U n Uols

Monday, April 30, 2012

Bab 9: Hati Bertanya Siapa Kamu

“ Assalamualaikum.....” Pintu pagar yang tidak berkunci dikuak sedikit. Masuk ke perkarangan rumah walaupun belum dijemput. Bukan rumah orang lain, rumah mentuanya juga.

“ Waalaikummusalam….” Salam bersambut. “ Tak kerja? Pagi-pagi dah sampai sini….mimpi apa malam tadi?” Menghentikan kerja-kerja menyiram pokok bunga. Paip getah dilepaskan daripada tangan. Pili air ditutup. Menyambut huluran tangan menantu yang ingin bersalaman.

Tunduk. Bersalam penuh hormat. “ Kerja….” Sugul air muka yang ditayangkan. Kebimbangan yang merantai jiwa dan raga yang membawanya ke mari. Ingin meminta sedikit nasihat daripada mak mertuanya ini.

“ Kebetulan lalu kawasan ni….”

“ Kenapa nampak sedih ni?” Puan Mardiana bertanya. Dalam hati sudah meneka, tentu angkara anak perempuan bertuahnya. Budak Dayang ni, apa lagi yang dah dibuat…tak habis-habis….

Sengih tawar. Apa yang terbuku terbuku dalam dada sejak mengetahui perancangan masa depan Dayang tidak diluahkan.

“ Mari kita masuk…..mak buatkan kopi…”

Angguk. Membuntuti Puan Mardiana masuk ke dalam rumah. “ Ayah kerja mak?”

“ Kerjalah…Syira dengan Idan aje yang ada. Budak Syira tak sekolah, kaki terkehel sikit masa berjoging dua hari lepas…sakitnya sikit je….tapi berlagak serupa orang patah kaki.”

Mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Puan Mardiana, Gibran sengih lucu. Teringat perbohongan yang dibuat ke atas Dayang. Kaki terkehel, makan masa bulan baru sembuh. Jika Dayang tahu dia mereka-reka cerita, habislah!

Sebenarnya dia bukan sengaja mahu berbohong. Semua itu dilakukan demi mendekati Dayangku Inara, isterinya yang sah. Isterinya yang cabut lari selepas mencipta kekalutan seusai akad nikah dilafazkan. Pengsan, kemudian hilang, ghaib dari bilik pengantin! Kelam-kabut semua orang. Jumpa-jumpa sebab teraccident.

“ Abang Gib! Bila sampai?” Teruja Syira menegur. Laju menuruni anak-anak tangga. Elok jalannya. Tak ada ciri-ciri orang sakit.

“ Baru lagi. Mak cakap kaki sakit?”

“ A’aah…sakit.” Serta-merta jalannya jadi senget.

Puan Mardiana jegil mata. “ Esok dah boleh sekolah!”

“ Sakit lagi laa mak…”

“ Sakit ya? Nanti mak cakap dengan ayah…”

“ Ala..mak ni. Yelah…yelah esok orang sekolah...”

“ SPM tahun ni kan?”

“ A’aah….”

“ Kalau dapat result gempak, abang Gib bagi hadiah.” Janji Gibran.

“ Syira nak mintak telefon baru boleh?” Baiknya! Dah laa kacak. Kacak-kacak pun kena tinggal juga dengan kakaknya…..

“ Boleh.”

“ Gitu laa abang ipar Syira….” Sengih sampai ke telinga.

“ Kena rajin-rajin pergi sekolah…..kalau tak macam mana result nak gempak kan?”

Confirm lepas ni tak tinggal sekolah lagi! Sakit macam mana sekali pun tetap pergi sekolah. Merangkak, meniarap….tetap pergi!” Syira bersemangat.

“ Dah! Pergi dapur. Buatkan abang Gibran kopi.” Suruh Puan Mardiana. Bimbang jika dibiarkan, anak bongsu itu minta banyak lagi daripada Gibran. Menantunya itu bukan reti menolak dengan adik-adik.

“ Iya…” Berlalu ke dapur.

“ Dayang sihat?”

Angguk. “ Sihat…kaki dia pun dah sembuh. Tadi pagi Gib yang hantar dia pergi kerja….sempat lagi nak lari…” Tertawa kecil mengenangkan gelagat Dayang.

“ Budak tu buat hal apa lagi kali ni? Lari lagi? Dah tak tinggal dekat tempat yang Gibran bagitahu tu?” Potong Puan Mardiana. Sentap.

“ Tak….tak lari lagi mak. Ada…ada. Masih lagi tinggal kat sana.” Puan Mardiana menarik nafas lega. Anak keduanya itu benar-benar membuatkannya susah hati. Pelbagai masalah yang dicetuskan. Kecil sampai ke besar macam tu juga perangainya. Nak kata ada tertelan botol susu masa kecil dulu, seingatnyaa tak ada. Kadang-kadang masalah yang dicetuskan Dayang tak tercapai dek akalnya. Orang lain lari sebelum nikah. Anak bertuahnya lari selepas selamat bernikah!

Silap perhitungan, pada hari pernikahan, itu hampir-hampir dia dan ayahnya Dayang yang perlu naik pelamin. Bersanding lagi. Bersanding mengantikan Dayangku Inara dan Gibran! Nasib baik perhitungan betul….selamat dia dan suami. Namun, sia-sia pelamin indah rekaan sahabat baik anaknya, Azie. Terbiar tanpa pengantin…

Sejak Dayang melarikan diri, tiada khabar berita yang diterima kecuali mesej yang satu itu. Takutlah tu. Mujur ada menantunya ini yang memaklumkan sudah mengetahui lokasi Dayang. Rupa-rupanya tinggal menyewa bersama dua orang kawan. Sangkanya dah lari ke oversea, rupanya tidak…..masih ada di Malaysia lagi. Agak lega jugalah hatinya tapi, marah tetap marah! Jika dia terserempak dengan budak itu di mana-mana, hancur lumat dikerjakan. Buat sambal belacan seperti yang Dayang suka!

