U n Uols

Sunday, April 17, 2011

KAU DAN AKU BAB 18

Hari ini Min cuti mengejut. Awal-awal lagi dia sudah menelefon Aida supaya memaklumkan kepada Mr. Bossy dia bercuti. Tidak kuasa untuk menelefon lelaki itu secara terus. Dia masih berada di kampung. Tengahari nanti baru dia akan bertolak ke Kuala Lumpur. Raykal juga terpaksa ponteng sekolah. Rancangannya dia mahu bertolak pulang malam tadi. Sempat dia masuk kerja pagi ini. Ayah pula yang menghalang. Bahaya perempuan memandu malam-malam dengan hanya ditemani budak kecil, kata ayah.

Min masih terperap dalam biliknya sejak subuh tadi. Sarapan juga masih belum dijamah, sedangkan jam sudah menunjukkan angka 10.30 pagi. Sudah beberapa kali ayahnya mengetuk pintu bilik mengajaknya bersarapan. Tidak lapar kata dia. Walhal perut bukan main berkeroncong kerana terpaksa menahan lapar. Dia tidak mahu makan sebagai tanda protes. Nak tunjuk perasaan. Alih-alih, ibunya buat tak layan.

Sedari tadi dia menunggu ibu datang menjenguk. Memujuknya. Yalah, kot-kot kalau dia tetap berdegil tidak mahu makan ibu akan berubah fikiran. Perancangan pernikahan dia dan Luth Qadri mungkin dapat dibatalkan. Maklumlah kuasa veto di tangan ibu.

Hmm...tapi hampa. Ibu buat tak endah. Asyik ayah sahaja yang datang menjenguk. Memujuknya keluar bersarapan.

Ibu, Min tak setuju! Jerit Min keseorangan. Wajahnya disembankan ke bantal. Dia sebenarnya hairan dengan perasaanya. Dalam kata tak nak itu ada getar yang dia rasa, mengusik tangkai hatinya.

Ish...kenapa ni? Dia tidak faham dengan hatinya sendiri. Suara jeritan tak setuju bagaikan bukan dari lubuk hati yang dalam. Ke dia dah tak berapa betul? Dulu memang itu impiannya. Membina rumah tangga dengan Luth Qadri. Bersatu dalam sebuah perkahwinan. Sekarang dia tak pasti….sungguh-sungguh tak pasti…

Menurut ibu, majlis perkahwinan bakal diadakan dalam masa sebulan. Dengan alasan, tempoh mereka bertunang sudah terlalu lama, hampir mencecah enam tahun. Kedua-dua pihak lelaki dan perempuan tidak mahu bertangguh lebih lama lagi. Telan liur dia mendengar keputusan kedua-dua pihak. Bukan ke sebulan tu tidak lama? Kenapalah ibu tak minta tempoh lama sikit. Sekurang-kurangnya ada masa untuk dia membuat persediaan. Takkan nak nikah koboi aje?

Pernah dia berangan untuk mengadakan majlis perkahwinan yang sempurna waktu sedang hangat bercinta dengan Luth Qadri. Dia dan jejaka itu duduk bersanding di atas pelamin nan indah. Diraikan dalam majlis yang cukup meriah. Dihadiri oleh teman-teman dan saudara-mara. Angan-angan zaman dia masih mentah…

Lelaki yang dicintai? Luth Qadri? Bukankah lelaki itu yang dia cinta sejak dulu….dan sebenarnya hingga kini? Hanya Luth Qadri….

Argh! Kenapalah dia merepek sorang-sorang ni.... Ke sememangnya betul dia dah tak waras?
Min bangkit dari baringnya. Melangkah longlai ke meja solek. Melabuh duduk di situ. Menilik wajah sendiri di cermin. Membelek apa yang tidak kena. Mencari tanda-tanda perubahan. Tiada apa-apa yang berubah pada wajahnya. Masih sama seperti kelmarin dan sebelum ini. Habis kenapa dia resah dan gelisah? Hati. Hatinya yang sepatutnya ditilik dan dibelek. 

Terdengar pintu bilik di ketuk dari luar. Min diam sahaja. Malas melayan. Alih-alih ayah juga yang datang…

“Min buka pintu ni.” Suara Pn. Hasmah kedengaran.

“Ibu?” Kedatangan  Pn Hasmah mengusir keresahan yang sedang menghurung. Min tarik senyum. Akhirnya ibu datang juga untuk memujuknya.

“Keluarlah….makan.”

“Tak lapar. Min tak mahu makan. Bukan ada selera pun...” Katanya sedikit kuat supaya jelas didengari ibu di luar.

“Makan sikit...nanti dah nak bertolak. Tak elok jalan jauh dengan perut kosong....” Tiada nada marah dalam suara Pn. Hasmah.

“Min tak ada selera....”

“Tak ada selera, tak apalah. Tapi buka pintu ni. Ibu nak masuk. Ada perkara sikit ibu nak cakap dengan Min.”

Min tarik senyum lagi. Enggan berlegah lagi, dia bangkit dari duduk. Menapak ke pintu ke arah pintu bilik. Kunci ditombol pintu dipulas. Melepaskan pintu yang berkunci. Pintu dikuak. Pn. Hasmah masuk mengekori langkah Min menuju ke katil. Wajah Min yang cemberot dipandang sekilas. Bukan dia tidak tahu, Min sengaja tak mahu makan sebab protes keputusan yang dibuatnya.

“Kenapa ni? Sejak malam tadi tak mahu makan...” Tanya Pn. Hasmah. Berlembut. Tidak mahu marah-marah lagi.

“Malas.” Jawab Min sepatah. Mulut memuncung.

“Sudah-sudah merajuknya...buat malu dengan anak buah kamu tu.”

“Min bukan nak merajuk… Min cuma nak ibu dengar apa yang Min nak cakap. Dengar cerita di pihak Min pula.”

“Nak cakap tentang apa…”

“Tentang Luth Qadri.”

“Cakaplah….”

“Ibu…Luth Qadri, dia bukan lelaki yang baik.”

“Apa yang tak baiknya? Kalau dia bukan lelaki yang baik, kenapa Min bercinta dengan dia?” 

“Itu sebelum dia tunjukkan belang dia. Perangai dia yang sebenar. Dia tak setia. Dia pernah curang pada Min…”

“Semua orang buat silap, Min. Min buat silap, ibu boleh maafkan…”

“Ibu maafkan Min?” Bercahaya sedkit mata yang kelam.

