U n Uols

Tuesday, November 29, 2011

Anggunkah Aku Bab 1

Memasuki stesen minyak. Terus meluncur ke laluan pam yang tersusun. Tanpa diduga sebuah kereta dari arah bertentangan turut memasuki laluan yang sama untuk ke petak pam yang ditujuinya. Hampir sahaja berlaku pertembungan. “POm!! Pin!!  Hon dibunyikan bertalu-talu oleh penumpang yang berada di tempat duduk sebelah memandu. Kereta berwarna biru yang yang elok merebut pam yang sama dinaiki dua orang lelaki.  Lagak dan gaya tak ubah seperti samseng kampung pisang dalam filem P. Ramlee. Nak pergi berfoya-foyalah tu. Malam-malam minggu ni tak ada kerja lain. Menyemakkan jalan-jalan raya sahaja!
Lelaki yang duduk di sebelah penumpang kelihatan keluar dari perut kereta selepas kereta diundurkan ke belakang. Melulu ke arah kereta yang dipandu Anggun. Bengang sahaja wajah yang terpamer.  Apalah angkuh sangat penumpang kereta ni.. pemandu relaks je, dia pula yang lebih. Anggun menguman.
Cermin kereta Anggun diketuk bertalu-talu. Tindakan kurang sopan penumpang tersebut buat Anggun turut sama angin satu badan. Pintu kereta terus dibuka. Ikut-ikut cermin tak mainlah. Kalau nak bertekad biar secara berdepan.  Baru sama-sama puas hati.
Lelaki dari kereta biru terpegun sebentar. Terkedu kerana yang keluar dari perut kereta rupanya perempuan cantik. 
“Hello…” Anggun mencekak pinggang. Sebelah tangan digoyangkan  di hadapan muka lelaki tersebut.  Tadi marah, sekarang berangan pula?
Hampir terlupa dengan kemarahan yang membuak-buak. Alpa. “Buta ke? Masuk ikut lorong sana. Lorong sini untuk keluar!” Terus disembur penumpang kereta biru.
“Alah tak jadi hal. Macam tu pun nak marah?  Cakap elok-elok tak boleh?  Budi bahasa budaya kita.”  Budi bahasa budaya kita.  Pandailah dia bercakap…
“Dahlah. Kau ni….hal kecil je.” Sampuk lelaki yang memandu. Lelaki yang ditegur memandangnya tidak puas hati. Alah kawan dia ni, relaks sudah.  Tak payah sentap sangat. Hati kecil macam perempuan!
“Dia…”
“Kita kira selesai setakat ni je. Tak sempat langgar pun.”
See.  Tuan punya kereta tak cakap apa. Awak melebih kenapa?” Dengan wajah tanpa senyuman memandang tajam lelaki tersebut.
“Itu dia punya hal!  Hal ni kita dua orang tetap kena selesaikan…”
“Hal apanya? Bukan ada kes! Tak sempat kena pun…” 
“Dahlah!” Lelaki yang memandu cuba meleraikan.
Memandang kawannya yang ikut campur. Berdiri ditengah-tengah antara dia dan perempuan yang berbuat salah. 
“Kali ni awak lepas!” Kembali bergerak ke keretanya.
Anggun mencebik. Siap bagi amaran pula. Ingat dia takut? Lelaki memang suka membuli! Ingat dah hebat sangat dengan badan macam tu?!  Saja nak tunjuk gagah depan perempuan. Dalam hati mengutuk tak henti..
Pintu kereta dikuak. Mencari-cari handbagnya. Melihat ke tempat duduk sebelah pemandu. Tiada. Di bahagian belakang juga tiada. Mencari-cari pula di bawah kerusi. Mengagau tangannya. Minyak kereta yang kering perlu segera diisi. Jaminan untuk dia sampai ke destinasi yang ditujui. Isyarat merah sudah menyala-nyala sejak dia keluar dari perkarangan rumah lagi. Diredah juga meneruskan pemanduan dek sakit hati untuk terus berada di rumah.
Handbag yang dicari tidak ditemui. Menepuk dahi sendiri. Dia tergesa-gesa keluar dari rumah sehingga terlupa handbag di tingkat atas. Telefon bimbit pula menjadi sasaran carian. Juga tiada! Takkanlah tertinggal juga? Cuba mengingati kali terakhir telefon itu digunakan. Di ruang tamu rumah. Diletakkan di atas meja kopi selepas bercakap dengan kawannya Ika. Sah! Memang dia terlupa nak masukkan telefon tu semula ke dalam poket jeansnya.