“ Perlahan-perlahan kenalkan diri dengan Dayang tu. Bila dia dah kenal hati budi Gibran, InsyaAllah dia dapat terima perkahwinan kamu berdua.” Simpati dengan nasib menantu yang seorang ini. Anak gadisnya punya kerjalah, mensia-siakan hidup anak teruna orang!

“ Susah nak ngurat Dayang…..hari-hari jual mahal…hari-hari Gib kena reject…” Mengadu dengan Puan Mardiana.

“ Pulak dah….”

“ Pagi ni Dayang cakap sesuatu. Buat Gib runsing. Entah apa dia nak buat….” Kata-kata Dayangku Inara pagi tadi tergiang-giang di telinga.

“ Dia cakap saja tu…” Puan Mardiana cuba menyedapkan hati Gibran dan hatinya juga.

“ Agaknya akak nak mintak ce…” Sampuk Syira menatang secawan kopi panas.

“ Ish! Budak ni…..cakap main lepas aje. Mintak lagi benda yang bukan-bukan.”

Terdiam Gibran. Betul ke Dayang nak buat macam tu? Ya, Allah…..

Sorry….” Pohon Syira. Duduk di sebelah emaknya.

Keluhan daripada bibir Puan Mardiana terlepas. Mengenangkan Dayangku Inara buat dia sakit jantung. “ Isteri kamu tu….mak pun tak tahu. Tak cukup udara mak nak bernafas fikirkan pasal dia. Kita fikir dia nak ke kiri, dia ke kanan…”

Gibran bersandar ke belakang. Dia pun sama dengan mak mertuanya, tak cukup udara nak bernafas…..

“ Kenapa chopstick dalam dapur kita tinggal dua pasang je? Mana perginya yang lain?” Che Peah menyuarakan kemusykilannya. Mangkuk dan dua pasang chopstick diletakkan ke atas meja kopi.

Dayang telan liur. Berpura-pura tak dengar. Sibuk membuka ikatan bungkusan mee bandung yang dibeli Intan dari kedai berhampiran flat mereka.

“ Tak ada? Mana pulak perginya. Selalu ada je dalam bekas sudu garfu. Bukan ada kaki chopstick tu…boleh jalan sana sini…” Intan juga hairan.

“ Tak ada ka…” Che Peah mengantung kata. Matanya tertangkap sesuatu di kepala Dayang.

“ Chopstick tu tak berkaki. Manusia yang ambik chopstick tu yang berkaki!” Ketap bibir.

“ Manusia berkaki tu buat apa dengan chopstick?” Aju Intan. Pelik.

“ Dia buat cucuk sanggul!” Geram Che Peah. Menunjuk ke kepala Dayang. Serentak mata Intan tertumpu di kepala Dayangku Inara.

“ Sorry laa….Dayang pinjam je. Sepit rambut Dayang hilang…..” Dayang sengih bersalah.

“ Kot pinjam takkan sampai empat batang chopstick yang tinggal. Mana lagi enam?” Che Peah jegil mata.

“ Panjang ceritanya….hari tu Dayang pinjam satu. Lepas tu lupa letak mana. Pinjam satu lagi, lupa lagi. Lepas tu pinjam lagi…”

“ Lepas tu hilang lagi….” Intan menyampuk.

“ Tak! Lepas tu patah. Pinjam lagi….patah lagi. Ambik satu lagi……kali ni jatuh…terbaling ke bawah masa dok termenung tepi tingkat sebab Intan sergah dari belakang….” Perjelas Dayang panjang lebar.

“ Dah! Kau Dayang, makan pakai sudu je. Chopstick ni aku dengan Intan punya!”

“ Che Peah….nak jugak. Susah nak makan mee pakai sudu je…licin…”

“ Nasib laa….” Balas Che Peah.

“ Che Peah…..”

“ Ambik garfu kat dapur!” Arah Che Peah kemudiannya. Dayang bangkit menurut arahan.

“ Garfu tu buat makan tau….jangan kau buat cucuk mata. Karang jadi Dayang selamat pulak!” Che Peah mengena. Intan bantai gelak.

Mencebik. “ Taulah. Kita sayang mata kita..” Tak sampai seminit Dayang kembali semula ke ruang tamu.

“ Chopstick yang kat kepala tu jangan kau letak dapur balik. Tak lalu dah nak buat makan.” Pesan Intan.

“ Taulah…”

Lepas makan cuci mangkuk!” Denda dikeluarkan Che Peah.

“ Denda ke?” Soal Dayang cemberot.

“ Dendalah!”

“Che Peah ni, Dayang tak berkira pasal pagi kelmarin dah cukup baik. Berani denda Dayang lagi?”

“ Kelmarin? Pasal apa?”

“ Apa Che Peah cakap dengan Gibran? Dayang suruh cakap lain, kenapa pergi cakap lain?”

Che Peah sengih kerang busuk. “ Yang tu ke? Che Peah tersasul…..tarik balik denda. Malam ni Intan payung cuci mangkuk!”

“ Kenapa aku pulak? Korang dua orang yang buat salah. Aku denda dua-dua basuh mangkuk!”

“ Ini sudah adil!” Dayang menyokong penuh keputusan Intan. Che Peah mencebik. Menyuap mee ke mulut.

Boyfriend kau tak datang ke malam ni Dayang?” Soal Intan.

Boyfriend mana?” Berlipat dahi.

“ Gibran laa…”

“ Jangan panggil dia boyfriend Dayang, Dayang marah! Marah ni Intan!”

“ Yelah. Gibran yang bukan boyfriend kau tu, tak datang malam ni Dayang?” Ulang Intan.

