman yang sama segelas lagi!” Garang dia meminta. Segelas lemon madu sejuk masih belum cukup untuk menyejukkan dada. Nasi beriani yang diidamkan sejak dalam kapal terbang tak pula berjamah.

Perginya si pelayan, Puan Sri Suraya menyambung bebelan. Sangkannya pulang dari jauh beribu-ribu batu dapatlah makan ditemani si anak. Terubat juga hati yang panas. Si anak pula hanya pandai tabur janji. Kotanya tidak. Kata Gibran dia terpaksa bertemu pelanggan. Ada kecemasan. Kecemasan apalah sangat…bukannya kerja doktor. Hari minggu pun sibuk dengan kerja. Tak habis-habis. Gibran tu kalau tak kerja pun tak apa. Tunggu masa saja untuk mewarisi harta menimbun Tan Sri Ghazi. Anak itu sahaja yang sibuk nak jadi pereka dalaman. Tan Sri Ghazi pula ikut seikutnya kepala si anak. Huh! Dia yang ingin keluar terpaksa mengunakan khidmat pemandu Tan Sri Ghazi berserta keretanya sekali. Sementelah Tan Sri Ghazi sendiri yang memberi izin.

Menghala pandang ke meja sebelah. Tiga orang gadis sedang enak menikmati hidangan mencuri perhatian matanya. Ralit dia memerhati. Penuh khusyuk. Terhibur pula dirinya melihat gelagat tiga orang gadis muda bersembang sambil bergelak tawa. Gadis-gadis seperti ini yang sepatutnya dijadikan isteri oleh Gibran. Terutamannya gadis berjeans biru dan berbaju putih. Manis, cantik, comel, ayu, anggun. Anak siapakah agaknya? Bukan sahaja cantik paras rupa. Daripada gaya bicara dengan dua orang kawannya kelihatan sopan. Berkenan dia nak buat menantu! Kalaulah gadis seperti ini yang dipilih Gibran, calon minah salehnya kalah pun tak apa. Tiada kekesalan.

Gadis baju putih dipandang lagi. Otaknya mendapat satu akal. Menantu dah lari, apa salahnya Gibran bawakan dia menantu baru? Cerah peluang dia nak bermenantukan gadis baju putih! Mesti cari peluang kenal-kenal dengan budak tu. Lepas tu kenalkan dengan Gibran. Senyum dah terukir di bibir Puan Sri Suraya. Satu demi satu agenda berupa angan-angan bermain di benak...

“ Air puan…” Pelayan datang membawakan lemon madu Puan Sri Suraya. Entah di mana silapnya gadis baju putih di meja sebelah bangkit. Tersandung kaki kerusi, hampir jatuh menyembah lantai. Sebelah tangan sempat memaut bucu meja. Dan sebelah tangan lagi terpaut lengan pelayan yang sedang mendaratkan minuman ke meja Puan Sri Suraya. Gelas minuman tertiarap ke meja dengan sebahagian isi gelas tersimbah ke baju Puan Sri Suraya. Semuanya gara-gara gadis baju putih!

“ Oh?!” Puan Sri Suraya bangkit. Kalut tangan mengelap baju yang terkena air.

“ Maaf puan. Saya…dia yang…” Pelayan itu juga kalut. Toleh gadis baju putih. Gadis baju putih dah pucat lesi! Hanya satu dalam fikirannya. Masalah…

“ Maaf cik….puan…erk…cik erk puan. Saya…saya tak sengaja…” Tutur gadis baju putih. Dah rupa orang nak menangis. Dua orang kawannya masih terpegun dengan kejadian tidak terduga itu. Masing-masing terlopong tanpa kelip!


Untuk versi penuh dapatkan novel Hati Bertanya Siapa Kamu di kedai-kedai buku berhampiran anda. Boleh juga layari http://www.karyaseni.my/ untuk pembelian secara online.

Thursday, May 24, 2012

Bab 13: Hati Bertanya Siapa Kamu

Gibran menumpu pandang ke balai ketibaan. Sabar menunggu ketibaan seseorang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Seseorang yang amat penting dalam hidupnya. Wanita pertama yang bertakhta di hati. Dulu kini dan InsyaAllah selama-lamanya. Para penumpang yang mula keluar dari balai ketibaan diperhatikan. Mencari-cari wajah wanita itu. Wajah wanita yang dirindui. Sudah beberapa bulan mereka tidak bertemu mata. Wanita kesayangannya itu merajuk panjang. Merajuk panjang dengan dia kerana kemahuannya tidak dituruti. Sehinggakan tidak sudi lagi pulang ke tanahair sendiri menghabiskan masa dengan jejaka kesayangannya ini. Wanita itu lebih suka membiarkannya menanggung rindu.

Wajah yang ditunggu-tunggu muncul juga. Mengangkat tangan. Melambai. Kehadiran dia disedari. Wanita yang sedang menolak troli yang penuh dengan bagasi tersenyum memandang. Senyum? Petanda baik tu. Harap-harap hati itu dan mula sejuk…

“ Assalammualaikum….perjalanan okay?” Sapanya sopan dan penuh hormat. Menyambut tangan yang dihulurkan kepadanya. Dikucup hormat.

“ Waalaikummusalam…tolak kes penerbangan yang tertunda dari jadual asal, everything okay...”

“ Alhamdulillah…” Lega.

“ Lama tak tengok…akhirnya tok janggut dah jadi Gibran Emir yang dulu. Hai…wajah serupa P. Ramlee dalam filem Musang Berjanggut dah hilang ke mana?”

“ Niat dah tertunai kan…” Setahun yang lepas, dia bukan Gibran Emir yang sebaik ini. Pantang ada peluang. Dina, Cheryl,Valisha, dan ramai lagi mesti tak melepaskan peluang ajak dia pergi berhibur. Dia tak mengajak, tapi dia yang diajak. Dirinya hanyut dalam keseronokan hidup duniawi. Dialah pencinta wanita! Namun tidak sampai terbawa-bawa menjadi teman tidur!

Suatu hari, dia bagaikan tersedar dari lena. Sampai bila nak usung anak dara orang? Sampai bila nak hidup berpandukan keseronokan semata? Sampai bila nak hidup berfoya-foya? Dia seronok semasa berada di luar. Bergembira sakan dengan kawan-kawan. Balik ke rumah, sendiri juga. Tetap sunyi dan sepi. Jiwa kosong…

Perlahan-lahan dia berubah. Mana yang tak baik itu ditinggalkan. Biarpun begitu, kesunyian masih bertapa di jiwa. Seakan ada sesuatu yang belum terisi. Sebahagian dirinya terasa tak lengkap. Disuarakan kepada Tan Sri Ghazi. Abahnya menyarankan dia mencari pasangan hidup sebagai pelengkap diri. Saranan Tan Sri Ghazi langsung diterima.