“Ibu maafkan…syaratnya kamu teruskan apa yang telah kamu mulakan. Tak boleh bantah dan tak ada tangguh-tangguh lagi. Apa yang terjadi dulu ada hikmahnya, pertunangan itu tanpa restu kami, Allah tak berkati. Kali ini Insyaallah, ibu dan ayah redha dengan perhubungan kamu.”

“Min tak boleh maafkan perbuatan dia.”

“Cuba…tak cuba, tentulah tak boleh.” 

“Salah yang dia buat besar, bu…” Bangkang Min.

“Besar atau kecil salah dia, memaafkan adalah jalan paling tepat. Dah. Jom makan, ibu temankan.”

“Tak nak, kecuali ibu ubah keputusan… Min boleh putuskan pertunangan kami!” Min mula tawar menawar. 

“Tak nak makan? Betul? Tak apa...ibu telefon tunang kamu suruh dia datang. Gamaknya kalau dia datang kamu berselera nak makan....” Pn. Hasmah tersengih. Min tak tahu ibu dia ni lagi bijak mengatur strategi. Setakat helah Min, dia dah boleh baca.

Min gigit bibir geram. Dia mendengus. Sentiasa kalah dengan ibu.

“Jom makan....ibu cakap betul ni...tak main-main.” Pn. Hasmah mencapai telefon Min. Bukan dia ingat pun nombor Luth Qadri. Entah Min simpan ke tidak nombor budak tu.

“Ibu....” Merayu. Memohon simpati. Telefonnya yang berada di tangan Pn. Hasmah berlagu. Tertera nama Luth Qadri yang memanggil.

“Panjang umur dia...jawab telefon tu.” Pn. Hasmah menyerahkan telefon ke tangan Min. Tentu perkara pernikahan yang dibincangkan oleh kedua-dua pihak telah sampai ke telinga lelaki itu. Jadi pasti ada banyak perkara yang mahu dibincangkan oleh Luth Qadri dan anaknya.

Min buat muka malas. Pn. Hasmah menjegilkan matanya. Kalut Min menjawab telefon yang berlagu tidak henti-henti. Suara mesra Luth Qadri yang menyapa menampar gegendang telinganya.

“Hello.” Menyapa.

“Erm...kat kampung lagi...” Jawab Min acuh tidak acuh. Mata Pn. Hasmah masih mengawasinya. Kalau ibu tak ada dekat sebelah ni, dah lama aku putuskan talian.

“Tak tau bila… Mungkin tak balik sampai bila-bila dah.”

Lengan Min dicubit. “Budak ini…”

“Argh! Sakit…” Dia menjerit sakit.

“Tak ada apa-apalah!” Melepas geram. Memarahi Luth Qadri yang sibuk bertanya di mana sakitnya.

“Bak sini, ibu nak cakap dengan dia...” Minta Pn. Hasmah.

Terasa berat mahu diserahkan telefon kepada ibunya. Namun melihat riak wajah Pn. Hasmah, telefon bertukar tangan juga.

“Hello, Qadri ya?” Dia dengar ibunya menyoal.

“Kamu sihat?”

“Alhamdulillah..”

“Min? Dia belum makan sejak pagi lagi....nak suruh kamu datang gamaknya....”

Min yang mendengar perbualan mereka hampir terbeliak biji mata. Itu pun nak mengadu ke? Ibu ni, belum jumpa dah mesra-mesra. Ilmu apa yang lelaki ni pakai? Mudah sungguh hati ibu dicairkan.

“Iya?” Dia dengar ibu ketawa senang.

“Ada. Masih ada dekat sebelah. Nak bercakap dengan Min? Sekejap, ya.” Telefon diserah kepada Min kembali.

“Nah...Qadri nak cakap dengan kamu....”

“Min tak nak..”

“Cakap.”

“Ibu ajelah yang cakap dengan dia…”

“Cakap!” Tekan Pn. Hasmah kali ini.

“Yalah…” Telefon bersambut. 

“Hah! Nak datang sini? Buat apa?Jangan nak mengada! Tak payah datang....I....I...take my breakfast now! You...you boleh tanya ibu nanti...” Min mengelabah. Talian dimatikan selesai berkata-kata. Tidak senang duduk dibuatnya.

“Jom makan!” Ajak Pn. Hasmah untuk kesekian kalinya. Dalam keadaan terpaksa Min bangun membuntuti ibunya. Alih-alih dia juga yang terkena!

Dapatkan novel ini dan novel-novel terbitan Karyaseni dan Penulisan2u dengan membuat pesanan secara online di http://karyaseni.my atau http://www.p2u.my/. Boleh juga dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran anda.