“ Tak!” Tak jadi nak suap mee ke mulut. Dia sendiri tertanya-tanya kenapa tak nampak lelaki itu dalam dua malam ini. Selalu tu ada sahaja tersembul depan pintu rumah. Pagi dua hari lepas dia ada tersalah cakap ke? Ketika menghantar dan menjemputnnya dari tempat kerja juga diam sahaja. Dia tanya empat patah, Gibran jawab sepatah! Lagi teruk, hurmm sahaja.

“ Bergaduh?”

“ Tak!”

“ Lain macam je gaya jawab ni…rindu ke?”

“ Tak!” Bukan rindulah. Terkenang? Tak. Teringat? Tak! Semua tak!

“ Sekarang bolehlah kau cakap tak. Lama-lama mesti rasa macam tu….yelah, orang dah buat baik dengan kita….”

Sudu dan garfu disadaikan ke mangkuk. Sudah hilang selera untuk menelan makanan. Betul ke cakap Intan? Lama-lama akan rasa rindu? Tapi, tapi kenapa sekarang pun dia dah rasa sesuatu. Sejak dua tiga hari ini, adrenalinnya meningkat apabila terpandang wajah Gibran. Dayang dah terjebak ke?

Untuk versi penuh dapatkan novel Hati Bertanya Siapa Kamu di kedai-kedai buku berhampiran anda. Boleh juga layari http://www.karyaseni.my/ untuk pembelian secara online.

Tuesday, April 17, 2012

Bab 8:Hati Bertanya Siapa Kamu

" Duduk bersanding pengantin baru...." Lagu pengantin baru sedang berkumandang memenuhi ruang dewan. Para tetamu yang memenuhi ruangan itu menumpu pandang ke arah yang sama. Nun, di atas pentas sana sepasang pengantin sedang tersenyum bahagia diraikan dalam majlis yang cukup meriah.

Melihat mata-mata tetamu yang asyik melekat ke pentas, Dayang turut memandang ke depan. Kabur. Semuanya kabur. Pasangan yang sedang berbahagia di atas pelaminan tidak dapat dilihat dengan jelas. Bergerak daripada kedudukkannya di belakang dewan. Mengheret kaki ke menghampiri pentas persandingan. Ingin melihat pasangan pengantin yang sedang bersanding dengan sejelas-jelasnya. Semakin dekat, semakin wajah pengantin terlindungi. Terlindung oleh kipas tangan yang dipegang dua orang pengapit. Dengki sungguh dua orang manusia itu, sengaja tak nak bagi kita nampak rupa pengantin!

Pentas dihampiri. Menginjak ke anak tangga pertama, jantung berdegup lain macam. Langkah diteruskan ke anak tangga ke dua, degupan lain macam itu makin menjadi-jadi. Kaki terpaku sekadar di atas tangga kedua. Lama dia terpaku di situ. Telinga menangkap suara-suara yang bising menyuruhnya ke tepi. Kehadirannya di tangga itu menganggu pandangan para tetamu. Badannya dipusingkan menghadap meja tetamu. Baru dia sedar, rata-rata jemputan yang memenuhi meja adalah orang-orang yang dikenali. Di meja paling depan, ada ayah dan emak serta adik-adiknya.

"Hai! mak. Hai! ayah. " Melambai-lambai seperti ratu cantik! Di meja tengah ada mak cik, pak cik dan sepupu sepakatnya. Saudara mara jauh dan dekat semua ada. Majlis persandingan siapakah sebenarnya ini?

" Tepi sikit...kami nak tengok pegantin....kacau..." Dimarahi adiknya Insyirah.

Sanggup Syira mengelarkan dirinya pengacau semata-mata kerana sepasang pengantin itu? Tak boleh jadi! Hebat sangat ke mereka tu? Perasaan ingin tahu meruap-ruap. Badan dipusingkan kembali. Kali ni jantung nak meletup ke dan melompat ke dia tak kisah. Apa yang penting, dia mahu melihat wajah pasangan pengantin yang sedang bersanding itu. Kaki menginjak anak tangga ketiga, keempat dan kelima. Kini dia berdiri di hadapan pelamin. Bertembung mata dengan manusia yang menjadi pengapit. Abang Idham? Azie?

" Siapa yang bersanding abang Idham?" Menyoal Idham dengan dahi berkerut-kerut.

" Kaulah!" Soalannya dijawab Azie. Kipas tangan yang menutup muka pengantin perempuan diturunkan. Memang dia. Dia. Dayangku Inara!

" Aku? Aku? Aku sanding dengan siapa?"

" Dengan dia...." Perlahan-lahan Idham menurunkan kipas tangannya.

" Di...dia?!"

" Tidak!!!!" Jeritan kuat bergema. Mata terbuka luas. Nafas tercungap-cungap. Ashtagfirullah....

" Ya, Allah mimpi rupanya..." Bangkit bersandar di kepala katil. Meraup muka. Kenapa boleh mimpi macam ni? Kenapa lelaki yang bersanding bersamanya jejaka muda lagi tampan?! Memegang kepala. Pening-pening lalat kerana terbangun secara mengejut. Mesti sebab fikir pasal dia sebelum tidur, sebab tu terbawa-bawa masuk ke dalam mimpi...

" Sebab tidur tak baca bismillah kot...." Menyedapkan hati di tengah malam buta. Bantal di tidur ditepuk-tepuk. Kemudian menadah tangan membaca ayat tiga Qul. Ditiup kanan dan kiri. Kembali membaringkan tubuh. Menarik selimut sehingga menutupi dada. Berniat untuk menyambung tidur yang terganggu oleh mimpi yang tidak pasti masuk di bawah kategorikan mimpi indah atau mimpi ngeri. Ala...mimpi, apa saja boleh terjadi. Sambung tidur lagi berfaedah. Mata dipejamkan. Dayang lena sehingga ke pagi.......