Mendengus. Sekali lagi seluruh kereta diselongkar. Mencari-cari not atau apa-apa kad yang mungkin tersesat keluar dari dompet. Sia-sia. Menyelak alas kaki. Apa yang ditemui hanya dua keping syiling lima sen! Satu lagi syiling lima sen ditemui dalam dashboard. Mengaru kepala. Syiling lima sen?  Nak guna telefon awam pun tak lepas! Situasinya ibarat sudah jatuh ditimpa tangga! Sudahlah jiwanya remuk dengan kejutan ‘hebat’ daripada Papa. Sekarang ini terlibat pula dengan masalah tidak diundang!
Dia tergesa-gesa keluar dari rumah gara-gara  kejutan dan ‘berita baik’. Diumumkan Papa di hadapan tetamu istimewa yang dijemput khas. Siapa lagi jika bukan mak cik dan pak cik serta sepupu kesayangannya. Pengumuman yang menjadi kejutan, tetapi kejutan tidak terjadi ke atas tetamu yang datang. Kejutan itu terarah sepenuhnya kepada dia sebagai penghuni rumah. Dia yang ditimpa kejutan terdiam tanpa suara beberapa ketika. Perasaan berbaur. Apa yang pasti hati dia sakit apabila Papa cuba bergurau. Kononnya dia diam sebab setuju. Bertambah-tambah sakit hati apabila berita yang disampaikan itu mendapat sokongan si tetamu. Bila dia buka mulut membantah, Papa pula balas, ‘dah setuju mana boleh tarik balik, karang buruk siku.’ Tak dapat tahan perasaan yang membahang, dia tinggalkan meja makan lalu keluar dari rumah. Buat dia lupa dengan barang-barang penting miliknya!
Beriya-iya Mak Teh mengingatkan supaya tidak ke mana-mana. Dia turutkan. Masanya dibazirkan  hanya untuk mendengar khabar ‘baik’ itu.
Dan kini, di sini dia tersadai. Di  hadapan pam minyak tanpa kawan dan wang! Apa aku nak buat ni? Ambil teksi terus ke rumah Ika, lepas tu minta Ika tolong bayarkan tambang? Tapi kawasan ni susah nak dapat teksi. Meliarkan mata ke sekeliling. Jari-jemari ligat mengetuk-ngetuk stereng kereta. Mata menangkap kelibat pemandu kereta biru yang sedang melangkah ke keretanya. Sedang bersembang dengan gembiranya di telefon. Menimbang-nimbang untuk meminta bantuan lelaki itu. Keputusan diambil. Tergesa-gesa dia menarik picu pintu. Bergegas merapati lelaki tersebut. Untuk meminta bantuan daripada lelaki yang seorang lagi dia tak sanggup! Macam bagus je…
“Encik…err….boleh saya minta tolong?”
Berdehem beberapa kali. “Nak minta tolong apa? Saya sedia memberi bantuan.” Bertanya ramah. Kolar bajunya dibetulkan.
“Boleh saya pinjam telefon? Telefon saya tertinggal.  Urgent sangat…” Ungkap Anggun lembut dalam usaha meraih simpati. Ego yang melangit terpaksa direndahkan.  Terpaksa juga meminta pertolongan.  Dah terdesak.  Kalau bukan kerana terdesak.  Sumpah dia takkan merendahkan diri sebegini.
Sengih lebar. Perempuan cantik minta tolong, tentu sahaja dia akan membantu dengan rela.  
“Apa yang urgent tu? Ada masalah ke?” Bertanya menunjukkan keprihatinannya. Kening dijungkit kepada kawan yang sedang mengisi minyak ke dalam tangki kereta mereka.
“Macam ni. Saya ada masalah. Handbag saya tertinggal kat rumah, termasuk dompet. Saya nak isi pun tak boleh, jadi saya nak minta tolong sikit…”
“Oh, handbag dan dompet tertinggal? Kesian…” Mengeleng kepala. Simpati benar lagaknya.
Anggun mengangguk. Mengiyakan.  
“Nak saya tolong apa-apa?”
“Ya, kalau boleh..”
“Apa? Kalau boleh tolong saya tolong..” Zakri sedia hulur bantuan berserta harapan tinggi mengunung  dapat berkenalan lebih lanjut dengan gadis cantik di hadapannya. Kalau Anggun ini penipu, maka tertipulah Zakri.
“Saya nak pinjam telefon sebab nak telefon kawan saya, nak minta tolong supaya dia datang ke sini...”