Friday, April 15, 2011

KAU DAN AKU BAB 17


Pagi-pagi lagi Min sudah bertolak pulang ke kampung. Datin Sheila nampak terkejut apabila dia memaklumkan tentang kepulangannya ke kampung awal pagi ini. Apabila dia meminta izin untuk membawa Rayqal bersama, wanita itu tiada halangan. Datin Sheila menghantar dia dan Rayqal sehingga ke kereta. Luth Qadri tidak kelihatan. Mungkin kerana waktu masih awal pagi. Masih nyenyak berbungkus dengan selimut. 
Kini dia sudah tiba di kampung halaman. Sebentar lagi akan tiba di rumah. Perasaan jadi tidak sabar untuk bertemu ayah dan ibu. Isyarat diberikan untuk membelok ke lorong rumahnya. Hon kereta dibunyikan apabila ternampak kelibat ayahnya yang sedang mengelap kereta di halaman.
“Tok ayah.... tok ayah...Raykal datang...” Panggil Raykal teruja seraya menurunkan cermin kereta.
Sebaik enjin kereta dimatikan, dia turun mendapatkan En. Mirwan. “Tok ayah, Rayqal datang!” Lantas tangan En.Mirwan disalaminya. 
“Tok ayah ingat Chik Min balik seorang aje. Rupanya Raqyal ada sekali.” Kepala si cucu diusap lembut.
“Ibu mana ayah?” Tanya Min. Dia turut mengambil giliran untuk bersalaman dengan ayahnya.
“Ada dekat dalam. Beg pakaian mana? Mari ayah tolong bawakan...” Min membuka bonet keretanya. Dua buah beg pakaian dikeluarkan. Satu miliknya dan satu lagi milik Raykal. Beg-beg tersebut bertukar tangan. Kedua-duanya diangkat oleh En. Mirwan untuk dibawa masuk ke dalam rumah. 
“Dah sampai budak bertuah tu?” Terdengar laungan ibunya dari dalam rumah.
Lain macam sahaja nada suara ibu. Tinggi dan tidak mesra menyambut kepulangannya. Hati berdetik tidak senang. Dia yakin ada apa-apa yang terjadi semasa ketiadaannya.
“Dah sampai ni.” Sahut En. Mirwan kuat. Ibunya terjengul di muka pintu rumah dengan penyapu di tangan. Bercekak pinggang dengan pandangan mencerlung tajam. Pn. Hasmah meluru ke arah mereka dengan wajah yang marah. Penyapu pula sudah dibaling ke tepi. Ibu nampak marah. Kenapa dengan ibu? 
“Budak bertuah! Apa kamu dah buat, hah?! Sampai hati kamu buat macam ni pada ibu dan ayah. Macam kami ni dah tak ada! Macam orang yang tak mak bapak! Sanggup kamu membelakangkan kami!” Suara Pn. Melengking memerahi dia.
Wajah bertukar pucat. Kecut perut mendengar suara ibu yang memetir. Macam kami dah tak ada? Macam orang tak ada mak bapak? Dalam kepalanya hanya satu perkara yang melintas, ibu sudah tahu segalanya!
 “Mah...apa kena dengan awak ni? Bawakan bersabar sikit...” Halang En. Mirwan. Juga cuba menenangkan isterinya.
“Bela..bela sangat anak manja awak tu...sebab tu dia buat perkara ni!”
Min tidak berkutip. Takut dan gerun melihat amukkan ibu. Diam sahaja kerana semua itu memang salahnya.
Raykal pula terkebil-kebil memandang tok ibunya yang sedang marah. Tidak faham dengan apa yang berlaku.
“Ibu…Ayah….Min minta maaf….” Ujar Min sebak.
“Kamu diam!” Disergah ibunya.
“Awak ni, Raykal ada tu. Malu sikit pada cucu...Nak marah ke, apa ke biar kita masuk ke dalam dulu.” Kata En. Mirwan sambil memandang Raykal. 
Terpandangkan Raykal di sebelah suaminya, Pn. Hasmah terdiam. Tengoklah, anak bertuah ni, bawa Raykal balik sama tak adanya diberitahu. Dia memang rindukan Raykal. Jika dia tahu cucu itu balik bersama Min, pasti disediakan apa-apa yang patut untuk Raykal. Lantas amarah yang sedang memuncak cuba ditahan. Sedar tak elok dia melepaskan kemarahan di hadapan cucunya.
“Dengar dek jiran-jiran. Kita juga yang malu.” En. Mirwan menyambung. Memperingatkan isterinya.
“Oh, cucu tok ibu pun balik kampung. Mari sini sayang...salam tok ibu.” Raykal menyambut tangan Pn. Hasmah. Matanya masih terkebil-kebil memandang si nenek. Kejadian yang terjadi di hadapan mata tidak difahami dengan jelas.
“Tok ibu, cikgu cakap tak baik marah-marah orang.” Kata Raykal bersungguh-sungguh.
“Marah? Tak…tak, tok ibu bukan marah. Tok ibu cuma tertinggi suara.” Dalih Pn.  Hasmah. Harap-harap Raykal terima alasan tu. Dia tidak perasan cucu kesayangannya ini ada bersama. Jika tidak, amarah yang bertamu dipendam dulu.
“Hmm….” Mata dikecilkan, kurang yakin dengan alasan itu. Namun, Raykal angguk juga.
“Jom kita masuk...tok ibu ada buat kuih.”
“Kuih apa? Rayqal suka makan kuih yang tok ibu buat!”
“Kuih yang Rayqal suka….”
“Betul?” Bertepuk tangan sambil melompat gembira.
“Betul. Ada dekat dapur. Raykal nak rasa tak?” Mengumpan Raykal supaya masuk ke dalam rumah. Dia masih belum selesai dengan Min.
“Nak...nak!” Soraknya. Berlari-lari dia masuk ke dalam rumah tanpa menunggu yang lain.
Min diam tak berkutip di belakang ayahnya. Dia sedar terlalu besar kesalahan yang dilakukannya. Memang patut ibu marah-marahnya begitu. Dia turut kesal dengan tindakannya dulu. Andai masa dapat diputarkan kembali..
Pn. Hasmah cerlung mata memandang Min. “Bertunang tanpa izin kami! Kamu nak tengok ibu sakit agaknya?” Ibu mana yang tidak terkejut jika dikhabarkan tentang berita sebegitu. Sungguh dia tidak bangga dengan apa yang dilakukan Min.
Min mengeleng. Sebak. 
“Memang itu yang kamu nak! Sebab itu kamu pandang remeh dengan maruah keluarga. Buat main!” 
“Kita masuk ke dalam dulu, Mah.” En. Mirwan mengisyaratkan Min masuk ke dalam rumah.
Min menunduk. Melangkah masuk ke rumah bersama ayahnya. Tidak berani menjauhi En. Mirwan. Apatah lagi memandang mata ibu yang masih tajam mengawasi pergerakkannya. Melabuh duduk di sisi ayahnya. Tanpa menunggu atau memberi kesempatan untuk Min merehatkan diri, Pn. Hasmah terus membuka cerita.
“Tengku Haninah dengan Tengku Lukman datang..”
Min mengangkat muka memandang ibunya. Membuntang matanya dek terkejut yang amat sangat.
“Mereka dah ceritakan semuanya. Pandai betul kamu simpan rahsia. Lama pula tu....” Melepaskan keluhan.
Wajah yang sememangnya sudah pucat semakin pucat. Ibu mendapat tahu tentang pertunangannya daripada Tengku Haninah dan Tengku Lukman sendiri? Luth Qadri…Apakan ini maksud lelaki itu? ‘I akan tamatkan apa yang I mulakan.’ Kata-kata Luth Qadri tergiang-giang di telinga.
“Ibu dah buat keputusan dan ayah ikut saja.” Celah ayahnya. 
Buat keputusan tentang apa? Min binggung. Untuk bertanya dia tidak berani. Membuka mulut mungkin akan menambah kemarahan ibu.
“Bulan depan kamu kahwin dengan tunang kamu tu... Kami tak setuju kamu putuskan pertunangan.” Tambahn Pn. Hasmah serius.
“I..Ibu..?” Terkejut dengan keputusan yang tidak terduga.
“Kami dah putuskan..”
“Min minta ampun ibu, ayah! Marahlah Min. Buatlah apa saja, tapi jangan minta Min kahwin dengan dia..” Rayunya.
 “Kamu tak payah cakap apa! Bukan itu yang ibu nak dengar. Kalau kamu berdua putus, mana ibu nak sorokkan muka ni? Maruah keluarga kita nak letak di mana? Paling ibu tak sangka, Min sanggup buat kami begini..”
Terus-terusan menekan Min. Bukan dia mahu bersikap kejam, tetapi dia yakin dengan keputusan ini. Sekurang-kurangnya lelaki yang pernah menjadi pilihan Min itu adalah orang yang boleh diharap. Jadi dia fikir, jalan yang paling tepat ialah menyatukan kedua-duanya.
 “Min tak setuju! Ibu, tolong jangan paksa-paksa, Min…” Dalam takut-takut bantahan terkeluar juga.
“Tak setuju? Waktu kamu buat keputusan untuk bertunang, ada kamu minta persetujuan kami? Ada tak Min?!”
Min tak menjawab. Dia sudah tak keruan.
“Ada yang paksa? Ibu atau ayah paksa kamu?! Tengku Haninah dan Tengku Lukman paksa kamu?! Ada…ada yang paksa?!!” Melengking suara itu. Bantahan si anak menaikkan amarahnya.
Kali ini Min geleng. Tiada paksaan. Didesak sekalipun, jika dia tak terima, semuanya tidak akan terjadi. Pertunangan dia dan Luth Qadri tak akan berlangsung. Dia yang mabuk kepayang berkasih dengan lelaki itu. Jauh disudut hati dia yang merelakan segalanya terjadi…
Min pegang lengan ayahnya. “Ayah Min tak nak! Min tak setuju!”
Pn. Hasmah mendengus. “Tak setuju…. Habis, kenapa kamu bertunang dengan dia?!” Bantahan dipatahkan.
Pn. Hasmah mengurut-urut kepalanya. Dahinya juga sudah berkerut-kerut. Lagaknya seperti sedang menahan sakit. Tubuh disandarkan ke belakang. Tidak tegak lagi seperti tadi.  Nampak lesu tidak bermaya.