" Che Peah....." Panggil Dayang lembut.

" Apa?" Soal Che Peah yang sedang menyapu bedak pada muka.

" Dayang mintak tolong sikit boleh?" Bersandar di muka pintu bilik Che Peah.

" Tolong apa? Kalau dalam kemampuan Che Peah...InsyaAllah Che Peah tolong...."

" Turun bawah nanti, kalau Che Peah nampak Gibran dekat bawah.....Che Peah tolong cakap dengan dia Dayang dah pergi kerja sendiri. Boleh?" Muka kesian demi minta simpati.

" Kau Dayang........tak baik menipu!" Intan menyampuk dari muka pintu bilik tidurnya.

Dayang garu kepala. Dengar saja orang bercakap budak Intan ni. " Malam tadi dia called, cakap nak hantar Dayang pergi kerja. Dayang memang tak nak dia hantar, tapi tersetuju pulak. Tolonglah Dayang...." Rayu Dayang.

" Dah tak setuju kenapa cakap setuju?" Marah Che Peah.

" Dah Gibran tu cakap kaki Dayang ni makan bulan baru sembuh. Jalan banyak-banyak nanti kena pakai wheelchair....Dayang takutlah. Tolonglah Dayang......"

" Budak ni! Yelah...yelah....nanti Che Peah cakap dengan dia. Intan....kau dah siap? Che Peah dah siap ni. Jom kita turun...."

" Dah...aku tunggu kau je Che Peah. Habis, kau tak saing kami Dayang?" Aju Intan.

" Korang gerak dulu laa, karang aku terserempak pulak dengan Gibran tu....sia-sia alasan yang Dayang karang untuk Che Peah cakap dekat Gibran..." Balas Dayang. Sengih comel.

" Jangan lupa kunci pintu rumah!" Pesan Intan sebelum berlalu.

Lima belas minit berlalu, Dayang bersiap-siap untuk meninggalkan rumah. Dalam perkiraannya, tentu Gibran sudah meninggalkan perkarangan flat tersebut. Yakin dengan telahan sendiri, pintu rumah dibuka dengan senyum senang menghiasi bibir. Terkuak sahaja daun pintu, semyum mati.

“ Assalamualaikum!” Terjegul wajah Gibran dan ucapan salamnya.

" Wa....wa...waalaikummusalam...." Kalut Dayang menjawab salam. Terasa malu dan segan untuk menatap wajah itu.

" Awak....awak....buat apa kat sini?" Kusangka dah selamat, rupanya tersepit! Boleh lelaki ni tunggu depan pintu?....

" Hantar Dayang pergi kerjalah..." Jawab Gibran bersahaja.

" Che Peah tak cakap ke saya dah pergi kerja dulu?"

" Ada..." Jujur Gibran mengiyakan.

" Habis tu kenapa tak pergi lagi? Ada depan rumah saya pulak?"

" Sebab Che Peah cakap, Dayang tak pergi kerja lagi, dia ada kat atas. Tapi, dia suruh cakap dia dah pergi kerja sendiri..."

Ya.....Allah Che Peah!!!! Dinding.....mana dinding. Nak hantuk kepala. Rasanya malam ni ada yang makan selipar Jepun!

Gibran sembunyi senyum. Dia sengaja datang awal kerana takut Dayangku Inara ada helah lain. Mulut berjanji untuk dihantarnya ke tempat kerja, otak ligat itu pula bukan boleh percaya, mesti ada rancangan untuk melepaskan diri. Rupa-rupanya telahannya benar belaka!

" Jomlah....dah lambat sangat ni..." Melihat jam di pergelangan tangan.

Lambat-lambat Dayang angguk. Sebelum itu, pintu rumah sewanya dikunci rapi. Membuntuti langkah Gibran separuh rela. Kalau tidak kerana mimpi malam tadi, tak adalah dia segan-segan begini dengan Gibran. Suka lagi ada sebab ada orang hantar pergi kerja. Tak payah merebut bas pagi-pagi ni....

Tiba di tempat letak kereta, Dayang Segera bergerak ke sebelah tempat duduk pemandu. Membuka pintu dan meluru masuk ke perut kereta tanpa dijemput. Buat kereta orang serupa kereta sendiri!

Gibran membiarkan sahaja. Cuma sedikit pelik dengan tingkah laku gadis itu. Asyik tertunduk-tunduk macam orang Jepun. Tadi nyaris-nyaris langgar tiang!

Tali pinggang keselamatan ditarik. Pergerakan Gibran di tempat duduk pemandu diawasi dengan ekor mata. Tanpa diminta, mimpi yang dialami malam tadi menjelma di ingatan. Buat dia semakin segan untuk memandang wajah Gibran. Apa tidaknya, malam tadi dia bermimpi duduk bersanding pengantin baru dengan dengan jejaka tampan di pelamin nan indah. Diapit oleh abang Idham dan Azie. Inilah orangnya, jejaka itu. Gibran! Kata orang mimpi selepas waktu subuh mainan syaitan. Tapi dia termimpikan semua itu sebelum waktu dinihari menjelma. Apa tandanya? Nak kata dia jatuh cinta dengan lelaki ini, rasanya tidak. Dia sedar status sendiri.......

" Kita gerak sekarang?"

Dayang angguk lagi. Masih tertunduk-tunduk. Sekejap-sekejap tarik tali handbag, sekejap kemudian tarik hujung lengan baju kurungnya.

" Dayang dah breakfast?”

“ Belum…dah! Dah!” Kalut Dayang menjawab.

“ Belum ke dah?”

“ Semalam dah breakfast….pagi ni belum lagi..”

Gibran tergelak. Dayang ni, takkan dia nak tanya pasal sarapan semalam, tentulah hari ni. " Kita singgah makan dulu nak?"