Umi yang beria-ia dengan penerimaannya menawarkan diri nak carikan dia calon isteri. Sampai dah jadi kes perang saudara dengan abah! Masing-masing mempertahankan pendirian. Abah nak dia cari calon isteri sendiri. Umi pula sibuk nak tolong carikan. Tan Sri Ghazi gelar Puan Sri Suraya kolot. Puan Sri Suraya balas Tan Sri Ghazi perasan moden! Gaduh sakan. Sampai hampir terbalik meja di restoran orang!

Dia ambil jalan tengah. Jalan damai. Bagi dia masa setahun. Membuat janji. Dan demi membuktikan kesungguhannya dia berjanji dan berniat di hadapan umi dan abahnya. Selagi tak berjumpa gadis yang dapat mengetarkan sanubarinya, satu helai rambut yang tumbuh di wajah dia tak akan dipotong. Jika dalam masa setahun dia masih tak ada calon, dia terima calon Puan Sri Suraya. Itu yang jadi tok janggut!

Di penghujung pencarian, dia terpandang Dayangku Inara. Kali pertama terpandang gadis itu yang kelam-kabut melintas jalan, hati bergetar. Pandang sekali nak pandang lagi! Nyaris-nyaris dia terlanggar kereta di hadapan sebab sibuk tengok Dayang!

“ Baguslah. Umi pun dah sakit mata tengok muka serabai tu berbulan-bulan lepas…” Datar Puan Sri Suraya menuturkan. Penat mulutnya menjawab dengan kawan-kawan yang busybody bertanyakan penampilan Gibran yang berubah 360 darjah waktu itu! Sanggup telefon dia yang berada di oversea semata-mata nak bertanyakan hal yang satu itu. Over betul kawan-kawannya!

Where is she?” Terus ke topik yang bermain-main di benak. Memandang ke sekeliling. Mencari-cari seseorang.

Gibran tayang sengih. Nanti-nantilah dia cerita. Masa dan tempat tak sesuai. Takkan nak buka hikayat yang berlaku dalam pernikahannya di tengah-tengah KLIA ni? Andai kata kata umi tekejut dan melontarkan suara sopranonya, mahunya runtuh bangunan ini!

“ Umi dan penat kan…Gib bawak pergi hotel dulu. Rehat-rehat….makan-makan…and then…kita cerita panjang?” Cuba mengalih perhatian uminya, Puan Sri Suraya. Gelaran Puan Sri itu melekat sehingga sekarang walaupun sudah berpisah dengan Tan Sri Ghazi. Dia dah menegah orang memanggilnya begitu, tapi tak jalan juga. Akhirnya dibiarkan sahaja…

“ Siapa kata umi nak stay kat hotel?” Menyoal Gibran kembali.

“ Umi nak stay rumah abah?”

“ Rumah abah Gib buat apa. Rumah Giblah! Umi nak berkenalan dengan menantu Tan Sri Ghazi, your wife. Nak tengok, hebat sangat ke orangya…” Julingkan mata ke atas. Nak kenal juga siapa budak perempuan yang dah kalahkan calonnya sebelum bertanding. Bijak ke? Menawan ke? Bergaya ke? Jangan perempuan sewel sudah!

Terkejut. “ My place?”

“ Hai…terkejut nampak. Takut kena kacau ke? Nikah dah lebih dua bulan, takkan dalam fasa honeymoon lagi? …”

No…bukan macam tu umi…” Garu kepala.

“ Tak sudi ke bagi umi tinggal rumah kamu? Umi bukan nak kacau kamu berdua….umi nak buat pemantaun saja. Just checking…”

“ Umi…”

“ Bawa beg…we are going to your place!”


Dayang membelek-belek telefon. Mesej yang dihantar Gibran dibaca berulang kali. Mendengus geram.
Sorry….
Kt xjd keluar. Gib kena jemput someone special kat airport.
Please… dun mad:(

Marah? Kenapa nak marah? Jadi keluar ke, tak jadi keluar ke, apa kena mengena dengan dia? Habis siapa yang bertempel pada jeriji besi pintu depan sebab tunggu Gibran dalam menjemput? Tak ubah macam isi dengan kuku dah!

Dan siapa juga yang beria-ia bangkit awal, seawal ayam berkokok di pagi hari minggu semata-mata nak bersiap-siap untuk keluar? Bukan dirinya, Dayangku Inara? Alah…dia bukan apa, bersiap awal sebab tak suka biarkan orang tertunggu lama depan rumah tu. Tak suka biarkan mak cik-mak cik yang lalu depan rumah nak ke pasar menjeling-jeling tengok ada lelaki bertenggek depan rumah. Hari kerja pun muka itu, hari minggu juga muka yang sama. Tentu tak teragak-agak mak cik undi dia masuk dalam senarai calon gosip minggu ini. Ya ke sebab tu? Habis, kenapa ada rasa sebal semacam? Diperli diri sendiri.

Terasa sebal tu memang harus sebab, malam tadi Gibran yang beria-ia ajak dia keluar. Pagi ni cakap tak jadi pula. Buat penat dia bersiap-siap awal. Lepas tu tertunggu-tunggu. Pantang dengar bunyi tapak kaki, mesti pergi jenguk pintu. Sekejap duduk. Sekejap bangun. Pandang telefon, pandang pintu. Macam perempuan meroyan!

Sampaikan budak tadika yang sedang belajar kayuh basikal depan rumah menegur. Tak padan dengan kecil, ciri-ciri romeo dah menyerlah! ‘ Asal kita lalu je akak bukak pintu, akak suka kita eh?’ Sengih-sengih comel sambil kenyit mata. Dia terkedu tak terkata..

Skrin telefon dikerling lagi. Someone special? Girlfriend dia ke? Pedih ulu hatiku!

Menyentuh pula dada. Ini lagi satu, tak cukup dilanda kesebalan, dada terasa lain macam. Berdebar-debar tak sedap hati. Sejak malam tadi dia mengalami rasa ini. Dayang bawa-bawakan mengucap. Banyakkan Istighfar. Sentuh dada yang berentak tak keruan. Letih dan lemas melayan perasaan Dayang bergerak ke dapur. Menyibukkan diri membantu Che Peah memasak.