“Kenapa ni Mah? Darah awak naik ke?” En. Mirwan cemas. Mendekati si isteri. Tangannya turut sama mengurut kepala Pn. Hasmah.
“Ibu tak sihat ke? Dah makan ubat?” Min dilanda bimbang. Dia bingkas merapati si ibu.
“Ini yang kamu nak kan? Nak tengok ibu sakit!”
“Mah…tak elok cakap macam tu…”
“Kalau dia tak sanggup  tengok saya sakit, dia akan buat begitu sejak awal lagi. Bila kita buat keputusan untuk teruskan pertunangan, dia tak akan bantah. Dia akan bertanggungjawab ke atas perkara yang dia sendiri mulakan.”
“Ibu…Min…” Cuba menafikan anggapan ibu.
“Ambilkan air untuk ibu, Min.”  Arah En. Mirwan.
“Min ambilkan air sekejap, ibu....” Sekelip mata Min hilang ke dapur. Muncul semula dengan segelas air kosong di tangan. Disuakan ke mulut ibunya. Pn. Hasmah meneguk sehingga separuh gelas.
“Itulah, cuba jangan degil. Ikut apa yang ibu nak.... Ibu kamu bukannya boleh kalau risau-risau, naik darahanya.” Kata En. Mirwan tegas.
“Kita pergi hospital ya ibu?” Ajak Min. 
“Ibu tak nak! Biar ibu sakit, kamu saja nak ibu malukan? Kalau tidak takkan kamu bantah!”
“Min...Min tak suka.... Kami dah tak sehaluan..” Terang Min.
Mendengarkan sahaja jawapan Min Pn. Hasmah panas hati kembali. “Tak suka? Tak suka sampai kamu bertunang dengan budak tu?!”
Min terdiam. Payah untuk diterangkan kepada ibu dalam situasi sekarang. Tahukah ibu Luth Qadri telah melukakan perasaannya?
“Hal-hal begini bukan boleh dibuat main, Min. Bukan macam kita buat ikatan tali. Ikat dan lepaskan ikut suka kita…Ia dah melibatkan soal maruah keluarga. Malunya akan datang kepada kami ni. Hubungan itu bermasalah dulu ada hikmahnya. Tuhan nak tunjuk betapa penting keredhaan ibu dan ayah. Dia tak izinkan kamu terus-terusan tanggung dosa kerana membuat sesuatu yang kami tak redha. Tak berkat. Tapi sekarang ibu dan ayah dah redha andai lelaki itu jodoh Min.” Kata En. Mirwan berdiplomasi.
Min serba salah utuk meneruskan penolakkannya. Makin dia menolak keadaan sakit ibu makin teruk. Min mengosok kepalanya sendiri. Tekanan darahnya juga tinggi!
“Ibu…Min…Min….”
“Memang Min nak ibu malu!” Seluruh bahagian kepala diurutnya. Dadanya juga sudah turun naik. Muka berkerut-kerut menahan sakit.
“Bukan macam tu….Min…”
“ Habis?!” Mengosok dada. 
“Min...Min ikut cakap ibu....” Lafaz Min perlahan. Terpaksa merelakan. Melihat tangan ibu melurut dada buat kerisauannya makin bertambah. Dia tidak sanggup melihat apa-apa menimpa ibu. Sakit pening yang melanda ibu tidak dapat tidak pasti dia akan menyalahkan diri kerana menjadi punca. Bertanggungjawab  di atas apa yang dia mulakan.. Dia benci perkataan itu!
 “Kita ke hospital ya?” Ajak En.Mirwan. Dihurung bimbang.
“Saya nak dengar Min cakap dia setuju..”
“Min..” Digesa ayahnya.
“Ayah..”
“Min!” Tekan En. Mirwan.
“Min..Min setuju ibu..”
Pn. Hasmah menarik nafas lega. Lapang dada dan otaknya. Itulah yang ingin didengar dari mulut Min.
“Tak payah bang...asalkan Min tak bantah, saya pasti tak apa-apa....” Pn. Hasmah melepas nafas lega. Dadanya tidak sesesak tadi.
“Betul ke tak apa-apa?”
“Betul…saya tak apa-apa.”
“Abang risau..”
“Hal Min yang buat saya runsing semenjak dua menjak ni. Dapat jawapan yang saya nak dengar tak apa-apalah saya. Saya pergi tengok cucu dekat dapur....senyap aje....” Pn. Hasmah bangkit, beredar ke dapur bersama seribu kelegaan.
Min terduduk. Wajah di raup beberapa kali. Memikir kembali persetujuan yang diberikan. Sekali lagi dia terjerat. Apa akan terjadi pada hubungan dia dan Luth Qadri nanti..