“Kenapa nak susahkan kawan awak tu. Sayakan ada, saya pun boleh tolong. Nah.” Hulur Zakri setelah mengeluarkan duit dari dompet. Kesian pula dia dengan perempuan cantik ni.
“Tak apa ke?” Teragak-agak untuk menerima. Boleh percaya ke lelaki ni. Baik ada makna tak?
            “Orang dah kasi tak nak pula. Kau simpan balik duit tu.  Dia nak merasa tidur kat stesen minyak ni kot.” Celah lelaki yang seorang lagi dengan senyum sinis.  
“Cik, lain kali kalau tak ada duit naik bas ke, LRT ke, murah sikit.” Sambungnya lagi belum puas mengenakan Anggun.
Menjeling tajam. Lelaki ni memang nak cari pasal! “Siapa kata tak nak?” Not lima puluh disambar. Nampak terdesak sangatkah dia? Menerima duit entah siapa-siapa.  Orang tak dikenali pula. Tapi nak buat macam mana, dia memang benar-benar terdesak! Silap hari bulan kata-kata lelaki itu jadi kenyataan kalau dia tak terima. Merasalah tidur di stesen minyak ni..
“Nanti saya bayar balik!” Janji Anggun.
“Jangan risau! Encik kasi nombor akaun atau nombor telefon, saya akan hubungi dan banyar balik. Saya orang yang boleh dipercayai.” Tambah dia.
“Eh…tak apa….saya ikhlas…”
“Betul?”
“Ikhlas dari hati yang suci…” Bermanis mulut dalam nada bergurau.
“Terima kasih ya! Saya bayar dulu….” Ucap Anggun. Lega. Terus berlalu ke kaunter bayaran sebelum lelaki itu sempat membalas. Taktik untuk mengelak daripada berkenalan lebih lanjut dengan lelaki tersebut. Memang dia orang yang tak mengenang budi!
“A…..wak…” Panggil Zakri dengan tangan yang separuh terangkat.
“Dah…..tak payah nak mengayat. Aku dah siap  isi, jom gerak.” Ajak lelaki yang menumpang kereta biru itu. Dia sudah berdiri berhampiran pintu sebelah pemandu. Mata sempat mencuri pandang Anggun yang masih berada d kaunter bayaran.
“Kau ni kacau daun je. Aku tak sempat berkenalan dengan dia lagilah. Rugi betul.” Bergerak ke bahagian pemandu.
“Ke kau pun nak merasa tidur dekat stesen minyak ni? Bukan main buat amal…”
Sengih. “Buat amal ni bagus. Esok-esok dapatlah hasilnya.” Balas Zakri. Sengih panjang.
“Huh!”
“Nak marah pula. Aku betul-betul kesiankan perempuan tu…”
“Perempuan berlagak!” Menoleh lagi ke kaunter bayaran.
“Jeling nampak. Berkenan ke?”
“Berkenan? Kau yang sibuk jual minyak, aku yang berkenan? Huh, jalan!”
“Yelah…” Akur.

Anggun memandang kereta biru yang dinaiki dua orang lelaki tadi sehingga hilang dari pandangan. Berharap mereka tidak akan terserempak lagi. Tidak ingin mengingati hari ini, hari malangnya. 