“ Kau kenapa?” Tanya Intan bersila agak jauh daripada Dayang. Takut terpercik cili dalam mata.

“ Entah…tak sedap hati…” Balas Dayang. Menumbuk-numbuk cili dalam lesung batu. Setakat ini itulah kerja yang paling dia mahir!


“ Tak sedap hati? Sebab tak jadi keluar dengan Gibran ke? Eleh….malam tadi membebel marah cakap Gibran paksa-paksa….”

“ Bukan kot…” Menanggalkan cermin mata hitam milik Che Peah. Dah jadi sebahagian daripada uniformnya pula apabila nak membikin sambal belacan. Nasib kau Che Peah!

“ Habis?”

“ Entah….Dayang sentuh ini tak kena, sentuh itu tak kena…”

“ Owh! Aku tau. Terkena jangkitan penyakit hati Gibran tak?”

“ Sakit angau tu? Taklah!”

“ Eh..eh…jangan tak tahu Dayang, sakit tu berjangkit-jangkit. Bahaya!” Intan angkat kening.

“ Bagau?! Mana-mana?” Celah Che Peah yang sedang potong ayam di sinki.

“ Angaulah Che Peah!” Perbetul Intan.

Tau…” Terkekeh ketawa. “ Buat lawak je...”

“ Kenapa date korang batal?” Intan tanya lagi.

“ Gib pergi pergi jemput orang dekat airport…”

“ Apa? Cuba kau repeat Dayang. Che Peah salah dengar ke apa ni….”

“ Gib jemput orang kat airportsomeone special. Entah siapa yang special sangat tu…” Nada itu kedengaran cemburu.

Che Peah dan Intan saling berpandangan. Berkomunikasi tanpa suara. ‘ Dayang dan pandai panggil Gibran manja-manja. Dia panggil Gib…’ Intan tahan senyum. Che Peah menghadap tingkap.

“ Kenapa sengih-sengih ni?” Dayang pelik dengan gelagat dua orang kawannya.

“ Gib ekh? Manja…” Kata Intan mengusik.

Sweet.” Sampuk Che Peah.

Cute…” Tambah Intan.

“ Comel…” Sambung Che Peah.

“ Benggong!” Celah Dayang.

“ Mana dia?” Mengajukan pertanyaan seawal melangkah masuk ke dalam rumah. Nampak sahaja sofa di ruang tamu, Puan Sri Suraya melabuh duduk. Jetlag sikit. Memandang segenap sudut kondominium Gibran. Kemas bersusun.

“ Gib ambikkan air…” Berlalu ke dapur.

Minuman sejuk didaratkan ke meja. “ Mana dia, your wife?” Menyoal lagi. Sudah kali ke berapa dia bertanyakan Gibran soalan yang sama.

Tarik nafas panjang. Duduk bertentangan dengan Puan Sri Suraya. “ Ada…”

“ Ada…ada..mana dia? Siapa namanya…..Duyung? Daying?” Mak Mertua datang dari jauh tak keluar menyambut. Gibran bagi dia menantu ke hantu?

“ Dayang….”

“ Aah....Dayang, mana dia?”

Pandang Puan Sri Suraya tepat. “ Dayang kat rumah dia…”

What happened? Did I missed something? Tell me the truth. Umi tak suka teka-teki…”

“ Umi tenang-tenang okay. I tell you everything…”

Tell me now!”

“ Gib, Dayang…kami PJJ…walau tak jauh mana…”

What?! PJJ? Tak jauh mana? Apa maksudnya?!”

Untuk versi penuh dapatkan novel Hati Bertanya Siapa Kamu di kedai-kedai buku berhampiran anda. Boleh juga layari http://www.karyaseni.my/ untuk pembelian secara online.

Friday, May 18, 2012

Bab 12: Hati Bertanya Siapa Kamu

Hujung bibir di gigit-gigit. Mata dikecil besarkan melihat sesusuk tubuh yang berjalan di sisi. Sesekali menguman sendiri. Marah. Lelaki di sebelahnya memang muka tembok! Orang tak nak bawa dia datang pasar malam, tetap ikut juga.

“ Awak nak beli apa?” Tanya Gibran. Menoleh Dayang di sisi.

“ Saya tak nak beli apa-apa. Nak balik!” Jawab Dayang. Hilang minat untuk membeli apa-apa. Gibran yang menempel di sisinya sejak dari rumah sehingga ke pasar malam ini merimaskannya. Intan dan Che Peah tak ikut bersama. Main pesan-pesan sahaja bila tahu Gibran dah ada untuk menemaninya. Tadi Intan dan Che Peah dah siap berpakaian, tiba-tiba tak jadi nak pergi. Macam-macam alasan mereka. Kacau daunlah, sakit perutlah, sakit matalah. Pergi berdua cukuplah. Ramai-ramai nanti sesak pula pasar malam. Pirah!

“ Nak balik dah? Baru je sampai kan…..hari tu beria-ia cakap nak dating dengan Gib…dah ada peluang nak balik pulak…”

“ Bila masa saya cakap nak dating dengan awak?” Gibran ni lain macam benar. Pagi semalam elok bersaya-saya, masuk ke malam dah tukar jadi Gib. Hampir ke tengah malam pula hantar bunga dan kad. Hari ni pula bercakap bisik-bisik di telinganya. Berdiri bulu roma! Lepas ni entah apa lagi lelaki ni nak surpriseskannya….

Ayat-ayat yang ditulis Gibran pada kad itu sudah terhafal oleh otaknya. Tambahan lagi diulang baca kuat-kuat oleh Intan dan Che Peah sebelum ke tempat kerja pagi ini. Malu dan segan dengan manusia berdua itu tak payah cakaplah. Segunung! Selautan!

Ikut perasaan nak pergi sebunyikan diri bawah katil! Cuma yang menghalang niat itu sebab perlu ke tempat kerja. Jika tak, awal-awal dia dah buat begitu. Che Peah dan Intan bergabung menyakat, haruslah dia yang keseorangan ini terkontang-kanting dibuli.
“ Hari tu Dayang cakap, nak dating…”

“ Bukan dengan awaklah! Dengan orang-orang yang berniaga dekat sini. Perasan!” Betul ke di ada cakap macam tu? Ke sebenarnya ada? Bila masa ya? Blur sekejap…

Menyiku lengan Dayang. Nakal sengih yang dilempar untuk tatapan Dayang. “ Dating dengan Gib jelah…” Tertipu dengan Dayang dah. Isterinya memang pakar buat gempak. Patutnya Dayang cari tempat bertemu janji yang romantik sikit. Bolehlah…

“ Apa ni?!” Marah. Menyapu-yapu lengan.