Untuk versi penuh dapatkan novel Kau Dan Aku di kedai-kedai buku berhampiran anda. Boleh juga layari www.p2u.my untuk pembelian secara online.

Wednesday, April 13, 2011

KAU DAN AKU BAB 16

Min yang sedang minum bersama-sama Seri dan Aida di Secret Recipe tersedak tiba-tiba. Terbatuk-batuk dia. Aida cepat-cepat menghulurkan tisu. Seri menepuk-nepuk belakang gadis itu. Alah kesiannya.


“ Apasal kau ni? Tak baca bismillah ek?” Telah Seri. Beriya-ia Min tersedak.


“ Orang kata kalau kita beriya-ia tersedak, ada orang tengah bercakap pasal diri kita. Pasal perkara penting tetang diri kita…..”


“ Betul ke? Siapa orang tu?” Tanya Seri dengan wajah musykil. Mata dikecilkan kepada Aida.
Aida tayang gigi. “ Er…..er…..aku….aku kan orang jugak.” Seri dan Min mencebir. Mulutnya dilapkan dengan tisu.


“ Orang yang nama Aida tu bukan boleh percaya sangat. Propa je lebih…” Kedua-duanya berkata serentak. Tercetus ketawa mereka.


“ Mengata-mengata…..tak percaya sudah!” Aida nada merajuk.


“ Kau tau tak? Boleh masa kita orang keluar hari tu, Min bawak bodyguard……”
Seri mengubah topik. Sempat dia menangkap wajah Min yang mencerlung memandangnya.


“ Siapa-siapa?” Tanya Aida tidak sabar. Hilang rajuknya.


“ Tak ada siapa-siapa…..” Jawab Min. Menyiku lengan Seri di sebelah.
“ Ada….alah, takkan kau tak kenal…..bekas tunang Min. Bos korang…Min tak cerita apa-apa kat kau ke?”


“ Bos…kita….orang…bekas……tunang….Min? Soal Aida sepatah-sepatah. Ops! Silap buka cerita la pula! Nampaknya Min tak cerita apa-apa dekat Aida pasal sejarah hubungannya dengan Luth Qadri. Jangan marah kawan....Seri tayang muka kesian dekat Min.


“ Eeii….geram betul….kau pandai-pandai cerita kenapa? Hah kau pulak jangan memandai sebar cerita ni kat office!” Min memandang Seri tajam. Kemudian beralih kepada Aida pula.
Aida tukar wajah serius. Patutlah Min berahsia sangat. Berkali-kali dia serkap jarang, Min tak mengaku sampai sudah. Alih-alih hari ini terbongkar cerita yang lebih menarik daripada yang dijangkakan. “ Aku ni memang jenis yang banyak mulut, tapi pernah kau dengar cerita yang kau pernah bagitau aku orang kat dalam office tu dok bercakap? Tak pernah kan….you can trust me! Aku kan kawan kau….kita dah macam adik-beradik”. Ada ke aku dicop tak boleh simpan rahsia. Baik punya kawan!


“ Yela….yela…aku percaya.” Balas Min.


“Sampai hati kau bertunang tak jemput aku. Tak jemput satu hal, pastu tak bagitau pun……”


Min mengangkat tangan meluku kepala Aida. “ Masa tunang dulu, aku tak kenal kau lagi. Habis macam mana nak jemput…..” Jawab Min.


“ Bila masanya kau tunang ni? Tak faham betul….” Kepalanya digosok-gosok. Ada ke ketuk kepala aku….Nak marah pun tak boleh sebab teringin benar nak dengar cerita Min. Karang tak jadi cerita pula.


“ Kami tunang dah lama, masa tengah belajar dulu…”
Aida melopong. Gaya biasa dia bila terkejut. Min geleng kepala.


“ Aku percaya kau…..jangan cerita dekat orang lain. ”


“ Hah…bagus! Dah tu sambung cerita lagi.” Kata Aida kepada Min kemudian memandang Seri, meminta gadis itu menyambung ceritanya.


“ Hari tu aku ingat nak bagi surprise dekat Min jumpakan dengan peminat dia masa kat U dulu….alih-alih dia bawak bos korang….terkilan betul mamat tu.”


“ Mamat mana? Handsome tak?”


“ Arman Ashraf. Gila tak handsome…dia dah lama sukakan Min. Dulu tak berani kacau sebab dah jadi tunang orang. Tup-tup dia dengar Min tak kahwin lagi. Itu yang dia call aku bertanya….aku cakaplah Min tak jadi kahwin. Dia tanya kenapa….aku tak cakap….lepas tu dia suruh aku aturkan dia jumpa dengan Min. Aku ikut je…mana tau kot-kot sangkut…tapi kacau betul, dia boleh angkut bos kau sekali.” Seri melepaskan tawa. Aida turut tersengih.


“ Hello! Bukan aku yang ajak dia….dia yang tiba-tiba masuk kereta aku. Aku nak buat apa? Nak tunggu dia keluar…..alamak bertanduk kau kena tunggu.”


“ Nasib baik Min cakap dekat Arman tu dia dengan Luth Qadri setakat kawan je. Mereka tak ada apa-apa lagi sekarang. Apalagi bercahaya memancar-mancar muka dia….sebelum tu macam dah tukar kelat.” Sekali lagi Seri dan Aida terkekeh-kekeh ketawa. Kurang bahan perasa punya kawan. Sedap-sedap dok bercerita bagai…..macamlah aku tak ada kat sini…”


“ Hoi! Bercerita sakan nampak…orang yang korang cerita ada bertenggek kat sini. Jaga hati aku ni sikit….ketawa tak ingat…” Celah Min. Dia menarik muka masam. Minah dua ekor ni, kalau bergosip tahap tak ingat!