" Tak.Tak...tak nak!"

" Nanti perut kosong. Masuk angin. Pengsan kat tempat kerja ke apa ke...siapa yang susah...tu, nanti kaki sama masuk angin. Pakai topang laa Dayang..."

" Tipulah! Mana ada kaitan."

" Ada."

" Ada?" Berfikir sejenak. Otak cerdiknya gagal menyalurkan maklumat. " Erk....kat office nanti saya makan..." Termangu-mangu mengaru kepala.

" Make sure."

" InsyaAllah...." Terlebih prihatin betul. Ke Gibran ni ada niat tersembunyi? Nak pikat dia tak?! Sebab tu muncul dalam mimpi orang! Tak boleh...tak boleh jadi!

" Awak!" Panggil Dayang.

" Saya?"

" Awaklah....siapa lagi!

" Ada apa?"

Memejamkan mata mengumpul kekuatan. " Saya nak bagitau satu perkara....."

Menoleh Dayang sekilas. " Cakaplah...."

" Awak kawan baik dengan abang saya kan, jadi.......tentu awak dah tahu saya dah kahwin?"

" Tau....so?"

So? Eh...eh....orang ni...." Tak baik awak tau awak cuba nak pikat saya...." Menyampaikan maksudkan secara terus dan terang.

" Pikat?" Gibran buat-buat ketawa. Cuba menyorokkan kebenaran. Ingatkan Dayang tak peka. Perasan juga...." Saya cuma nak bertanggungjawab sebab kaki Dayang cedera kerana saya. Kalau tak, tak adanya saya buat macam ni...." Menyambung kata apabila tawa olok-oloknya reda.

" Tak? Erk..." Malu. Malunya!!!! Tangan kanan naik menutup muka daripada dilihat Gibran. Nak sorok kepala dalam handbag!

" Kesian dengan suami awak...."

Lelaki ni kenal dengan suaminya? Rasa malu berterbangan pergi. Berganti dengan perasaan ingin tahu. " Awak kenal dengan lelaki yang kahwin dengan saya?" Memandang Gibran tanpa kelip.

" Dayang....Dayang. Dayangku Inara bt Saufi....."

Panggil-panggil nama kita pulak, soalan tak jawab lagi." Gibran.....Gibran.....erk Gibran bin apa?" Mengajuk gaya cakap Gibran.

" Gibran Emir...bin Ghazi..."

" Hah! Yang tulah....jawab soalan saya boleh?" Seakan pernah didengari sebaris nama itu. Tidak asing. Sama seperti nama.....

" Tak...tak kenal. Confirm tak kenal!" Pintas Gibran laju.

" Owh! Ingatkan kenal....." Wajah suami yang dilihat sejurus selepas upacara akad nikah melatari ruang mata, namun samar-samar.....

" Saya tak kenal dia.......tapi, saya kesian dengan dia. Kesian sebab digantung tak bertali....tak baik awak buat anak teruna orang macam tu...." Kedengaran pilu dan sayu dalam nada yang dituturkan Gibran. Dayang dikerling, menanti reaksi gadis itu.

Anak teruna orang? Bujang terlajak agaknya...." Saya tau....berdosa......" Tutur Dayang perlahan. Ada rasa kesal tersemat di dadanya. Dia sudah cuba menyakinkan diri untuk menerima pernikahan dengan lelaki gentleman, menurut ayah. Padahal, semua itu satu penipuan. Sebenarnya, dia dikahwinkan dengan lelaki tua berjanggut! Maklumat yang boleh dipercayai itu hanya diperolehi di saat-saat akhir. Mujur ada Azie sebagai penyampai info. Tak sanggup dia memanggil lelaki yang dah sebaya ayah itu....abang? Sayang? Kalau tak nikah, dia bukan anak ayah. Apa lagi yang boleh dilakukan? Nikah dan larilah!

Ini tidaklah bermakna dia terlalu memadang rupa, sekurang-kurangnya biarlah sedap mata memandang. Tak kacak, tak tampan, manis ada. Sejuk hati. Sekarang, segala-galanya sudah terlambat. Nasi dah jadi bubur...

" Tak teringin nak jumpa dia?"

Mengeleng laju. Cemas riak wajahnya. Berjumpa dengan lelaki yang bergelar suaminya bagaikan satu igauan yang menakutkan. Konon jumpa sekejap, lepas tu terus kena tangkap tak lepas-lepas. Sadis!

" Kalau dia nak cari penganti saya, saya izinkan...."

Gibran terpana dengan kenyataan Dayangku Inara. Tak sangka jawapan itu yang akan didengari. Sempuk nafas...." Kalau dia tak nak perempuan lain....tapi nak awak satu-satunya?"

" Malang nasib dia....sebab, saya tak nak dia...."

Sakit dada. Menelan liur yang terasa berpasir. " Sampai bila awak nak menyorok?"

" Sampai saya ada kekuatan.....bila kekuatan tu dah ada,saya akan tuntut keadilan untuk diri sendiri...." Kata Dayang memandang lurus ke depan.

" Dayang nak buat apa?"

" Adalah....."

Gibran panas punggung. Tidak tenang pemanduannya sepanjang perjalanan pagi itu. Dayang nak buat apa? Dirinya dilanda kegusaran...


Untuk versi penuh dapatkan novel Hati Bertanya Siapa Kamu di kedai-kedai buku berhampiran anda. Boleh juga layari http://www.karyaseni.my/ untuk pembelian secara online.