Saturday, November 26, 2011

Anggunkah Aku Prolog

Seluruh ruang bilik bergelap. Sengaja dibiarkan tidak berlampu. Hanya cahaya dari luar yang tidak segan-segan mencuri masuk melalui tingkap yang tidak bertutup.
Dalam kegelapan itu, sesusuk tubuh berteleku di birai katil. Pemilik kepada ruang bilik yang besar dan mewah ini. Sendu dan sayu menghiasi seraut wajahnya. Tergambar rahsia hati yang selama ini tersimpan rapi. Tersorok daripada pandangan umum.
Ketukkan bertalu-talu di pintu dibiarkan sahaja. Tubuh dibaring kasar ke tilam. Bantal ditarik. Menekup kedua-dua belah telinga. Ketukkan yang diiringi pertanyaan itu hanya menambahkan kekalutan yang sedang melanda diri. Dia tak ingin berjumpa atau bercakap dengan sesiapa. Sekurang-kurangnya untuk waktu ini.
“Tolonglah pergi!” Menjerit dari sebalik bantal.
“Anggun tak nak jumpa sesiapa!”
“Anggun? Buka pintu ni sayang…” Suara dari luar memujuk lembut.
“Jangan ganggu Anggun!” Arahnya dengan nada serak. Sebak dalam dada kerana menahan kesedihan. Khabar yang baru diterima bagaikan telah mencabut nyawanya. Tidak pernah terlintas di fikirannya perkara ini akan terjadi.
“Anggun….dengar apa Papa nak…”
“Tolonglah…..pergi. Pergi, jangan ganggu Anggun…tolonglah..” Tiada lagi jeritan. Suara yang tadinya melengking kuat semakin mengendur. Merayu-rayu pula. Menandakan semangat diri yang mulai lemah.
“Papa pergi. Tapi janji ya sayang, jangan buat perkara yang bukan-bukan. Ingat Allah. Ishgtifar banyak-banyak. Jangan buat kami risau. Ingat walau apapun yang berlaku Anggun masih ada kami. Kami sayang Anggun.” Tangan yang sejak tadi mengetuk daun pintu perlahan-lahan dijatuhkan.
“Nak biar Anggun macam tu?” Riak risau terukir di wajah wanita pertengahan abad.
“Biar dia bertenang…saya tahu dia tak akan buat perkara yang bukan-bukan. Saya yang besarkan dia.”
“Tapi…..” Wanita pertengahan usia 50-an itu nyata masih belum yakin.
“Dia okay..”                           
“Semua ni salah saya, saya yang tak pandai didik anak, sebab tu dia berani timbulkan masalah pada saat-saat macam ni. Maafkan saya bang.” sambung wanita itu lagi.
“Jangan cakap macam tu Sufiah. Abang tau awak dah lakukan yang terbaik. Anak-anak bila dah dewasa, mereka berada di luar kawalan kita. Tapi kalau nak mencari juga orang yang bersalah, abang….abang orang pertama yang patut disalahkan.” Lelaki bernama Azman sebak. Cermin mata ditanggalkan. Melurut kelopak mata yang mula digenangi airmata.
“Dahlah Azman, tak payah kita cari salah siapa. Yang penting sekarang Anggun. Kita sama-sama cari anak Sufiah.” Celah Tok Wan bapa saudara Azman.
“Bagi pihak anak saya, saya minta maaf kepada semua…” Tutur Sufiah lagi. Benar-benar kesal dengan tindakan yang dilakukan anaknya. Dia tidak pernah mengajar anak lelakinya itu supaya menjadi lelaki yang tidak bertanggungjawab. Apatah lagi bermain dengan maruah. Maruah Anggun bermakna maruah keluarga mereka juga....