“ Takkan sentap kut? Aku cerita yang betul apa…”


“ Tak, tak, aku suka….cerita lagi…..sambung…sambung.” Min buat-buat senyum.


“ Jom sambung lagi. Agaknya bos korang makan hati lepas dia dengar Min cakap macam tu. Makan langsung tak habis….yelah yang mintak putus dulu Min. Dia tak pernah nak putuskan pertunangan diorang. Dia still anggap Min tunang dia….” Sambung Aida menyudahkan ceritanya.


“ Begitu rupanya…..aku suka tengok kau dengan bos. Sepadan gitu…” Usik Aida. Siap dicuitnya bahu Min.
Seri mencebik. “ Mamat tu? Baik tak usah. Girlfriends keliling pinggang. Makan hati lagi kawan kita……”


Aida ketawa sakan. “ Orang handsome…..Min jugak yang bertuah. Girlfriends keliling pinggang tapi Min sorang yang dia nak….hahahah.”


“ Nasib Min…hahaha…” Seri turut menyambung gelak.


“ Dah, jom sambung shopping. Malas aku melayan korang. Banyak lagi barang aku nak beli.


Mereka menyusuri beberapa butik kasut jenama terkemuka. Memilih dan mencuba di kaki masing-masing. Terleka melihat kasut yang pelbagai fesyen. Hampir sejam mereka di dalam akhirnya mereka kedua dengan menjinjit beg kertas jenama butik berkenaan di tangan masing-masing. Belum puas dengan barang-barang yang dibeli mereka menyusuri kedai demi kedai sehingga tangan masing-masing penuh dengan beg shopping. Dalam asyik bershopping Min tidak lupa untuk membelikan hadiah buat anak buah kesayangannya. Untuk ibu dan ayah di kampung juga turut dibelikan. Dia sudah membuat perancangan untuk pulang ke kampung dalam masa terdekat. Permohonan cutinya masih belum diluluskan.


Hampir jam 8.30 malam barulah mereka selesai membeli-belah. Min dan Seri berpisah dengan Aida dikawasan meletak kereta. Kemudian Min memandu kereta menuju ke rumah sewanya kerana perlu menghantar Seri yang menumpang keretanya. Pelawaan Seri supaya dia singgah sebentar terpaksa ditolak apabila melihat jam sudah menjengah 9 lebih. Selepas menghantar Seri kereta meluncur laju menghala ke kediaman Datin Sheila. Tidak sabar dia mahu tiba di rumah. Penat yang teramat sangat. Jalan ke sana sini tanpa henti. Namun nyata kepuasan menjadi miliknya apabila dapat memiliki baran-barang yang diidamkan. Penat pun penatlah…


Min naik ke biliknya setelah bersapaan seketika dengan Datin Sheila di ruang bawah. Sempat Datin Sheila bertanya sama ada dia sudah makan malam atau belum. Tadi dia sempat singgah di medan selera sebelum pulang. Menikmati makan malam bersama-sama Seri dan Aida selepas bersolat maghrib. Apa yang ada di kepalanya hanyalah mahu membersihkan diri. Seterusnya menyelongkar barang-barang yang dibeli tadi. Tidak sabar pula nak cuba semua barang-barang tu. Seronoknya kalau hari-hari dapat shopping. Mesti kepala tak tension. Untuk Datin Sheila juga dibelikan hadiah. Tak tahu sama ada wanita itu berkenan atau tidak.


Selesai membersihkan diri. Min bersolat isyak. Sesudah itu dia menghampiri barang-barang yang dibeli. Belum sempat dia menyentuh apa-apa. Elok sahaja teLefonnya berlagu. Siapa telefon ini? Menjeling nama yang tertera. Ayah? Ke ibu tak sihat?
Min menjawab salam yang dihulurkan. “ Ada apa yah? Ibu tak sihat ke?”


“ Tak….tak bukan pasal ibu. Ayah nak Min balik kampung. Kalau boleh esok jugak.”


“ Kenapa ni Ayah? Ada yang tak kena ke?” Selalu tak pernah ayah suruh balik tergesa-gesa.


“ Balik ajelah….karang ibu betul-betul sakit baru menyesal…..”


“ Yelah Min balik…..alah ayah bagitaulah ada apa?”


“ Budak ini….ayah cakap balik….balik….ke kamu nak suruh ibu yang cakapkan?” Tanpa dilihat En. Mirwan Min mengeleng.


“ Erk….tak nak….ye esok Min balik.” Salam dijawab seelum talian dimatikan.
Hilang mood hendak menyelongkar barang-barang yang dibeli tadi. Aduh ada apa ni? Esok kena balik kampung….bawa Raykal sekalilah. Boleh juga jadi peneman. Hati ni kenapa berdebar-debar saja?


Untuk versi penuh dapatkan novel Kau Dan Aku di kedai-kedai buku berhampiran anda. Boleh juga layari www.p2u.my untuk pembelian secara online.

KAU DAN AKU BAB 15

“ Abang kesian dekat anak kita tu kan? Esok kita dah nak balik Johor….risau saya nak tinggalkan dia macam tu. Moyok saja 2-3 hari ni. Entah apa yang tak kena…..”


“ Masalah apalagi…..masalah dulu jugak. Anak kita tu nama je playboy….apa lagi pencinta wanita. Min sorang tak boleh tackle sampai sudah. Dia kena belajar dari saya tu….cara-cara memikat hati wanita…..”


“ Cara apa? Cuba ulang lagi? Telinga ni rasa panas semacam….” Wajah Tengku Haninah sudah berubah.


Tengku Lukman tayang senyum. Perlahan- lahan menghampiri isterinya yang duduk di birai katil. Baru dia mengusik sedikit isterinya sudah merajuk.


“ Maksud abang cara-cara yang abang guna masa memikat awak dulu. Awak ingat senang ke abang nak cairkan hati awak. Pelbagai cara saya guna tau? Awak ni…sampai sekarang masih tak percaya dengan abang lagi ke? Abang mengaku, abang ni masih ramai peminat….semua abang tak pandang. Dalam hati ni hanya ada Haninah seorang….”