Sunday, April 08, 2012

Bab 7: Hati Bertanya Siapa Kamu

Bibir comel yang penuh dengan jajan sibuk mengomel itu dan ini. Menonton lakonan si pelakon yang kaku dan keras buat dia angin satu kepala. Rasa dah baling jajan ke tv! Terlalu sakit hati dengan mutu lakonan si pelakon, tangan mencapai alat kawalan jauh. Menukar ke saluran lain. Terhidang sebuah lagi drama. Kali ini drama yang ditayangkan membariskan pelakon-pelakon kegemarannya. Mata terus melekat di saluran itu. Drama yang sedang ditayangkan mengusik perasaan Dayangku Inara yang sedang menonton. Cerita yang dipaparkan lebih kurang sama dengan kisah hidupnya.


Lama-kelamaan dia hayut dalam drama realiti hidupnya sendiri. Drama di mana, dia ke mana....



" Akak tak nak dengan orang tu laa ayah!"



" Terima sajalah kak, ayah dah cakap setuju dengan rombongan diorang. Cincin tanda pun dah ambik."


" Kenapa ayah buat macam tu? Kenapa tak tanya akak walau sepatah?! Dah laa entah siapa-siapa lelaki tu. Jangan-jangan dah bercucu-cicit pun, tapi gatal nak kahwin dengan akak..."" Dayangku Inara kesal.


" Ayah dah jumpa dia. Ayah dengan mak dah jumpa dia face to face. Nak bercucu-cicit apanya....umur belum 30 tahun. Sehari selepas dia hantar rombongan merisik tu, dia sendiri datang rumah kita. Baik budaknya. Sejuk hati. Rupa ada, harta ada. Kerjaya stabil. Beriman, Insyaallah. Hah! nak apa lagi? Bila ada jodoh yang baik macam tu datang, ayah tak nampak sebab untuk kita tolak. Mak pun suka kan?" Bertanya kepada isterinya Dayangku Mardiana yang duduk di sisi Dayangku Inara. Isterinya sedang membelai rambut panjang mengurai Dayang. Memujuk anak gadis itu yang merajuk.


" Akak tak kenal dialah ayah!" Siapa entah lelaki yang kononnya dia kenal tu? Marah dengan lelaki yang tidak diketahui identitinya itu. Kolot sangat! Tak nak perkenalkan diri sebab tak ada ikatanlah. Itulah, inilah. Mengada! Kolot dan mengada tak menyusahkan orang tak apa juga, ini dah buat hidupnya tunggang terbalik!


" Siapa kata akak tak kenal dia? Kenal, cuma tak berkenalan secara rasmi. Dia tak kenalkan diri sebab tak nak hubungan tanpa ikatan. Dia nak perhubungan yang diredhai. Dengar dia cakap macam tu, sejuk hati ni. Dan saat itu ayah tahu, dialah lelaki terbaik untuk anak gadis ayah." Balas Encik Saufi tanpa rasa bersalah.


" Itu rasa ayah, bukan apa yang akak rasa!" Marah Dayang. Dalam marah-marah itu ada rasa sedu yang turut sama menghuni hati.


" Akak kahwin sajalah...itu yang terbaik. Jodoh seperti ini tak datang setiap hari. Lagipun ayah risau akak kerja dekat restoran makanan segera tu. Balik jauh-jauh malam. Lagi ayah risau bila dapat tahu akak selalu keluar dengan lelaki. Ada hari yang habis kerjanya petang tapi baliknya lambat jugak..."


" T..tak...tak ada ayah. Tak keluar dengan siapa-siapa pun. Siapa yang cakap dengan ayah?" Wajah muram bertukar pucat. Namun masih berani menyambung bicara. Menafikan. " Akak kerja di restoran sementara je kan..sementara dapat kerja tetap. Tak kerja karang ayah cakap akak pilih kerja pulak. Nanti mak cakap menghabiskan beras je....asyik makan tidur, makan tidur..."


" Jangan nak tukar topik. Lelaki tu selalu tunggu akak depan restoran tu. Kakak ingat ayah tak sedar? Mak tak sedar? Orang macam tu ke nak dibuat laki? Tak gentleman. Keluar dengan anak nak, ayahnya tak nak jumpa....reject buat menantu!"


" Akak kawan-kawan je dengan dia ayah...tak pernah fikir sampai nak buat suami..." Memberi keterangan untuk membela diri. Dia ada juga menyimpan perasaan buat Mirul, lelaki yang ayah maksudkan. Mereka berkenalan di restoran makanan segera tempat dia berkerja. Perkenalan mereka bermula apabila selalu bertemu Mirul yang datang untuk makan tengahari di restoran itu. Mula-mula tu memang dia tak layan. Lama-lama terlayan juga sebab, cair dengan senyuman comel Mirul yang berlesung pipit di kiri dan kanan pipi. Jatuh cinta pada pandangan keempat belas!


Mereka baru sahaja nak rapat-rapat, alih-alih dah dicaras dek ayah! Bukan jodoh kita Mirul. Selamat tinggal....


" Mula-mula kawan, lepas ni mesti nak up jadi kekasih. Ayah dah masak dengan perangai budak-budak muda zaman sekarang. Dah teringin sangat ajak anak kita keluar, apa salahnya datang rumah. Salam-salam tanya khabar. Bukannya ayah marah kalau ikut pintu depan. Ini tidak, sorok-sorok pulak dia...mestilah tak berani nak jumpa ayah, budak tu kerjanya tongkat langit..."


Ya, Allah. Betul ke? Kerja tonggak langit a.k.a penganggur? Kalau ayah tak khabarkan, sumpah dia tak tahu. Mirul cakap dia usahawan. Usahawan laa sangat kau Mirul! Baru kenal dah tipu-tipu. Amarah terpalit sama kepada kawan yang baru dikenali itu.


" Kerja tongkat langit? Jarang orang dibuat orang. Hebat kerja dia ayah...hebat..hebat..."


" Jangan nak loyar buruk!" Dimarahi Encik Saufi.


" Agaknya, keadaan dia sama dengan akak, buat kerja tu sementara dapat kerja tetap..."