“ Ambik kesempatan sikit…bukan dengan orang lain pun” Berkata perlahan. Hanya untuk pendengaran sendiri.

“ Apa?” Soal Dayang. Dia dengar hujung kata-kata Gibran. Bukan orang lain? Ingat dia siapa?

“ Apa?” Muka tak bersalah. Dia rasa selesa nak bermesra-mesra dengan Dayang sejak memberi bayangan isi hatinya di dalam kad yang dikirim. Rasanya Dayang juga dah faham, tapi buat-buat tak faham. Ura-ura nak mengelak daripadanya dah jelas sangat. Pergi kerja pagi ni tak tunggunya. Padahal dia dah mesej suruh tunggu sebab, jemput Dayang lambat sikit hari ini. Sampai rumah Dayang, tak ada sesiapa lagi. Bila telefon, Dayang cakap dah sampai pejabat. Nak elakkan dirilah tu. Elakkan diri cara macam tu, kira okay lagi. Mujur tak lari pindah duduk rumah sewa lain! Dia dah bimbang sebenarnya….

Teringat peristiwa pagi ini. Despatchnya Epik, awal-awal pagi lagi dah ketuk pintu bilik pejabatnya. Tak pernah-pernah sebelum ini. Rupa-rupanya nak buat tuntutan kerja lebih masa sebab dikerah hantarkan bunga untuk Dayang. Kata budak tu, akak yang terima bunga bagi nasihat. Sempat lagi Dayang jadi konsultan percuma!

Dayang mencebik. Jeling sampai mata hampir terbalik. Berjalan pantas ke depan. Meninggalkan Gibran di belakang. Sakit hati dengan lelaki itu. Gibran menyaingi. Menapak dua langkah dah sampai sebelah Dayang balik.

“ Kita beli apam balik nak?”

“ Belilah sendiri…”

“ Dayang tunjukkanlah…Gib mana biasa dengan pasar malam kat sini…kalau sesat macam mana?”

Dayang jeling lagi. Ingat ini hutan belantara ala amazon ke nak sesat segala? Kalau yang bercakap tu budak kecil boleh juga diterima. Ini dah taraf bapak budak!

Please…” Dayang masih tegak tak bergerak di tengah-tengah manusia yang ramai itu.

Please…..” Merayu lagi. Jadi patung cendana dah Dayang. Tegak bisu.

“ Tak dapat tu, kempunanlah….kalau terjadi apa-apa dekat Gib tapi tak sempat merasa apam balik, jangan Dayang sesal tak sudah….” Berbelas kasihan. Dayang belum kenal siapa suami dia.........

Pandang Gibran. Dengar Gibran cakap macam tu terasa luluh hati. Betul-betul jadi seperti apa yang dikatakan lelaki itu, memang sesal sampai akhir hayat. Mesti akan rasa tersangkut punya. Dia minta tunjukkan je, bukan susah pun…

“ Yelah….yelah…saya temankan! Tapi ada satu syarat.”

“ Buat baik kena ikhlas…”

“ Pergi sendiri!” Berpusing untuk berpatah balik.

“ Dayang….Dayang! Okay…okay Gib ikut. Apa syaratnya?”

“ Lepas beli apa yang awak nak, kita balik? Boleh?”

“ Tak nak jalan-jalan dulu…ambik angin? Cuci mata? Dating-dating lama sikit? ” Lihat Dayang yang mencelik mata besar-besar, Gibran angkat tangan. “ Okay…okay kita balik…” Cuci mata? Yang nak cuci mata sebenarnya dia. Bukan nak cuci mata tengok pengunjung pasar malam yang berpusu-pusu ni. Dia nak cuci mata tengok Dayang!

Langkah Dayang yang sudah mendahului disusuli. Selepas membeli apam balik, dia bagi alasan nak beli benda lain lagi. Mula tu, Dayang membebel marah juga. Bila dah bergerak dari satu gerai ke satu ke gerai lain, Dayang lupa dengan syarat sendiri. Lupa pasal nak balik. Sedar-sedar dah penuh satu tangan mereka borong!

Dah penuh semua tangan, dia pula yang terpaksa ajak Dayang balik. Dah bertukar! Dia terpaksa ajak Dayang balik bukan apa, tak tahan mendengar dan melihat Dayang bertegur sapa dengan penjual-penjual sambil diberi gelaran adik manis! Dayang senyum-senyum suka, dia ketat-ketat muka!

Dayang nak lari sangat kan? Minggu depan, asal hari Sabtu je dia akan bawa Dayang lari. Biar tak ada peluang lagi jejak pasar malam tu!

“ Gib balik dulu…” Menyerahkan plastik makanan yang penuh satu tangan kepada Dayang. Mereka di hadapan rumah gadis itu.

“ Kenapa bagi saya semua?”

“ Gib beli untuk Dayang. Esok Gib jemput Dayang? Pukul 10 pagi?”

“ Jemput? Nak pergi mana? Ada saya kata nak ikut?”

“ Tak nak ikut?”

Dayang geleng.

“ Gib tunggu depan rumah ni sampai Dayang keluar!” Serius.

“ Tunggulah sampai berjanggut, saya tetap tak nak ikut!” Buka pintu gopoh-gapah. Masuk ke dalam rumah meninggalkan Gibran sendiri. Protes. Setengah saat pintu rumah terbuka kembali.

“ Nah! Awak punya apam balik. Pergi balik!” Dihulurkan kepada Gibran.

Sambut. Ingat juga, mesti takut dia kempunan...“ Jangan lupa. Esok pagi, pukul 10…”

“ Hilang ingatan!”

DUDUK bersimpuh di lantai bilik yang dihampar karpet nipis. Belakang badan bersandar ke birai katil. Merehat-rehat diri selepas penat berjalan. Hasil borongannya sedang selamat dikerjakan dua orang sahabatnya. Membuka laci meja berhampiran katil. Kad kecil yang ditulis Gibran dikeluarkan. Lama matanya terlekat di situ. Lalu dibuka dan dibaca.

My heart is in pain…
the beautiful pain…
because it carved your name…..
DAYANG

Menongkat kepala dengan lengan. Orang lain mungkin terasa seperti terbang ke langit apabila menerima kata-kata indah daripada seorang lelaki. Tubuhnya pula terasa seperti dikebumi! Dia serba salah menerima semua itu. Suara hati dan otak waras tak sekata. Hati menguntum suka, otak sibuk menolak! Dua rasa yang bertentangan yang memeningkan kepala….