“ Yelah, yelah….saya percaya.” Tengku Haninah kembali ke riak biasa. Senyuman masih belum terukir di bibirnya.


“ Habis tu kenapa tak senyum? Masam je…..nanti muka Nah cepat berkedut. Masa tu mana-mana spa pun tak boleh buat apa-apa.” Tengku Lukman kembali berbaring. Buku di meja sisi dicapai.


“ Saya ni fikir tentang Qad…moyok memanjang. Kita nak balik besok….rasa bimbang ni bang.”


Tengku Lukman ketawa. “ Abang rasa kita memang tak ada cara lain. Elok rasanya kita pergi jumpa dengan ibubapa Min. Macam yang awak cakap, lambat laun kena bagitau jugak. Nak-nak kalau Qad tu berjaya pujuk Min.”


Tengku Haninah memandang suaminya. Memikir-mikir kata-kata suami. Itu adalah cadangan yang pernah diutarakan kepada suami. Itulah juga rancangan akhir yang dimaksudkan kepada Luth Qadri sekiranya apa yang dirancang anaknya itu tidak berjaya.


“ Baiklah bang. Nanti kita pergi jumpa orang tua Min. Kita jelaskan elok-elok….”


“ Betul ni? Alhamdulillah….lagi cepat kita selesaikan lagi baik. Salah satu sebab hubungan mereka berdua jadi macam tu mungkin sebab tak dapat restu orang tua Min. Kita redha aje la….kalau mereka tak terima kita, anggaplah tiada jodoh….” Kata Tengku Lukman panjang lebar. Tengku Haninah mengangguk-anggukkan kepalanya. Bersetuju dengan kata-kata suaminya. Silapnya dia sekeluarga juga, melambatkan perkara tersebut. Sudah sampai tahap ini baru hendak mengelabah. Seminggu di rumah kakaknya, segala usaha dijalankan untuk memujuk Min, dan semua menemui kegagalan. Tapi demi anak lelaki kesayangan mereka, apa sahaja akan mereka hadapi. Walau dimaki hamun keluarga Min dia tidak kisah. Selagi ada cara akan diusahakan.



******************************************************************************



Belum pukul 8 pagi Tengku Lukman dan Tengku Haninah sudah bertolak ke Johor Bharu. Min sempat mengucapkan selamat tinggal kepada keduanya. Sebelum itu, ketika bersalaman Tengku Haninah menariknya kejap ke dalam pelukan. Dia Cuma membiarkan. Mungkin Tengku Haninah berasa sedih untuk berpisah setelah sekian lama tidak berjumpa. Apabila kereta Tengku Lukman tidak lagi kelihatan Datin Sheila dan Dato Ismail beriringan masuk ke dalam rumah. Min turut mahu mengikut mereka. Mengatur gerak ke pintu rumah.


“ Nak ke mana tu?” Tanya Luth Qadri datar.


“ Masuk dalam. Kenapa tak boleh?” Balas Min marah. Belum hilang rasa marahnya pasal kes di pusat membeli-belah tiga hari lepas.


“ You ada pergi mana-mana tak hari ni?” Soalnya lagi.


Min memandang sekilas. Asal sibuk hal orang? Suka hati nak pergi mana. “ Ada…eh…tak ada, kenapa tak boleh?” Soal Min kembali sambil menjulingkan matanya ke atas.


“ Kejap ada, kejap tak ada…mana satu ni? Kalau ada batalkan rancangan tu….duduk rumah. Jangan nak merayap. Kalau nak pergi mana-mana bagitau….I temankan.” Kata Luth Qadri tegas. Tegang wajahnya. Min yang mendengar arahan yang tidak sepatutnya itu terasa berbahang hatinya.


Lelaki ni gaya ada kuasa bagi arahan kat aku. Ini boleh buat, itu tak boleh buat. Ingat aku nak dengar ke? Mintak ampun, mintak maaf la…..


Min senyum sinis. “ My own on bissnes…..tak payah sibuk-sibuk….”
Luth Qadri ketap bibir. Hari minggu macam ni mesti Min akan keluar. Itu yang mengangguya. Min akan keluar dengan siapa? Dengan Arman Ashraf itu ke? Benci benar dia dengan lelaki itu.
Walaupun kad perniagaan yang diberikan lelaki itu telah selamat dikoyakkan, namun kad milik Min di tangannya.


“ Tak kuasa nak layan. Tidur lagi baik!” Kata Min.
Kali ini Luth tersenyum sinis. “Tidur la selagi boleh lena. Lepas ni tak boleh dah…..” Terdengar gelak lelaki itu yang sengaja dibuat-buat. Kut-kut lepas ni nak lelap pun susah…..


Tanpa menghiraukan Luth Qadri, Min masuk ke dalam rumah. Malas melayan lelaki yang angin satu badan. Mengarah orang sahaja kerjanya. Hari minggu macam ni sambung tidur lagi bagus. Bukan selalu dapat bangun lambat. Banyak lagi masa ni. Janji nak keluar dengan Seri dan Aida tengahari karang. Sesuatu melintas di fikirannya. Tadi dia terdengar Dato Ismail bertanya Tengku Haninah kenapa awal mereka bertolak. Kata Tengku Haninah mereka mahu ke utara. Selepas itu barulah pulang ke Johor. Tertanya-tanya pula atas urusan apa mereka ke sana? Hati ni rasa semacam…..kenapa ya? Biarlah, Tak mahu fikir. Sekarang masa untuk tidur. Lepas tu kita shopping!


Di luar Luth Qadri bersandar tenang di dinding bersebelahan pintu utama. Memikirkan apa yang disampaikan mamanya tadi. Mama dan papanya tidak akan pulang terus ke Johor. Sebaliknya mengubah haluan mereka ke utara. Tujuan mereka ke utara membawa hajat yang besar. Tidak sabar dia menunggu berita yang bakal disampaikan. Harap-harap berita baik. Tapi bagaimana kalau tidak seperti yang diharapkan? Bolehkah dia menerimanya nanti? Ah sudah, apa nak buat! Tak dapat pikat si anak, pikat hati ibu bapanya pula. Semoga urusanku ini dipermudahkan olehMu Ya Allah……..