" Belum apa-apa dah bela nampak?"


" Tak..." Perlahan Dayang menjawab.


" Buat perangai budak-budak baru nak jadi remaja....akak tu dah masuk usia remaja purba. Berkawan buang masa macam tu tak payahlah..." Celah Pn. Mardiana. Dahi Dayang dijentik sekali. Anak-anak yang lain hanya diam mendengar perbualan mereka bertiga.



" Ayah..." Masih cuba membuat bantahan.


" Abang, Idan....ingat, kalau dah berkenan dengan dengan anak gadis orang cakap dengan kami. Biar ayah dengan mak masuk meminang. Jangan dibawa anak orang tu ke hulu ke hilir sesuka hati. Macam mana ayah tak suka orang buat anak begitu, macam tu jugalah orang tak suka bila kamu buat perkara yang sama dengan anak mereka. Faham?" Idan angguk. Tersengih lucu dengan ingatan tiba-tiba daripada Encik Saufi. Idham sengih tawar.


" Syira...." Encik Saufi memfokuskan pandangan kepada Insyirah pula.


" Kalau buat perangai macam kakak, ayah kahwinkan juga...mahu?"


" Ish...ayah ni. Orang tak buat laa. Syira pergi sekolah, balik sekolah...tu je.." Getus Insyirah anak yang bongsu. Muncung mulutnya. Dia yang tiada apa-apa kaitan dengan cerita Dayangku Inara terkena amaran sekali.


" Akak..ayah...akak..."


" Tak payah cakap apa. Tutup cerita!" Putus Encik Saufi. Memintas cakap Dayang.


Protes dengan keptusan Encik Saufi, DayangkuInara bangkit untuk berlalu ke biliknya. Beberapa tapak sebelum tiba di tangga untuk ke tingkat atas dia berhenti. Berpaling kepada Encik Saufi. " Akak tetap dengan keputusan akak. Tak nak!" Nekad. Meneruskan langkah. Baru satu anak tangga di dakinya, namanya dipanggil.


" Dayangku Inara!" Panggil Encik Saufi.


Langkah Dayang terhenti. Lain sudah rentak ayahnya. " Dengar sini baik-baik. Ayah dah terima. Bermakna akak setuju atau tidak, kita akan tetap ikut seperti apa yang dah dirancang! Akak tolak...akak bukan anak ayah..." Peryataan datar daripada Encik Saufi. Kedengaran datar, sebenarnya berbisa dan menyengat.


Dayang diam tidak membalas. Suara tersekat dikeroncong. Apa yang terpendam tidak terluah. Bibir mulut sahaja yang terkumat-kamit tanpa suara.


" Beginilah kak.....mak bagi tempoh berfikir. Buat solat Istikharah. Bila dah yakin, bagitau mak keputusannya..." Puan Mardiana cuba mejernihkan keadaan. Dayang masih diam tak bersuara. Menekur pandangan ke lantai.


" Mar..." Bantah ayah.


" Itu cara yang terbaik bang..." Kata Puan Mardiana.


Idham gelisah di kerusi melihat situasi tenang berubah tegang. " Akak..." Panggil Idham. Jatuh simpatinya melihat air muka Dayang yang keruh.


Panggillan Idham tidak dihiraukan. Nak kerling Idham dengan hujung mata juga dia dah tak mampu. Anak-anak tangga terus didaki. Membawa hati yang kecewa. Kecewa dengan suratan hidup. Malam itu menjadi saksi airmatanya gugur ke bantal.....


Dua tiga hari selepas itu, disebabkan desakan hati yang tidak tenang, dia mengikut saranan emak. Mengerjakan solat Istikharah. Dia mendapat petanda. Keputusan yang diyakini telah dibuat. Lamaran lelaki yang tidak dikenali itu diterima. Cincin tanda tersarung di jari manis. Disarungkan oleh wakil pihak lelaki yang merupakan emak saudara tunangnya. Dalam tempoh bertunang itu, mereka tidak pernah bertemu. Berhubungan melalui telefon jauh sekali.


Kembang kempis hidung tak mancungnya apabila ayah memeluk dan menepuk-nepuk bahu mengata 'inilah anak ayah'. Saat itu dia redha dengan segala-galanya...


Namun seminggu sebelum majlis pernikahan berlangsung, kenyakinan mulai goyah. Azie kawan yang tinggal di sebelah rumahnya. Kawan sepermainan yang sekepala. Namun berlainan haluan hidup. Dia masuk U, Azie kandas di sekolah menengah. Berpisahlah mereka beberapa tahun. Bergabung semula baru-baru ini setelah dia tamat belajar. Dayang, Azie, bergabung. Lingkup! Kini Azie buka butik pegantin yang diberi nama Saudagar, dia pula jadi peganggur tegar! Tak adalah....


Sambil sembang-sembang minum teh di satu petang, Azie terbuka satu cerita. Cerita yang keluar daripada mulut becok Azie membuatkan dia terpempan dan terkesan. Bergocak hati. Tak lena tidur malamnya kerana memikirkan hal yang disampaikan itu. Berguling ke kanan tak kena, berguling ke kiri tak kena. Sampai tergolek jatuh katil!


Berhari-hari cerita si Azie menganggu benaknya. Bagaimana dia nak meneruskan hidup di samping lelaki yang dah sebaya atau lebih tua daripada ayah? Ayah dan mak cakap lain. Azie cakap lain. Dia rasa tertipu. Dayang tertipu!


" Dayang..."


" Dayang?"


" Dayang! Menungkan apa?" Teguran Che Peah yang baru muncul di ruang tamu mengejutkan Dayang. Tersedar dari secebis kenangan hidup yang datang tak diundang.