Mengeluh kecil. Rasa suka kerana terima ucapan indah itu normal. Mungkinkah? Betulkah? Dan suka itu tidak semestinya suka yang sama ertinya sama dengan jatuh cinta. Dayang, tenang-tenang saja. Jaga diri, jaga peribadi. Menyedapkan hati sendiri. Tulisan tangan Gibran diulang baca lagi.

My heart is in pain…the beautiful pain…because it carved your name…..’ Berdasarkan ayat yang ditulis dan cara layanan Gibran ketika bersamanya, dia menyimpulkan Gibran memang sakit. Sakit angau! Erk…!?

Bahagia! Itulah yang dirasakan Gibran sekarang. Senyum senang tak lekang dari bibir sejak meninggalkan perkarangan flat Dayang. Bersama Dayang jiwanya hidup. Perasaannya berbunga-bunga. Dia memandu tenang, setenang perasaannya.

Ketenangan sedikit terganggu apabila telefonnya berbunyi memecah sepi. Earphone dipasang ke telinga. Panggilan dijawab.

“ Ya?”

“ Nak balik? Bila?”

“ Ya…ya..okay…” Selesai berbicara talian diputuskan. Nak balik? Memikirkan orang yang bakal tiba ke tanahair ke dalam masa terdekat ini, hati yang tenang mula berkocak…


Untuk versi penuh dapatkan novel Hati Bertanya Siapa Kamu di kedai-kedai buku berhampiran anda. Boleh juga layari http://www.karyaseni.my/ untuk pembelian secara online.

Tuesday, May 15, 2012

Bab 11: Hati Bertanya Siapa Kamu

Gibran merehatkan diri seketika di ruang tamu sebelum naik ke bilik untuk membersihkan tubuh. Seharian berurusan dengan wanita bergelar Datuk yang menjadi pelanggannya memenatkan otak. Datuk Salwa terlalu cerewet dalam memilih konsep hiasan dalaman yang diinginkan untuk banglo barunya. Semua itu dilakukan demi menyambut kehadiran orang baru dalam hidup wanita itu. Sama ada orang baru yang dimaksudkan itu menantu, anak atau suami baru tidak pula diselidiki. Selesai berurusan dengan Datuk Salwa dia bergegas mengambil Dayang di tempat kerja berserta misi untuk berterus-terang. Belum hilang penat menghadap Datuk Salwa, dia dihidang pula dengan jawapan gila Dayangku Inara. Mahu lari ke benua lain!



Jawapan yang keluar daripada dua ulas bibir Dayang buat dia bimbang. Dayang bukan seperti perempuan lain yang bertindak dengan matang. Gadis itu suka membuat tindakan spontan tanpa berfikir panjang. Padahal tindakannya telah membuatkan orang-orang dikelilingnya kelam-kabut. Menjadikannya si suami yang ditinggalkan!




Agaknya jika dia menyatakan kebenaran ketika menghantar Dayang tadi, mungkin bukan sahaja batang tubuh, bahkan batang hidung gadis itu juga tidak lagi kelihatan. Betul-betul melarikan diri ke tempat lain! Hilang kali ini mungkin tidak lagi berjejak. Dia juga yang parah!


Dia terlalu cintakan Dayang. Jatuh cinta pandang pertama! Kali pertama dia terpandang Dayang hati berdebar-debar. Pandangan seterusnya dia yakin hatinya telah dicuri gadis itu. Namun bila dia ke restoran tempat Dayang bekerja, kehadirannya seperti tidak disedari. Ambil pesanan, lepas tu buat tak tahu. Sibuklah konon. Berkali-kali dia berdehem, sampai sakit tekak. Dayang buat dek! Masa tu muka tak berapa nak tampan, sebab tu Dayang tak pandang agaknya. Rupa dah macam tok janggut!


Sebelum ini dia pasang niat. Bernazar. Selagi belum menjadi suami orang janggutnya tak akan dipotong. Hampir setahun juga dia tampil dengan penampilan berjanggut tu. Sesudah bergelar suami dia potong janggut. Membayar nazar.


Sebab dah terlalu sukakan Dayang, latar belakang gadis itu diselidiki. Bila hati dah suka, apa lagi yang ditunggu. Lamar menjadi suri rumahlah. Bercinta-cinta dulu tanpa kepastian bukan caranya. Tambahan pula bimbang gadis idaman terlepas ke tangan orang lain. Apatah lagi bila menyedari bukan dia sahaja si kumbang yang sedang mengintai si gadis. Wakil merisik terus dihantar. Urusannya berjalan lancar. Dayang berjaya dimiliki. Dipermudahkan yang Maha Esa. Syukur ibu bapa Dayang sudi menerimanya sebagai menantu. Selepas seminggu wakilnya merisik Dayang, rombongan meminang pula menyusul. Berlangsung sebuah majlis pertunangan yang serba ringkas.


Dalam jangka masa itu, ada juga niat untuk bertemu mata dengan Dayang. Gadis itu pula yang tak sudi. Jual mahal! Nak buat macam mana? Ingatkan bila sudah diikat sebagai isterinya, segala-galanya sudah selamat. Rupanya tidak juga….


Butang kemeja di bahagian atas di tanggalkan. Terasa lebih lega untuk bernafas. Memandang ke segenap corok ruang tamu. Sunyi dan sepi. Tangan menyeluk poket jeans. Telefon bimbit dikeluarkan. Belum sempat menelefon sesiapa suara abahnya menyapa telinga.


“ Dah balik pun. Jom kita makan malam. Lama abah tunggu….” Tan Sri Ghazi yang baru turun dari tingkat atas bersuara.


“ Tak makan lagi abah? Dah lewat sangat ni…” Jam di pergelangan tangan dikerling. Menyusul langkah abahnya ke meja makan.


“ Makan sorang-sorang tak sedap. Kena juga ada peneman…”
Gibran sengih saja. Melabuh duduk di kerusi. “ Lambat sebab tadi Boy jemput Dayang kat office. Lepas tu hantar balik rumah.”


“ Ni….cakap pasal Dayang, abah nak tanya. Betul ke isteri kamu tak kenal kamu siapa?” Menyeduk laut ke pinggan nasi.


“ Tak. Dayang tak cam…”


Tan Sri Ghazi tergeleng-geleng bersama senyum kecil di bibir. “ Teruk juga penyakit mata isteri kamu tu. Kena dibawa berubat cepat….” Gurau Tan Sri Ghazi. Mencetuskan ketawa Gibran.