*****************************************************************************



“I think this is the right place, abang….rumahnya yang mana satu…..” Kata Tengku Haninah kepada Tengku Lukman sambil melihat alamat rumah Min yang diberikan Luth Qadri di telefonnya.


“ Erm…kita Tanya orang okey?” Cadang Tengku Lukman. Isterinya mengangguk setuju.
Tengku Lukman memberhentikan keretanya apabila berselisi dengan sebuag motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki. Cermin kereta diturunkan.


“ Assalamualaikum….” Salam dihulurkan


“ Waalaikummusalam….” Jawab lelaki itu.


“ Boleh saya tumpang tanya? Saya tengah cari rumah Encik Mirwan…


“ Oh! Encik Mirwan, penghulu kampung?” Tanya lelaki itu semula.


“ Ya….ya…penghulu, bekas tentera.”


“ Rumahnya kat jalan sana. Encik masuk jalan yang depan nun, rumah yang batu yang ketiga tu rumahnya…” Tunjuk lelaki itu ramah.


“ Terima kasih.”


“ Sama-sama.” Kata lelaki yang kelihatan dalam likungan usia 30-an.


Kereta bergerak semula menuju arah yang ditunjukkan. Kini mereka berada betul-betul di hadapan rumah nombor tiga. Tengku Haninah berpalin kepada suaminya sebelum mereka keluar dari kereta. Pagar rumah yang sedia terbuka dihampiri. Seorang wanita yang hampir sebaya dengan mereka menjengah di pintu depan. Diikuti seorang lelaki. Kedua-duanya memandang mereka dengan tanda tanya.


“ Assalamualaikum.” Sapa Tengku Lukman. Mereka bersalaman.


“ Waalaikummusalam….”

“ Betul ke ini rumah En. Mirwan?”


“ Hah, betul la tu…saya Mirwan. Encik ni…..”


“ Saya Tengku Lukman, ni isteri saya Tengku Haninah. Er….kami datang ni ada hajat.”
Wanita yang berdiri di hadapan mereka berkalih pandang kepada En. Mirwan.


“ Hajat….eh…terlupa pula. Ni isteri saya Hasmah. Hajat apa sebenarnya?” Soal En. Mirwan.


“ Pasal anak perempuan Encik…..Min….Min Nur Kesha…..” Terang Tengku Lukman serba-sedikit.


“ Pasal anak saya? Kalau macam tu kita masuk dulu. Apa-apa hal elok kita bincang kat dalam. Jemput,jemput masuk!” Pelawa En. Mirwan. Dia mengagak tujuan kedatangan kedua-dua orang tetamu ini adalah untuk merisik Min.


“ Jemput minum….” Pn. Hasmah mempelawa tetamunya.


“ Buat susah-susah….” Balas Tengku Haninah dengan senyuman.


“ Begini…elok kalau saya terangkan duduk perkara sebenar dan tujuan kedatangan kami……………” Bicara Tengku Lukman. En. Mirwan dan Pn. Hasmah menumpukan perhatian kepada apa yang cuba disampaikan oleh Tengku Lukman.


“ Begitulah ceritanya…..” Kata Tengku Lukman setelah menerangkan panjang lebar tentang perkara yang sebenar. Nyata riak terkejut terpamer di wajah kedua-dua ibu bapa Min. Namun En. Mirwan masih tenang.


“ Min tak pernah pulak bercerita dengan kami pasal ni…..saya rasa elok kalau saya bincang dulu dengan Min…..dengar dulu apa yang dia nak ca….” Belum habis En. Mirwan bercakap Pn. Hasmah dah mencelah.


“ Macam ni lah bang, saya dah buat keputusan. Min mesti dikahwinkan jugak dengan anak mereka. Dalam keturunan saya bang….belum ada yang putus tunang. Bertunang tanpa bagitau ibu bapa. Lepas tu suka-suka putus. Dah dia pandai-pandai sangat bertunang. Saya tak kira kita kahwinkan jugak mereka. Apa saya nak cakap dengan sedara mara kita nanti kalau diorang tahu anak kita putus tunang…..catat sejarah kita nanti. Kalau mereka kahwin sekurang-kurangnya saya boleh cakap mereka dah lama bertunang. Buat majlis tunang kat rumah pihak lelaki sahaja. Lain anggapan mereka bang kalau dengar Min tak jadi kahwin sedangkan sudah lama bertunng……” Terang Pn. Hasmah panjang lebar. Perasaannya cuba dikawal sedaya mungkin.


“ Awak ni, kita tanya Min dulu….”


“ Tak payah tanya dia lagi…masa dia nak tunang dulu dia tak ada pulak nak tanya kita…..ini keputusan saya. Min suka ke…..dah tak suka ke…..saya tak peduli. Maruah kita kena jaga bang….”


“ Apa keputusan En. Mirwan? Kami tak mintak jawapan sekarang…Encik suami isteri fikirkan dulu masak-masak. Kami terima apa saja keputusan. Lagipun tujuan kedatangan kami untuk menyambung kembali ikatan pertunangan mereka sahaja…..dan kalau boleh nak meminag dengan cara yang betul. Soal kahwin tu, biar mereka berdua yang tetapkan.” Kata Tengku Lukman.


En. Mirwan memandang wajah isterinya yang merah padam. Menimbang-nimbang kata-kata si isteri. Apa yang dikatakan Hasmah ada benarnya. Berkalih pandang ke wajah Tengku Lukman kembali.


“ Saya ikut apa yang isteri saya katakan tadi. Tak payah meminang….kita buat majlis kahwin terus…..” Kata En. Mirwan. Terukir senyuman di bibir Tengku Lukman dan Tengku Haninah. Tidak disangka mereka mendapat lebih daripada apa yang diarapkan.


“ Jadi bila akan kita langsungkan majlis tu?” Kali ini Tengku Haninah pula yang bersuara. Tidak sabar dia mahu bermenantukan Min.


“ Lagi cepat lagi bagus….Kita buat bulan depan. Masa tu kakaknya pun dah balik. Paling-paling lewat cuti sekolah.” Putus Pn. Hasmah. En. Mirwan tidak berkata apa. Hanya mengikut.


Untuk versi penuh dapatkan novel Kau Dan Aku di kedai-kedai buku berhampiran anda. Boleh juga layari www.p2u.my untuk pembelian secara online.