" Ehem....hurm...hurm...." Membetulkan suara. " Tak menungkan apa-apalah Che Peah. Dayang tengok tv ni hah..." Menepi sedikit supaya Che Peah mendapat ruang duduk di sebelahnya.


Che Peah ketawa terkekeh-kekeh. " Dayang weyh! Kau ingat Che Peah tak nampak ya? Tv yang tengok kau adalah..."


" Bukan......tak...Da..."


" Siapa yang tv tengok Che Peah?" Intan muncul mengejut dari bilik tidurnya memeluk bantal kartun.


" Dalam rumah kita ni....mula-mula orang tengok tv, lepas tu tv tengok orang. Kau rasa siapa?" Che Peah memberikan teka-teki paling senang dalam dunia. Sekurang-kurangnya soalan teka-teki paling senang dalam dunia untuk Intan jawab.


" Dayang istana kayangan!" Yakin Intan menjawab diselangi ketawa besar. Seronok dapat membahan Dayang.


" Cakap elok-elok!" Marah Dayang.


Amaran Dayangku Inara bagaikan angin lalu. Tidak terkesan walau sebesar zarah. " Cakaplah dengan kami....apa yang kau menungkan Dayang. Ingat dekat suami ya?" Che Peah meneka.


" Suami? Taklah....Dayang ingat dekat mak...."


" Ingat dekat mak? Sabar ya Dayang.....lama-lama nanti sejuk hati mak kau tu..." Pujuk Intan. Sayu hatinya mengenangkan gadis itu yang rindukan emaknya.


" Kesian kau Dayang....Che Peah nak tolong, tapi tak tahu nak tolong macam mana. Kau tau tak Dayang, Che Peah teringin nak jumpa dengan mak Dayang. Yelah, masa kenduri nikah Dayang dulu, kami berdua tak sempat nak berkenalan dengan mak cik. Sempat berkenalan dengan perempuan yang nama Azie je. Letak hadiah lepas tu teguk air sirap segelas. Balik. Tahu-tahu ajelah, kami curi-curi masa kerja pergi kenduri tu. Dah laa Che Peah dengan Intan sesat jalan....hari tu memang malang nasib kami..."


Tercetus tawa Dayang. " Tak pernah cerita pun pasal ni....kan Dayang dah bagi alamat rumah...sesat lagi?"


" Memang laa....nihah, Intan payung buat-buat bijak. Che Peah dah kata ikut simpang yang kedua, dia suruh jugak abang teksi tu ikut simpang ketiga. Hari tu, kenyang Che Peah makan angin! Betul tak Intan?" Pandang Intan dengan jelingan.


" Ala Che Peah, kisah yang lama usah dikenang.....yang berlalu biarkan...biarkan berlalu. Kita pandang depan...." Kata Intan berdalih.


" Berdolak-dalih kau Intan!" Che Peah jegil.


" Sudah-sudah...."Dayang meleraikan keadaan.


" Sungguh ni, Che Peah terigin nak kenal mak kau Dayang. Nak kenalkan dengan abangnya sekali pun boleh....kot ada peluang jadi kakak ipar...." Che Peah bergurau. Betul pun apa salahnya, untung Che Peah...


" Gatal kau Che Peah!" Sergah Intan.


Che Peah sengih. " Melawak..." Intan tunjuk muka loya.


" Ada peluang nanti boleh kenal...tapi tak tahu bila peluang tu akan muncul..." Dayangku Inara berkata sayu.


" Sabarnya ya Dayang..." Intan simpati.


" Handphone kau bunyi tu Dayang..." Che Peah mencapai handphone milik Dayang di meja kopi. Dia yang paling dekat dengan meja tu. Diserahkan kepada Dayangku Inara.


" Malasnya nak jawab..." Rungut Dayang apabila melihat nama yang tertera.


" Jawab jelah....dia nak tanya khabar aje agaknya..." Intan menyuruh.


" Dayang tak suka. Ganggu orang je kerjanya...." Adu Dayang.


" Jawab dulu....dia datang rumah kita nanti, aku marah dia..." Janji Intan.


Dayang membebel sambil berlalu ke bilik tidurnya. Panggilan daripada Gibran dijawab juga.
" Waalaikummusalam...hmm....nak apa?"


" Nak bagitau....esok tunggu saya, saya hantar Dayang pergi kerja..."


" Ada saya mintak awak hantar?"


" Kaki kan..."


" Alasan! Kaki saya dah seminggu sembuh.....nak lumba lari pun dah boleh."


" Eh.....seminggu tak cukup untuk kaki tu sembuh. Kurang-kurang dua bulan. Dayang tak tahu ke.....ada kemungkinan kecederaan kaki tu akan jadi makin serius sebab banyak berjalan. Silap haribulan kena pakai wheelchair...." Gibran mereka cerita.


" Betul ke awak ni? Jangan nak kelentong...." Ragu-ragu.


" Betul!"


Dayangku Inara telan liur. Gerun. " Betul?"


" Tak percaya? Esok jugak kita pergi klinik tanya doktor."


" Yelah...yelah...esok saya pergi kerja dengan awak."


" Kan senang macam ni....untuk kebaikan siapa? Kebaikan Dayang jugak..." Di hujung talian, Gibran tersenyum senang.


" Pelik....awa ni banyak sangat masa terluang. Kerja tongkat langit ke?"


" Tak...saya tak kerja buat tongkat..." Sangkal Gibran.



" Senget awak ni! Dah nak tidur. Bye!"


" Da...." Talian dimatikan Dayang. Handphonenya diletak tepi. Bergerak ke tingkap bilik. Duduk termenung di situ. Gibran....kenapa lelaki itu seperti tidak asing baginya?


Untuk versi penuh dapatkan novel Hati Bertanya Siapa Kamu di kedai-kedai buku berhampiran anda. Boleh juga layari http://www.karyaseni.my/ untuk pembelian secara online.