“ Isteri Boy, menantu abah juga…” Ketawa dua beranak itu bergabung.


“ Jangan lama-lama Boy…..cepat-cepat bawak balik Dayang…”


“ Sedang diusahakan ni abah….”


“ Bila nak bagitau perkara sebenar ni?”


“ Nak bagitau tadi, bimbang Dayang terkejut…..sebab gaya cakap Dayang memang dah sah-sah nak lari lagi…nak pergi benua lain kata dia…”


Gelak besar Tan Sri Ghazi pecah lagi. Telatah menantu yang seorang itu mencuit hatinya. Nak marah pun tak jadi. “ Pikat-pikat dia dulu. Bila dah sayang takkan menantu abah nak lari lagi kan?...”


“ Pikat?”


“ Hai…..pikat isteri sendiri pun tak berani ke?” Sinis Tan Sri Ghazi. Dalam masa yang sama melemparkan satu cabaran. Dia tak percaya yang anak lelakinya ini tak mewarisi kehebatannya memikat wanita. Umi Gibran dulu, dalam tak nak-tak nak dengan dia termahu juga. Itulah, cuma jodoh mereka tak panjang. Bercerai-berai di pertengahan jalan. Jika boleh dia tak ingin Gibran Emir mengikut jejak mereka suami isteri. Sangkanya bila dah berpisah selesai semua pergaduhan. Rupa-rupanya semakin menjadi-jadi. Dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara juga ditengkarkan. Termasuk soal calon isteri untuk anak lelaki tunggal ini. Semuanya harus mengikut kata umi Gibran. Ada ke nak dinikahkan anak mereka dengan minah saleh yang merupakan anak kawan dia dekat oversea sana tu. Gibran tak ingin, dia membantah! Tak berkenan...


Masa Gibran nikah, bekas isterinya itu tak balik ke Malaysia. Merajuk dengan anak teruna mereka. Sampai sekarang tak balik-balik juga. Mak mertua dengan menantu saling tak kenal. Selisih bahu mahu belum tentu tahu kaitan sesama sendiri! Sudahlah menantunya ada penyakit. Penyakit tak cam orang. Sakit mata! Letak Eye More berdozen belum tentu baik….


“ Abah ni….Dayang isteri Boy. Takkanlah tak berani.” Tercabar dengan cabaran Tan Sri Ghazi. Dah sah-sah Dayang itu isterinya, nak takut apa? Nak pikat dengan cara bagaimana ya? Kaedah biasa-biasa ke ekstrem?


" Cakap saja tak guna..."


" Maksud abah?"


" Buktikanlah..."


" Boleh!"


“ Bila nak mula?”


“ As soon as possible!”


“ Good luck my son…” Ucap Tan Sri Ghazi memberi semangat. Besar harapannya agar Gibran dapat menambat hati Dayang.



***************************************************************************



Ketukkan di pintu menganggu Dayang yang sedang menonton tv. Intan dan Che Peah sibuk di bilik masing-masing. Ada yang sedang bergayut, ada yang sedang gosok baju kurung yang nak dipakai untuk pejabat esok. Dia pula tak ada apa-apa aktiviti. Layan drama sahajalah. Malas-malas Dayang bangun menuju ke pintu. Dah nak masuk pukul 11.15 malam ada lagi orang datang? Siapalah yang tak reti tengok jam. Tangan bergerak membuka kunci, mulut sibuk mengata.


“ Assalamualakum kak….” Sapa seorang lelaki.


“ Waalaikummusalam. Awak ni siapa?”


“ Saya nak hantar bunga ni. Ada orang mintak saya hantarkan…” Terang lelaki itu.


“ Bunga? Daripada siapa? Untuk siapa?”


“ Saya tak tahu kak. Ada tulis dekat kad ni kot. Akak bacalah…” Jambangan bunga diserahkan. Dayang menyambut.


“ Saya pergi dulu kak…”


“ Eh…eh nanti. Tak payah sign apa-apa ke?”


“ Tak. Saya tak kerja dengan kedai bunga kak. Kena paksa hantar ni…jenuh saya cari kedai bunga malam-malam. Bos saya mengingau, tiba-tiba kerah tenaga suruh cari bunga. Hantar ke alamat ni.” Kerja overtime sungguh dia malam ni. Dari kedai bunga bergegas pula ke rumah bos. Bagi kad yang dibeli sebab bosnya nak tulis sendiri kad yang perlu diserahkan kepada orang yang berkenaan. Dia nak tolong tuliskan bos tak bagi. Bajet romantik agaknya. Kemudian dia merempit laju-laju ke flat ini. Kurang sepuluh minit tiba di sini. Dulu-dulu johan merempit, sekarang tak lagi. Dah insaf.


" Mintak gaji lebih laa dik..." Dayang bagi nasihat percuma.


" Takut kak.." Lelaki itu sengih.


" Kena berani. Hak kita sebagai pekerja tu..."


" Yeke kak?'


" Ada kau nampak muka akak macam bergurau?"


" Akak memang championlah. Esok harus buat tuntutan dengan bos saya. Balik dulu ya kak..." Lelaki yang sebaya adiknya meminta diri.


“ Terima kasih dik.” Ucap Dayang. Lelaki itu mengangkat tangannya sebelum menghilang daripada pandangan.


Pintu rumah dikatup rapat. Jambangan bunga bunga hidup yang sudah kurang kesegarannya itu ditelek-telek. Budak ni kutip bunga tepi jalan ke? Bunga-bungaan tersebut dibawa ke hidung. Nasib baik wangi baunya. Kad yang terselit di antara celahan bunga diambil. Dibuka lalu dibaca. Membaca ayat-ayat berjiwang yang tertulis di kad tersebut buat dia telan liur. Jambangan bunga dicampak ke kerusi. Dah tak betul ke apa lelaki tu? Tak pun otaknya dah tersumbat? Betullah tu, otak dah tersumbat!


“ Ada bunga? Siapa bagi? Untuk Che Peah ke?” Tanya Che Peah yang baru keluar daripada bilik. Teruja melihat jambangan bunga yang tergolek di kerusi. Laju kaki menerpa mendekati.


" Untuk.....untuk....."


“ Untuk siapa ni Dayang? Orang kasi Che Peah ke?” Ulang Che Peah. Tersengih-sengih. Perasan orang beri dekat dia.


“ Aah…Che Peah punya…” Kad ucapan disorok ke belakang.


“ Betul?!” Mengambil jambangan di kerusi.