Setengah jam berlalu. Bunyi ketukkan sudah tiada. Bantal yang ditekap ke telinga dibuang ke tepi. Menongkat tangan ke tilam untuk bangkit dari pembaringan.
Ruang bilik yang terhias cantik tidak berjaya menceriakan dirinya. Cantik terhias sebagaimana selayaknya untuk raja sehari. Hantaran pernikahan yang digubah dengan gaya penuh elegen tersusun kemas di lantai beralaskan permaidani merah. Masih jelas terbayang di ruang mata gelagat pengantin lelaki ketika membeli hantaran perkahwinan mereka tempoh hari. Jelas riak teruja terpapar di wajah.
Tiada guna lagi semua ini! Hanya menambahkan kepiluan apabila pandangan matanya terhala ke situ. Dia tidak akan berpeluang lagi bergelar pegantin. Orang yang sepatutnya memperisterikan dia tidak lagi sudi meneruskan majlis. Pergi entah ke mana…
Bangkit dari katil. Menghampiri hantaran yang bersusun. Salah satu hantaran hampir sahaja ditepisnya. Namun akal warasnya tiba-tiba mematikan tindakan bodoh itu. Barang-barang ini tidak salah. Malahan tiada sebesar kuman pun kesalahan yang dilakukan. Dia yang salah. Semua yang berlaku berpunca daripada dirinya sendiri.
Menapak kembali ke pembaringan. Melabuh di hujungnya. Baju pengantin yang ditaburi batu-batu yang berkilau terdampar sepi di katil. Dipandang lama. Teragak-agak jari-jemarinya menyentuh hujung baju yang berona putih itu. Warna yang suci. Melambangkan kesucian sebuah ikatan pernikahan. Tapi sucikah cintanya sehingga pengantin lelaki tidak lagi sudi meneruskan majlis pernikahan mereka? Mengkhabarkan perpisahan di saat akhir.
Cinta? Mungkin tidak pernah wujud rasa itu dalam hatinya? Tidak! Tidak! Rasa itu wujud dalam hatinya. Perasaan cinta, kasih dan sayang yang wujud itu tak lain tak bukan adalah buat bakal suaminya. Bakal suami yang tak lagi sudi meneruskan pernikahan ini. Walaupun tidak pernah dinyatakan atau diperlihatkan secara jujur kepada sesiapa. Jauh di lubuk hati, rasa itu sebenarnya mengalir tanpa henti. Tidak pernah surut!  
Pada pandangan orang, dia seorang Anggun yang keras jiwanya. Bagaikan seorang yang tidak berperasaan. Terlalu ego!
Semua itu dulu, sekarang dia telah bertekad untuk melupakan semua cabaran yang pernah diutarakan. Bertekad untuk mengikhlaskan hati bergelar seorang isteri. Ingin kembali menjadi Anggun, Nur Anggun yang telah lama hilang.
Di saat dia ingin berubah, niat serong yang pernah menghuni sampai juga kepada si bakal suami. Perbuatan salahnya telah membuatkan lelaki itu pergi daripadanya. Beginikah kesudahan cintanya?
“Mana awak? Maafkan……maafkan saya…. Saya sedar semua ini salah saya. Salah saya. Awak, baliklah….” Suara rintihan Anggun memecah sunyi bilik pengantin. Air mata yang ditahan sejak tadi turun juga. Dirinya dan seluruh keluarga bakal mendapat malu. Ah! Semuanya gara-gara kesilapan sendiri. Tersilap dalam membuat perhitungan….
Sangkanya, dirinya kuat. Mampu berhadapan dengan apa sahaja cabaran yang datang. Kental. Tidak lut dek panahan cinta mana-mana lelaki. Rupanya dia salah. Hatinya berjaya dicairkan. Pada tika dia nekad untuk berubah, kenapa lelaki itu pergi? Kenapa pada ketika dia mulai menikmati sebuah kebahagian?
“Awak baliklah..” Merintih hiba bersama deraian airmata.
“Awak.…saya….saya..” Baju pengantinnya dibawa ke dada. Didakap erat.
“Saya….saya benar-benar sayangkan awak. Sayang ikhlas sayangkan awak. Cinta saya bukan lakonan….perasaan ini bukan pura-pura.” Luahnya sendiri. Menjawab soalan yang pernah dilontar bakal suami. Tapi sayang luahannya tidak didengari oleh orang yang sepatutnya. Diresap oleh dinding batu.
“Awak baliklah….saya rela ucap pengakuan ini walaupun sejuta kali. Baliklah….” Rayuannya semakin menjadi-jadi. Tubuh direbahkankan ke tilam. Tidak berdaya lagi menampung diri sendiri yang terasa lemah longlai. Merengkok kesedihan. Melepaskan esak tangis tanpa rasa malu….
“Awak…maafkan saya….maafkan saya…” Tanpa henti bibir menuturkan kata-kata maaf.
“Beri saya satu peluang..” Ungkapnya.

“Baliklah…..kita betulkan keadaan ni. Semua salah faham ni..” Rintihan, tangisan dan esakan Anggun terus-terusan memenuhi kamar pengantinnya….merayu kepulangan lelaki yang sepatutnya bergelar suaminya.
Serentak itu benak menyingkap kembali pertemuan antaranya dan lelaki itu. Pertemuan yang telah membuka ruang kepada perhubungan mereka..