“ Betul!”


“ Tak ada kad…?” Mengintai-ngintai benda yang disorokkan Dayang. “ Sorok apa tu Dayang?”


“ Tak. Tak ada apa…”


“ Bak sini Che Peah nak tengok.”


“ Mana boleh!”


“ Bak sini!” Jegil mata. Dayang mengeleng. Berdegil. Malu kalau dibaca Che Peah!


“ Bak sini!!” Che Peah cekak pinggang. Muka marah.


“ Tak payah tengok kot Che Peah. Dengar tak? Telefon Dayang bunyi laa…” Jari menunjuk ke bilik tidurnya. Bersedia untuk mengorak langkah. Dihalang Che Peah. Helahnya dapat dibaca.


“ Jangan nak larikan diri. Sini!!” Mengeleng. Kalau kunyah kad ni agak-agak boleh tercekik bawa mati tak?


“ Sini. Cepat!!!” Serba-salah. Lambat-lambat kad yang disorokkan di belakang badan diserahkan. Che Peah menyambut. Sengih. Gertak sikit dah takut. Kad di tangan dibuka. Membaca ayat-ayat yang tertulis. Terus terbuntang biji mata!


“ Korang skandal?!”


“ Tak! Tak! Er…Che Peah. Jangan salah faham tau….Dayang dengan dia tak ada apa-apa.”

Sungguh!” Beria-ia menafikan. Bulat biji-biji mata.


" Kalau bukan skandal, hubungan sulit?!"


" Tak...tak! Bukan!"


" Habis?"


" Gibran buat lawak April Fool."


“ April Fool apanya? Sekarang dah Mei!


" Dah bulan Mei? May Fool?”


" Betul ke korang tak ada apa-apa?" Memandang Dayang dengan pandangan musykil.


" Betul!"


“ Kalau betul baguslah. Che Peah dah ngantuk. Nak tidur dulu. Nite Dayang…”


“ Nite Che Peah.”


“ Che Peah…”


Che Peah yang sudah menjauh beberapa tapak berpaling. “ Apa?


“ Kad tu?”


“ Ini kad Che Peah simpan.”


“ Kenapa?”


“ Esok pagi nak tunjuk kat Intan payung…” Balas Che Peah. Dayang terdiam. Terkebil-kebil tak terjawab. Habislah dia dibahan Intan dan Che Peah esok pagi....


Untuk versi penuh dapatkan novel Hati Bertanya Siapa Kamu di kedai-kedai buku berhampiran anda. Boleh juga layari http://www.karyaseni.my/ untuk pembelian secara online.

Friday, May 04, 2012

Bab 10: Hati Bertanya Siapa Kamu

Gibran di sebelah dikerling dengan ekor mata. Diam lagi. Dua hari lepas, semalam dan hari ini masih sama. Orang lelaki pun sama macam perempuan juga agaknya, ada hari-hari mood pergi ke bulan. Pandang jalan sahaja. Dia di sebelah bagaikan tidak wujud. Buat dia segan sendiri menumpang kereta lelaki ini.

“ Hei! Awak.” Tegur Dayang.

“ Hmm…”

“ Ada lagi, saya ingat dah sampai ke bulan..”

“ Hmm….”

“ Kalau awak tak ikhlas hantar saya pergi balik kerja, cakaplah….saya boleh naik bas…” Tutur Dayang. Mereka sudah tiba di perkarangan flatnya. Dia perlu memberitahu Gibran Emir sekarang. Esok lelaki ini tidak perlu bersusah payah lagi datang ke mari.

Kali ini Gibran menoleh Dayang di sebelah. “ Saya ikhlas…”

“ Nampak macam tak ikhlas je…”

“ Sungguh saya ikhlas…”

Ikhlas? Alhamdulillah. Barulah tak ada rasa segan nak tumpang kereta Gibran ni. Malam tadi dia dah buat keputusan. Andai Gibran masih seperti dua hari lepas, untuk hari-hari seterusnya dia akan naik bas. Apa nak jadi dengan kakinya, jadilah. Duduk atas kerusi roda pun, kerusi rodalah. Dah tak ada pilihan….

“ Saya naik dulu…” Hari ini dia berkerja lebih masa. Jarum jam menunjuk ke angka 9.00 malam baru dia menapak keluar dari pejabat. Untung ada Gibran yang datang menjemput. Terasa keselamatannya terjamin.
“ Saya hantar Dayang sampai atas..”

“ Hmm…tak payah kot…”

“ Saya hantar sampai atas.”

“ Hmm…”

“ Gib boleh tolong tahankan pintu lif. Kalau Dayang tersepit lagi kat situ….uish….confirm patah bahu. Terus masuk hospital. Dah laa kaki belum baik….lepas tu tangan lagi. Tak takut…”

“ Awak…” Dayang kerut dahi. Ingin bertanya, namun tidak terluah. Baru sekejap tadi lelaki ini bersaya-saya. Sekarang dah berGib-Gib pula? Eloknya Gibran yang tersepit di pintu lif tu. Biar betul balik otak dia!

Dayang keluar dari perut kereta dengan otak yang bertanda tanya. Gibran berjalan di sisinya. Mereka bergerak ke arah lif.

“ Dayang…” Seru Gibran perlahan. Hanya mereka berdua yang berada dalam perut lif. Kesempatan ini dirasakan sesuai. Sudah dua hari dia memikirkan tentang perkara ini. Ingin membuat pengakuan tentang dirinya kepada Dayangku Inara. Tentang status mereka. Harapannya tidak ada yang pengsan sampai masuk hospital! Dan tiada juga yang hilang atau ghaib sekali lagi…

“ Gib tanya boleh?” Memecah sunyi antara mereka. Bertanya Dayang yang bersandar bahu di sebelah kiri dinding lif. Hanya berjarak sekangkang kera daripadanya yang bersandar di bahagian kanan lif.

“ Boleh…”

“ Katalah Gib….” Pintu lif terbuka. Tingkat Sembilan ke ni? Cepatnya...tak sempat nak cakap-apa ni…

Dayang melangkah keluar. Gibran ikut. Membuntuti Dayang. “ Katalah apa?” Soal Dayang sambil mengeluar kunci rumah dari handbagnya.

“ Katalah…hmm…Gib suami Dayang?”

Sepantas kilat Dayang angkat kepala. Bulat biji mata. “ Takkan awak…”

“ Erm…maksud Gib kalau…andai….” Buat-buat ketawa.

Ketap gigi. Nafas turun naik. “ Saya kerjakan awak cukup-cukup!”

Telan liur. “ Kenapa?” Ganasnya….

“ Sebab dah menyusahkan hidup saya. Siapa suruh terus masuk meminang? Tak boleh kenal-kenal dengan saya dulu? Pikat hati mak ayah kenapa? Tak boleh pikat saya? Kalau pun kena reject dengan saya, nasib laa. Terima saja….ini tak…”

“ Katalah niat Gib baik…”

“ Tak kira! Baik ke tak baik ke, saya tetap akan kerjakan lumat-lumat! Selesai yang tu, saya akan tinggalkan tempat ni. Pergi benua lain!” Menyilang tangan. Berpeluk tubuh. Beriak serius.

“ Nak lari ke benua mana? Dayang acah je kan?” Aduh! Dayang biar betul? Nak kerjakannya cukup-cukup tahan lagi. Bab nak lari ke benua lain tu buat dia kecut perut. Buatnya isterinya ini lari ke benua Afrika, macam mana? Itu jika dia tahu lari ke benua Afrika, jika dia tidak tahu, bagaimana? Pada masa sekarang, secara umumnya dunia ini terdapat 6 benua. Ada juga yang mengatakan benua-benua di dunia ini hanya lima, tolak Antartika sebab tak ada orang tinggal dekat sana. Walaupun hanya lima, setiap benua tidak hanya mempunyai satu negara. Jenuhlah dia nak mencari….

“ Tak. Saya serius!”

Gibran terkedu. Tidak terkata apa-apa. Buat pertama kalinya dia lihat Dayang begitu serius apabila bercakap. Langsung tak nampak seperti sedang bergurau. Isterinya nampak yakin dengan perancangan sendiri. Dalam tenang dada sebenarnya berkocak.

“ Kenapa nampak risau? Jangan laa risau….itu kalau awak suami saya. Awak bukan suami saya kan….?” Pandang Gibran. Dayang senyum mengusik.

Gibran senyum juga. Senyum tawar. Tidak menidakkan mahupun mengiyakan. Mengiyakan bermakna dia tolong tempahkan Dayang tiket ke benua lain! Jadi cinta antara benua pula kisah mereka nanti. Terpaksalah ditunda dulu niat untuk berterus- terang. Nasihat daripada emak mertuanya tergiang-giang di telinga. Kata Puan Mardiana, perlahan-lahan…

“ Tak baik Dayang buat suami macam tu…”

Itulah ayat Gibran apabila keluar cerita tentang suaminya. “ Awak berpihak dengan dia? Awak ni kawan saya ke kawan dia?”

“ Kita kawan?” Bibir ukir senyum gembira. Hilang senyum. Berbunga sikit hati. Okeylah tu, Dayang dah anggap dia kawan. Mula-mula kawan, mungkin selepas ini kekasih merangkap suami. Asalkan jangan daripada kawan, tertukar jadi lawan. Tertawan tak mengapa.

Pertanyaan Gibran buat Dayang terkelu sebentar. Apakah selama ini Gibran Emir anaknya pak cik Ghazi tak anggap dia kawan? Malunya memadai sendiri. “ Kawan…kot?”

Seketika pandangan bertembung. Kalut Dayang melarikan pandangan. Jantung buat rentak lagu Dap Dip Dup nyanyian Haiza suatu ketika dulu. Tak boleh senonoh sikit ke jantung ni?!

“ Okey, kita kawan.” Pemalu juga orangnya. Gibran ketawa senang.

“ Dayang free tak malam esok?”

Free…tak. Kenapa?”

Free kan? Malam esok kita keluar?”

Buntang mata. Apa ke hal nak ajak keluar pula? Ajakan untuk temujanji ke ni? Malam-malam pula. Wajib tolak! “ Tak free!” Bukan alasan. Malam esok betul-betul tak ada masa terluang.

“ Tak free? Dayang nak pergi mana?” Gibran jungkit kening. Mesti nak mengelat.

“ Malam esok saya nak keluar dengan Intan dan Che Peah…kami nak pergi dating..” Dating. Dating dengan abang, kakak, makcik, pakcik yang berniaga dekat pasar malam seberang jalan rumah sewanya. Senarai barang-barang yang nak dibeli berbaris di kepala. Nak beli keropok lekor sedunia, mi bakso, apam balik, apam polka dot, roti John Johny Jonathan dan banyak lagilah.

Dating? Dayang dating jugak? Dengan siapa? Kat mana?” Berlumba-lumba soalan yang ditanya Gibran.
“ Eh….eh…busy body pulak dia…” Marah Dayang.

“ Saya ambik berat…”

“ Ambik berat laa sangat. Macam spy je….ke memang kerja spy?”

Suka sangat Dayang cop dia sebagai spy. Sejak hari pertama mereka bertembung. “ Gib kerja pereka dalamanlah...”

Dayang buntang mata lagi. “ ID? Bukan driver? Bukan budak pejabat? Selama ni awak tipu saya ya Gibran?!” Cekak pinggang.

“ Mana ada tipu. Dah kerja kat pejabat….budak pejabatlah.” Ketawa. “ Hari tu Gib gurau-gurau je. Takkan percaya?”

“ Mestilah saya percaya.”

“ Dayang ni kan….senang sangat kena tipu…”

“ Bestnya kerja awak….kalau saya dah beli rumah nanti, bolehlah mintak awak hiaskan rumah saya? Boleh dapat harga kawan-kawan tak?”

Jom pindah masuk rumah kita! Saya dah belikan rumah untuk Dayang. “ Beli rumah lagi buat apa? Gib dah beli….”

“ Awak yang dah beli….saya belum…tak ada kaitan…macam mana boleh dapat diskaun tak?” Nak menunjuk dengan kita dia dah ada rumah sendiri ke apa ni?

“ Erk….”

“ Awak pergilah balik. Dah lama sangat kita kat depan ni…”

“ Hmm…assalamualaikum…” Salamnya berjawab. Lambat-lambat Gibran berganjak. Berlalu meninggalkan rumah sewa Dayangku Inara. Tiba di hadapan lif Gibran berpaling.

“ Dayang!” Laungnya. Memanggil Dayang yang sedang membuka kunci rumah.

“ Malam esok Gib ikut Dayang keluar!” Dayang terlopong. Tidak sempat membalas. Kelibat Gibran sudah menghilang dalam perut lif.

Untuk versi penuh dapatkan novel Hati Bertanya Siapa Kamu di kedai-kedai buku berhampiran anda. Boleh juga layari http://www.karyaseni.my/ untuk pembelian secara online.